Monday 23 January 2012

Budak Technician

Budak Technician


Komik Ombak Rindu Edisi 7 - Episod Aci Sembunyi

Posted: 21 Jan 2012 05:56 PM PST


Ombak Rindu, filem genre cinta yang secara di luar dugaan mendapat sambutan yang sangat hangat dengan jumlah kutipan filem Ombak Rindu lebih dari RM10juta dari peminat filem tempatan, telah menjadi bualan semua. Di bawah merupakan komik parody filem Ombak Rindu yang dipetik dari babak dari filem Ombak Rindu itu sendiri. Babak ketika Maya Karin dan Aaron Aziz sedang main kejar-kejar di pantai yang berbatu. Jom kita tengok! Memang lawak komik Ombak Rindu ni.




Komik Ombak Rindu Edisi1 Keluaran Melayukini.net
Nantikan Edisi 8

Komik Ombak Rindu Edisi 6 - Episod Sedih Tengok TV

Posted: 21 Jan 2012 05:51 PM PST

 
Ombak Rindu, filem genre cinta yang secara di luar dugaan mendapat sambutan yang sangat hangat dengan jumlah kutipan filem Ombak Rindu lebih dari RM10juta dari peminat filem tempatan, telah menjadi bualan semua. Di bawah merupakan komik parody filem Ombak Rindu yang dipetik dari babak dari filem Ombak Rindu itu sendiri. Babak ketika Maya Karin sedang bersantai menonton televisyen bersama kucing kesayangannya. Jom kita tengok! Memang lawak komik Ombak Rindu ni.





Komik Ombak Rindu Edisi1 Keluaran Melayukini.net
Nantikan Edisi 7

Gambar Luar Biasa Proses Burung Membuat Sarang Dengan Tanah

Posted: 21 Jan 2012 05:38 PM PST


Pernahkah anda melihat bagaimana seekor burung membuat sarang menggunakan tanah? Satu artikel dipetik dari Melayukini.net akan membawa beberapa gambar yang pasti membuatkan anda teruja untuk melihat. Seekor burung yang boleh dikatakan sebagai arkitek luar biasa, berusaha bersungguh-sungguh untuk menyiapkan sarangnya dari mula sehinggalah ia siap sepenuhnya. Di bawah merupakan proses luar biasa yang disebut. Jom!

Pasangan kekasih Facebook mengaku berzina

Posted: 21 Jan 2012 05:29 PM PST


DUBAI: Seorang pembantu rumah dan pekerja binaan dihadapkan ke mahkamah semalam kerana berzina di kediaman majikan pembantu rumah itu selepas jatuh cinta menerusi Facebook.

Amah warga Filipina berkenaan dan buruh rakyat Pakistan itu mengaku berkenalan menerusi laman sosial terbabit "Selepas bersembang selama dua minggu menerusi Facebook, dia memberi alamat majikannya dan membantu saya memasuki rumah itu. Kami mengadakan seks di sana," kata warga Pakistan berusia 23 tahun itu yang dikenali di mahkamah sebagai IA.

Kegiatan mereka didedahkan oleh tukang masak di rumah berkenaan yang melihat IA keluar dari bilik tidur amah berkenaan, NS, pada awal pagi.
NS, 27, dalam kenyataan kepada mahkamah mengaku melakukan seks dua kali dengan kekasih Facebooknya itu. - GN

Berkahwin dengan mayat kekasih

Posted: 21 Jan 2012 05:19 PM PST

DEFF menyarungkan cincin pada jari mayat kekasihnya.

PATTAYA: Satu majlis pahit manis yang diadakan baru-baru ini menandakan permulaan dan perpisahan sepasang kekasih yang sudah sekian lama bercinta.

Dalam kisah cinta yang memilukan dan juga aneh, seorang lelaki Thai menganjurkan upacara pengebumian dan juga perkahwinan serentak untuk teman wanitanya yang mati mengejut sebelum mereka dapat berkahwin secara rasmi.

Lelaki berkenaan ialah Chadil Deffy yang juga dikenali sebagai Deff Yingyuen, pengarah sebuah stesen televisyen di timur laut Thailand.

Sepanjang 10 tahun lalu, dia hanya memberi tumpuan terhadap hasrat untuk menyambung pelajaran dan kariernya selepas menamatkan pelajaran di Universiti Timur Asia, tempat dia berkenalan dengan Sarinya 'Anne' Kamsook.


Selepas jatuh cinta di universiti itu dan tinggal bersama selama 10 tahun, Anne memutuskan untuk berkahwin. Namun, hasratnya tertunda kerana Deff mahu memastikan kariernya kukuh dulu tetapi berjanji untuk mengahwini kekasihnya itu.

Tetapi Anne mati pada 3 Januari selepas terbabit dalam kemalangan. Deff yang kesal kerana tidak sempat untuk menunaikan janji, akhirnya mengambil keputusan berkahwin pada hari pengebumian Anne, kelmarin.

Anggota keluarga dan rakan dijemput menerusi Facebook untuk menghadiri majlis perkahwinan dan sekali gus upacara pengebumian di sebuah kuil di Surin.

Dengan berpakaian tuxedo pada majlis itu, Deff yang kelihatan sedih, menyarungkan cincin pada jari mayat Anne selepas dikahwinkan oleh seorang sami baru, yang mengikut tradisi penganut Buddha Thai, boleh menjamin perkahwinan yang berkekalan.

Pada majlis itu, mayat Anne dipakaikan dengan pakaian serba putih dan diletakkan diatas papan.

Selepas menyarungkan cincin, Deff mencium tangan dan dahi pengantin perempuan, disaksikan oleh anggota keluarga. - Agensi

Jangan cabar rezeki Allah - Anuar Zain

Posted: 21 Jan 2012 05:17 PM PST


SEKIAN lama menanti, bingkisan keempat yang dihasilkan istimewa buat pengikut setia, akhirnya berada di pasaran 19 September lalu. Diserikan dengan lapan lagu iaitu Ku Berjanji Kerna Cinta, Nadi Terhenti, Ajari Aku, Pernah­kah, Simpati Cintamu, Sempurnakan Aku, Terindah dan Cinta Harus Memiliki, album yang mengekalkan namanya sebagai judul, terjual 9,000 unit pada minggu pertama di pasaran.

Sehingga kini, album diterbit­kan sendiri melalui syarikatnya, Anuar Zain Network Sdn Bhd, terus mendapat permintaan tinggi dari kedai muzik seluruh negara dan penyata jualan akan diperolehi dalam waktu terdekat.

Anuar berkata, album ini berbeza daripada buah tangan terdahulu kerana kali ini lagu yang diketengahkan semuanya berentak perlahan. Meskipun ada yang merungut apabila ti­ada lagu rancak, Anuar berpuas hati dengan apa yang dipersembahkan menerusi album ini.

"Dua tahun saya mencari lagu rancak tetapi tidak bertemu. Semua komposer bagi lagu perlahan kerana kata mereka, itu lebih cocok untuk suara saya. Sepatutnya ada 10 lagu tetapi disebabkan dua tempat lagu rancak tidak diisi dan kebetulan pula kos pembikinan lebih daripada sepatutnya, maka saya putuskan terbitkan saja apa yang ada.


"Album ini istimewa di mana lagu dan susunan muziknya berbeza daripada album lain. Ia mencapai piawai yang saya letakkan malah cara nyanyian kali ini lebih lurus selepas mengambil kira itu yang peminat mahu. Bagi saya, lagunya boleh buat pendengar rasa senang dan tenang.

"Alhamdulillah setakat ini saya dapat maklum balas positif peminat malah ada antara mereka beli lima hingga 10 keping. Insya-Allah, jika ada rezeki merakamkan album lagi nanti saya akan selitkan lagu rancak.

"Saya akan terus mempromosikan album ini dan sedang berbincang dengan Universal Music di mana mereka juga akan turut membantu. Saya mahu lebih banyak lagu dalam album ini jadi single. Sebelum ini Berjanji Kerna Cinta dan Cinta Harus Memiliki diperde­ngarkan sebagai single dan lagu seterusnya adalah Simpati Cintamu ciptaan Hazami," katanya.

Dalam pada itu, Anuar me­ngakui rasa ralat dengan dengan permainan politik radio apabila tidak semua stesen terbuka apabila artis menghulurkan lagu supaya diputarkan. Lebih parah, ada yang memberikan alasan kononnya tidak boleh memainkan lagu berkenaan kerana ia sudah ke udara di stesen pesaing.

"Ada stesen yang tidak menghormati hak artis apabila sesuka hati memutarkan lagu yang mereka pilih. Isu ini bukan baru. Cukup menyedihkan apabila wujud 'politik' ini. Orang-orang ini tidak hormat pada insan yang berkarya.

"Setiap artis dan syarikat rakaman ada strategi dan cara masing-masing apabila menerbitkan album baru. Mereka tahu lagu mana yang perlu dimainkan di radio kerana mereka yang tetapkan konsep album. Mereka pasti ada sebab mengapa pilih sesebuah lagu.

"Di Malaysia sudah terbalik, stesen radio yang pilih lagu. Sepatutnya mereka yang bertugas di stesen radio menghormati artis dan syarikat rakaman, bukannya kacau perancangan yang sudah orang buat.

"Apabila bercakap mengenai industri muzik bukan pasal TV, media atau radio tetapi me­ngenai artis, lagu dan kreativiti. Bukan niat saya mahu provok, jauh sekali kurang ajar tetapi perkara ini harus ditegakkan. Jangan wujudkan senario yang tidak perlu kerana ia hanya merosakkan industri.

"Cara tidak sihat ini akan membunuh industri. Kalau artis luar, bukan main lagi mereka besar-besarkan. Apa yang diberi terus diterima tetapi lain pula layanan mereka terhadap artis tempatan.

"Sepatutnya, artis dan radio kena bekerjasama dan ada tolak ansur. Perlu ingat, tanpa artis pincanglah radio, begitu juga sebaliknya. Oleh kerana itu tolong hormat penat lelah artis, jangan sesekali sekat rezeki orang. Kalau tutup satu pintu rezeki orang, perlu ingat 10 pintu rezeki kita akan tertutup.

"Rezeki semua datang dari Allah jadi janganlah sekat. Berilah layanan yang baik kepada artis tempatan tidak kiralah yang baru mahupun lama," katanya.

Tahun ini, Anuar juga akan menjayakan Minggu Setia­usaha di Kuala Lumpur Convention Centre pada 10 April depan dan di Persada Johor Bahru (17 April) selain bakal menghiburkan ibu-ibu dalam persembahan eksklusif di Kuala Lumpur sempena sambutan Hari Ibu pada Mei nanti.-metro-

Pil hormon rosakkan hati, hempedu

Posted: 21 Jan 2012 05:14 PM PST

KUALA LUMPUR: Pengambilan suntikan dan pil yang dikhaskan untuk wanita secara berlebihan oleh golongan mak nyah untuk menghasilkan kulit lembut, licin dan gebu sepanjang masa boleh menjejaskan kesihatan, merosakkan hati serta menyebabkan batu karang hempedu.

Pakar Sakit Tuan, Dr Ismail Thamby berkata, masalah itu berkemungkinan berlaku jika pengambilannya dihentikan atau tidak dilakukan secara konsisten.

"Setahu saya, pil dan suntikan ini mampu bertahan sekurang-kurangnya seminggu dan selepas itu perlu diambil semula. Jika tidak diteruskan, kulit kembali seperti asal iaitu menjadi kasar serta tumbuh misai atau janggut.

"Jika diambil terlalu banyak pula boleh menyebabkan individu menjadi mual, loya dan muntah. Pengambilan pil ini turut menjejaskan kesihatan dan boleh merosakkan hati serta menyebabkan batu karang hempedu," katanya ketika dihubungi.

Katanya, keinginan menjadi perempuan sejati tidak menghalang mereka mendapatkan produk berkenaan meskipun harganya mahal iaitu kira-kira RM5,000 sebulan, selain perlu diambil sepanjang hayat bagi mengekalkan kecantikan kulit.

"Apabila terlalu obses pada kecantikan dan naluri perempuan yang menebal dalam diri, mereka sanggup lakukan apa saja meskipun berisiko tinggi. Demi mendapat apa yang diidamkan, wang bukan masalah besar.

"Bagaimanapun, pil dan suntikan yang diambil mestilah mendapat kelulusan doktor terlebih dulu dan ia tidak boleh diambil tanpa pengawasan kerana takut menjejaskan hormon dalam badan," katanya.

Zizan ‘lamar’ Kaka

Posted: 21 Jan 2012 05:05 PM PST

BERGANDING... Zizan, Kaka berduet dalam Bawaku Pergi.

SELEPAS duetnya dengan Dina menerusi lagu Selamat Tinggal, rezeki Zizan Raja Lawak dalam dunia nyanyian tidak terhenti di situ saja. Zizan atau nama sebenar, Mohd Razizan Abdul Razak kembali dengan Bawaku Pergi selepas single Anggun.

Kali ini Zizan berganding dengan artis baru yang berbakat dan bermodalkan suara serak-serak basah, Nor Atiqa Noor Azraff atau Kaka.

Ternyata tawaran Zizan bagaikan pucuk dicita ulam mendatang kerana inilah peluang keemasan untuknya memperkenalkan diri sebagai pendatang baru dalam industri muzik tanah air.

Zizan mengakui jatuh cinta dengan Bawaku Pergi garapan sepenuhnya Malique (Too Phat) sebaik saja kali pertama mendengarnya kerana ia lagu yang mudah menangkap pendengaran.

"Saya tertarik dengan lagu ini kerana ia sedap pada pendengaran saya. Muzik yang disuntik dalam lagu itu sangat ringan dan tidak menyakitkan kepala mahupun telinga pendengar. Muziknya tidak terlalu berat dan lirik pula mudah difahami, sesuai untuk pasangan bercinta.

"Kemudian saya mula berfikir dan mencari-cari artis yang boleh dijadikan gandingan untuk menyanyikan lagu ini. Kemudian saya teringat Kaka, ramai memberikan maklum balas dia mempunyai suara sedap dan unik," kata Zizan menceritakan permulaan gandingannya dengan Kaka.


Walaupun sudah menghasilkan tiga single, Zizan berkata, belum tiba masanya dia menyanyikan lagu itu secara solo, apatah lagi pada masa sekarang ini tuntutan lagu yang diberikan semuanya memerlukan dia berkolaborasi dengan orang lain.

"Saya lihat ramai penyanyi baru hadir dalam industri dan rasanya tidak salah jika saya memilih artis baru yang belum mempunyai naskhah untuk dipersembahkan kepada umum. Tambahan pula vokal dimiliki Kaka mempamerkan kelebihan ketika menyanyikan lagu itu.

"Mungkin belum tiba masanya saya menyanyikan lagu seorang diri kerana suara saya bukannya sedap sangat untuk menyanyi solo. Lagipun, saya lebih suka 'rapping', sebab itu saya memerlukan orang lain untuk menyanyikan bahagian korus.

"Namun jika saya mendapat lagu yang sesuai untuk saya nyanyikan seorang tanpa bantuan orang lain, saya akan cuba bawa lagu itu sebaik mungkin. Bagaimanapun, bukan dalam masa terdekat," katanya.

Menjejaki gadis berusia 23 tahun itu bukan susah, tambahan pula Kaka mempunyai talian persaudaraan dengan penyanyi terkenal. Zizan berjaya mendapatkan nombor telefon Kaka daripada rakan dan tanpa berlengah, membuat panggilan pada jam 3 pagi.

Tidak mahu membuang masa, panggilan Zizan berbalas dan dia meminta Kaka bertemu dengannya di stesen minyak sekitar Damansara. Zizan kemudian menyuruh Kaka menyanyikan empat lagu sebelum memintanya ke studio rakaman.

Kaka mengaku terkejut pada mulanya apabila mendapat panggilan daripada Zizan pada jam 3 pagi. Bagaimanapun, dia tidak rasa 'cuak' kerana yakin memang Zizan yang menelefonnya.

"Pada mulanya, Zizan memang buat perangai gila dia, kemudian baru dia menyuarakan tujuan sebenarnya membuat panggilan awal pagi. Saya memang minat Zizan dan saya sangat teruja apabila dia menawarkan saya menjadi pasangan duetnya untuk single terbarunya," katanya.

Mula menyanyi ketika berusia lapan tahun, Kaka yang menguruskan kerjaya sendiri mahu fokus terlebih dulu kepada projek kolaborasi dengan Zizan sebelum membuat kerja lain.

Agak berdebar-debar dengan reaksi pendengar nanti, Kaka berharap kemunculannya dalam industri boleh diterima dan peminat dapat menyokong perjalanan kerjayanya.

"Sebagai orang baru, saya risau dengan penerimaan orang ramai. Namun saya akan membuat yang terbaik supaya mereka dapat melihat bakat yang saya miliki.

"Bekerja dengan Zizan dan Malique sangat mudah kerana pertama kali merakam lagu di studio, banyak perkara yang perlu saya pelajari, namun mereka tidak pernah penat memberikan tunjuk ajar.

"Tambahan pula Zizan suka buat lawak, membuatkan semua orang tidak tertekan dan dapat bekerja dengan santai dalam suasana tenang.

"Seronok bekerja dengan mereka dan tidak ada pengalaman pahit pun," kata Kaka mengenai pengalamannya merakam lagu itu selama seminggu pada Disember tahun lalu.

Mengenai kaitannya dengan penyanyi 'rock' terkenal, Kaka enggan bercerita panjang kerana tidak mahu dikatakan menumpang populariti ibu saudaranya.-metro-

Susuk tubuh menggiurkan 'wanita jadian'

Posted: 21 Jan 2012 05:01 PM PST

 JADIAN...sekali pandang, sukar membezakan Nell dengan wanita ‘tulen’.
JADIAN...sekali pandang, sukar membezakan Nell dengan wanita 'tulen'. 

KUALA LUMPUR: Lelaki yang mahu mencari pasangan kini perlu lebih berwaspada supaya tidak terpilih 'wanita jadian'. Ini kerana dengan kos RM70,000, seseorang lelaki boleh bertukar menjadi wanita, malah ada kalanya lebih 'jelita' dan memiliki susuk tubuh lebih menggiurkan berbanding kebanyakan perempuan tulen.

Kos itu termasuk melakukan pembedahan menukar alat sulit, membesarkan payudara dan pelbagai rawatan susulan.

Ia lebih murah berbanding sebelum ini sekurang-kurangnya RM100,000 diperlukan hanya untuk melakukan dua pembedahan terpenting itu.

Perkara itu diakui Kis, 28, atau lebih mesra panggilan Nell dalam satu temu bual dengan wartawan Metro Ahad, baru-baru ini.

Sekali pandang, raut wajah, fizikal dan perwatakan Nell tidak ubah seperti wanita terutama di bahagian payudara apabila 'saiznya' boleh menimbulkan perasaan cemburu di kalangan kaum Hawa.

Berasal dari ibu kota, Nell mendakwa Thailand, Taiwan dan Singapura menjadi pilihan golongan sepertinya kerana memiliki kemudahan serta kepakaran melakukan pelbagai pembedahan diperlukan dari hujung jari ke rambut.

"Kalau 10 tahun lalu RM100,000 diperlukan untuk melakukan pembedahan alat sulit dan payudara, kini dengan hanya RM15,000, kedua-dua pembedahan penting itu boleh dilakukan.

"Justeru, tidak hairan kini makin sukar untuk membezakan mak nyah dengan wanita tulen kerana majoriti kami memiliki segala 'aset' mereka," katanya.
Nell berkata, selain payudara, dia menjalani beberapa pembedahan lain seperti dahi, rahang, dagu dan kening untuk kelihatan lebih cantik.

Setakat ini, katanya, dia menghabiskan hampir RM60,000 sepanjang melalui proses berkenaan dan hanya tinggal dua langkah lagi untuk melengkapkannya iaitu membuang alat sulit dan mencantikkan hidung.

"Jumlah itu tidak termasuk kos pembedahan, sebaliknya merangkumi segala aspek iaitu penjagaan, kelengkapan, aksesori seperti pakaian, alat solek, salun dan pelbagai lagi.

"Seperti wanita, saya menyediakan bajet khas RM1,000 sebulan untuk kos penjagaan diri bagi memastikan sentiasa cantik," katanya.

Dia berkata, antara ketiga-tiga negara terbabit, Thailand menjadi pilihan kerana selain memiliki ramai doktor pakar, ia turut menawarkan kos paling murah.

Katanya, untuk pembedahan membuang alat sulit, kos minimum sebanyak RM8,000 ditawarkan manakala payudara sekitar RM3,500.

"Ramai mak nyah, termasuk saya, memilih Thailand kerana kos untuk pergi ke sana juga murah dan mudah. Bagi pembedahan alat sulit, hanya bahagian batang dibuang.

"Buah zakar pula dimasukkan ke bahagian dalam. Melalui teknologi moden menggunakan kaedah 'kikis' (laser), sukar melihat kesan jahitan selepas pembedahan, sekali gus payah membezakannya dengan yang asli," katanya.

Nell berkata, perbezaan yang boleh dilihat hanya alat sulit mak nyah yang melakukan pembedahan berada atas sedikit berbanding kedudukan sebenar.

Bagaimanapun, katanya, satu-satunya perkara yang tidak boleh diubah ialah alat kelamin 'baru' berkenaan tetap mengeluarkan air mani apabila mencapai klimaks.

Mengenai risiko pembedahan membuang alat kelamin, dia mengakui ada beberapa kesan sampingan yang perlu ditempuhi.

"Kesan jangka pendek ialah menjadi pelupa dan pemikiran tidak normal. Biasanya dalam tempoh beberapa bulan pertama, mereka rasa terasing daripada masyarakat luar dan berada dalam dunia sendiri.

"Perkara ini dialami semua rakan saya yang menjalani pembedahan terbabit. Bagi jangka panjang pula, masalah biasa dihadapi ialah tekanan jiwa, terutama apabila usia semakin lanjut," katanya.

Bagi memiliki payudara montok mengalahkan wanita, katanya, beberapa cara boleh dilakukan dan ia tidak semestinya melalui pembedahan.

Katanya, cara paling mudah dan tidak menyakitkan ialah melalui pengambilan pil dan suntikan hormon yang boleh didapati di kebanyakan farmasi seluruh negara.

"Pil perancang keluargaturut diambil bagi memiliki payudara sempurna. Ini menyebabkan kulit mereka menjadi halus dan cantik serta membesarkan bahagian dada," katanya.

Bagi yang mahukan kesan lebih cepat, mereka mengambil beberapa suntikan hormon.

Nell berkata, selepas mencuba pil dan suntikan, dia akhirnya nekad melakukan pembedahan pada 2009 kerana ia kaedah terbaik bagi memiliki payudara cantik seperti tulen.

"Saya menjalani pembedahan silikon dan ia juga pembedahan pertama dilakukan saya.

"Saya melakukannya di sebuah klinik di Thailand dengan bayaran RM3,500.

"Selain silikon, pembedahan lain boleh dilakukan ialah melalui pemasangan implan dan 'salt water'.

"Risiko pembedahan itu ialah perlu mendapatkan rawatan segera jika mengalami masalah kerana selain boleh menyebabkan kecacatan kekal, ia membahayakan nyawa," katanya.

Anak ketiga daripada lima beradik ini berkata, seperti wanita, mak nyah yang menjalani pembedahan transformasi keseluruhan tidak akan berhenti setakat itu saja dalam usaha menjadi cantik.

Nell mendakwa memiliki naluri wanita secara semula jadi sejak kecil dan merasai pengalaman pertamanya seawal usia 10 tahun.

"Saya kali pertama diliwat pada usia 10 tahun oleh seorang jiran.

"Namun ia bukan secara paksaan kerana saya memang menyukainya.

"Apapun, pengalaman pertama saya 'bermesra' dengan kaum sejenis dialami setahun sebelum itu bersama sepupu. Namun pada masa itu kami hanya 'ringan-ringan'," katanya. -metro-

Spice Girls Bakal Muncul Di Olimpik London 2012

Posted: 21 Jan 2012 04:57 PM PST



KUMPULAN wanita yang pernah menjadi kegilaan ramai satu ketika dahulu, Spice Girls, bakal mengadakan persembahan membuat kemunculan 'reunion' pada acara pembukaan sukan Olimpik London 2012.

Menurut laporan portal Music_news, salah seorang ahlinya, Mel B yang mencadangkan untuk bertemu kembali pada acara tersebut dan telahpun meyakinkan rakan-rakannya seperti Geri Halliwell, Mel C, Emma Bunton dan Victoria Beckham.

"Ini merupakan peluang besar untuk tampil di hadapan penonton seluruh dunia dan pastinya kerinduan para peminat terhadap persembahan mereka akan terubat.

"Saya percaya para atlit terbaik dunia juga mahukan hiburan daripada Spice Girls sebagai tanda menaikkan semangat mereka," kata sumber kepada Music_News.

Pada tahun lalu, Mel C yang merupakan peminat sukan olahraga pernah berkata Olimpik London adalah masa yang sangat sesuai untuk kumpulannya muncul di pentas pembukaan acara itu.

"Mengadakan persembahan pada acara sukan yang berprofil besar itu adalah satu idea yang menarik. Saya harap kami berlima benar-benar dapat mengadakan 'reunion' di sana," tuturnya. -mstar-

Aliff Aziz Kini Menetap Di KL

Posted: 21 Jan 2012 04:56 PM PST



KUALA LUMPUR: Penyanyi Singapura, Mohammad Aliff Aziz atau Aliff Aziz, 20, telah membuat keputusan untuk menetap di Kuala Lumpur (KL) agar dapat memberi fokus sepenuhnya terhadap karier seninya di industri tempatan.

Aliff berkata, hasrat untuk berpindah sudah lama dirancang tetapi dia perlu menghabiskan program khidmat negara di Singapura selama dua tahun.

"Sejak muncul dengan album pertama, saya banyak melakukan aktiviti seni di Malaysia dan rasanya adalah lebih baik untuk saya berpindah agar segala urusan berjalan dengan mudah.

"Bagaimanapun, saya tetap akan berulang alik ke Singapura kerana keluarga masih di sana. Apabila kerjaya sudah stabil, saya akan membawa mak dan ayah pula untuk menetap di sini," katanya yang ditemui pada majlis ulang tahun budiey.com di pusat hiburan Zouk, di sini, Sabtu.

Tambah Aliff, dia juga bakal muncul dengan album ketiga pada bulan Mac depan dan pelancaran album yang masih belum diberi judul itu akan diadakan di Malaysia.

"Dari mula lagi saya sebagai penyanyi, peminat-peminat di Malaysia telah banyak menyokong karier saya. Bagaimanapun ini tidak bermakna saya lupakan terus tentang industri muzik di Singapura.

"Cuma di sini, industrinya lebih luas lagi berbanding di Singapura. Justeru itu, saya dan syarikat rakaman Warner Music, akan melancarkan album baru saya itu di KL," ujarnya.

Beritahu Aliff, album berkenaan akan memuatkan sebanyak tujuh buah lagu yang dihasilkan oleh komposer-komposer terkenal seperti panji, Jimi (Sofaz) dan Azlan Abu Hassan dan akan membuat rakaman dalam masa terdekat ini.

"Untuk album ketiga ini, saya masih mengekalkan genre pop dan istimewanya, lagu-lagu yang dimuatkan lebih ke arah konsep 'easy listening' tetapi dengan nyanyian yang lebih matang.

"Sebelum ini, walaupun telah sudah mempunyai dua album, para peminat hanya tahu dua buah lagu sahaja iaitu Sayang Sayang dan Kalau Cinta. Ktika itu juga saya masih lagi mencari identiti diri dalam nyanyian lagu.

"Dan itu satu pengajaran untuk diri saya untuk memilih lagu yang sesuai bagi album ketiga ini," tuturnya.

Dalam pada itu, kata Aliff dia juga tidak keberatan andaikata ditawarkkan untuk berlakon kerana turut meminati bidang tersebut.

Malah Aliff sudah pun memulakan lakonan pertamanya menerusi drama berjudul Antara Kita yang akan ditayangkan di saluran TV2 tidak lama lagi. -mstar-

Janda Hattan dianiaya

Posted: 21 Jan 2012 04:53 PM PST

LAPORAN polis terhadap kejadian godam e-mel dan blog juga dibuat Farah.

PADA mata khalayak, Farah Othman pernah dikenali sebagai janda Hattan. Perkahwinan dan kebahagiaan yang dibina bersama penyanyi lagu Biso Bonar itu hanya mampu bertahan 63 hari sahaja. Dinikahi pada tarikh cantik 11 November 2011, talak satu kemudian jatuh ke atas usahanita berjaya itu pada tarikh 12 Januari 2012 di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Impak perpisahan dengan jangka perkahwinan pendek itu benar-benar menimpa Farah Ashikin. Dia terpalit pelbagai spekulasi yang memberi kesan kepada diri dan kerjayanya. Bertemu Farah di butik Amir Luqman yang merupakan rakan kongsinya, Farah meminta ruang untuk menerangkan spekulasi yang bergerak dalam atmosfera percakapan khalayak. Malah, ibu kepada dua orang anak ini juga sempat memberitahu tentang onar yang menimpa dirinya.

"Pertama sekali saya mahu membetulkan spekulasi yang menyatakan Hattan ceraikan saya kerana gambar saya yang disiarkan di Internet. Itu tidak ada kena mengena. Perpisahan ini lebih kepada tiada jodoh dan persefahaman," ujar pengarah urusan Into Equity ini dan menegaskan bahawa perkahwinannya dan Hattan mendapat restu keluarga.

"Saya rasa keadaan sekarang sangat tough. Saya perlu bersuara. Ya, saya akui gambar yang disebarkan adalah gambar saya. Salah tetap salah tetapi gambar itu adalah gambar lima tahun dahulu. Saya perlu bersuara sebab beberapa blog memainkan isu saya dan saya anggap tidak relevan," ujar Farah yang menganggap tidak adil gambarnya disebarkan sedangkan dia bukanlah seorang selebriti.

"Saya juga ingin membetulkan bahawa saya tidak pernah diceraikan talak tiga seperti yang pernah diuar-uarkan. Saya meletakkan nyawa saya kepada perkahwinan itu dan saya jujur terhadap perkahwinan," sambungnya yang bersikap optimistik dalam menjalani rencah kehidupan kini.

"Saya ada maruah dan saya ada keluarga. Saya sangat melindungi anak-anak saya. Bila tersebar gambar berkenaan memang saya malu dan reputasi saya jatuh," luahnya yang kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

Lebih penting lagi dalam pertemuan bersama Farah, penekanan diberikan kepada penganiayaan siber yang menimpa dirinya.

Bukan baru berlaku pada tahun ini tetapi penggodam tersebut telah memasuki ruang e-mel Farah dan menambah kandungan dalam e-mel serta kemudian melayangkan kepada setiap data yang berada dalam e-mel tersebut. Malah kandungan tambahan tersebut dimasukkan ke dalam blog milik Farah.

Pertama kali melakukan laporan polis pada 2010, laporan akhbar tentang penganiayaan tersebut turut muncul dalam akhbar Malay Mail pada September 2010.

Selepas mengahwini penyanyi Hattan, kejadian tersebut berulang malah bekas suaminya itu pernah menemaninya membuat laporan polis sekali lagi sebelum mereka berlepas ke London pada Disember lalu.

Melihat situasi ini sebagai satu cubaan menjatuhkan maruah dan reputasi dirinya sebagai usahanita, Farah menjelaskan impak dan bisnes yang sedang dijalaninya.

Melalui syarikat Into Equity Sdn. Bhd., Farah menjalani bisnes dalam bidang hartanah dan pendidikan kanak-kanak yang beroperasi di London dan Hong Kong.

Bukan sahaja di luar negara, Farah merupakan pembekal barangan untuk hotel terkemuka di Kota Kinabalu dan membekalkan peralatan kesihatan kepada Kementerian Kesihatan.

"Apabila penggodam ini menceroboh e-mel, menyebar gambar saya dan melakukan penganiayaan siber, reputasi saya sebagai usahawan terjejas. Kalau dengan pelanggan luar negara tidak ada masalah tetapi kalau dengan pelanggan dalam negara macam mana? Saya perlu bersihkan nama saya yang tercalar," ujarnya yang telah mendapat nasihat peguam dan akan mengambil tindakan.

Menganggap perkara penggodaman e-mel dan blog serta penyebaran gambarnya sebagai sesuatu yang sangat serius, tindakan akan dibuat sekembalinya Farah dari Hong Kong kelak.

"Saya akan ke Hong Kong untuk urusan perniagaan. Sekembalinya saya nanti, saya mahu membersihkan nama saya. Saya sudah berbincang dengan peguam saya untuk mengambil tindakan terhadap beberapa blog hiburan yang menyiarkan gambar saya," kata Farah tegas.

Liyana , Syamsul kembali bercinta

Posted: 21 Jan 2012 04:52 PM PST



LAMA juga tak dengar tentang percintaan dan siapa buah hati terbaharu pelakon cantik molek, si Liyana Jasmay. Selepas percintaannya dengan Syamsul Yusuf dulu dikatakan tidak boleh berterusan, Liyana agaknya serik bercakap pasal lelaki.

Pengarah muda yang baru selesai menjalani penggambaran filem KL Gengster 2 itu pun sama juga. Habis gosip dengan Liyana, Syamsul dikatakan ada menaruh perasaan terhadap seorang gadis Sabah. Namun, entah macam mana, cerita itu habis dibawa bayu, senyap sunyi tiada perkembangan.

Terbaharu, Diva ada mata-mata yang terpandang akan kemesraan Liyana dan Syamsul yang dikatakan bertaut kembali. Ada juga kenalan Diva yang nampak dengan mata kepala sendiri aksi manja antara Liyana dan Syamsul yang sudah berani keluar berdua-duaan.

Kalau betul, apa salahnya sebab dua-dua masih solo, masih bujang trang tang-tang. Sama popular, sama berbakat. Diva rindulah nak tengok gandingan Syamsul dan Liyana sekali lagi macam dalam filem Khurafat dulu.

Diva: Tahniah vokalis Projek Pistol, Boy yang baharu sahaja menerima kelahiran putera keduanya, pada 14 Januari lalu yang diberi nama Mohd. Arief Eskandarian.

Pejabat Megaupload.com diserbu

Posted: 21 Jan 2012 04:47 PM PST

SEBUAH pelayan komputer milik Megaupload ditemui di sebuah bilik hotel di Hong Kong kelmarin.

HONG KONG - Sepasukan anggota kastam Hong Kong menyerbu beberapa pejabat, premis tempatan dan suit hotel mewah di sini dalam siasatan ke atas laman perkongsian fail Internet, Megaupload.com.

Siasatan berkenaan yang dilakukan di seluruh dunia dikendalikan oleh Biro Siasatan Persekutuan (FBI).

Seramai 100 anggota kastam menyertai serbuan di sini kelmarin dan merampas sebahagian besar bukti digital selain aset haram mencecah HK$330 juta (RM130.4 juta).

"Semua aset ini dibeku kan di bawah undang-undang Hong Kong. Operasi kami masih diteruskan," kata pihak kastam Hong Kong dalam satu kenyataan.

Dalam operasi berkenaan, pihak berkuasa turut menyerbu beberapa suit hotel mewah yang kadar sewanya HK$100,000 (RM40,010) sehari dan menemui beberapa pelayan berkelajuan tinggi dan skrin televisyen yang disyaki memiliki kaitan dengan kes berkenaan.

Serbuan dibuat susulan penutupan Megaupload.com oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) Khamis lalu selepas laman web itu didakwa terbabit dalam aktiviti cetak rompak dan pelanggaran hak cipta.

Pengasas laman Megaupload.com, Kim Dotcom yang juga dikenali sebagai Kim Schmitz kini ditahan di New Zealand selepas polis menyerbu kediamannya di negara itu.

KIM DOTCOM

Warga Jerman berusia 37 tahun itu yang memiliki status penduduk tetap New Zealand dan Hong Kong dinafikan ikat jamin bersama tiga lelaki lain semasa mereka dihadapkan di sebuah mahkamah daerah di Auckland kelmarin.

Dalam serbuan di banglo mewah yang diduduki oleh Dotcom di Auckland, polis New Zealand turut merampas beberapa kereta mewah berharga AS$4.8 juta (RM14.9 juta) termasuk sebuah Cadillac merah jambu keluaran 1959 dan sebuah kereta Rolls Royce Phantom.

Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Kehakiman AS dan FBI telah mendakwa tujuh individu yang dituduh "bertanggungjawab melakukan aktiviti cetak rompak besar-besaran secara atas talian menerusi Megaupload.com dan beberapa laman web berkaitan".

Megaupload menyebabkan kerugian lebih AS$500 juta (RM1.55 bilion) kepada pemilik-pemilik hak cipta dengan menawarkan salinan cetak rompak filem, program televisyen dan kandungan lain.

Ia adalah antara laman web perkongsian fail paling popular di dunia dengan mencatatkan sekitar 50 juta pengguna setiap hari. - AFP

Bayi sebesar tapak tangan keluar hospital dibenarkan pulang

Posted: 21 Jan 2012 04:41 PM PST

HAYDEE IBARRA (kiri) bersama anak
perempuannya, Melinda Star Guido sebelum mereka meninggalkan Pusat Rawatan Daerah Los Angeles-USC di Los Angeles kelmarin.

LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS) - Seorang bayi antara terkecil di dunia dibenarkan keluar dari sebuah hospital yang menjadi tempat tinggalnya selama hampir lima bulan.

Memakai topi merah jambu dan dibaluti selimut yang juga berwarna merah jambu, Melinda Star Guido menjadi tumpuan lensa kamera televisyen dan jurugambar akhbar di luar Pusat Rawatan USC di sini kelmarin.

"Saya gembira kerana anak saya sihat," kata ibunya yang berusia 22 tahun, Haydee Ibarra.

"Saya juga gembira kerana akhirnya saya dapat membawanya pulang," tambah Ibarra.

Melinda dilahirkan pada 30 Ogos tahun lalu dengan berat cuma 269 gram atau lebih ringan daripada setin air minuman berkarbonat.

GAMBAR tanpa tarikh menunjukkan Melinda yang baru dilahirkan di unit rawatan rapi neonatal (NICU) Pusat Rawatan Daerah Los Angeles-USC di Hospital Los Angeles.

Bayi itu amat kecil sehinggakan dia muat dalam tapak tangan doktor yang merawatnya.

Melinda dipercayai bayi terselamat ketiga terkecil di dunia dan kedua terkecil di AS.

Kini seberat 2.04 kilogram dan masih bernafas melalui tiub oksigen sebagai langkah berjaga-jaga, beberapa doktor memberitahu bahawa Melinda cukup sihat untuk pulang selepas hampir lima bulan berada dalam inkubator hospital berkenaan.

Ibunya melahirkan Melinda melalui pembedahan caesarean pada minggu ke-24 selepas dia didapati mengalami penyakit darah tinggi semasa hamil. - Agensi

Lelaki tidak sedar paku dalam kepala

Posted: 21 Jan 2012 04:39 PM PST

GAMBAR pemeriksaan sinar-X
menunjukkan sebatang paku tertusuk
di dalam otak Dante Autullo.

ORLAND PARK, Amerika Syarikat (AS) - Seorang lelaki pada mulanya menyangka sebatang paku yang keluar daripada penembak paku yang dia guna- kan untuk bertukang, sipi melepasi kepalanya.

Namun, paku tersebut sebenarnya tertusuk ke dalam kepala lelaki berkenaan, Dante Autullo yang menetap di sini, negeri Illinois.

Beberapa anggota keluarganya memberitahu, paku sepanjang 8.8 sentimeter itu terbenam di otak Autullo lebih sehari sebelum ia dikeluarkan Khamis lalu.

Lelaki berusia 32 tahun itu sedang bertukang di kediamannya Selasa lepas apabila dia tertembak paku tersebut.


PAKAR bedah, Leslie Schaffer (kiri)
tersenyum semasa pesakitnya, Dante
Autullo bercerita tentang kecederaan
yang dialaminya dalam satu sidang
media di sebuah hospital
di Illinois kelmarin.

Dia melihat terdapat kesan luka kecil di kepalanya tetapi tidak menyangka bahawa dia tertusuk paku.

Dia hanya pergi ke hospital lewat keesokan harinya selepas mengalami mual dan sakit kepala.

Autullo terkejut selepas pemeriksaan imbasan sinar-X mendapati terdapat sebatang paku yang menembusi otaknya.

Dia kini semakin pulih selepas menjalani pembedahan selama empat jam bagi mengeluarkan paku tersebut.

- AP

Kedah gugur import

Posted: 21 Jan 2012 04:37 PM PST

aksi kedah ketika tumpak kepada kelantan


KETIKA pasukan lain dalam Liga Super berbangga dengan pemain import mereka, namun lain pula ceritanya dengan Kedah yang terpaksa berduka kerana memiliki dua awang import yang tidak boleh diharapkan.

Prestasi hambar dua pemain import dari Brazil iaitu Daniel Soares Neves atau Baroni dan Danilo Rafael Dos Santos Vivaldo memaksa Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) berkira-kira untuk menggugurkan mereka.

Baroni yang diturunkan dalam empat perlawanan lalu tenggelam dalam permainannya dan langsung tidak membawa impak kepada pasukan, manakala Danilo pula sekadar menjadi penonton akibat kecederaan.

Jurulatih Kedah, Mohd. Nidzam Adzha Yusof memberitahu, beliau sudah memaklumkan cadangan menggugurkan mereka kepada pengurusan dan proses mencari pemain import baharu sedang dijalankan.

"Anda boleh lihat sumbangan dua pemain ini (pemain import). Kita harapkan yang terbaik seperti pasukan lain tetapi persembahan mereka sangat menghampakan," katanya.

Pada perlawanan menentang Kelantan malam kelmarin, Kedah diaibkan di hadapan penyokong sendiri dengan kekalahan 3-0 menerusi jaringan pemain import Kelantan, Mohamad Ghadar dan Denny Antwi serta Norshahrul Idlan Talaha.

Dalam pada itu, pengurus Kedah, Datuk Khazali Din pula memberitahu, KFA mengenal pasti enam pemain import baharu iaitu masing-masing dua dari Korea dan Afrika, manakala dua lagi pemain pernah beraksi dalam Liga Malaysia.

Katanya, keputusan mengenai pemain itu dijangka dapat diketahui dalam tempoh seminggu dan mereka akan didaftar sebelum tarikh tutup pertengahan bulan depan.

"Kita akan mencari pemain import baharu terlebih dahulu sebelum menggugurkan dua pemain sedia ada ini. Ia melibatkan pemain penyerang dan pertahanan," katanya.

Sementara itu, prestasi mengecewakan Kedah turut memberi tempias kepada Khazali yang didesak meletak jawatan oleh penyokong skuad Hijau Kuning yang berkumpul di pekarangan Stadium Darulaman, Alor Setar malam kelmarin.

Khazali terpaksa dikawal rapi oleh polis selepas hampir 1,000 penyokong tidak puas hati terhadap prestasi Kedah yang belum meraih kemenangan dan gagal menjaringkan sebarang gol selepas mengharungi empat perlawanan.

Mengulas desakan itu, Khazali memberitahu, beliau bersedia meletakkan jawatan sekiranya diarahkan berbuat demikian oleh pihak pengurusan.

Katanya, kekalahan kepada Kelantan bukan berpunca daripada beliau semata-mata, sebaliknya banyak faktor.

"Saya berusaha menjalankan tugas untuk menaikkan nama Kedah selepas dilantik sebagai pengurus pasukan, namun tidak berhasil.

"Sekiranya pihak atasan meminta saya meletak jawatan, saya bersedia berbuat demikian," katanya.

Dalam pada itu aksi Kedah pada perlawanan itu amat mengecewakan apabila pemain dihukum akibat kesilapan kecil yang dilakukan termasuk kelekaan di benteng pertahanan.

Mohd. Nidzam memberitahu, pemain perlu berubah sikap dan bekerja keras selain meningkatkan prestasi jika terus mahu memberi saingan dalam liga.

"Pemain perlu gandakan usaha. Mereka mencipta banyak peluang tetapi gagal dimanfaat. Jika gagal menjaringkan gol kita tidak boleh menang.

"Kita perlu bekerja keras di semua posisi, lebih-lebih lagi di bahagian serangan," tegasnya. -kosmo-

Dua model kembar tunjuk 'belang' di gelanggang futsal

Posted: 21 Jan 2012 04:27 PM PST


 
NURKHALIQAH (kiri) dan Nur Afiqah membuktikan tugas sebagai model
bukan penghalang untuk aktif dalam sukan futsal.


SIAPA cakap model lembik?

Mungkin itu tafsiran tepat apabila menyaksikan dua model sambilan yang mewakili pasukan Parlimen Pandan, Nur Khaliqah dan Nur Afiqah Mohd. Azmi mempamerkan persembahan yang bertenaga pada Kejo- hanan Futsal 1Malaysia Parlimen Peringkat Kebangsaan 2012 di Kompleks Futsal 1Malaysia, Presint 18, Putrajaya semalam.

Pasangan kembar yang berusia 22 tahun itu mengakui, aktiviti futsal menjadi aktiviti tetap dalam kehidupan seharian mereka dan turut berazam untuk membuktikan futsal adalah suatu sukan yang sesuai untuk wanita.

Khaliqah yang beraksi di posisi penyerang bertekad untuk membuktikan kehebatannya selain membuktikan tugas sebagai model juga mampu me- nyinar dalam sukan futsal.

Katanya, dia kecewa apabila sering kali dilabel sebagai 'lembik' oleh beberapa pihak sebelum turun beraksi di gelanggang futsal.

"Saya selalu disindir oleh beberapa orang sebelum bermain futsal. Ada yang berpendapat saya ini terlalu elegan untuk bermain futsal.

"Tetapi apabila saya tampil beraksi, kebanyakan mereka terdiam dan tidak menyangka saya mampu beraksi seperti lelaki," katanya sambil berseloroh.

Afiqah pula memainkan peranan sebagai benteng pertahanan pasukan sesuai dengan gaya permainannya yang agresif.

Dia yang merupakan pelajar Segi College Subang Jaya dalam jurusan Sarjana Muda Pelancongan, mengakui teruja setiap kali dapat menghalang asakan pemian pasukan lawan.

"Saya akan pastikan benteng pertahanan kami sentiasa mantap. Seperti adik saya, Khaliqah, reaksi penyokong, terutama lelaki seakan-akan tidak mempercayai apabila kami mampu beraksi dengan baik.

"Sebenarnya, selain aktiviti futsal, kami juga terlibat dalam sukan lasak lain seperti panjat dinding. Kami juga mahu membuktikan model juga mempu- nyai bakat dalam bidang sukan," katanya.

Tambahnya, dengan latihan bermain futsal seba- nyak tiga kali seminggu, dia optimis pasukannya mampu melakukan lebih banyak kejutan.-kosmo-

No comments: