Monday 5 March 2012

Budak Technician

Budak Technician


Bienda Dapat Ilham Nama Anak Daripada Telenovela

Posted: 03 Mar 2012 11:15 PM PST

Gambar anak perempuan Bienda, Lavienda Namiraz yang dilahirkan pada 26 Februari lalu.

PETALING JAYA: Penyanyi Bienda berkata dia mendapat ilham untuk memberikan nama Lavienda Namiraz kepada anak perempuannya yang baru dilahirkan itu daripada perwatakan drama telenovela Latin yang kerap ditontonnya ketika hamil.

Menurut penyanyi berusia 27 tahun itu, bagi berlaku adil mereka bersepakat untuk menggabungkan bahagian nama masing-masing kepada bayi sulung itu.

"Nama Lavienda diilhamkan daripada gabungan nama saya dan salah satu watak dalam telenovela Latin yang saya gemar tonton ketika mengandung dulu.

"Kebetulan pula, suami juga ada nama pilihannya iaitu Namiraz yang diambil daripada nama Zariman yang diterbalikkan. Untuk berlaku adil, kamu gabungkan dua nama itu," katanya.

Bercerita tentang pengalaman bergelar ibu, Bienda berkata dia bersyukur kerana anaknya tidak mempunyai banyak ragam atau kerap menangis.
Bienda dan suami, Kamarul Zariman Abd Rahman (Boy) pada majlis persandingan mereka pada 8 Oktober 2010.

Sekali pun, dia mengakui masih berasa kekok dengan kehadiran bayi itu dalam keluarganya, Bienda teruja untuk melayari kehidupan dengan status baru itu.

"Saya dan suami masih kekok dan terkejut dengan kehadiran anak kami dalam keluarga. Selama ini, saya mengandung dan kini dia sudah lahir, saya susah hendak gambarkan perasaan itu.

"Namun, saya bersyukur kerana Lavienda tidak banyak kerenah dan kami sedang belajar untuk menyesuaikan diri dengan pengalaman baru ini," katanya.

Bienda yang juga anak kepada penyanyi dangdut Sheeda selamat melahirkan bayi seberat 2.95 kilogram itu menerusi pembedahan di sebuah hospital swasta pada 26 Februari lalu.

Bienda berkahwin dengan Boy yang juga penerbit program di Primeworks Studios itu pada 8 Oktober 2010.

Norish Karman Pernah Menangis Belakang Anak-anak

Posted: 03 Mar 2012 11:10 PM PST

Norish Karman

PETALING JAYA: Pelakon Norish Karman atau Norish mengakui dia pernah menangis secara bersembunyi tanpa pengetahuan anak-anaknya kerana tidak tahan membendung kesedihan daripada pelbagai dugaan dan tohmahan yang menimpa dirinya.

Wanita yang kini berjinak-jinak dalam bidang nyanyian itu berkata walaupun pada mata kasar dia kelihatan tabah dan tidak tergugat dengan kisah-kisah duka yang silih-berganti, dia juga tidak boleh lari atau menyangkal perasaan sedih dan terkilan.

"Saya tidak terjejas secara luaran dan orang nampak seperti saya kuat untuk menghadapi kisah keruntuhan rumah tangga dan pelbagai fitnah yang mengaibkan, tetapi saya juga manusia biasa yang mempunyai rasa sedih dan kecewa.

"Saya pernah berduka dan menangis di belakang anak-anak tetapi Tuhan itu sentiasa ada untuk memberikan kekuatan," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Norish berkata dia lebih selesa untuk mengambil pendekatan positif terhadap apa yang berlaku. Katanya, kedukaan dalam hidup sebelum ini lebih mematangkan diri dan memberikan semangat untuk dia terus melangkah.

"Seperti yang pernah saya katakan, orang boleh menuduh apa sahaja tetapi tidakkah mereka fikir perasaan anak-anak dan keluarga saya?

"Bagi saya, fitnah dan tohmahan adalah resam dunia artis. Saya memilih jalan ini, jadi saya mesti hadapinya walaupun perit dan berat. Saya sedih apabila anak-anak yang terkena tempiasnya," katanya.

Ibu kepada tiga anak ini berkata walaupun segelintir pihak tidak menyukainya dan menuduh pelbagai perkara tanpa mengetahui kesahihan sesuatu dakwaan itu, dia enggan ambil peduli dan lebih mengutamakan individu yang menyayanginya dengan ikhlas.

"Kalau ada tujuh orang yang tidak suka dan hanya ada tiga saja yang suka, itu sudah menjadi kekuatan buat saya. Saya kini hidup hanya untuk orang-orang yang mengambil berat dan menyayangi saya seadanya.

"Mengapa orang perlu menghakimi saya kerana saya tidak pernah menjatuhkan hukum pada orang lain? Saya akui pernah melakukan kesilapan dan belajar untuk menjadi lebih baik. Kebahagiaan saya kini adalah Tuhan, keluarga dan muzik saya," katanya.

Rihanna Mahu Bercinta Semula

Posted: 03 Mar 2012 11:07 PM PST

Rihanna

LONDON: Penyanyi Rihanna yang menganggap kehidupan solonya terlalu diperkatakan dan mendapat publisiti yang keterlaluan, kini mahu menjalin hubungan cinta semula.

Laman web femalefirst.co.uk melaporkan, bintang berusia 24 tahun yang berpisah dengan penyanyi Chris Brown selepas insiden dirinya dipukul pada 2009, mengakui dia tidak suka hidup bersendirian tanpa kekasih.

"Saya tidak mempunyai kekasih. Ia adalah sesuatu yang saya tidak suka.

"Saya menikmati pengalaman hidup yang hebat tetapi ia perlu dikongsi bersama seseorang. Itu (tanpa kekasih) adalah sesuatu yang tidak saya miliki pada waktu ini," katanya.

Mengakui kebanyakan lelaki akan berasa rendah diri dengan popularitinya, Rihanna menambah: "Ya tetapi dalam kes itu mungkin mereka (lelaki) bukan calon terbaik untuk saya kerana tiada apa yang boleh saya lakukan tentang perkara tersebut (populariti).

"Saya mencari lelaki yang tenang, bersahaja, menyeronokkan dan lucu." - IANS

Nidji dikuarantin seminggu

Posted: 03 Mar 2012 09:20 PM PST


BUAH mula sebuah grup dengan enam jiwa dan enam kepala ini hampir sama seperti anak muda yang lain. Penuh semangat yang dibalut dengan pelbagai pancaroba untuk menempuh jalur langkah sebagai anak seni.

Bermula dengan bertatih, kemudian karya Nidji seakan berlari diangkat khalayak yang merasakan muzik mereka dekat dengan jiwa dan dapat memberikan inspirasi sejagat. Buktinya lagu-lagu seperti Laskar Pelangi, Hapus Aku, Disco Lazy Time dan Sang Mantan menjadi pemanis di bibir pendengar mereka.

Bak kata sang vokalis, Giring yang sentiasa bertenaga, mereka sudah diangkat sebagai bintang, pernah juga berasakan fasa sukar dalam perjalanan, sukses datang dengan pelbagai macam bentuk dan cubaan. Seiring dengan nama grup mereka yang bermaksud pelangi.

Berikan Liberty

Sudah agak lama tidak melihat gaya dan persembahan mereka di Malaysia, Nidji yang kali terakhir ke Kuala Lumpur pada 2010 akan menjejak lagi negara tetangganya ini untuk tujuan promosi album terbaharu dan melantunkan lagu-lagu mereka di pentas meriah Big Jam Hot FM. Masa untuk mereka berkongsi lagu-lagu terbaharu dan momen lagu-lagu popular mereka di sini dalam acara Hot FM yang bakal dilangsungkan di Dataran Syahbandar, Kuala Terengganu pada 10 Mac ini.

Sebagai maklumat terbaharu, Nidji baru menelurkan dua buah album. Album Liberty merupakan album studio keempat Nidji yang dilancarkan pada November lalu manakala album Victory menyasarkan pasaran antarabangsa.

"Album Breakthru' adalah semangat kami, Top Up adalah pembuktian kami, Let's Play adalah cubaan kami dan Liberty dan Victory adalah tujuan kami," kata sang vokalis.

Bukan sahaja melalui proses kreatif yang berlainan untuk melahirkan album namun Giring, Rama, Andro, Randy, Adri dan Ariel mengambil peluang untuk merapatkan lagi silaturahim mereka dalam Nidji.

"Proses rakaman album berlangsung selama kurang lebih sembilan bulan bermula dengan pembuatan dan penyusunan lagu hinggalah ke proses merakam dan mixing. Nidji selalu mencuba sesuatu yang berbeza dalam setiap pembuatan albumnya agar terdengar lebih segar.

"Dalam album ini, Nidji memutuskan untuk membuat lagu melalui proses kuarantin. Lalu kami menyewa sebuah villa di kawasan Cisarua Puncak, Bandung selama seminggu. Hanya ada Nidji, produser album (Gio dan Nabil), pihak pengurusan serta kru. Tujuannya agar kita lebih fokus, jauh daripada keramaian, tidak ada gangguan dan dapat menghasilkan vibe yang berbeza," kata Rama.

Nidji membina satu ruangan seperti studio mini dan berlatih serta mencari idea tanpa mengira waktu atau menganggu sesiapa. Ujar Nidji lagi, selama di sana, mereka bukan sahaja membuat lagu tetapi juga sama-sama bersukan dan main alat permainan. Suasana yang akhirnya membolehkan mereka mendapat 17 buah lagu serta mengakrabkan hubungan persahabatan mereka.

Melebarkan sayap

Lebih membanggakan grup yang ditubuhkan pada 2002 ini, album keempat ini juga bukti pelebaran sayap mereka ke peringkat antarabangsa.

"Alhamdulillah, album keempat ini Nidji berkesempatan merakam album mini antarabangsa Nidji yang berjudul Victory. Daripada hasil 17 buah lagu demo yang dihasilkan di Cisarua, sepuluh lagu Indonesia terpilih untuk dimasukkan ke album Liberty dan lima buah lagu berbahasa Inggeris untuk album Victory.

"Pada September tahun lalu, proses mixing serta mastering Victory dibuat selama 11 hari. Dalam album ini kami bekerjasama dengan produser Sex Pistol bernama Steve James. Banyak ilmu baharu seperti teknik rakaman yang lebih teliti dan betul, cara penyusunan sesebuah lagu, mixing bahkan membuat lirik berbahasa Inggeris yang lebih baik kami dapat," Rama menambah tentang album Victory yang akan dilancarkan ke seluruh dunia secara digital melalui iTunes tahun ini.

Buat Nidji, rakaman album di Australia adalah salah satu cara mereka menuju impian yang dinamakan 'Go International' di luar Asia. Kebetulan juga kesempatan itu disokong oleh label Nidji iaitu Musica Studios yang mempunyai pejabat di Australia iaitu Valleyarm Record.

"Buat Nidji, 'Go International' itu salah satu impian kita sejak dahulu dan Alhamdulillah, perlahan-lahan mulai wujud. Dimulai dengan 'Go Asia', kemudian 'Go Australia' dan 'Go Europe'. Kita ingin membawa nama harum Indonesia serta Asia Tenggara ke seluruh dunia, juga menyedarkan bahawa ada sebuah grup bernama Nidji," sepakat mereka bersuara.
Menjangkau satu dekad


SEIRING muzik dan fesyen, Nidji sentiasa tampil dalam dua elemen ini buat para pecinta mereka.


Menyentuh perihal tema lirik yang mereka bawakan dalam album kali ini, ujar Nidji tema dalam album Liberty berbeza daripada album sebelumnya. Lebih menyentuh tema kehidupan sehari-hari anak muda, grup ini mengambil inspirasi lirik daripada status dan komen Twitter Nidjiholic (nama penggemar Nidji) yang banyak berkongsi kisah hidup masing-masing.

"Album dahulu lebih banyak lirik dengan perumpamaan dan sedikit puitis. Kali ini lebih terang dan jelas," jelas Rama.

Begitu dekat Nidji dengan Nidjiholic sehingga buah kata mereka menjadi bait-bait lirik lengkap dalam album terbaharu mereka. Inilah juga nyawa yang membenarkan kehidupan mereka menjangkau usia 10 tahun. Satu dekad yang penuh dengan warna-warni kehidupan. Meraikan usia seteguh ini, grup ini bakal mempersembahkan sebuah konsert khas buat pecinta karya mereka.

"Tepat Februari 2012, Nidji berusia sepuluh tahun. Jadi dalam rangka sepuluh tahun, Nidji kita membuat konsert ulang tahun Nidji yang berjudul 1 Dekade Nidji yang akan dilaksanakan pada Rabu ini di Jakarta dan akan dibuat dalam bentuk DVD," keterujaan Nidji disuarakan.

Ujar Giring seakan janji: "Langkah ini, langkah kesepuluh tahun ini. Ingat, kami tidak akan ke mana-mana. Kami akan selalu ada di hati kalian."

Temberang selebriti Malaysia

Posted: 03 Mar 2012 09:18 PM PST

 
MARSHA dan Reza mengaku punya hubungan kimia yang baik.

SEKEPALA dan sama-sama becok, pasangan ini digabungkan dalam sebuah program baharu keluaran Astro yang dinamakan Propaganza.

Marsha Milan Londah dan Reza Mohamed banyak bergurau dan mengusik antara satu sama lain dalam satu sesi fotografi yang diadakan baru-baru ini. Atas keterbukaan itu jugalah mereka dipilih sebagai pengacara 26 episod program Propaganza yang akan bermula 18 Mac ini.

Propaganza akan bersiaran setiap Ahad pada pukul 12 tengah hari di saluran Astro Ria (104).

Program sejam itu akan mengupas isu-isu semasa dalam industri hiburan tanah air.

Mereka mengaku diselubungi gemuruh dengan gandingan kali pertama itu apatah lagi program itu akan disiarkan secara langsung.

"Propaganza menyediakan lima segmen iaitu Buzz, Apa Cer, Malatopz, Klik Kantoi dan Murai," ujar Reza tentang program terbitan KRU Studio ini.

Bagaimana dengan keserasian kalian sebagai pengacara program ini?

REZA (R): Memang tidak ada masalah sebab masing-masing sudah ada perangai gila-gila. Lagipun kami sudah lama saling-mengenali dan sudah masak dengan perangai masing-masing. Saya rasa tidak ada masalah. Mulut saya memang lancang dan lantang dan Marsha sudah faham. Kalau ada salah dan silap, kami akan saling memberi teguran membina.

MARSHA (M): Saya sudah kenal Reza sejak sama-sama menyertai program Akademi Fantasia musim ketiga. Kami sudah macam adik-beradik.

Apa perasaan Marsha mengacara program siaran langsung?

M: Saya sangat gemuruh tetapi sangat bersyukur kerana diregukan dengan Reza. Dia sudah lama dalam bidang pengacaraan dan saya harap dia sudi bimbing saya dalam mengendalikan tugas ini. Saya berada dalam tangan yang betul. Saya hanya takut tersasul. Tapi saya akan cuba buat yang terbaik.

R: Saya juga gemuruh. Tapi tahap gementar Marsha tentulah lebih daripada saya. Kalau kami bersikap overacting, ini akan merosakkan karier kami. Tapi kami tidaklah sempurna dan tidak juga ada terlampau yakin. Kami banyak berbincang dan melakukan latihan. Tetapi selalunya apa yang dibuat masa latihan akan berlainan pada masa siaran.

Apa pula cabaran untuk mengendalikan program ini?

M: Saya perlu belajar dengan lebih mendalam lagi slanga Kuala Lumpur sebab saya masih lagi bercakap ada stail Sabah. Semestinya saya perlu bercakap stail Kuala Lumpur untuk program ini. Saya perlu betulkan cara saya berkomunikasi.

R: Dialek Sabah Marsha memang pekat.

Untuk tugasan kali ini, apa bahan rujukan kalian?

R: Saya rujuk laman web murai.com dan kami juga ada wartawan kami sendiri yang mendapatkan maklumat.

M: Saya banyak tengok program seperti E!. Dapakan sikit bagaimana stail Gulliana Rancid menjalankan tugasan sebagai pengacara. Itu cuma untuk mendapat idea dan gambaran besar tentang pengacara. Selebihnya, Reza banyak memberi tunjuk ajar.

Apa kelainan program Propaganza berbanding program hiburan atau infotainmen yang lain?

M: Kelainan yang ketara adalah daripada segi gandingan hos. Itu umum sudah nampak lain.

R: Program Propaganza ini menjurus kepada cerita-cerita eksklusif, bahan-bahan scoop. Jika ada sesuatu berita atau isu panas keluar mengenai selebriti, kita akan minta penjelasan mereka dan tidak akan mengaibkan artis tersebut. Contohnya, jika ada artis yang bergaduh di laman sosial Twitter, kita akan minta keterangan dan cerita sebenar mereka. Kelainan yang lain adalah daripada segi hos seperti yang Marsha katakan.

Bagaimana anda melaporkan isu panas membabitkan kalangan selebriti yang merupakan rakan-rakan kalian?

M: Saya memang ada kerisauan itu sebab artis adalah rakan-rakan kami juga. Takut kawan-kawan salah anggap.

R: Kami menjadi orang tengah bagi mereka untuk membetulkan keadaan.

GANDINGAN ini akan muncul di kaca TV pada 18 Mac.





Apa sumbangan program sebegini untuk industri tempatan sebenarnya?

R: Istimewanya Propaganza adalah untuk penonton luar bandar yang tidak aktif atau tidak ada akses Internet. Jadi program ini memberikan berita yang pantas untuk mereka mengetahui apa yang terjadi dalam dunia selebriti. Jika dilihat lagi, program ini merupakan platform untuk artis memperjelaskan masalah mereka sebab kita tidak akan edit percakapan mereka.

M: Buat saya program ini real. Kita membantu para selebriti dengan isu mereka. Malah tidak hanya tentang isu selebriti sahaja, kita juga ada menyentuh gaya hidup artis.

Pada pandangan kalian, adakah jawapan selebriti kita jujur atau sekadar temberang?

R: Ada juga yang beri jawapan selamat sebab siapalah yang mahu buka pekung di dada. Adakala mereka perlu mempertahankan diri sendiri. Saya harapkan agar artis kita cuba jangan beri jawapan yang mengaibkan diri sendiri. Jangan bangga dengan kenakalan atau perkara jahat yang mereka lakukan.

M: Berdasarkan perhatian saya, ada juga selebriti yang beri jawapan yang propa ataupun jawapan selamat. Mungkin tidak sengaja. Saya rasa artis kena dan perlu pandai jaga diri, begitu juga jawapan dan penampilan diri mereka.

The Artist Versi Warna

Posted: 03 Mar 2012 09:07 PM PST


 
PASUKAN The Artist, (dari kiri) Thomas Langman, Dean Dujardin, Michael, James Cromwell, Berenice, Penelope dan Missy Pyle.



FILEM The Artist yang menggondol banyak trofi pada Academy Awards ke-84 baru-baru ini sebenarnya dirakam dalam versi berwarna. Versi itu merupakan pilihan kedua penerbit The Artis, Thomas Langmann, jika dia berubah fikiran untuk menghasilkan naskhah itu dalam versi warna.

"The Artist tidak dibikin secara hitam-putih dari lokasi sebaliknya ia ditukar ke bentuk hitam-putih semasa proses suntingan," jelas Mark Bridges yang menerima trofi kostum terbaik.

Isnin lalu, filem Perancis itu memenangi lima anugerah utama termasuklah Aktor Terbaik (Jean Dujardin) serta Pengarah Terbaik (Michel Hazanavicius).

Kemenangan itu menjadikan The Artist filem bisu kedua yang memenangi Oscar pada majlis Academy selepas filem Wings pada 1929.

Penerbit The Artis, Thomas Langmann mengesahkan bahawa tidak akan ada versi warna untuk The Artist.

"Ia dihasilkan dalam filem berwarna disebabkan oleh kemungkinan-kemungkinan. Filem itu tidak akan diterbitkan dalam versi warna," jelas Thomas kepada wartawan di belakang pentas.

Farhan mahu nyanyi lagu saduran

Posted: 03 Mar 2012 09:04 PM PST

 
FARHAN yang bertunang pada 12 Februari lalu merancang untuk keluar dengan sebuah album yang mengandungi lagu-lagu saduran klasik.

JARANG-JARANG sekali wajah ini muncul di tempat umum mahupun di kaca televisyen. Farhan sangat selektif dalam mempamerkan dirinya. Tunangan Ahmad Rashdan Shuhaimi itu sempat bercerita tentang hasrat hatinya yang sudah lama disimpan ketika ditemui Sensasi Bintang baru-baru ini.

"Saya tahu ada yang kata saya tenggelam timbul. Hakikatnya, banyak persembahan peribadi dan tidak ditayangkan di kaca televisyen. Saya juga sibuk dengan aktiviti pertanian yang merupakan bisnes famili," Farhan Azizan, membuka cerita.

Ramai yang rindu dengan suaranya yang unik, penyanyi yang lahir daripada program Akademi Fantasia musim keempat ini meluahkan rasa untuk mengeluarkan sebuah single dalam waktu terdekat.

"Saya merancang untuk keluar dengan single dan juga sebuah album dengan grup saya sendiri. Saya mahu mainkan balik lagu-lagu lama yang diberi nafas baharu," ujarnya yang banyak bergerak dengan grupnya yang dinamakan Jari's & The Fingers.

Mahu mengangkat lagu-lagu lama seperti lagu nyanyian Zain Azman dan Zahara Agus, Farhan melihat lagu-lagu saduran sudah lama tidak dinyanyikan oleh penyanyi generasi baharu. Bagi Farhan, lagu-lagu sebeginilah yang menjadi pilihan dan dendangannya setiap kali membuat persembahan dan dia mendapat pujian ramai atas usahanya itu.

"Saya perlu ubah persekitaran. Ada yang berpendapat sesetengah genre atau lagu pada era tertentu hanya didengar oleh golongan atasan. Tetapi saya rasa para pendengar sekarang sudah bijak dan dapat menerima pelbagai genre," terangnya yang mahu membentuk persekitaran di mana setiap lagu dapat diterima oleh pelbagai lapisan.

Mahu mengetengahkan semula lagu-lagu klasik yang kini semakin tenggelam, Farhan yang sejak kecil bergelumang dengan lagu-lagu lama menyedari tugasnya untuk mengangkat semula khazanah industri seni ini. Malah penyanyi manis ini juga pernah berkesempatan menyanyi bersama beberapa penyanyi lama seperti Vina Panduwinata.

"Saya berhasrat melancarkan album berkenaan pada tahun depan," terang Farhan merasakan lagu-lagu lama adalah legenda dan boleh menaikkan taraf muzik Malaysia.

Merancang untuk keluar dengan lagu-lagu saduran yang merangkumi lagu klasik, bosa, jazz serta keroncong, Farhan akan turut memastikan imej yang dibawanya 'masuk' dengan nyanyiannya.

"Saya gemarkan stail yang bersih dan kemas. Orang kata nampak nerd. Dengan stail begini, saya dapat bawa sama mood nyanyian saya kepada khalayak," ujar si peminat Sade dan Noorkumalasari ini.

Fenomena Bunohan

Posted: 03 Mar 2012 08:55 PM PST


 CERIA penuh kelegaan. Itu reaksi semua pelakon termasuklah (dari kiri) Zahiril, pengarah Bunohan, Dain Said, Faizal Hussein dan Pekin Ibrahim pada sidang akhbar selepas tayangan malam gala Bunohan di TGV,KLCC, Rabu lalu.



CERITA dari mulut ke mulut, paparan media dan sembang dalam laman sosial menjadi rujukan utama mengukur tahap keterujaan pencinta filem Bunohan. Reaksi positif serta pujian melambung daripada penggiat industri, para selebriti, peminat filem dan dunia seni memberi petanda, bahawa karya Dain Said akan menjadi satu fenomena.

Menemui penonton pada malam gala yang berlangsung 29 Februari lalu, tidak keterlaluan kalau Bunohan dikatakan mencetus 'demam filem', satu perkara yang jarang berlaku kepada industri perfileman tanah air. Mungkin ia pernah berlaku kepada filem epik Puteri Gunung Ledang (PGL), tetapi kehangatan PGL tidak setanding Bunohan memandangkan ketika itu, Facebook dan Twitter tidak wujud seperti hari ini.

Dalam ratusan tweet yang menjadikan Bunohan mencapai trending popular, Adibah Noor pula menulis: "Belajarlah dan tontonlah Bunohan."

Sebelum disaksikan sendiri sekelompok penonton termasuk pihak media yang dalam senarai jemputan, Bunohan terlebih dahulu dipanaskan oleh penghormatan orang filem dari luar negara.

Ia mendapat penghormatan apabila dijemput mengisi tayangan perdana antarabangsa pada Festival Filem Antarabangsa Toronto, September lalu. Menyusul pada Oktober 2011, Bunohan mendapat diangkat sebagai penerima Anugerah Netpac (Rangkaian Promosi Filem Asia) di Festival Filem Taipei Golden Horse.

Mendapat kontrak pengedaran di bawah syarikat pengedaran antarabangsa, Universal Pictures, terbaru Bunohan diberi sanjungan pula tayangan perdana di Eropah sempena Festival Filem Antarabangsa Rotterdam (IFFR) yang berlangsung Januari lalu.

Pencapaian-pencapaian itu cukup untuk membakar kesedaran umum, khususnya peminat filem tempatan untuk berkobar-kobar menunggu tayangan Bunohan di tanah air sendiri. Ia dilabel bukan sembarangan filem Melayu kerana jauh keluar dari kepompong filem Malaysia.

Ulasan Bunohan terlebih dulu ditulis media luar negara dan tersiar dalam portal ulasan hiburan antarabangsa seperti Variety.com dan The Hollywood Reporter. Menariknya, ia berjaya mendapat penilaian yang sangat positif manakala Faizal Hussien yang membawa watak pembunuh upahan mendapat jolokan Jack Palance Malaysia oleh John Anderson dalam Variety.com.

Pengarah tersohor, U-Wei Saari turut memuji Bunohan, katanya: "Bunohan sebuah filem yang hebat, saya bangga dengan Dain."

Dalam tinjauan sebuah laman kaji selidik mengenai trending popular di Twitter, Topsy.com menyenaraikan sejak 30 hari lalu, trending Bunohan mencapai sebanyak 67 halaman sehingga petang Jumaat lalu.

WAN HANAFI SU, menyentuh emosi sebagai bapa yang uzur serta mempunyai sejarah hitam dalam keluarganya.


Tidak termasuk luahan-luahan yang diulang tweet, trending Bunohan dibicarakan lebih 1,000 kali oleh pemilik akaun Twitter.

Menuju beberapa hari sebelum tayangan pada 8 Mac ini, Bunohan didefinisikan ramai sebagai filem tempatan yang akan membuka mata dunia. Mengangkat martabat filem Melayu yang selama ini jarang diberi perhatian sejagat.

Bunohan berkisarkan penipuan, pengkhianatan dan perhubungan kekeluargaan yang disemarak oleh darah dan mitos. Tiga beradik, Ilham seorang pembunuh upahan, Adil peninju Muay-Thai serta Bakar seorang guru yang masing-masing ada haluan berbeza. Ia digerakkan lakonan cemerlang oleh pelakon berkaliber termasuklah Faizal Hussien, Zahiril Adzim, Bront Palarae, Pekin Ibrahim, Namron, Shoffi Jikan serta Wan Hanafi Su.

Azhan dibenci 12 dara sunti

Posted: 03 Mar 2012 08:49 PM PST

MUKA bengis menjadikan Azhan Rani popular dalam sekelip mata. Watak antagonis yang dibawanya tidak pernah gagal malah sentiasa membuatkan hati peminat mahu meludah mukanya. "Agaknya memang muka saya dilihat sesuai dengan watak sebegitu tapi sebagai pelakon, saya mahu rasa dan cuba pelbagai watak.

"Kebelakangan ini ramai yang mendakwa saya comel kerana bawa karakter komedi," kata Azhan.

Memacu nama dari pentas teater, populariti Azhan tidaklah meledak akibat sensasi atau kontroversi. Perlahan-perlahan dia mendaki nama sebagai aktor berpengaruh.

"Saya belum kenal erti kontroversi, saya juga tidak tahu bagaimana rasanya bila ditimpa kontroversi, tapi saya boleh katakan, saya sangat selesa dengan situasi sekarang. Banyak ruang terbuka untuk saya.

"Tawaran (berlakon) tahun ini berganda. Alhamdulillah, jadual saya sibuk sampai pertengahan tahun nanti," katanya enggan berlebih-lebih.

Baru selesai di lokasi drama bersiri Cinta Dalam Hati, Azhan bersedia menghantui penonton dengan Amukan Pocong yang bakal disiarkan mulai 15 Mac ini di TV3.

"Saya kini merindui manusia, sudah hampir sebulan asyik jadi hantu, rutin hidup saya pun sudah macam hantu, siang tidur dan malam berjaga, sudah tak normal," katanya berseloroh.

Seronok dibungkus watak pocong, Azhan tidak kesal jika ada pandangan mentafsir drama seram, khususnya hantu pocong sebagai klise.

"Ini drama kedua saya mainkan watak seram, sebelum ini dalam drama Sumpahan Orang Minyak, ini pertama kali saya jadi pocong. Ia mungkin klise bagi orang lain tapi tidak buat saya. Saya seronok menerokai dunia hantu itu sendiri.

"Pocong selalunya dilihat berbalut kain kapan dan melompat-lompat, tapi ia berlainan kali ini," ujarnya yang melakonkan watak Long Husin yang bertukar menjadi pocong akibat penangan ilmu hitam.

Satu fakta yang menarik, sepanjang 13 episod, hanya pada episod permulaan sahaja dia menjadi manusia. Dia tidak akan berdialog, memberi reaksi mahupun tampil sebagai manusia sehingga ke akhir cerita.

"Orang kata sesiapapun boleh jadi pocong, tapi itulah cabarannya. Setiap kali masuk ke lokasi, saya kena tadah muka lebih sejam untuk disolek jadi hantu. Bukan itu sahaja, kalau tidak tahan berbungkus sementara menunggu babak berikutnya, balutan di badan kena dirungkai dan dibalut semula. Kerjanya memenatkan tapi saya sangat seronok.

"Saya kena rogol 13 orang anak dara sunti tapi malangnya, semua anak dara itu tidak sukakan saya bahkan ada yang tidak sempat pun untuk berborak panjang di lokasi," cerita Azhan yang sangat mengagumi tenaga serta kreativiti pihak produksi yang diterajui oleh Aidilfitri Mohamad Yunos yang bertindak sebagai pengarah.

Selain Azhan, Amukan Pocong turut membariskan lakonan mantap Ezany, Iqram Dinzly, Neelofa, Nabila Huda, Farlyna Idris, Sharifah Sakinah, Elly Mazlein, Namron, Siti Elizad dan Liza Abdullah.

No comments: