Friday 16 March 2012

Budak Technician

Budak Technician


Kematian Tragis Dirang Sentuh Hati Siti Nurhaliza

Posted: 15 Mar 2012 12:04 AM PDT

Siti Nurhaliza


PETALING JAYA: Penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin turut berasa sedih dan simpati dengan kematian Nurul Nadirah Abdullah, 5, atau lebih dikenali sebagai Dirang yang dibakar selepas dilaporkan hilang pada 1 Mac lalu.

Siti berkata, walaupun beliau tidak memiliki cahaya mata tetapi nalurinya sebagai seorang wanita turut tersentuh memikirkan perasaan keluarga kanak-kanak malang itu menghadapi ujian yang menimpa apabila insan tidak berdosa diperlakukan sedemikian rupa.

"Sejak berita kehilangan Dirang tersebar di akhbar saya sentiasa mengikuti perkembangan berita itu dan amat terkejut apabila pihak polis mengesahkan mayat yang dijumpai adalah Dirang.

"Ia adalah saat menyedihkan bukan sahaja saya tetapi seluruh rakyat Malaysia yang memikirkan bagaimana seorang manusia berakal dapat melakukan perbuatan kejam terhadap kanak-kanak tersebut," ujarnya kepada mStar Online.

Siti ditemui selepas menjadi tetamu segmen Ceria Pagi di Suria di studio Suria FM di sini pada Khamis bagi mempromosikan single terbarunya, Remember You yang dimuatkan dalam album Inggeris pertama milik beliau berjudul All Your Love.

Dalam lagu tersebut Siti turut berduet dengan penyanyi antarabangsa, Sean Kingston.

Pada 8 Mac lalu, Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Roslan Zainuddin mengesahkan mayat rentung ditemui di Nusa Damai, dekat Seri Alam di Johor Bahru adalah Dirang selepas hasil ujian DNA dijalankan terhadap mayat berkenaan dikeluarkan oleh Jabatan Kimia mengesahkannya.
Allahyarham Nurul Nadirah atau Dirang
Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pertanian Masai kira-kira 1.30 tengah hari Rabu.



Dalam pada itu, Siti berkata, dia berharap pihak polis dapat menyelesaikan kes berkenaan secepat mungkin supaya pihak berkenaan dapat didakwa dan diberi hukuman setimpal dengan perbuatannya.

Menurut Siti, perbuatan yang dilakukan terhadap Dirang adalah cukup kejam dan tidak berperikemanusiaan dan patut diberi hukuman setimpal.

"Apa yang dilakukan oleh penjenayah itu kepada Dirang adalah sesuatu yang langsung tidak boleh diterima akal dan ia cukup menyedihkan mengetahui ada manusia sanggup membakar seorang kanak-kanak yang hanya berusia lima tahun," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Siti berkata, ibu bapa perlu lebih peka terhadap pergerakan anak-anak mereka dan mengambil kejadian ngeri itu sebagai pengajaran.

Ibu bapa tidak boleh terlalu mengharapkan pihak lain menjaga keselamatan anak-anak mereka sebaliknya mereka sendiri perlu memberi perhatian supaya kejadian serupa tidak berulang.

"Ibu bapa tidak boleh leka dengan membiarkan anak-anak mereka keluar bersendirian ke tempat awam dan perlu memastikan mereka mempunyai kawalan daripada orang dewasa jika hendak ke mana-mana.

"Ini kerana jika berlaku apa-apa kita tidak boleh nak menyalahkan orang lain jadi kesedaran pada diri sendiri perlu ada," katanya.

Puteri Caroline protege Ella Mentor Musim 6

Posted: 15 Mar 2012 12:02 AM PDT

Ella (kiri) melihat keistimewaan kepada Puteri Caroline.

KUALA LUMPUR: Ratu rock negara Ella berkata salah satu faktor yang membuatkan dia memilih Puteri Caroline Mohd Kamel (Caroline) sebagai protege program Mentor musim keenam adalah kerana sifat misteri yang dimiliki gadis dari Kelantan itu.

Ella berkata selain faktor bakat, Caroline, 20, mempunyai ciri-ciri menarik yang memikat hatinya untuk dia mendekati dan menerokai gadis berkenaan.

"Dia (Caroline) seorang yang pendiam dan misteri. Bakat dan sifatnya itu memikat hati saya.

"Saya tidak mahu menghakimi dia. Saya mahu menerokai kebolehan dan potensi Caroline," katanya yang memilih Caroline daripada enam calon yang disenaraikan.

Penyanyi lagu Puisi Hamba itu berkata sebagai persediaan untuk program berkenaan, dia cuba menyuntik keyakinan pada karakter Caroline agar lebih berani dan menonjol.

"Saya mempunyai hasrat yang besar untuk lihat dia berjaya, jadi saya akan bimbing dia dengan pendekatan dan formula sendiri.

Para mentor dan protoge masing-masing.

"Kami menjadi semakin rapat dan lebih mengenali antara satu sama lain dan ini memudahkan proses pembelajaran," katanya.

Selain Ella dan Caroline, Mentor 6 turut membariskan Ogy dan protegenya Zatul serta Ramlah Ram bersama protege, Ana Syuhada Noor Asram, 21 (Ana Syuhada).

Faizal Tahir pula mempertaruhkan Anas Ridzuan, 23, (Anas), Ferhad dengan Salwani Sawi, 18, (Wanie) dan Adam dengan protegenya Abd Kadir Unding Lana, 23, (KJ).

Masih lagi diacarakan oleh Ally Iskandar Mohd Mardzi, konsert mingguan akan disiarkan secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam bermula 18 Mac ini pada setiap Ahad, pukul 9 hingga 10.30 malam di TV3. -mstar-

Aiman Hakim Janji Tidak Lupa Diri

Posted: 15 Mar 2012 12:00 AM PDT

Aiman bersama gandingannya dalam drama Vanila Coklat, Izara Aishah. Foto THE STAR Oleh GLENN GUAN.

PETALING JAYA: Pelakon yang popular menerusi drama bersiri Vanila Coklat, Aiman Hakim menjelaskan populariti yang dikecapnya kini tidak akan merubah dirinya sehingga menjadi seorang yang memilih.

Aiman berkata, walaupun sudah mula dikenali, hakikatnya dia adalah seorang pelakon baru yang masih dalam proses pembelajaran dan perlu mencuba pelbagai watak sekiranya ditawarkan.

"Popular tidak menjamin kejayaan saya sebagai pelakon kerana sedar diri saya masih baru dan perlu lebih banyak pendedahan dalam bidang lakonan.

"Kejayaan drama ini juga tidak bererti saya akan mula memilih watak selepas ini hanya kerana telah dikenali," ujarnya kepada mStar Online.

Aiman ditemui selepas majlis tayangan episod terakhir Vanila Coklat bersama peminat di Restoran Rasta Taman Tun Dr Ismail di sini, Selasa.

Dalam pada itu, ditanya mengenai namanya antara carian paling popular di Google, Aiman berkata, dia tidak tahu mengenai perkara itu namun bersyukur kehadirannya dalam bidang seni mula disedari masyarakat.

Katanya, populariti yang dimiliki perlu digunakan sebaik mungkin selain perlu terus berusaha untuk memperbaiki diri supaya mendapat sokongan peminat.

"Insya-Allah kejayaan saya tidak akan membuatkan saya hanyut sebaliknya akan lebih berusaha keras dalam membina nama dalam bidang ini.

"Saya akan terus melakukan apa yang dirasakan betul dengan mendapat nasihat daripada orang terdekat," katanya.

Sementara itu, Aiman yang juga bekas peserta program realiti Mentor musim ke-5 bersama mentornya, penyanyi Rahim Maarof memberitahu walaupun sudah mencipta nama sebagai pelakon dia masih memasang hasrat untuk meneruskan kerjaya dalam bidang nyanyian.

Kata Aiman, buat permulaan dia bakal muncul dengan single terbaru berjudul "Bicara Hati" ciptaan Adi dari kumpulan 6ixth Sense dalam masa terdekat.

"Nyanyian yang telah memperkenalkan nama saya dalam bidang ini jadi tidak semudah itu untuk terus saya lupakan cita-cita awal saya ingin melibatkan diri dalam bidang ini.

"Saya masih memasang impian untuk menghasilkan album sendiri pada masa hadapan tetapi buat permulaan saya bakal muncul dengan sebuah single baru.

"Bagaimanapun saya perlu menunggu lagu tersebut keluar kerana pihak produksi masih menunggu persetujuan daripada dua buah drama yang berminat untuk menggunakan Bicara Hati sebagai lagu tema untuk drama mereka,"ujarnya.

Bagaiamanpun kata Aiman, dia tidak mahu terburu-buru sebaliknya ingin menumpukan pada sesuatu perkara terlebih dahulu kerana bimbang tidak dapat memberikan komitmen.

"Sekarang saya banyak terikat dengan tawara berlakon dan kerana itu tidak mahu terburu-buru mengejar semua benda dalam satu masa," ujarnya. -mstar-

Jue Aziz 'Menghilang' Bukan Terkena Sihir

Posted: 14 Mar 2012 11:58 PM PDT

Jue Aziz. - Foto oleh M. AZHAR ARIF

PETALING JAYA: Pelakon Jue Aziz memberitahu tindakannya mendiamkan diri daripada sebarang publisiti sejak kebelakangan ini bukan disebabkan terkena perbuatan sihir.

Sebaliknya, pemilik nama sebenar Zuliana Ab Aziz ini berkata keputusan tersebut diambil kerana dia lebih selesa untuk tampil jika mempunyai cerita yang berkaitan kerjaya sahaja.

"Saya tidak sakit terkena perbuatan sihir atau santau. Cerita itu tidak betul. Cerita itu ditimbulkan oleh pihak produksi Semerah Padi yang cuba mencari publisiti murah ketika pementasan itu diadakan pada tahun lalu.

"Saya tidak sertai teater itu pun disebabkan oleh kekalutan pengurusan produksi itu sehingga menyebabkan saya tertekan dan jatuh sakit ketika itu. Ia hanya sakit biasa kerana tidak cukup rehat," katanya.

Aktres berusia 29 tahun itu ditemui pada tayangan perdana filem terbarunya, Jidin Sengal di Cathay e@Curve, Mutiara Damansara, di sini, malam Selasa.

Jue berkata selepas lebih lima tahun bergelar pelakon, dia sudah berada pada tahap yang stabil dan tidak memerlukan publisiti murah atau kontroversi untuk terus dikenali.

"Pada tahap ini, saya memang elakkan publisiti yang berlebihan seperti awal-awal dulu. Saya tidak mahu kisah kontroversi terus dikaitkan dengan saya dan menjadi bahan cerita di media.

"Berkat pengalaman yang ada, saya semakin cekap menguruskan kerjaya lakonan. Tawaran lakonan juga stabil dan peminat sudah mengetahui mutu kerja saya, jadi apa perlunya saya terus muncul bersepah-sepah di media jika tiada kisah yang bernas dan penting untuk dikongsi," katanya.

Jue bersama pelakon dan tenaga kerja filem Jidin Sengal (dari kiri) Zach Diamond, Along, penerbit Ernie Chen, pengarah Esmi Zahara, Faezah Elai dan Angah pada majlis tayangan perdana filem itu, di sini, malam Selasa.

Menyentuh mengenai pembabitannya dalam filem komedi "Esmi Zahara" itu, Jue berkata dia menerima tawaran berlakon filem tersebut kerana menyenangi watak bernama Amy yang merupakan penolong pengarah filem yang tegas dan lasak.

"Saya suka karakter Amy yang lasak, kelakian dan tegas. Ia bersifat spontan dan menarik. Lagi pun pengalaman berlakon dengan Along (Raja Lawak) dan Angah (Raja Lawak) memberikan kepuasan dan seronok.

"Sebagai pelakon yang mempunyai lebih pengalaman berbanding yang lain, saya terpanggil untuk menyokong produksi filem ini agar sama-sama berkembang dan lebih melonjak dalam industri filem kita," katanya.

Filem yang membariskan Jue, Along (Raja Lawak), Angah (Raja Lawak), Faezah Elai, Zach Diamond, Azrul (Raja Lawak), Mariani dan Hamid Gurkha ini diterbitkan oleh syarikat produksi OutLoud Studios Sdn Bhd.

Ia mengisahkan mengenai Jidin lakonan Along (Raja Lawak) bersama sekumpulan pelakon ekstra lain yang berhasrat untuk mendapatkan peranan lebih penting dalam sesebuah filem.

Jidin Sengal akan ditayangkan kepada umum bermula 22 Mac ini. -mstar-

Ricky MartinTakut Baca Buku Tulisan Sendiri

Posted: 14 Mar 2012 11:22 PM PDT

Ricky Martin.

PENYANYI Latin terkenal, Ricky Martin mendedahkan masih belum membaca buku biografi hasil tulisannya sendiri.

Ricky memberitahu keengganan dia berbuat demikian adalah kerana takut akan berasa sedih membaca kisah hidupnya yang dibukukan.

Buku biografi yang dilancarkan pada tahun lalu itu antara lain mendedahkan pelbagai perkara yang disimpan sebagai rahsia oleh penyanyi itu buat pengetahuan umum.

Salah satu perkara adalah mengenai seksualiti dirinya yang disorok kepada pengetahuan masyarakat selama bertahun-tahun.

Bagaimanapun Ricky pada tahun 2010 telah mendedahkan bahawa dirinya seorang gay.

"Saya sempat membuka komputer dan mula membaca satu perenggan ayat tetapi berhenti kerana ia mengingatkan saya kepada banyak perkara pahit dalam hidup," ujarnya.

Walaupun begitu, Ricky berkata, dia nekad untuk menerbitkan kisah hidupnya itu bagi berkongsi pengalaman dan pengajaran kepada orang lain.

"Ramai orang boleh mengambil iktibar daripada kisah hidup saya," katanya. -mstar-

Anak Madonna Enggan Jadi Terkenal

Posted: 14 Mar 2012 11:21 PM PDT

Lourdes ingin menjalani kehidupan normal seperti remaja lain.

PENYANYI terkenal, Madonna memberitahu anaknya, Lourdes tidak mahu menjadi terkenal sebaliknya ingin menumpukan perhatian kepada pelajaran.

Madonna berkata, anaknya telah menolak beberapa tawaran berlakon menerusi filem dan projek muzik kerana enggan menjadi popular.

"Lourdes mempunyai suara yang merdu dan berbakat besar sebagai penyanyi. Bagaimanapun dia masih malu-malu.

"Banyak juga pihak menawarkan pelbagai projek untuknya tetapi dia memilih untuk menumpukan perhatian kepada pelajaran," katanya.

Dalam pada itu, Madonna memberitahu, walaupun anaknya tegas dengan pendiriannya, dia bagaimanapun turut memiliki jenama pakaiannya sendiri dan terlibat sebagai penyanyi latar untuk album terbarunya, MDNA.

"Sebagai seorang ibu, saya menghormati permintaan dan keinginan anak saya tetapi jika dia berubah fikiran saya akan menyokongnya seratus peratus," jelasnya. -mstar-

'Bunohan' Hanyalah Filem Yang 'Semak' Dan 'Sakit Kepala'

Posted: 14 Mar 2012 11:16 PM PDT



FILEM: BUNOHAN

GENRE: AKSI / DRAMA

PENGARAH: DAIN SAID

TAYANGAN: BERMULA 8 MAC 2012

KOS PRODUKSI: RM1.81 JUTA

PELAKON: Faizal Hussein (Ilham), Zaharil Adzim (Adil), Pekin (Bakar), Bront Palare Deng), Wan Hanafi Su (Pok Eng), Namron (Pok Wah), Shoffi Jikan (Awang Sonar) dan Tengku Azura (Mek Yah)


Adil (kanan) lakonan Zahiril Adzim akhirnya mati akibat diberi minum racun dalam satu perlawanan Tomoi.

BERLATARBELAKANGKAN tepian pantai dan perkampungan yang indah dan sudut sinemagrafi yang menarik, Bunohan berjaya diangkat oleh pengarah Dain Said sebagai sebuah filem yang menarik untuk diperkatakan.

Kebanyakan pihak memuji keupayaan pengarah muda ini mencernakan kekuatannya dalam menghasilkan sebuah karya yang dilihat luar biasa selepas sesi pra tontonnya pada 29 Februari lalu.

Bunohan hebat diperkatakan apabila ia menerima anugerah NETPAC(Rangkaian untuk Promosi Pawagam Asia) di Filem Festival Taipei Golden Horse 2011.

Dan dek kerana itulah filem ini menjadi taruhan serta di jaja daripada mulut ke mulut sehingga menyebabkan orang ramai menunggu kemunculannya bagi menilai sejauh manakah luar biasanya karya terbaru Dain Said ini.

Bunohan yang mengambil nama sebuah perkampungan di Tumpat, Kelantan berkisar tentang hubungan tiga beradik iaitu Ilham (Faizal Hussein), Adil (Zahiril Adzim) dan Bakar (Pekin) yang berhadapan dengan krisis kekeluargaan.

Membunuh


Ia dapat dilihat apabila Ilham diupah membunuh adiknya iaitu Adil, seorang peninju tomoi yang sering kali menyandang juara dalam perlawanan di Selatan Thailand sementara Bakar pula seorang yang tamak apabila mahu membolot tanah pusaka.

Bapa kepada anak-anak tersebut ialah seorang Tok Dalang wayang kulit tegar iaitu Pok Eng (Wan Hanafi Su) digambarkan sebagai seorang lelaki yang berdahi licin apabila berkahwin lebih daripada satu.

Kerana kecewa dengan perkara itu, isterinya Mek Yah (Tengku Azura) membawa diri meninggalkan anak-anak dengan menjadi buaya putih, mitos kepercayaan orang-orang dahulu.

Ilham akhirnya sanggup mati dibunuh oleh Deng kerana dia tidak tergamak untuk "mengambil nyawa" adiknya sendiri seperti mana yang diinginkan.


Lakonan Faizal Hussein (kiri) dan Bront Palarae sememangnya hebat.

Malah Adil yang sudah 27 tahun meminggirkan keluarga termasuk ayahnya dipertemukan selepas isu tuntutan tanah daripada Bakar yang mahu melaksanakan projek di tanah yang hendak diwariskan kepada Adil itu.

Karakter yang dibawa dalam setiap watak tidak kiralah kecil ataupun besar adalah sesuatu yang luar biasa.

Kehebatan filem ini ternyata daripada sudut nilai lakonnya. Kesan yang diberikan oleh Faizal Hussein dalam filem ini memang tidak boleh dipertikaikan lagi.

Begitu juga dengan pelakon lain yang mampu membawa watak mereka tanpa sebarang masalah walaupun keseluruhan filem ini menggunakan loghat negeri Kelantan.

Namun di sebalik kehebatan yang ditonjolkan serta aksi lakon yang ditampilkan, Bunohan sebenarnya bukanlah sebuah filem yang terlalu luar biasa.

Maaf... mungkin komen ini sedikit menyimpang daripada kebanyakan ulasan yang dilakukan oleh media lain tetapi hakikat terhadap "kecuaian" dalam filem ini harus diterima dengan positif.

Ia hanya hebat daripada sudut sinematografi, keupayaan para pelakon serta tema yang diangkat. Itu sahaja.

Sakit kepala


Tetapi secara keseluruhannya filem ini hanyalah sebuah filem "sakit kepala" kerana ia cuba memaksa penonton untuk mengkaji makna tersirat di sebalik kata-kata, gerak geri serta raut wajah para pelakonnya.

Secara jujurnya, Bunohan bukan sebuah filem kegemaran masyarakat Malaysia yang malas untuk berfikir perkara di sebalik atau makna tersirat itu. Dan dek kerana itu, ia tidak mampu untuk membuatkan penonton mahu menontonnya untuk kali kedua.


Sinematografi dalam 'Bunohan" adalah antara yang terbaik.

Jika ada pun disebabkan mereka terpaksa berbuat demikian kerana ingin memahami apa sebenarnya yang hendak disampaikan dalam filem ini.

Bunohan adalah sebuah filem seni yang berat dan dilihat hanya bersesuaian untuk mereka yang mempunyai ilmu perfileman seperti pelajar-pelajar filem ataupun mereka yang benar–benar cintakan karya seperti ini sahaja.

Ini kerana terlalu banyak sub plot yang hendak dikembangkan oleh Dain Said sehingga membuatkan penonton tertanya-tanya apakah yang ingin disampaikan oleh pengarah itu?

Semak

Watak Mek Yah tidak digambarkan dengan jelas yang menunjukkan wanita itu adalah buaya jadian sementara apakah kepentingan Ilham yang keterlaluan dilihat menggali kubur daripada matlamat utamanya untuk mencari Adil.

Kepentingan buaya dan saka yang dibangkitkan sebenarnya tidak menyumbang terhadap kekuatan Bunohan pun sebaliknya kewujudan watak itu hanya mendatangkan "semak" terhadap filem ini.

Apakah sesebuah "art movie" memerlukan seseorang pengarah itu menghasilkan karya yang membebankan pemikiran penonton?

Filem Jogho arahan U-Wei yang ditayangkan pada tahun 1999 adalah salah satu contoh filem seni yang amat baik daripada segi tema dan perkembangan plot yang ditampilkan.


Pekin Ibrahim juga berjaya menunjukkan kemampuannya dalam 'Bunohan'.

Jogho memenangi lima anugerah menerusi Festival Filem Malaysia Ke 11 (FFM11) termasuk Filem Terbaik dan Pelakon Lelaki Terbaik (Khalid Salleh) yang juga berkisar mengenai kehidupan masyarakat di Kelantan dan Selatan Thailand.

Kisah kehidupan mengenai perlawanan laga lembu yang turut membabitkan adegan pembunuhan itu berjaya digarap dengan sempurna tanpa banyak masalah untuk penonton memikirkannya.

Tapi sayang, hasrat Dain Said untuk melakukan kelainan dalam konteks pemikiran "zaman teknologi" pada hari ini tidak seratus peratus mencapai matlamatnya tetapi usaha itu berjaya daripada kekuatan lain.

Kita berhak untuk bersetuju atau tidak dengan apa yang kita lihat atau lakukan tetapi hak saya terhadap filem ini telah saya perjelaskan.

Sama ada anda boleh menerimanya atau tidak, pergilah menonton dan buatlah penilaian sendiri kerana cara itu adalah rumusan terbaik untuk pandangan anda. -mstar-

Imej permukaan bulan planet Zuhal dirakam

Posted: 14 Mar 2012 10:53 PM PDT


IMEJ permukaan bulan Rhea yang dirakamkan dari kapal angkasa Cassini.

PASADENA, Amerika Syarikat (AS) - Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) menyiarkan gambar baharu permukaan bulan Rhea yang lebih jelas.

Rhea ialah bulan kedua terbesar yang mengelilingi planet Zuhal.

Imej baharu berkenaan yang dirakamkan kapal angkasa Cassini disiarkan oleh NASA pada Isnin lalu. - Agensi

Jambatan ditutup selama tiga jam

Posted: 14 Mar 2012 10:49 PM PDT


KEPINGAN-KEPINGAN logam (dalam bulatan) terjuntai di bahagian bawah Jambatan Brooklyn di New York kelmarin.

NEW YORK - Jambatan Brooklyn ditutup daripada digunakan kenderaan selama tiga jam di sini pada malam kelmarin.

Punca penutupan itu disebabkan kren sebuah kapal tunda bergesel dengan kepingan logam yang terdapat pada bahagian bawah jambatan tersebut menyebabkan ia pecah.

Bagaimanapun, menurut beberapa laporan, tiada kerosakan ditemui pada struktur jambatan itu menyebabkan ia dibuka semula untuk dilalui kenderaan. - Agensi

Inilah Planet Paling Panas Di Alam Semesta

Posted: 14 Mar 2012 10:41 PM PDT


Ahli astronomi yang terlibat dalam projek Super Wide Angle Search for Planets (SuperWASP) telah berjaya menemui planet terpanas yang dikenali sebagai WASP-33 b. Suhu planet tersebut mencapai 3,200 darjah Celcius, lebih panas daripada suhu beberapa bintang.

Salah satu sebab yang menyebabkan panasnya suhu planet itu adalah suhu bintang induknya yang juga panas. Ahli astronomi mengatakan, suhu bintang induk planet itu adalah setinggi 7,160 darjah Celsius, lebih tinggi daripada suhu matahari yang "hanya" 5,600 darjah Celsius. Jarak antara planet ini dengan bintangnya juga hanya 7 peratus jarak planet Mercury ke Matahari.

Kewujudan planet itu telah diketahui sejak tahun 2006 yang lalu namun baru dapat dipastikan pada tahun 2010. Dikatakan, planet tersebut tergolong dalam sejenis planet gas dengan kapasiti kurang dari 4.1 kali kapasiti Jupiter.

Kajian tentang planet ini diketuai oleh Alexis Smith dari Universiti Keele di Stafordshire, England. Berdasarkan kajian, ahli astronomi juga mengetahui bahawa waktu peredaran planet ini sangat singkat, iaitu hanya 29.5 jam.

Drake Demming dari Goddard Space Flight Center NASA di Greenbelt, Maryland yang tidak terlibat dalam penyelidikan ini mengatakan, "WASP-33 b boleh membantu ahli astronomi mengkaji planet panas yang ciri-cirinya masih lagi misteri."

Hal yang boleh dipelajari misalnya ada planet yang berorbit dekat dengan bintangnya yang memiliki lapisan atmosfera luar lebih sejuk dari lapisan dalamnya. Ini mengejutkan kerana planet tersebut seperti "dipanaskan" dari luar.

Deming mengatakan, fakta itu ada kaitan dengan wujudnya keadaan asas karbon yang mengubah cara atmosfera memberi respons kepada radiasi. Keadaan kimia tertentu boleh terbentuk akibat sinar ultraviolet dari bintangnya.

"Ini pasti akan menjadi planet yang ingin anda lihat. Ini adalah peluang yang sangat baik untuk kita mengkaji planet yang mengorbit pada bintang yang terlalu panas," ucap Deming dalam sebuah sesi wawancara dengan majalah New Scientist. (melayukini)

Senarai 50 Universiti Terbaik Di Malaysia 2012

Posted: 14 Mar 2012 10:38 PM PDT


Berikut merupakan senarai Top 50 Ranking Universiti Terbaik di Malaysia bagi tahun 2012. Tahniah UPM! (Nota: Pelajar UPM jangan gembira sangat kerana tahun 2012 masih belum berakhir, beerti ranking ini boleh berubah bila-bila masa tau)
  1. Universiti Putra Malaysia (UPM) (Rank dunia: 428)
  2. Universiti Teknologi Malaysia (UTM) (Rank dunia: 437)
  3. Universiti Sains Malaysia (USM) (Rank dunia: 464)
  4. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) (Rank dunia: 523)
  5. Universiti Malaya (UM) (Rank dunia: 596)
  6. Universiti Teknologi MARA (UiTM) (Rank dunia: 626)
  7. Multimedia University (MMU) (Rank dunia: 891)
  8. Universiti Malaysia Sabah (Rank dunia: 1222)
  9. Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) (Rank dunia: 1341)
  10. International Islamic University of Malaysia (UIA) (Rank dunia: 1411)
  11. Universiti Teknologi Petronas (UTP)
  12. Universiti Tenaga Nasional (UNITEN)
  13. Universiti Utara Malaysia (UUM)
  14. Universiti Tunku Abdul Rahman
  15. Universiti Malaysia Terengganu
  16. Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)
  17. Universiti Malaysia Pahang (UMP)
  18. Universiti Sains Islam Malaysia
  19. Universiti Tun Hussein Onn Malaysia
  20. Universiti Pendidikan Sultan Idris
  21. Open University Malaysia
  22. Universiti Teknikal Malaysia Melaka
  23. International Medical University
  24. Taylor's University College
  25. Tunku Abdul Rahman College
  26. Universiti Pertahanan Nasional Malaysia
  27. University of Nottingam Malaysia
  28. UCSI University
  29. Monash University Malaysia
  30. Malaysia Theological Seminary
  31. Universiti Kuala Lumpur
  32. Curtin University of Technology Sarawak Campus
  33. Universiti Industri Selangor
  34. Selangor International Islamic University College
  35. Al Madinah International University
  36. Wawasan Open University
  37. University Tun Abdul Razak
  38. KDU College
  39. Universiti Malaysia Kelantan
  40. Asia Pasific Institute of Information Technology
  41. Help University College
  42. Sunway University College
  43. INSANIAH University College
  44. Universiti Sultan Zainal Abidin
  45. Segi College
  46. University of Malaya Medical Center & Faculty of Medicine
  47. Majlis Peperiksaan Malaysia
  48. Malaysian Institute of Management
  49. Limkokwing University of Creative Technology
  50. Disted-Stamford College
Nota tambahan: Senarai ranking itu dibuat berdasarkan Size, Visibility, Research papers and scholars.

Petua Elak Sakit Belakang

Posted: 14 Mar 2012 10:35 PM PDT


Perlu diketahui, antara tabiat buruk menyebabkan sakit belakang:
  • Gemar membongkok ke depan dan beralih ke kiri dan kanan ketika mengangkat atau menarik sesuatu.
  • Membongkok ke depan dan ke bawah ketika bekerja.
  • Perjalanan yang jauh tanpa berhenti rehat.
  • Berdiri terlalu lama.
  • Membawa barang yang beratnya tidak seimbang.
  • Duduk membongkok di kerusi.
  • Membongkokkan badan ketika batuk atau bersin.
  • Memakai kasut bertumit tinggi.
Petua elak sakit belakang
  • Tidur di atas tilam spring; letakkan papan di atas dasar tilam.
  • Elakkan diri daripada ketegangan yang boleh menyebabkan sakit belakang.
  • Kekalkan kedudukan susuk badan (posture) yang baik ketika duduk dan berdiri.
  • Apabila mengangkat barang, tegakkan belakang anda dan bengkokkan lutut saja.
  • Pelajari senaman yang boleh membaiki pergerakan dan kedudukan susuk badan anda.
  • Jika memandu, anda perlu berhenti dan berehat seketika atau keluar dari kereta setiap 90 minit.
  • Bagi wanita, pakai kasut bertumit rendah.
  • Luangkan sedikit masa untuk berehat dan elakkan daripada terlalu banyak membuat kerja yang membebankan untuk jangka waktu yang lama.
  • Pegang objek yang berat rapat ke badan anda.
  • Apabila duduk di kerusi, pilihlah tempat duduk yang dapat mengampu seluruh paha anda dan biarkan kaki anda lurus ke bawah dan memijak lantai atau bangku kecil dengan selesa. (melayukini)

7 Rahsia Mengenal Wanita Dari Cara Berjalan

Posted: 14 Mar 2012 10:26 PM PDT


1. Kelihatan Seperti Tidak Memijak Tanah

Golongan wanita yang jalannya berginjat, wanita ini kononnya bersifat tidak jujur, mulutnya laser dan menyinggung perasaan orang lain terutamanya ketika berbual. Dia juga dikatakan terkenal dengan sikap egonya. Dan yang lebih parah, wanita ini biasanya seorang yang boros atau suka membazir tanpa berfikir sebelum berbelanja. Tapi jangan berkecil hati, kerana wanita seperti ini biasanya menjadi pujaan ramai lelaki.

2. Sering Menoleh Ke Kanan Dan Kiri

Wanita yang berjalan seperti ini biasanya pandai menyimpan rahsia. Walaupun ramai yang menganggap wanita yang berjalan seperti ini tidak jujur, suka menipu teman sendiri, dan merugikan teman bualnya, namun, ramai lelaki yang berusaha untuk menakluk hatinya. Kononnya wanita seperti ini senang diatur dan diuruskan.

3. Suka Menunduk

Wanita seperti ini katanya memiliki sifat yang tertutup. Dia hanya akan berbual dengan orang-orang yang rapat dengannya dan boleh dipercayai. Wanita seperti ini biasanya sukar untuk ditawan hatinya. Di samping sikapnya yang dingin, wanita seperti ini tidak peduli dengan percintaan. Namun, jika ada lelaki yang berjaya menawan hatinya, dijamin lelaki itu akan beroleh kebahagiaan. Ini kerana, wanita jenis ini sangat setia, dan dia tidak akan mengkhianati lelaki yang dicintainya.

4. Berjalan Menatap Lurus Ke Depan

Mereka yang berjalan seperti ini biasanya memiliki pendirian yang teguh, dan bukannya mudah hendak menggoncangkan imannya. Jangan sekali-sekali menentang apa yang pernah dikatanya, jika anda tidak mahu mendengar dia berleter panjang lebar. Meskipun pendiriannya teguh, tapi dia selalu berselisih pendapat. Jadi tak hairanlah kalau wanita seperti ini hanya mahu berbual dengan orang yang perpengalaman luas.

5. Badan Bergerak ke Kanan dan Kiri

Wanita yang berjalan dengan gaya yang sedemikian selalunya bersikap tidak ambil kisah dengan masalah yang berlaku. Apa pun masalah yang ada dihadapannya, dia menganggap itu sebagai perkara kecil. Walhal masalah itu sebenarnya agak rumit dan memerlukan kebijaksanaan untuk diselesaikan. Kerana sifatnya yang suka ambil mudah ini, banyak persoalan yang akhirnya tidak dapat diselesaikan dan akibatnya merugikan dirinya sendiri.

6. Badan Nampak Tegak

Wanita ini tegas dalam menentukan sesuatu. Dia tidak mahu urusan peribadinya dicampur oleh orang lain. Gaya bicaranya selalu serius seperti ingin menunjukkan dia memiliki pendirian teguh. Dan yang menarik tentang wanita ini, dia bertanggungjawap terhadap apa yang pernah dilakukannya. Dia menyenangi lelaki yang berdikari tanpa menghilangkan sifat-sifat romantiknya.

7. Berjalan seperti Zirafah

Maksudnya, ketika melangkahkan kaki, badannya kelihatan bergerak ke depan dan ke belakang. Wanita jenis ini sangat lemah perasaannya. Dia seorang yang mudah terasa dan mudah tersinggung. Jadi, jika berbual dengan wanita seperti ini sedikit sebnayak kenalah menjaga perasaannya agar tidak tersinggung, kerana wanita ini mudah mengalirkan air mata.

Panduan ini bukanlah semata mata hanya berguna untuk lelaki tapi boleh jugak di jadikan peringatan kepada wanita wanita diluar agar berjalan dengan sopan. Macam biasa, tip ini hanya panduan bukan semestinya betul dan setiap individu adalah berlainan. Sekian. Wallahualam. (melayukini)

No comments: