Saturday 3 March 2012

Budak Technician

Budak Technician


Chantek - 2012 (PPVRip Mediafire)

Posted: 02 Mar 2012 12:23 AM PST



http://www.imdb.com/title/tt2203761/

Release Date: 16 Februari 2012 | Country: Malaysia | Language: Malay | Genres: Romance,Comedy | Subtitle: English Hardsub | Size: 350MB Mkv,240MB Rmvb,700MB Avi | Quality: PPVRip

Zahiril Adzim Terpaksa Tahan Diterajang

Posted: 01 Mar 2012 08:58 PM PST


Pelakon, Zahiril Adzim, 28, akui terpaksa menahan sakit selepas disepak dan terajang ketika melakonkan watak Adil sebagai peninju atau tomoi dalam filem Bunohan.

Bukan mudah untuk mendapatkan hasil yang terbaik dan memuaskan, Zahiril Adzim berkata dia terpaksa menahan sakit itu selama dua bulan menjalani latihan sebelum memulakan penggambaran filem arahan Dain Said.

"Saya rasa sangat mencabar apabila membawa watak sebagai seorang peninju kerana saya perlu belajar cara tumbukan yang betul walaupun hanya melakonkannya.

"Ini kerana sebagai pengarah, Dain mahu lakonan saya nampak realistik dan tak mahu menggunakan apa juga camera trick sekalipun.

"Malah, Dain juga mahu saya nampak kuat dan bertenaga ketika melakonkan aksi meninju ini. Disebabkan itulah saya telah mengalami beberapa kecederaan serta kesan-kesan lebam di badan.

"Memang sakit sangat tapi saya berasa puas dengan hasilnya," katanya yang ditemui selepas tayangan perdana filem Bunohan yang berlangsung di TGV Cinema, KLCC.

Selain Zahiril Adzim filem yang telah ditayangkan di Amerika Utara itu turut dibintangi beberapa pelakon hebat lain seperti Faizal Hussein, Bront Palarae, Pekin Ibrahim, Wa Hanafisu, Soffie Jikan dan ramai lagi.

Bukan sahaja menjalani latihan meninju, dalam masa dua bulan itu juga pelakon filem Tolong Awek Aku Pontianak ini juga telah memasuki kelas bertutur dalam bahasa dan loghat Kelantan untuk digunakan dalam dialog filem tersebut.

Bagi menumpukan sepenuhnya kepada kedua-dua latihan tersebut, Zahiril akui dia terpaksa menolak beberapa tawaran berlakon ketika itu.

"Saya rasa banyak pengorbanan yang saya lakukan untuk filem ini.

"Saya juga tak kisah untuk menolak tawaran lakonan lain demi menumpu sepenuhnya kepada Bunohan.

"Tidak tahu kenapa, tetapi waktu itu saya dapat rasakan yang karya ini boleh pergi jauh dan terbukti filem ini pun sudah diangkat di Amerika Utara.

"Saya juga percaya dengan karya yang diangkat oleh pengarah Dain. Kerana dia adalah antara orang seni yang menjadi idola saya,"jelasnya lagi.

Filem yang sudah ditayangkan di Amerika Utara dalam sebuah tayangan perdana sempena Festival Filem Antarabangsa Toronto 2011'itu bakal menemui penonton tanah air bermula 8 Mac ini.

Bunohan mengisahkan nasib tiga bersaudara yang terpisah dan membawa haluan masing-masing, di mana Adil lakonan Zahiril Adzim memperjuangkan sukan Tomoi, Ilham (Fazal Hussein) sebagai pembunuh upahan dan Bakar (Pekin Ibrahim) sebagai seorang ahli perniagaan yang licik. -murai-

Aaron Aziz Tubuh Yayasan Kanak-kanak Terbiar

Posted: 01 Mar 2012 08:52 PM PST


Tersentuh dengan nasib kanak-kanak terbiar, pelakon kacak, Aaron Aziz, berhasrat untuk memiliki yayasannya sendiri bagi memberi perlindungan kepada golongan kurang bernasib baik.

Niat tersebut telahpun lama diimpikan Aaron Aziz dan kini dia bersyukur kerana langkah untuk merealisasikannya sudah mula direncanakan.

"Saya tersentuh apabila melihat kanak-kanak terbiar tanpa tempat perlindungan.

"Sudah lama saya simpan hasrat tersebut dan pada mulanya saya tergerak hati untuk membina masjid untuk mereka.

"Apabila difikirkan semula, lebih elok sekiranya saya membina yayasan yang mana boleh dijadikan tempat mereka berlindung," katanya kepada portal murai.com.my mengenai impian murninya itu.

Menyambung perbualan, kata pelakon utama filem Ombak Rindu itu lagi, proses perbincangan dengan pihak yang berkaitan telahpun dimulakan.

"Proses untuk membangunkan yayasan ini telahpun mula digerakkan secara perlahan.

"Saya telah mengadakan perbincangan dengan orang yang sewajarnya dan kini saya berharap agar perkembangannya kelak lebih positif dan dapat direalisasikan dalam masa yang ditetapkan,"katanya yang membesar tanpa kasih sayang ayahnya setelah meninggal dunia ketika dia berusia setahun.

Beralih perbualan kepada kerjaya seninya, Aaron berkata, buat pertama kalinya peminat kelak dapat melihat sisi lain dirinya apabila dia berduet bersama artis naungan syarikatnya sendiri iaitu Aaron Aziz Production, iaitu kumpulan Sleek.

Bukan bermaksud mahu menjadikan bidang tersebut sebagai keutamaan, kata Aaron tindakannya itu dilakukan sebagai satu penghargaan buat keluarganya.

Menariknya, apabila dia sendiri menulis lirik buat lagu Salam Semua yang ditujukan kepada isteri serta anak-anaknya.

"Saya tulis lirik lagu itu yang menceritakan pengorbanan saya dalam merealisasikan impian untuk bergelar pelakon.

"Berjauhan dengan keluarga serta kesusahan yang saya lalui sebelum mengecapi apa yang ada pada hari ini.

"Apa yang istimewa, saya turut selitkan juga nama anak-anak saya supaya mereka gembira apabila mendengar nama mereka dinyanyikan oleh ayah sendiri,"katanya. -murai-

Harga Minyak Naik Lagi

Posted: 01 Mar 2012 08:22 PM PST



Harga minyak melonjak tinggi hari ini susulan ketegangan ke atas pengeksport minyak mentah utama dunia, Iran dan peningkatan positif data ekonomi China serta Amerika Syarikat (AS).

Kontrak utama New York bagi penghantaran minyak mentah jenis light sweet pada April depan ditutup AS108.84 setong meningkat AS$1.77, Rabu lalu.

Di London, minyak mentah jenama Brent North Sea bagi penghantaran April depan melonjak AS$3.54 kepada AS$126.20.

"Peningkatan harga minyak mentah digunakan bagi menjana keuntungan…dengan keadaan Iran sekali lagi dilihat sebagai pemacu pasaran utama dunia," kata penganalisis di Institut Penyelidikan Kewangan Sucden, Jack Pollard. – AFP

Ahli Gusti Pecah Satu Buah Zakar

Posted: 01 Mar 2012 08:16 PM PST

INDIANA – Seorang bekas ahli gusti profesional mengemukakan saman terhadap lawannya kerana menyepak bahagian sulitnya terlalu kuat hingga menyebabkan satu buah zakarnya pecah hingga terpaksa dibuang.

John Levi Miller, 23, turut mengemukakan saman terhadap promoter yang mengatur perlawanan mereka tahun lalu.

Malah, Miller mendakwa, lawannya itu sepatutnya kalah kepadanya di gelanggang mengikut persetujuan sebelum perlawanan tetapi bertindak sebaliknya ketika bertarung.

Dalam samannya, Miller mendakwa Clinton Woosley adalah 'heel', takrif merujuk kepada orang yang sudah dipilih untuk kalah dalam perlawanan itu Jun lalu, lapor akhbar The Courier-Journal di Louisville, Kentucky.

Katanya, Woosley yang menggunakan nama Guido Andretti ketika bergusti menolak permintaannya supaya mereka merancang pertarungan seperti biasa
dilakukan sebaliknya menyatakan sudah faham dan akan berakhir seperti dirancang.

Bagaimanapun, Woosley cuba menang perlawanan mereka dan membuat sepakan kuat ke bahagian sulitnya, kata Miller.

Menurut maklumat laman web gusti, Miller dilaporkan sebagai seorang ahli gusti muka baru WWE yang menggunakan nama 'The Playboy J-Millz.'

Peguam Miller, Larry Wilder dari Jeffersonville, memberitahu akhbar bahawa anak guamnya meletakkan ais pada bahagian sulitnya selepas pulang daripada perlawanan dengan Woosley.

Oleh kerana keadaan tidak semakin baik, Miller mengunjungi hospital keesokannya apabila doktor memutuskan untuk membuang buah zakar sebelah kanannya yang pecah.

Promoter perlawanan, Sam Cosby, pemilik 'Coliseum Championship Wrestling' yang menaja pertarungan menyifatkan keterangan Miller tidak benar.

Katanya, Miller menang perlawanan itu seperti yang dirancang dan tidak memberitahu mengalami sebarang kecederaan.

"Dia tidak pula mengadu apa-apa," kata Cosby. – Agensi

Nabil (Raja Lawak) Pindah Rumah Sebelah Pejabat

Posted: 01 Mar 2012 08:09 PM PST

Nabil.


KUALA LUMPUR: Penyampai radio Suria FM, Ahmad Nabil Ahmad atau Nabil (Raja Lawak) mengambil keputusan berpindah ke lokasi berdekatan pejabat Suria FM di Tropicana City Office Tower, Damansara dekat sini bagi memudahkannya bergerak ke stesen radio itu seawal pukul 5 pagi.

Nabil berkata, walaupun tidak mempunyai masalah bangun pada waktu pagi, keputusan itu dibuat bagi memudahkannya untuk memulakan tugas pada pukul 6 pagi.

"Rumah saya betul-betul bersebelahan dengan pejabat Suria FM dan setiap pagi saya hanya turun berjalan kaki ke pejabat yang mengambil masa tidak sampai lima minit," ujarnya kepada mStar Online.

Nabil ditemui ketika menghadiri majlis makan malam bersama Rafflesia The Pearl Centre bersempena meraikan pemenang yang pernah merangkul trofi Bintang Paling Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) di sini pada malam Rabu.

Tambahnya, tindakannya itu adalah salah satu usahanya untuk tidak memberi alasan kepada pihak pengurusan sekiranya dia terlambat.

"Selain menjadi penyampai radio saya turut ada penggambaran drama atau filem yang memakan masa agak lama. Jadi untuk mengelakkan saya lambat adalah lebih baik berpindah tinggal berdekatan pejabat.

"Tambahan pula ada kondominium yang betul-betul bersebelahan dengan bangunan terletaknya Suria FM itu," ujarnya.

Dalam pada itu, Nabil berkata dia semakin selesa bergelar penyampai radio dan banyak mempelajari perkara baru daripada dua rakan gandingannya iaitu Halim Othman dan Kenchana Dewi.

"Saya dan Kenchana banyak bekerjasama kerana kami sama-sama baru dalam bidang radio. Mendapat tunjuk ajar daripada penyampai senior seperti Halim, Linda dan yang lain-lain adalah satu pengalaman yang berharga.

"Tidak ketinggalan penerbit saya Wan Shahrul Amry yang banyak memberi idea-idea dalam memastikan program itu terus mendapat sambutan di kalangan pendengar," katanya.

Nabil bersiaran setiap dari hari Isnin hingga Jumaat dari pukul 6 pagi sehingga 10 pagi dalam slot Breakfast@Suria. -mstar-

Tengku Azura Hanya Berlakon Untuk Dain Said

Posted: 01 Mar 2012 08:08 PM PST

Tengku Azura


KUALA LUMPUR: Satu-satunya pelakon wanita dalam filem Bunohan, Tengku Azura Awang, 37, menegaskan dia hanya akan berlakon sekiranya tawaran membintangi sesebuah karya datang daripada pengarah Dain Said.

Azura berkata, walaupun lakonan bukan bidang kariernya, dia menerima tawaran Dain atas dasar kawan selain selesa bekerjasama dengan pengarah berpengalaman itu.

"Memang kami sudah lama berkenalan. Malah, saya ada berlakon untuk beberapa babak dalam filem Dukun, arahannya.

"Bukannya mahu berlagak Diva atau sombong, tetapi saya akan hanya berlakon jika ia datangnya daripada Dain. Harap-harap pihak lain tidak salah anggap tentang pendirian ini," katanya yang pernah berlakon drama Mr.Bendul ketika berusia 19 tahun.

Bertanyakan apakah sebabnya dia menerima watak Mek Yah, yang memerlukan dia berwajah kotor, selain perlu berendam di dalam paya, beritahu Azura penggambaran filem itu dijalankan di Terengganu yang juga negeri kelahiran ibu dan bapanya.

"Lokasi penggambaran yang dijalankan sebenar telah membangkitkan nostalgia apabila kawasan kampung Payang pernah didiami ibu dan nenek saya.



"Selain itu, wataknya juga sangat mencabar di mana saya perlu bergelumang dengan lumpur dan lintah. Mula-mula geli juga, tapi lama-lama, saya menjadi seronok dengan apa yang dilalui.

"Bukan itu sahaja, saya juga harus berdepan dengan arus sungai yang deras," ujarnya.

Bagaimanapun, beritahu Azura, dia bukannya terlalu serius dalam menceburi bidang lakonan dan memandangkan usianya sudah terlewat untuk bergelar sebagai seorang pelakon, ibu kepada dua orang anak iaitu Adam Mustaqim, 16, dan Ilyas Ammar, 9, ini sekadar mahu mencabar sejauh mana kemampuan diri.

Dalam pada itu, dia juga bersyukur kerana mempunyai keluarga yang sentiasa menyokong setiap karier yang dilakukannya. -mstar-

Jamal Abdillah Pikat Setiausaha Dengan Lagu Cinta

Posted: 01 Mar 2012 08:06 PM PST

 
Jamal memilih pendekatan itu sebagai menyuntik elemen segar dan kelainan dalam persembahannya nanti.


KUALA LUMPUR: Penyanyi Jamal Abdillah merancang untuk memikat golongan setiausaha menerusi dendangan lagu-lagu cinta dan romantik pada persembahan Minggu Setiausaha, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 3 April depan.

Jamal berkata dia memilih pendekatan itu sebagai menyuntik elemen segar dan kelainan dalam persembahannya pada kali ini.

"Saya jamin persembahan pada kali ini pasti berbeza daripada mana-mana persembahan nyanyian saya sebelum ini.

"Untuk memikat para setiausaha yang hadir nanti, saya akan bawa lagu-lagu cinta dan beramah mesra dengan mereka," katanya.

Jamal ditemui pada sidang media Minggu Setiausaha di PWTC, di sini, petang Khamis.

Majlis berkenaan akan berlangsung pada tarikh berkenaan bermula pukul 12 tengah hari hingga 3 petang di Dewan Merdeka, PWTC.

Bercerita lanjut, Jamal berkata dia akan menyampaikan rangkaian lagu medley yang terdiri daripada lagu-lagunya yang jarang dipersembahkan di depan khalayak.

"Persembahan itu nanti akan merangkumi kira-kira 12 set lagu, di mana dalam kebanyakan set akan ada lagu-lagu medley.

"Selama ini, ramai peminat mengeluh apabila saya tidak dapat menyampaikan lagu-lagu kegemaran mereka.

"Jadi pada kali ini saya akan memperbanyakkan lagu-lagu medley supaya dapat saya nyanyikan sebanyak lagu yang mungkin," katanya.
 
Jamal Abdillah bersama Isma (AF), pemain seksofon Alif Nasir (paling kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif PWTC Datuk Maxson Abdullah (paling kanan).


Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif PWTC, Datuk Maxson Abdullah H. Jaafar, berkata pemilihan Jamal adalah berdasarkan popularitinya sebagai penyanyi berpengalaman dan versatil.

"Kami memilih Jamal Abdillah untuk Minggu Setiausaha PWTC atas permintaan para pelanggan yang menghadiri Hari Ibu di sini pada tahun lalu. Kami percaya sambutan Minggu Setiausaha pada tahun ini akan berjaya," katanya.

Selain Jamal, majlis tersebut turut menampilkan pemain saksofon, Alif Nasir dan penyanyi Isma (AF) selaku pembuka tirai.

Ia akan diacarakan oleh pengacara komedi terkenal, Dee.

Persembahan selama satu jam itu akan diiringi lima pemuzik yang diketuai Pengarah Muzik, Abdul Fatah (Belle).

Meja-meja yang berharga RM500++, RM2,000++ dan RM3,000++ kini boleh ditempah di kaunter tempahan di Aras 2, PWTC atau hubungi 03-2614 6701 atau 03-2614 6702.

Pada majlis tersebut, PWTC turut menyediakan hadiah-hadiah berupa dua tiket penerbangan pergi balik ke destinasi pilihan sumbangan Etihad Airways, penginapan hotel dan resort di Malaysia, barangan elektrik dan cenderahati tajaan Kumpulan Media Karangkraf. -mstar-

Stephen Rahman Belajar Asal Usul Melalui Album Pertama

Posted: 01 Mar 2012 08:03 PM PST



KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Stephen Rahman Hughes mengakui dapat mengenali dan mempelajari mengenai asal usulnya sebagai seorang Melayu semasa proses rakaman album pertamanya.

Stephen berkata, penerbitan album yang dibuat sepenuhnya dalam bahasa Malaysia itu telah mengubah dirinya dan ingin mempelajari lebih lanjut mengenai sisi lain terutamanya dari segi bahasa.

"Walaupun sebelum ini saya tidak dibesarkan dan tidak mendapat pendedahan dalam budaya Melayu tetapi saya cukup bertuah dapat mempelajari sisi lain mengenai diri saya menerusi album ini.

"Budaya Melayu dan bahasanya cukup indah dan sejujurnya saya berbangga dengan darah Melayu yang mengalir dalam badan saya," ujarnya kepada mStar Online.


Stephen ditemui selepas majlis Pelancaran album pertamanya yang berjudul "Stephen Rahman Hughes" di sini pada Khamis.

Tambahnya, walaupun tidak mahir bertutur dalam bahasa Malaysia dia tidak mahu menjadikan itu sebagai satu alasan dalam menghalangnya untuk terus 'mencari' dirinya sebagai seorang Melayu.

"Saya masih dalam proses mempelajari dan memperbaiki kebolehan bahasa saya dan setiap kali berada di sini ia seperti menjadi mudah untuk saya.

"Dan saya sentiasa gembira dapat kembali ke Malaysia kerana saya tahu negara ini juga adalah sebahagian daripada saya," ujarnya.

Turut hadir pada majlis itu adalah mentornya, penerbit dan pelakon Datin Seri Tiara Jacquelina.

Dalam pada itu, Stephen memberitahu dia seronok semasa merakamkan album tersebut dan ia adalah pengalaman berharga buat dirinya kerana berjaya menghasilkan sebuah album berbahasa Melayu.

Dia berharap para peminatnya dapat menerima album sulungnya itu sebagai tanda terima kasih kerana sentiasa menyokongnya kerjayanya.

Katanya, walaupun agak sukar untuk menyebut perkataan bahasa Malaysia dengan betul namun berkat tunjuk ajar dari rakan-rakan dia berjaya melakukannya.

"Lagu-lagu yang saya terima sungguh indah melodi dan liriknya dan begitu menyentuh hati saya.

"Saya seronok ketika melalui proses rakaman ini walaupun mengalami masalah bahasa tetapi berkat kesungguhan dan bantuan dari orang sekeliling, saya berjaya melakukannya," ujarnya.

Tambahnya, dia tidak sabar untuk kembali ke negara ini pada April depan untuk mengadakan persembahan khas untuk para peminatnya di sini.

Sementara itu, Stephen memberitahu menerusi album terbitan Sony Music Malaysia itu, dia berpeluang bekerjasama dengan komposer seperti Azlan Abu Hassan, Audi Mok, Kevin Chin dan Andre Dinuth.

Album tersebut memuatkan lapan buah lagu baru berkonsepkan pop Melayu dengan suntikan pop rock, pop alternatif dan balada.

Ditanya mengenai pemilihan pop Melayu sebagai konsep album, Stephen berkata selain ia mesra pendengar genre itu membuatkan dia lebih dekat dengan peminat di Malaysia.

"Saya boleh merakamkan album jaz atau "broadway" tetapi ia tidak akan memikat pendengar kerana ia adalah sesuatu yang biasa dilakukan. Saya mahu album ini menjadi sesuatu yang dekat dengan peminat," ujarnya.

Bakal dipasarkan di Singapura dan Brunei, album tersebut turut memuatkan sebuah lagu menampilkan penyanyi bersuara lantang Jaclyn Victor menerusi lagu Hati Berbisik.

Antara lagu lain di dalam album tersebut adalah Sejuta Rasa, Di Ribaan Cinta, Bertemu Di Syurga, Bawalah Aku, Cinta Masih Ada, Expresi dan Ku Lepas itu telah pun berada di pasaran sejak 16 Disember tahun lalu.

Debaran Perkahwinan Elly Mazlein

Posted: 01 Mar 2012 08:00 PM PST



PENYANYI yang kini namanya lebih menyinar sebagai seorang aktres, Elly Mazlein bakal bergelar isteri pada pertengahan Disember ini lewat beberapa bulan daripada tarikh rancangan asal iaitu sekitar Februari ini.

Mungkinkah Elly dan tunang, seorang pengarah drama serta filem, Azmi Hata, 37, menunda tarikh perkahwinan mereka sehingga hujung tahun kerana tidak mahu berkongsi tumpuan dengan beberapa artis lain yang turut dijadual melangsungkan perkahwinan pada tahun ini?

Menjawab persoalan itu, Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlin Syed Hanafi, 31, ketika ditemui pada pelancaran drama Amukan Pocong di Sri Pentas TV3, Bandar Utama, Petaling Jaya baru-baru ini memberitahu kesibukan jadual kerja punca majlis perkahwinan mereka terpaksa ditunda sehingga Disember depan.

"Memang, ketika majlis pertunangan kami memberitahu ingin bernikah pada bulan Februari ini tetapi itu hanya rancangan kami sahaja belum ada sebarang kata putus lagi.

"Disebabkan kedua-dua kami sangat sibuk dengan kerja, tarikh nikah dan majlis perkahwinan dibawa ke bulan Disember.

"Sebenarnya pada 17 Disember merupakan hari lahir saya tetapi disebabkan itu merupakan hari biasa, saya akan buat pada hari Sabtu kerana ramai saudara-mara jauh tidak dapat hadir kalau saya buat hari biasa. Tidak dapat nikah pada hari lahir, nikah pada bulan lahir sahaja pun okey juga," katanya.

Masih belum menetapkan sebarang tarikh pernikahan, jelas Elly bulan April akan diperuntukkan untuk membuat persiapan sepenuhnya majlis perkahwinan.

"Tarikh tetap belum ada tetapi apa yang boleh saya cakap sekitar pertengahan bulan Disember. Saya sudah berbincang dengan abang Azmi.

"Bulan April kami harus meluangkan masa untuk melakukan persiapan seperti berjumpa pereka fesyen dan perunding perkahwinan serta bermacam-macam lagi perkara yang harus diselesaikan," ungkapnya yang akan menggunakan pakaian rekaan Eilla Faizshah dari Busana Cinta untuk majlis bersejarahnya.

Jika mengimbas semula majlis pertunangannya yang berlangsung di Dewan Berjaya, Bukit Kiara Equestrian Resort, Kuala Lumpur pada Jun lalu, ramai yang terpegun dengan majlis serba mewah itu. Malah Elly siap menaiki kereta kuda menuju ke dewan majlis.

Pastinya majlis pernikahan serta perkahwinannya lebih hebat daripada majlis pertunangan, barangkali mahu menjadi perkahwinan yang terbaik di kalangan artis.

Tertawa dengan kenyataan itu tutur Elly: "Saya bukan ingin berlawan dengan sesiapa dan bermewah-mewah tetapi perkahwinan merupakan perkara paling bersejarah dalam hidup saya, sudah tentu saya mahu yang terbaik.

"Saya juga ada impian tetapi tidaklah sampai berhabis duit semata-mata untuk sebuah majlis perkahwinan. Saya ingin sebuah majlis perkahwinan yang saya dan tetamu yang hadir boleh kenang sampai bila-bila."

Akui Elly yang sudah tidak sabar untuk bergelar isteri, dia amat menyukai nombor satu, justeru itu dia bakal menerima wang hantaran sebanyak RM11,111,11.

"Jumlah wang hantaran itu tidak ada sebarang simbolik, cuma saya memang sukakan nombor satu," luahnya sambil tersenyum manis.

Bersih kontroversi

Sepanjang lima tahun sebelum ini, nama Elly Mazlein tidak pernah kering daripada kontroversi. Bercinta dengan VVIP, berkahwin secara senyap-senyap dan menjadi isteri kedua, ketiga orang kenamaan antara gosip yang membabitkannya.

ELLY bakal muncul dengan dua single baharunya yang berjudul masing-masing Please Forgive Me dan Kata Saja I Love You.



Namun, sejak bertunang dengan duda yang mempunyai dua anak lelaki, Azam, 11, dan Aqif, 10, hasil perkahwinan pertamanya itu, nama Elly kembali bersih dan suci daripada sebarang kontroversi.

"Gosip dan segala kontroversi itu sudah kecoh lima tahun dahulu. Bagi saya itu adalah normal apabila menjadi anak seni kerana gosip itu perkara biasa.

"Cerita saya hanya dikaitkan dengan suami orang, saya tidak ada sebarang masalah berkenaan hal itu. Saya mengambil keputusan untuk bertunang dan bernikah kerana sudah tiba masanya bukannya mahu menutup kontroversi.

"Sekarang, saya tidak sabar menunggu untuk bergelar isteri dan berharap ikatan pertunangan kami akan berakhir dengan pernikahan," katanya penuh harapan.

Kembali menyanyi

Selepas sekian lama menyepi daripada dunia seni suara dan memberi fokus kepada dunia lakonan, Elly kini sudah bersedia untuk membuat kemunculan semulanya sebagai penyanyi dalam tahun ini juga.

Bakal muncul dengan dua buah single masing-masing berjudul Please Forgive Me dan Kata Saja I Love You ciptaan sepenuhnya oleh komposer Julfekar, Elly yakin dengan langkahnya apabila kedua-dua lagu itu dipilih sebagai lagu tema untuk dua buah filem yang belum ditayangkan.

"Walaupun kedua-dua lagu ini belum disiarkan di radio, saya rasa bertuah kerana lagu Please Forgive Me telah dipilih sebagai lagu tema untuk filem Awan Dania The Movie, manakala lagu Kata Saja I Love You terpilih untuk filem Aku Kau & Dia, terbitan Tayangan Unggul Sdn. Bhd..

"Buat masa ini biarlah saya muncul dengan dua buah lagu single sahaja dahulu, jika ada rezeki mungkin saya akan muncul dengan sebuah album penuh tetapi saya tidak boleh berjanji," balasnya.

Tidak hanya menyanyikan lagu ciptaan Julfekar kerana Elly turut mengikat kontrak selama setahun sebagai artis naungan di bawah syarikat milik komposer itu.

"Kenapa pilih lagu Julfekar, bagi saya lagu-lagunya segar dan saya suka dengan melodinya. Lagipun saya dan dia sudah kenal lama, saya juga selesa dengan cara kerjanya," katanya.

Gambar Terbaru Anak Mawi dan Ekin - Cahaya Malaika

Posted: 01 Mar 2012 07:55 PM PST

 
MAWI teruja dengan kehadiran anaknya, Cahaya Malaika yang bermaksud Cahaya Permaisuri.

PERASAAN gembira dan bersyukur menimang cahaya mata pertama tidak dapat diluahkan dengan kata-kata, begitu yang diluahkan oleh penyanyi Asmawi Ani atau Mawi saat ditemu bual menerusi telefon petang semalam.

Menyifatkan kehadiran cahaya mata sulungnya yang diberi nama Cahaya Malaika pada tanggal 28 Februari lalu sebagai satu rahmat buat dia dan isterinya, Ekin. Mawi memberitahu kehidupannya kini lebih bermakna dan tenang selepas kehadiran bayi yang seberat 2.8 kilogram itu.

Kosmo!: Tahniah Mawi dengan kelahiran cahaya mata pertama. Bagaimana perasaan dan pengalaman menjadi bapa buat pertama kali?

MAWI: Alhamdulillah, terima kasih di atas semua ucapan tahniah yang diberikan buat kami sekeluarga. Perasaan saya sukar diungkap, ia adalah satu perasaan yang tenang. Tentang pengalaman pertama menjadi bapa pula, saya rasa seperti orang sedang jatuh cinta. Saya tidak boleh melepaskan pandangan daripada dia dan asyik teringat dia walaupun sedang melakukan pekerjaan lain. Ia adalah satu pengalaman yang menyeronokkan.



Anda berani memegang Cahaya Malaika dan menguruskan dia seperti menukar lampin pakai buang?

Jujurnya memang belum berani nak pegang lama-lama sebab dia kecil. Saya juga belum cuba menukar lampin pakai buang dia. Tapi saya mendokong dan asyik nak tengok muka dia.

Apa erti nama Cahaya Malaika dan siapa yang memilih nama itu?

Kami pilih bersama-sama selepas enam bulan Ekin hamil. Sebenarnya ada beberapa nama lain juga, tapi akhirnya kami sepakat memilih nama Cahaya Malaika yang bermaksud Cahaya Permaisuri.

Boleh ceritakan sedikit debaran sewaktu bakal bergelar bapa semasa Ekin dikejarkan ke bilik bersalin?

Sangat berdebar. Saya berada di dalam bilik bersalin dan menyaksikan proses bagaimana isteri saya melahirkan anak kami. Ekin melakukan teknik induce (sedut bayi) namun ia berlaku dengan pantas. Alhamdulillah, saya yang memotong tali pusat anak saya. Apa yang saya boleh katakan selepas melihat proses isteri saya bersalin adalah wanita memang seorang fighter (pejuang)!. Saya rasa semua suami patut masuk ke bilik bersalin dan menyaksikan bagaimana perjuangan serta pengorbanan seorang isteri saat melahirkan zuriat.

Sudah terfikir untuk menambah ahli keluarga lagi?

Belum lagi sebab buat masa ini, saya dan Ekin harus memahami konsep hidup bertiga pula iaitu dengan seorang bayi. Mungkin selepas kami sudah stabil atau memahaminya, barulah boleh memikirkan tentang tambah ahli keluarga. Namun buat masa ini fokus memang diberi kepada Cahaya Malaika.

Ada perancangan untuk mengadakan kenduri potong jambul?

Ada, tapi semua masih dalam perbincangan.

Lama anda bercuti daripada kerja?

Insya-Allah saya akan mula bekerja semula pada 10 Mac ini. Jadi sepanjang minggu ini, kerja saya adalah tengok anak. - MALIAH SURIP

Israel bina pusat perlindungan bom

Posted: 01 Mar 2012 07:17 PM PST

 
SEORANG pengawal keselamatan membuka sebuah pintu kecemasan di kawasan meletak kenderaan di bawah tanah yang diubahsuai menjadi sebuah pusat perlindungan bom di Habima, Tel Aviv kelmarin.


TEL AVIV, Israel – Israel membina sebuah pusat perlindungan bom di bawah bangunan sebuah plaza dekat Teater Kebangsaan Habima di sini.

Kerja-kerja bagi membina pusat perlindungan itu kini memasuki peringkat terakhir.

Pusat perlindungan itu mempunyai tempat tinggal untuk lebih 1,600 orang.

Ia merupakan sebahagian daripada infrastruktur pertahanan di sini.

Pusat perlindungan itu mempunyai sistem penapisan bagi memastikan orang ramai yang berlindung masih dapat menghirup udara yang tidak tercemar walaupun terdapat satu serangan kimia.

Ia dibina sebagai sebahagian daripada kerja-kerja pengubahsuaian sebuah bangunan pawagam yang siap dilakukan pada lewat tahun lalu.

Jurucakap Kementerian Pertahanan, Roi Flyshman berkata, pusat perlindungan itu amat canggih.

Pusat perlindungan itu merupakan tempat meletak kereta bawah tanah yang telah diubahsuai.

"Sejumlah tempat meletak kenderaan di negara ini boleh menjadi pusat perlindungan dan kami akan mencontohi pembinaan pusat perlindungan bom itu," katanya.

Ketua Pengarah Pusat Perubahan Sourasky di sini, Gabi Barbash berkata, sebuah tempat meletak kereta bawah tanah boleh diubah menjadi sebuah wad kecemasan dengan 1,000 buah katil dalam tempoh 48 jam.

Pusat perlindungan bom itu dibina ketika timbul spekulasi bahawa Israel akan menyerang Iran ekoran isu program nuklear. – Agensi

Surat Khalifah Abu Hafs kepada Pope dipamerkan

Posted: 01 Mar 2012 07:15 PM PST

 
SEPUCUK surat daripada Khalifah Abu Hafs dipamerkan di Capitol Hill, Rom kelmarin.

ROM, Itali - Sepucuk surat daripada Khalifah Abu Hafs Umar al-Murtada dari Maghribi kepada Ketua Gereja Roman Katolik, Pope Innocent IV dipamerkan di sini kelmarin.

Surat itu bertarikh 10 Jun 1250 dari Marrakesh, Maghribi. Abu Hafs memerintah sebahagian kawasan di Maghribi dari tahun 1248 sehingga 1266 Masihi.

Surat tersebut merupakan sebahagian dokumen yang dipamerkan pada pameran Arkib Rahsia Vatican yang diadakan di Capitol Hill, Rom.

Pameran itu dibuka kepada orang awam bermula semalam dan akan berakhir pada September depan.

- Agensi

Detik cemas seorang gadis mahu bunuh diri

Posted: 01 Mar 2012 07:13 PM PST

 
TIGA anggota polis menarik kaki dan tangan seorang gadis yang mahu membunuh diri dengan terjun dari tingkat 32 sebuah bangunan di Changsha pada Isnin lalu.

CHANGSHA, China - Seorang gadis berusia 24 tahun gagal untuk membunuh diri dari sebuah bangunan selepas anggota-anggota polis berjaya menggagalkan rancangannya untuk terjun dari tingkat 32 di sini pada Isnin lalu.

Tangan, kaki dan paha gadis tersebut yang memakai seluar panjang ditarik masuk ke dalam sebuah tingkap di tingkat 32 bangunan itu oleh beberapa anggota polis.

Insiden yang berlaku lebih tiga jam itu bermula selepas gadis itu bertinggung di atas simen yang terdapat di atas sebuah tingkap.

Gadis itu mahu membunuh diri kerana dia tidak mempunyai pekerjaan dan kekasih manakala anggota keluarganya kerap menengkingnya. - Agensi

Pengecas bateri berkuasa air untuk telefon bimbit

Posted: 01 Mar 2012 06:52 PM PST

 
SEBUAH pengecas FC PowerTrekk (kiri) berada di tepi sebuah telefon bimbit yang dipamerkan pada Kongres Telefon Bimbit Sedunia di Barcelona kelmarin.


BARCELONA, Sepanyol - Sebuah firma Sweden, MyFC mengeluarkan pengecas bateri berkuasa air yang boleh digunakan untuk mengecas telefon bimbit seperti iPhone di luar rumah.

Pengecas itu menukarkan air menjadi tenaga elektrik.

Ia yang dikenali sebagai FC PowerTrekk amat berguna kepada pengembara, pekerja bantuan dan anggota tentera.

Ketua Eksekutif MyFC, Bjorn Westerholm berkata, pengecas itu boleh menggunakan air laut dan air tawar. - Agensi

No comments: