Pentas akhir 'Pilih Kasih' musim ketiga yang melabuhkan tirainya semalam mencatatkan satu lagi sejarah apabila menobatkan peserta wanita sebagai juaranya sama seperrti di musim kedua yang lalu.

Reen Rahim, 24, yang mendapat undian SMS tertinggi sebanyak 17.75 % melayakkannya bergelar juara sekali gus mengetepikan lapan pencabar lain.
 Selain menerima undian  SMS tertinggi, Reen juga mendapat markah tertinggi daripada Rosyam Nor selaku Penerbit Eksekutif Pilih Kasih yang turut mewakili 50 markah penjurian.

"Jujurnya saya hanya menyangka akan mendapat tempat kedua atau ketiga. Bila nama saya diumumkan sebagai juara, rasa terkejut sangat. Pada saya, di peringkat akhir ini semuanya layak bergelar juara kerana masing-masing memberikan saingan yang hebat," ujar Reen yang ditemui selepas berakhirnya program tersebut.

Selaku juara, Reen membawa pulang hadiah yang secara keseluruhannya bernilai RM200,000 antaranya, wang tunai sebanyak RM10,000 beserta trofi sumbangan Pilih Kasih dan TM, sijil simpanan premium bernilai RM25,000 sumbangan Bank Simpanan Nasional dan set barangangan kemas berupa batu permata bernilai RM12,000 sumbangan U Diamond Gems And Jewellery.

Selain itu, wang tunai RM5000 berserta baucar bernilai RM5000 daripada Alfio Raldo, lima set barangan kesihatan dan kecantikan daripada Zell-V bernilai RM3500, penginapan tiga hari dua malam di Diwangkara Sanur Bali sumbangan Holiday Villa Beach Resort & Spa serta dua set wangian Indulge London sumbangan Virginia Corporation Sdn Bhd.

Mengekori rapat kedudukan Reen di malam akhir 'Pilih Kasih' adalah Hakim Yazid yang memperoleh undian SMS sebanyak 17.38%, di tempat ketiga Marina Jose sebanyak 13.44%.

Turut mendapat tempat adalah Sura Sojangi yang dinobatkan sebagai Pelakon Terbaik Pilihan TM.

Lagi kisah menarik di pentas akhir 'Pilih Kasih 3', nantikan di keluaran akan datang Media Hiburan.