Saturday 7 January 2012

Budak Technician

Budak Technician


Bekas Isteri Tiger Wood Robohkan Rumah Bernilai $12 Juta

Posted: 06 Jan 2012 02:07 AM PST

Ada kalanya perceraian memaksa orang ramai untuk melakukan perkara-perkara pelik. Membakar helaian. Membuang pakaian. melemparkan cincin ke dalam laut. Tetapi apabila anda mendapat $ 100 juta pada perceraian anda, anda boleh melakukan apa sahaja dan apa yang berlaku dengan bekas isteri Tiger Woods apabila dia membeli rumah $ 12 juta? Di telah meranapkan semuanya dengan begitu sahaja.

Ya, mengikut TMZ, Elin Nordegren membeli rumah $ 12 juta di North Palm Beach, Florida, tetapi tidak suka, dan telah dibajak segala-galanya.

Rumah tersebut, yang mempunyai enam bilik tidur dan lapan bilik mandi, kini hanya runtuhan bangunan, dengan perkataan lain tidak lagi pada yang asal.



credit to http://withleather.uproxx.com

(Gambar) Kereta Paling Kecil Di Dunia

Posted: 05 Jan 2012 07:26 PM PST


Kelihatan rekabentuk beberapa buah kereta mini bersaiz kecil berada di atas jalan raya. Kereta ini sememangnya unik kerana dicipta hanya boleh dinaiki oleh seorang hingga dua orang sahaja.
Kereta Paling Kecil Di Dunia (Menarik!) | Rekabentuk beberapa buah kereta bersaiz kecil menarik perhatian kami. Masakan pula, reka bentuk kereta ini tidak pernah dijumpa di mana-mana tempat sebelum ini. Yang paling penting, kereta ini bukan lah kereta mainan! Untuk makluman, kereta bersaiz kecil ini hanya boleh dinaiki seramai 1 hingga 2 orang sahaja. Jom kita tengok kereta yang menarik ini.







sumber : melayukini.net

Heboh Cerita Nur Amalina Che Bakri – Apa Pula Cerita Sufiah Yusof?

Posted: 05 Jan 2012 07:20 PM PST

Kecoh di Internet tentang Nur Amalina Che Bakri, pelajar cemerlang SPM 2005, tetapi masihkah anda ingat tentang wanita genius Melayu, Sufiah Yusof?

Heboh Cerita Nur Amalina Che Bakri – Apa Pula Cerita Terbaru Sufiah Yusof atau Shilpa Lee? | Malaysia kini heboh dengan berita Nur Amalina Che Bakri, pelajar SPM terbaik 2005 yang mendapat 17A1, dengan gambar sosialnya yang agak melampau di luar negara. Tetapi ingatkah anda kepada seorang lagi pelajar genius Melayu, Sufiah Yusof, yang turut menggemparkan Malaysia tidak lama dulu dengan aksinya yang lebih mengancam? Apa pula cerita Sufiah Yusof di kala ini pula? Mari kita susuri kisah wanita genius ini.

sofiah yusof sekarang

Wanita genius matematik yang juga bekas pelajar Universiti Oxford, Sufiah Yusof, 23, menyesal dengan tindakannya terbabit pelacuran. Perkara itu didedahkan Pengarah Perancangan dan Strategi Kumpulan Penyokong dan Pengasuh Profesional Islam (Pisang), Hanafi Abdul Malek yang dihubungi Harian Metro, semalam.

Untuk mengesahkan perkara itu, Hanafi berkata, pihaknya menghubungi pengurusan yang pernah menjadi ejen wanita itu menjual tubuh yang turut mengakui dia tidak lagi terbabit dengan kegiatan terkutuk itu.

"Dia dah tak buat lagi kerja tu dan kini hanya aktif melakukan kerja amal. Melalui e-mel yang dihantar kepada saya kira-kira seminggu selepas Aidilfitri lalu, Sufiah Yusof berkata dia betul-betul menyesal dengan perbuatan yang tidak bermoral itu.

"Kami juga ada menghubungi agensi teman sosial yang menguruskan Sufiah dan mengesahkan mereka tidak dapat menghubunginya serta tidak tahu di mana dia berada," katanya. Kisah kehidupan Sufiah Yusof disiarkan akhbar News of the World keluaran 31 Mac lalu yang mendedahkan wanita yang dianugerah kepintaran semula jadi itu menawarkan khidmat seks melalui Internet dengan bayaran 130 paun Sterling (RM845) bagi satu sesi.

Wanita itu bertemu wakil akhbar terbabit yang menyamar sebagai pelanggan di laluan masuk ke fletnya dengan hanya memakai skirt pendek, but kulit dan baju-T. Apabila wartawan itu berbual dengannya, Sufiah menyatakan dia masih belajar untuk mendapatkan ijazah sarjana dalam bidang ekonomi menerusi kursus separuh masa selama dua tahun di London.

Sufiah Yusof yang ibunya berasal dari Malaysia dan bapa dari Pakistan dilaporkan terpaksa menawarkan khidmat seks kerana kesempitan hidup. Dia dikatakan menjalani kehidupan di flet terbabit dengan menjual tubuhnya untuk membayar sewa.

Pembabitan wanita itu dalam pelacuran di Salford, Manchester, adalah tragedi hitam yang menimpa hidupnya sejak zaman kegemilangannya ketika dia bergambar dengan topi graduan di depan wartawan di luar Kolej St Hilda yang begitu berprestij.

Pendedahan akhbar itu berlaku serentak ketika bapanya, Farooq yang berasal dari Pakistan mula menjalani hukuman penjara kerana mencabul dua gadis berusia 15 tahun ketika memberi mereka tuisyen matematik. Mengulas lanjut, Hanafi berkata, Sufiah Yusof kini lebih tenang selain senang dan gembira dengan rakyat negara ini yang mengambil berat mengenai dirinya.

"Bagaimanapun melalui e-mel sama, dia jelaskan belum bersedia untuk bertemu keluarga, terutama ibunya (Halimaton Yusof).

"Sungguhpun begitu, saya gembira dengan perkembangan positif ditunjukkan Sufiah Yusof dan menasihatkannya supaya sentiasa ingat serta memohon pertolongan kepada Allah," katanya. Kata Hanafi, rancangan untuk merawat Sufiah menggunakan kaedah Islam mungkin dapat dilaksanakan sekitar bulan depan. Ini kerana dia akan ke Belanda atas urusan kerja sebelum ke England untuk bertemu Sufiah. (Artikel diterbitkan pada 2008). -melayukini.com-

Gambar Beca Kereta Mewah Di China

Posted: 05 Jan 2012 07:11 PM PST



Beca Kereta Mewah Di China (4 Gambar) | Seorang penarik beca di China telah mencipta sebuah beca yang kelihatan seperti sebuah kereta mewah pada bahagian tempat duduk penumpangnya. Ini sekaligus melihatkan becanya lain daripada lain malah jauh berbeza daripada beca yang biasa kita lihat. Kat bawah ni 4 gambar untuk anda saksikan. Jom kita tengok gambar menarik beca mewah ni.








sumber : melayukini.com

Tutorial Cara Nak Kuatkan Signal Wifi Anda

Posted: 05 Jan 2012 07:02 PM PST

Salam sejahterah semua.sememangnya wifi adalah salah satu cara kita untuk menggunakan internet secara percuma dan ianya diguna kebanyakannya oleh para pelajar yang mungkin tidak berkemampuan untuk memperolehi ataupun membayar setiap bulan jadi jika korang mempunyai WIFI ROUTER seperti pada image di bawah ini dan jika signal wifi tersebut tidak begitu memuaskan ataupun tidak kuat signalnya korang boleh lah cuba cara seperti di bawah ini dengan menggunakan TIN ALUMINIUM.


Cara ini sebenarnya adalah yang terbaik kerana saya sendiri pun sudah mencubanya namun ia memang berfungsi untuk meningkatkan lagi signal wifi saya dengan cara ini juga adalah cara yang paling ringkas dan tidak mustahil korang tidak boleh melakukannya.

Lihat gambar contoh tutorial dengan teliti



sumber maklumat asal/credit: tgokjum.blogspot.com

Jamal Enggan Rumitkan Krisis Dengan Pengasih

Posted: 05 Jan 2012 06:28 PM PST

Jamal Abdillah

PETALING JAYA: Penyanyi Jamal Abdillah meminta semua pihak tidak lagi bertanya hal yang membabitkan dirinya dengan rumah perlindungan Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), kerana enggan krisis yang berlaku di antara dia dengan pihak berkenaan bertambah rumit.

Jamal berkata, dia mahu mengambil pendekatan berdiam diri dan meminta semua pihak melihat kepada perkara yang lebih positif daripada menilai sesuatu yang negatif terhadap apa yang berlaku.

"Saya belajar daripada pengalaman lalu. Apabila kita bercerita perkara seperti ini, ia lebih besar mendapat liputan berbanding apa yang hendak disampaikan di sesebuah sidang akhbar," katanya kepada pemberita di sini, Khamis sempena Konsert Raja Pop Jamal Abdillah 2012 yang akan diadakan di Stadium Indera Mulia, Ipoh Perak pada 28 Januari depan.

Jamal menambah, walaupun pihak tersebut ada memberi komen negatif kepadanya tetapi beliau amat bersyukur kerana rumah perlindungan tersebut berjaya mengubah kehidupannya menjadi lebih sempurna.

"Saya bersyukur kerana Rumah Pengasih telah mengubah kehidupan saya," katanya yang enggan bercerita lanjut mengenai hal berkenaan.

Awal November lalu Jamal membuat keputusan meninggalkan Rumah Pengasih selepas lima tahun menjadi penghuninya kerana dipercayai menghadapi krisis dengan pihak pengurusan rumah perlindungan tersebut.

Konsert Solo Pertama Di Perak

 

Jamal (tengah) bersama para penganjur Konsert Raja Pop Jamal Abdillah 2012 yang akan berlangsung di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak pada 28 Januari 2012.

Sementara itu bercerita mengenai Konsert Raja Pop Jamal Abdillah 2012, Jamal memberitahu ia merupakan konsert solo pertamanya di negeri Perak sejak bergelar artis.

Konsert anjuran Bombay Worldwide Sdn Bhd dan Budak Bas Stand Ipoh (BBSI) itu bakal menampilkan sebuah persembahan berbeza selama dua jam setengah dengan iringan 28 buah lagu.

"Saya akan membuat persembahan yang agak berlainan kerana konsert di Ipoh ini adalah gabungan daripada konsert-konsert yang pernah saya adakan sebelum ini iaitu di Istana Budaya dan di Singapura," jelasnya.

Dalam pada itu Pengarah Urusan Bombay Worldwide Sdn Bhd yang dikenali sebagai Bombay berkata, pemilihan Jamal untuk acara tersebut kerana penyanyi berkenaan mempunyai nilai komersial yang tinggi kerana lagu-lagu nyanyiannya menjadi pilihan peminat pelbagai peringkat.

Jelasnya, konsert tersebut mampu memberi peluang kepada para peminat di negeri Perak yang selama ini mendambakan persembahan luar biasa daripada beliau.

"Selama ini ada peminat yang kecewa tidak dapat berjumpa Jamal dan ramai yang menantikan kemunculannya di Perak. Sebab itulah kami mengambil inisiatif untuk menganjurkan konsert ini," jelasnya.

Orang ramai yang ingin menyaksikan konsert tersebut bolehlah mendapatkan tiket yang berharga RM80, RM140 dan RM300.

Bagi mereka yang membeli tiket paling mahal berpeluang untuk bersama Jamal dalam majlis minum petang yang akan diadakan sehari selepas konsert. -mstar-

Kontroversi Lagi - Shahz Jaszle Mahu Dipanggil Shahrizal

Posted: 05 Jan 2012 06:17 PM PST


Pelakon popular Shahz Jaszle mencipta satu lagi kontroversi mengenai namanya apabila memilih untuk dipanggil Shahrizal bermula tahun 2012.

Bintang filem Azura 2012 ini berkata keputusan untuk menggunakan nama berkenaan dibuat selepas salah seorang ahli keluarganya meminta dia melakukan perkara tersebut yang dilihat lebih serasi.

"Mereka (keluarga) berkata, menggunakan nama sendiri dalam kerjaya kita akan lebih kuat auranya dan diakui saya dapat rasa perbezaan semangat selepas menukarkan kepada nama tersebut.

"Sejak menggunakan nama ini, kehidupan saya lebih stabil dari segi kewangan, kerjaya dan peribadi. Semoga penggunaan nama Shahrizal dapat mengukuhkan lagi karier saya di masa akan datang nanti," katanya kepada mStar Online.

Pelakon ini mencipta kontroversi di awal kemunculannya apabila meminta orang ramai memanggil namanya dalam sebutan Bahasa Inggeris "Shahz Jazle" (disebut Shahz Jazel) dan bukannya berbunyi "Shahz Jazli".

Selain mengenai nama, dia turut terpalit dengan kontroversi kerana beraksi keterlaluan dalam klip video Prema Yin berjudul Marilah arahan Gambit.

Pengumuman pertukaran nama itu turut dibuatnya menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia pada Ahad lalu.

Tambahnya tahap keyakinan diri dia juga semakin tinggi sejak menggunakan nama tersebut.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana para peminat memberikan respons yang positif tentang penukaran nama itu.

"Alhamdulillah peminat-peminat memberi respons yang baik. Apa-apa pun saya tidak menyesal dengan keputusan ini walaupun saya telah menggunakan nama Shahz Jaszle sepanjang lima tahun dalam industri seni tempatan," kata pemilik nama penuh Mohd Shahrizal Jazle Jasmin ini.

Sementara itu, dia kini sedang berada di Australia untuk penggambaran drama Atas Nama Cinta terbitan Zeel Production selama dua minggu.

Pelakon lain yang terlibat dalam drama tersebut ialah Fiza (Elite), Tasha Shila dan Shah Iskandar.-mstar-

Diddy Hirdy Dapat Tujuh Anugerah Pelajar Cemerlang

Posted: 05 Jan 2012 06:15 PM PST


Diddy Hirdy cemerlang dalam pelajaran.

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Diddy Hirdy, 29, menunjukkan prestasi cemerlang apabila mendapat Anugerah Kecemerlangan Akademik sebanyak tujuh kali dalam pengajiannya di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Diddy yang sedang mengikuti program Ijazah Sarjana Muda (Komunikasi) dengan Kepujian secara sambilan daripada universiti itu berkata, dia bersyukur dengan anugerah itu selain menjadikannya sebagai motivasi untuk terus cemerlang dalam bidang akademik.

"Saya kini berada di semester tujuh dan masih mempunyai baki tujuh semester lagi sebelum dapat mengegam segulung ijazah. Saya lakukan ini semua demi masa depan keluarga dan paling penting untuk isteri dan anak yang sentiasa menjadi pendorong saya," ujarnya.

Diddy ditemui mStar Online selepas majlis sidang media drama muzikal Kampus di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara) di sini pada Khamis.

Diddy menyambung pelajaran bersama-sama rakan artis seperti Emelda Rosmila, Akim (AF), Zehra Zambri dan vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh dalam program kerjasama antara Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dan UUM yang ingin menggalakkan artis mempunyai pendidikan.

Dalam pada itu, Diddy akui puas dengan pencapaian itu walaupun agak penat kerana turut aktif dalam bidang seni selain perlu menumpukan perhatian kepada rumah tangga terutama terhadap anak kesayangannya, Nadra Aryssa Jauza yang baru mencapai usia setahun.

"Saya perlu bertahan sehingga tahun 2013 dan selepas itu dapatlah menarik nafas lega kerana telah tamat pengajian," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Diddy memberitahu gembira berlakon dalam muzikal Kampus arahan Yusmal Ghazali kerana dapat menyumbangkan suara untuk drama 26 episod itu.

Diddy berkata, walaupun agak gementar di set penggambaran kerana sudah lama tidak berlakon, dia teruja dapat menyanyikan pelbagai lagu termasuk lagunya sendiri seperti Lena dan Hilang.

"Cinta saya terhadap nyanyian masih kuat dan ia adalah keutamaan tetapi menerusi Kampus saya dapat melakukan kedua-duanya. Ia juga sebagai promosi kepada saya yang jarang-jarang muncul di televisyen," ujarnya.

Kampus bakal disiarkan pada Ia akan pada pukul 8.30 malam menerusi saluran iTV (Astro 180) bermula Sabtu ini. -mstar-

Juri AJL26 Ditambah Untuk Elak Kontroversi

Posted: 05 Jan 2012 06:12 PM PST

Seramai 22 orang juri mengadili 12 lagu yang dipertandingkan.

PETALING JAYA: Seramai 15 orang juri ditambah bagi mengadili pertandingan akhir Anugerah Juara Lagu 26 (AJL26) yang akan berlangsung pada 29 Januari depan bagi mengelakkan sebarang kontroversi pada acara tahunan itu nanti.

Penerbitnya, Muhamad Sufian Che Isa berkata, secara keseluruhannya, seramai 22 orang juri akan mengadili 12 lagu dipertandingkan di mana 15 juri pada pra-produksi manakala tujuh lagi pada malam AJL26.

"Pada tahun lalu, hanya tujuh orang juri sahaja yang membuat pengadilan sehingga kontroversi tercetus gara-gara juri tidak bijak memilih juara AJL25 yang dimenangi oleh Ana Raffali dengan lagu Tolong Ingatkan Aku pada ketika itu.

"Justeru itu, kami perlu memperketat lagi sistem pengadilan sehingga membuat keputusan untuk menambah 15 orang juri lagi bagi mengelakkan sebarang kekeliruan atau kontroversi," katanya pada sidang akhbar AJL26 di Bentley Music Auditorium, Wisma Bentley Music, di sini, Khamis.

 

Yuna

Tambah Sufian, dia juga berharap dengan penambahan juri, keputusan yang dibuat akan memuaskan hati semua pihak termasuklah pihak produksi, media dan penonton.

Bagaimanapun, pihaknya masih lagi mengekalkan konsep pengadilan yang menggunakan khidmat penggiat muzik tempatan pada anugerah tahunan yang bertemakan elemen air itu.

"Saya rasa, lebih baik lagu-lagu yang bertanding diadili oleh juri tempatan. Saya juga berharap agar juri-juri yang dipilih itu menilai sesebuah lagu secara profesional dan bukannya bersifat pilih kasih.

"Tema AJL26 kali ini juga agak menarik apabila pihak produksi bersetuju memilih konsep air dan ia pastinya akan memberi satu kelainan sepanjang acara ini dianjurkan," katanya.

 

Tiga Suara terdiri daripada Shila Amzah, Ning Baizura dan Jaclyn Victor.

Pada AJL26 nanti, sebanyak 12 buah lagu yang dipertandingkan iaitu Cinta Muka Buku (Najwa Latif), Kalau Berpacaran (Ana Raffali, Sohaimi Mior Hassan, Altimet), Karma (Faizal Tahir), Penakut (Yuna), Sedetik Lebih (Jaclyn Victor) dan Awan Nano (Hafiz).

Diikuti dengan lagu Wanita Seluruh Dunia (Projek Pistol), Beribu Sesalan (3 Suara), Kekanda Adinda (Atilia & Monoloque), Sungai Lui (Aizat), Kisah Hati (Alyah) dan Gadis Semasa (Yuna).

Dalam pada itu, Shiela Majid, Awie, Jamal Abdillah, Azlan (The Typewritter), Black dan Hazama akan menjadi penyanyi undangan pada acara tersebut. -mstar-

Lady Gaga Ingin Jadi Pelakon Bollywood

Posted: 05 Jan 2012 06:10 PM PST

Lady Gaga
PENYANYI dengan imej pelik, Lady Gaga memberitahu ingin menjadi seorang pelakon di Bollywood bagi memulakan kerjaya lakonannya.

Gaga berkata, dia tertarik dengan tarian dan pakaian yang digayakan dalam filem-filem Bollywood selain merasakan produksi mereka lebih hebat daripada industri filem Hollywood.

"Saya tidak berminat untuk menjadi pelakon di Hollywood sebaliknya ingin menjadi pelakon di Bollywood kerana produksi mereka lebih gah," ujar penyanyi Born This Way itu.

Gaga pernah dilaporkan melawat India pada Oktober lalu dan kunjungannya ke negara tersebut dikatakan mempunyai kaitan dengan projek lakonan.

Lady Gaga Sentiasa Tampil Seksi Dan Pelik

Malah dia dikatakan turut keluar bersama pelakon terkenal, Shah Rukh Khan dan Arjun Rampal.

"Saya sendiri sempat menyaksikan pertunjukan Bollywood di Paris dan semakin tertarik dengan muzik dan tarian India. Saya ingin berlakon di Bollywood," ungkapnya kepada ContactMusic.com.

Tarikan Bollywood bukan baru di kalangan selebriti Hollywood kerana sebelum ini pelakon seperti Hugh Jackman, Paris Hilton dan Kim Kardashian pernah cuba untuk mencipta nama di negara tersebut. -mstar-

Konsert Fenomena 30 Tahun Search - Berbaloi tunggu 15 tahun

Posted: 05 Jan 2012 06:04 PM PST


"KAMI tidak pernah bermimpi untuk menjadi sebesar ini. Ini adalah satu perjalanan yang hebat," begitu ringkas vokalis Search, Amy, mendefinisi kembara band buatan Malaysia yang begitu fenomena ini saat ditemui di selang-seli kesibukan menjalani jelajah Konsert Fenomena 30 Tahun Search yang berakhir pada 31 Disember lalu di Kuching, Sarawak.

Tiga dekad Search juga menyaksikan banyak warna yang diconteng atas kanvas kerjaya mereka. Digam, dicemuh dan dijulang, semua telah mereka rasa. Keluar masuk anggota Search juga menjadi salah satu pengisi fasa perjalanan mereka yang akhirnya masih terus ditunjangi wajah yang sama - Amy, Kid, Din, Nasir dan Yazid. Lima kepala berlainan cita rasa, namun saat bersama, semua akur bahawa muzik Search harus jadi sehala hanya untuk mengisi dahaga pencinta mereka.

Definisi itu diperkuat pula dengan kenyataan pemain bass Search, Nasir. Ujar Nasir, menoleh kembali kembara mereka seawal 30 tahun lalu, tidak ada sesiapa yang mahu memberi ruang kepada mereka mempamer kredibiliti sebenar. "Malah saat kami dibawa masuk ke Polygram, salah seorang daripada orang kuat syarikat itu memanggil kami dengan panggilan monyet.

"Mereka tidak yakin kami mampu pergi jauh. Satu-satunya individu yang tetap mempertahankan kami adalah Datuk M. Nasir. Mungkin kerana dia dan kerana semangat muzik kami yang bukan main-main serta penerimaan peminat yang tak pernah jemu menyokong membuat Search kekal sehingga tiga dekad. Ah, ia satu perjalanan yang cukup panjang. Terlalu panjang," ujar Nasir dengan suara mendatar yang terdengar begitu sentimental saat mengumpul semula pecahan memori tentang kelana band kesayangan ramai ini.

Cukup beremosi kata-kata yang dilontar anggota Search ini apabila diajak berbicara tentang kembara 30 tahun mereka. Masakan tidak beremosi, ranjau yang mereka rentas, lebih banyak berbanding manis yang mengisi hari-hari mereka. Namun semuanya berbaloi kerana Search kini masih menjadi band tanpa galang ganti biar semua anggotanya sudah semakin tua - mengikut resmi dunia. 
 

AMY dan Search memberi persembahan final yang cukup hebat. Seleksi lagu, pencahayaan pentas dan sistem bunyi yang agak baik banyak membantu kepada kejayaan konsert pada malam itu.


Jika ada yang berasa mereka sudah hilang taring untuk beraksi di pentas dan menghibur peminat kerana faktor usia, persepsi itu harus dibuang jauh. Ya, benar, tidak boleh diingkari bahawa permainan mereka di pentas barangkali tidak segagah dahulu, namun kematangan dan pengalaman selama 30 tahun bergelumang sebagai sebuah band telah membuat persembahan mereka sentiasa dinanti dan hidup untuk 30 tahun mendatang.

Hal itu dibuktikan mereka pada konsert penutup tahun 2011 dan pembuka tahun 2012 yang meyakinkan bahawa Search masih relevan di pasaran. Secara kasar, untuk Search yang sudah 15 tahun tidak mengisi dahaga pencinta mereka di Sarawak dan peminat yang 15 tahun tidak menatap secara dekat Search, ia adalah satu penantian yang cukup berbaloi. Baik Search mahupun peminat mereka, kedua-duanya telah melengkapkan keinginan antara satu sama lain.

Malam 31 Disember 2011 itu, di Stadium Negeri Kuching, Sarawak, Search 'berpesta' dengan peminat-peminat mereka sebagai persinggahan terakhir Fenomena Search 30 Tahun Jelajah Borneo yang dibawa khas oleh penganjur bersama, Universal Credential dan Nova Music (M) Sdn. Bhd. Mereka nampak cukup energetik dan hampir tidak kelihatan lelah menghibur peminat.

Di bahagian belakang pentas, di sebalik tong drum, kelihatan Yazid padu mengetuk alat muzik itu tanpa tergelincir ritmanya. Sekali pandang, banyak yang terlupa bahawa Yazid sedang menjalani dialisis buah pinggang. Semangat luar biasanya telah menyingkir rasa sakit yang menular di segenap tubuhnya. 
 

AMY mendokong anak bongsunya, Qaqa At-Tameemi, dua tahun tiga bulan sambil memberi bola kepada penonton sebaik konsert berakhir.


Pada posisi bass, Nasir yang terlihat serius namun cukup lemah-lembut memetik bass dengan penuh gaya. Dalam senyuman, petikan bassnya tersusun cantik melengkap melodi. Kid yang terkenal pada posisi pemain gitar utama memang selalu terlihat 'liar' di atas pentas. Baik dari segi imej mahupun permainannya, Kid mengekspresi kedua-duanya dengan begitu baik sekali. Bagi abangnya, Din yang menjadi tonggak gitar kedua jarang-jarang memperlihatkan ekspresi dirinya. Terkadang sukar menelah emosinya, namun pada malam itu, dia tidak hanya duduk diam di satu sudut, sebaliknya melahirkan ekspresi dengan melompat dan mempamer skil bermain gitar yang bukan hingusan.

Dan selaku vokalis, Amy tidak memerlukan pesona yang lebih tinggi selain daripada imej, sikap dan vokalnya itu sendiri. Maka hiduplah konsert selama lebih sejam itu dengan jayanya.

Lebih 15,000 penonton tidak ketinggalan berdendang dengan Search, mengalunkan untaian lagu hit mereka yang tidak sedikit kuantitinya. Dari Langit Dan Bumi, Pelesit Kota, Balada Pemuzik Jalanan, Isi Atau Kulit, Rozana, Gadis Misteri, Gothic Malam Edan, Isabella serta Fantasia Bulan Madu yang menjadi penutup tirai konsert, semuanya didendang tanpa gagal bersama-sama oleh peminat band ini.

Kuching kemudian menjadi saksi betapa 30 tahun adalah kembara yang benar-benar bermakna buat mereka dari sudut peribadi apabila pada penghujung konsert, Search membawa anak-anak mereka ke atas pentas untuk meraikan penutup 2011 dan kedatangan 2012 dengan lebih bermakna. 
 
PERMATA Search. Dari kiri, Alexender Zulkarnain (anak Amy), Syafika Nurlis (anak Yazid), Isabella Ratna Dewi (anak Nasir), Deanda (anak Kid) dan depan, Sania Samara (anak Amy) bersama Kid dan anak lelaki Kid, Aaqil.


"Jangka masa 15 tahun tidak membuat sebarang persembahan di Sarawak memberi impak yang cukup positif dan baik buat kami. Tidak mustahil kami akan kembali membuat persembahan di sini," ujar Amy penuh teruja.

Tambahnya juga, siri jelajah konsert itu juga adalah momen terbaik sepanjang tahun lalu dan 30 tahun karier mereka.

"Dan kedatangan 2012 adalah tahun baru yang baik untuk menyaksikan Search bakal muncul dengan material terkini serta beberapa projek besar yang lain," katanya yang masih konsisten dalam setiap persembahan walau usia sudah menjangkau 53 tahun. -kosmo-

Teknologi Terkini Rawat Masalah Katarak

Posted: 05 Jan 2012 06:00 PM PST


PANDANGAN mata semakin kabur namun sering dianggap sebagai kesan biasa akibat keletihan. Apabila melihat objek berwarna, yang kelihatan hanyalah warna kelabu. Adakah anda sering mengalami situasi tersebut?

Jika ya, jangan bertangguh untuk berjumpa dengan pakar mata kerana anda berkemungkinan menghidapi masalah katarak pada mata.

Lazimnya, katarak merupakan penyakit mata semula jadi dalam kalangan warga emas. Ia juga menjadi penyebab utama kerosakan penglihatan dan kebutaan di Malaysia dengan peningkatan tinggi iaitu sebanyak 23 peratus dari tahun 2008 ke 2009.

Peningkatan populasi warga emas Malaysia yang kini mencapai angka lebih lima juta orang pada tahun 2012, telah membawa kepada kepentingan saringan ujian mata untuk pengesanan awal penyakit mata semula jadi golongan itu.

Pada masa yang sama, permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan mata yang berkualiti pula semakin meningkat.

Menurut Ketua Pakar Bedah Oftalmik Pusat Pakar Mata Vista, Dr. Aloysius Low, apabila mencecah usia 45 tahun ke atas, sesetengah individu akan mengalami masalah penglihatan seperti kehilangan kejelasan dan perbandingan warna (meluntur atau berubah) disebabkan katarak.

"Katarak ialah kekaburan pada kanta semula jadi dalam mata yang menghalang laluan cahaya ke dalam mata.

"Individu yang mengalami katarak menghadapi kesukaran melakukan rutin harian kerana penglihatan kabur walaupun selepas memakai dan sering menukar cermin mata," katanya.

Silau cahaya

Tambah Aloysius, selain mengalami masalah penglihatan berganda dan masalah silau kerana sinar lampu atau matahari, penglihatan malam mereka juga terjejas akibat silau daripada lampu kenderaan dan lampu isyarat. Secara tidak langsung, pemanduan pada waktu malam sesuatu yang amat mencabar.


PERBEZAAN mata normal dan mata yang mengalami masalah katarak.

Seramai lapan juta orang di seluruh dunia menghidap katarak dan ia merupakan punca utama kebutaan di dunia selepas glaukoma.

"Bukan orang tua sahaja yang berisiko menghidap katarak malah, orang muda juga cenderung menghidapinya akibat diabetes dan penggunaan steroid.

"Katarak boleh terjadi pada sebelah mata dan kedua-dua belah mata malah, boleh terdapat lebih daripada satu bentuk katarak pada mata yang sama," ujarnya.

Terdapat tiga tahap katarak iaitu katarak tidak matang, matang dan terlampau matang.

Sekiranya seseorang itu mampu melihat dengan sebahagian daripada penglihatannya, ini bermakna kanta matanya masih mempunyai kawasan yang jelas dan ini dikenali sebagai katarak tidak matang.

"Jika seseorang itu penglihatannya semakin buruk, dia harus segera berjumpa dengan pakar mata dengan kadar segera lebih-lebih lagi mereka yang mempunyai sejarah diabetes.

"Disebabkan teknologi pembedahan dan kanta semakin canggih, masalah buta serta kerosakan penglihatan yang disebabkan oleh katarak kini sudah boleh dielakkan," katanya.

Jelasnya lagi, katarak kini boleh disembuhkan melalui pembedahan yang hanya mengambil masa singkat dengan menggunakan kaedah pembedahan katarak tanpa pisau LenSx.

Ia adalah teknologi terbaharu merawat katarak menggunakan laser yang diperkenalkan oleh Vista iaitu salah sebuah pusat pakar mata terulung di Malaysia sejak 1999. Dengan kerjasama Alcon Laboratories (M) Sdn. Bhd. (Alcon), Vista menjadi pusat pakar mata pertama yang menawarkan kepakaran tersebut di Malaysia.

Teknologi tinggi

Inovasi teknologi Laser LenSx membolehkan pakar bedah melakukan prosedur pembedahan katarak yang paling rumit yang sebelum ini hanya dilakukan secara manual.

Laser LenSx menawarkan ciri-ciri gambaran panduan imej berteknologi tinggi berintegrasi yang membolehkan pakar bedah merancang dan melaksanakan segala langkah pembedahan dengan jitu.

Ia meningkatkan keupayaan pakar bedah untuk membuat teknik membuang kapsul lensa hadapan (anterior kapsulorheksis). Teknologi tersebut meramal secara tepat bagi memecahkan lensa seterusnya mengeluarkannya secara efektif.


PEMBEDAHAN katarak secara manual bukan sahaja lambat sembuh malah mengambil masa lebih lama berbanding pembedahan tanpa pisau LenSx.


Diluluskan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) sejak 2009, Laser LenSx seterusnya menerima Full Quality Assurance daripada British Standards Institution dan kebenaran daripada TGA Australia pada tahun 2011.

Teknologi Laser LenSx telah digunakan di Amerika Syarikat sejak 2010.

Teknologi Pembedahan Katarak Tanpa Pisau LenSx yang diperkenalkan di Vista membolehkan pakar bedah melakukan pembelahan teliti dan tepat yang biasanya tidak mampu dilakukan dengan peralatan yang dipegang dengan tangan.

Laser LenSx berkomputer membolehkan pakar bedah membuat potongan 2.2 milimeter ke atas kapsul lensa untuk memecahkannya tanpa menggunakan pisau bedah secara manual.

Ultrasonik

"Serpihan lensa kemudiannya dikeluarkan melalui proses phacoemulsification (juga dikenali sebagai phaco), iaitu pembedahan kanta bahagian dalam mata diemulsi menggunakan peralatan ultrasonik.

"Sambil menghancurkan lapisan katarak yang keras, ia juga mengekstrak serpihan tersebut," jelasnya.

Setelah katarak dikeluarkan sepenuhnya, pakar bedah membersihkan kapsul di belakang mata untuk mengurangkan kejadian kegelapan kapsul belakang (katarak yang kedua). Langkah terakhir ialah untuk memasang lensa intraokular.

"Prosedur ini terbukti berkesan menghasilkan penglihatan yang jelas serta mengurangkan masa pembedahan dengan memulihkan posisi lensa intraokular.

"Pesakit hari ini mementingkan keselamatan dan keupayaan untuk melihat dengan lebih jelas tanpa bergantung kepada cermin mata selepas pembedahan," jelasnya.

Hanya pembedahan sebelah mata sahaja dilakukan pada satu-satu masa. Jika pesakit perlu melakukan pembedahan pada kedua-dua belah mata, pembedahan mata yang satu lagi perlu dilakukan selang tujuh hari.

Tempoh pembedahan pembuangan katarak dijalankan kurang seminit. Namun, proses membersihkan mata selepas pembedahan mengambil masa lebih panjang. Secara keseluruhannya, masa yang diperlukan ialah sekitar 20 minit.


MASALAH katarak selalu dihadapi oleh warga emas atas faktor penuaan namun bukan orang tua sahaja berisiko menghidap katarak kerana orang muda juga berisiko mendapat katarak akibat diabetes dan penggunaan steroid.


"Keputusan dapat diperoleh dengan pantas selain pesakit tidak mengalami rasa sakit. Pembedahan juga tidak meninggalkan parut," ujarnya.

Dalam pada itu, Perunding Psikologi Klinikal, Sunway Medical Centre, Paul Jambunathan memberitahu, ramai pesakit yang takut untuk menjalani pembedahan lebih-lebih lagi pembedahan yang melibatkan mata kerana khuatir risiko menjadi buta.

"Ramai yang sanggup berhabis wang untuk membuang katarak pada binatang kesayangan berbanding katarak pada diri sendiri.

"Walaupun penglihatan kabur, mereka tetap menafikan realiti tersebut dengan memberikan alasan bahawa mereka masih lagi boleh melihat," katanya. -kosmo-

M. Karathu ramal Kelantan juara

Posted: 05 Jan 2012 05:56 PM PST

GHADDAR, tonggak import berbisa Kelantan musim ini.


"SAYA ramal Kelantan mampu menewaskan Negeri Sembilan seterusnya mempertahankan kejuaraan Piala Sumbangsih tahun ini."

Demikian ramalan bekas pengendali The Red Warriors (TRW) 2011, Datuk M. Kara- thu menjelang pertemuan Kelantan dengan Negeri Sembilan dalam saingan Piala Sumbangsih di Stadium Nasional, Bukit Jalil esok.

Beliau berkata, berdasarkan ramuan pemain yang dimiliki oleh TRW musim ini, skuad bimbingan Peter Butler itu dilihat lebih ampuh berbanding musim lalu dengan memiliki ramai pemain yang berkualiti.

"Saya lihat musim ini TRW mempunyai ramai pemain yang berkualiti dan mampu menjaringkan gol. Ditambah pula dengan pemain sedia ada, Kelantan mampu membentuk gandingan mantap di semua posisi.

"Kemasukan beberapa pemain berpengalaman seperti Indra Putra Mahyuddin, Azizi Mat Rose, Nor Farhan Mohammad serta dua tonggak import iaitu Mohammad Ghaddar dan Danny Antwi memberikan banyak pilihan kepada ketua jurulatihnya Butler untuk merencanakan ramuan terbaik bagi menghadapi Negeri Sembilan pada perlawanan Sumbangsih kelak," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Tambahnya, kemasukan pemain tersebut bakal mewujudkan persaingan yang sihat dalam kalangan pemain seterusnya membantu membentuk sebuah pasukan yang mantap.

Karathu memberitahu, penghijrahan beberapa tonggak utama Negeri Sembilan ke pasukan lain musim ini dilihat memberi sedikit kele- bihan kepada Kelantan.

"Begitupun kemampuan skuad bimbingan Mohd. Azrai Khor Abdullah itu tidak boleh dipandang remah oleh Kelantan. Mereka pasti mempunyai perancangan yang tersendiri untuk menghadapi perlawanan ini. Namun saya percaya Kelantan juga ada ramuan untuk menghadapi lawan mereka itu yang juga juara Piala Malaysia musim lalu," ujarnya.

Dalam pada itu, Karathu berkata, beliau sempat sempat menonton dua aksi bekas pasukannya itu ketika menentang Persabaya baru-baru ini.

Menurutnya, berdasarkan pengamatannya sepanjang menyaksikan perlawanan tersebut, Kelantan dilihat mampu mencabar pasukan lain dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

"Beraksi dengan lapan pemain dalam perlawanan pusingan pertama, Kelantan masih mampu mempamerkan corak serangan dan tidak mudah hilang fokus.

"Begitu juga dalam aksi kedua, walaupun beraksi di atas padang yang tidak berapa baik, namun mereka masih mampu mempamerkan persembahan yang bagus," jelasnya.

Kien Keat-Boon Heong Tewas Kepada Regu Tidak Ternama

Posted: 05 Jan 2012 05:55 PM PST

KIEN Keat (kanan) dan Boon Heong tewas kepada pemian dari Taiwan pada pusingan kedua Kejohanan Siri Super Terbuka Korea semalam.


SATU ketika dulu, gandingan Koo Kien Keat- Tan Boon Heong dilabel sebagai beregu emas negara.

Jolokan tersebut diberikan kepada mereka selepas tampil hebat pada Sukan Asia 2006 di Doha, Qatar.

Selepas itu, rentak cemerlang mereka semakin menurun sehingga mudah ditundukkan oleh lawan kurang ternama pada saingan peringkat antarabangsa.

Terbaharu, beregu lelaki No. 1 negara ditunjuk jalan keluar lebih awal pada Kejohanan Siri Super Terbuka Korea semalam.

Mereka tewas kepada beregu dari Taiwan, Chieh Min Fang-Sheng Mu Lee 21-13, 20-22, 22-24 pada aksi pusingan kedua.

Pasangan itu ternyata tidak bernasib baik meskipun mempamerkan aksi bertenaga sebelum tewas pada set kedua dan ketiga.

Pada pusingan pertama sebelum ini, Kien Keat-Boon Heong bermula garang apabila menumpaskan beregu Belanda, Ruud Bosch Keon Ridder 21-15,21-10 dalam tempoh 30 minit.

Kekalahan itu membawa petanda kurang baik kepada gandingan Kien Keat-Boon Heong yang akan menggalas cabaran negara pada Terbuka Malaysia minggu depan.

Mengiringi kekalahan mereka ialah beregu wanita No. 1 negara, Chin Eei Hui-Wong Pei Tty yang tunduk kepada pasangan 'import' Singapura, Shinta Mulia Sari-Yao Lei 26-28, 8-21.

Walaupun memberikan saing yang sengit pada set pertama, namun pasangan itu gagal mengekalkan rentak cemerlang permainan pada set kedua.

Pada saingan pusingan pertama kelmarin, Eei Hui-Pei Tty mencipta kejutan apabila menundukkan pilihan keenam dari Taiwan, Wen Hsing Cheng-Yu Chin Chien dengan keputusan 21-16, 21-13.

Kini, perjuangan negara di Korea diteruskan oleh pemain perseorangan No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei yang mudah melepasi halangan pusingan kedua semalam, sekali gus menempah tempat ke pusingan suku akhir.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu, menewaskan pencabar dari Korea Selatan, Shon Wan Ho 13-21, 21-14, 21-15.

Pemain No. 1 dunia itu dikejutkan pada permainan set pertama apabila ditentang hebat dan tewas kepada Wan Ho, namun bangkit semula pada set seterusnya untuk memenangi perlawanan.

Kelmarin, Chong Wei beraksi cemerlang pada pusingan pertama apabila menewaskan pemain Taiwan, Hsuan Yi Hsueh 21-11, 21-16.

Turut melangkah ke suku akhir ialah pemain No. 2 dunia Lin Dan dari China selepas menewaskan pemain tuan rumah, Hyun Il Lee 11-21, 21-12, 21-10.-kosmo-

Bob Lokman minta tangguh beri keterangan kes ceramah tanpa tauliah

Posted: 05 Jan 2012 05:52 PM PST

BOB LOKMAN diberi notis oleh pegawai JAIP setelah didakwa memberi ceramah tanpa tauliah di Batu 11, Jalan Gambang pada 24 Disember lalu.


KUANTAN - Pelawak dan penulis lirik terkenal, Bob Lokman atau nama sebenarnya Mohd. Hakim Lokman gagal hadir untuk memberi keterangan berkaitan kes mengadakan ceramah tanpa tauliah di Jabatan Agama Islam (JAIP) di sini semalam.

Jurucakap JAIP berkata, Bob, 47, tidak dapat hadir kerana mempunyai alasan yang munasabah dan minta kes itu ditangguhkan.

"Bob telah berunding dengan kami melalui telefon dan menghantar surat kepada JAIP bagi menangguhkan tarikh memberi keterangan yang sepatutnya diadakan hari ini (semalam).

"Dalam surat itu, dia telah memberi beberapa alasan munasabah. Oleh itu, pihak kami telah memberi satu tarikh yang baharu kepadanya untuk memberi keterangan," katanya di sini semalam.-kosmo-

Najib Jual Elektrik Kepada Singapura

Posted: 05 Jan 2012 05:51 PM PST


NAJIB (kanan) bersalaman dengan Hsien Loong pada sesi permukiman Malaysia-Singapura di Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA - Malaysia telah membuat tawaran untuk menjual kuasa elektrik kepada Singapura seiring dengan langkah negara-negara jiran meninjau peluang bidang-bidang baharu untuk kerjasama akan datang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau membuat cadangan itu kepada rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong semasa sesi pemukiman Malaysia-Singapura di sini semalam.

Menyifatkan mesyuarat itu sebagai 'amat produktif dan berjaya', Najib berkata, kedua-dua negara bersetuju untuk meninjau langkah-langkah tambahan dalam meningkatkan lagi hubungan dua hala.

"Di pihak Malaysia, saya mencadangkan kemungkinan Malaysia menjual tenaga elektriknya kepada Singapura yang mana beliau (Hsien Loong) amat mengalu-alukannya," katanya pada sidang akhbar bersama selepas mesyuarat dua hala di pejabatnya di sini.

Najib berkata, bekalan kuasa itu akan dipacu oleh sektor swasta.

Sementara itu, Hsien Loong berkata, Singapura amat terbuka kepada cadangan itu sekiranya termanya wajar dengan mengambil kira perkara-perkara seperti kesan projek itu ke atas alam sekitar.-kosmo-

Masih Hidup Selepas Jatuh Dari Tingkat Empat

Posted: 05 Jan 2012 05:49 PM PST

azhari ditemani ibunya, Mahani ketika dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar semalam.


ALOR SETAR – Umur seorang remaja ternyata masih panjang apabila dia yang terjatuh dari tingkat empat bangunan kuarters guru di Tajar di sini kelmarin kerana mahu mengambil anak burung merpati, selamat.

Dalam kejadian pukul 3.30 petang itu, Mohd. Azhari Mat Saad, 15, patah kaki kanan, retak tulang tangan sebelah kiri, luka di kepala sepanjang kira-kira 12 sentimeter dan lebam pada bahu.

Akibat kecederaan itu, anak ketiga daripada empat beradik itu dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

Ibu mangsa, Mahani Mohd. Saad, 40, berkata, dia ketika dimaklumkan mengenai kejadian menimpa Azhari oleh penduduk kampung pada mulanya tidak menyangka ia benar-benar membabitkan anaknya.

"Namun selepas suami sendiri memaklumkan mangsa ialah Azhari, fikiran saya amat terganggu kerana membayangkan nasib Azhari yang lebih buruk kerana terjatuh dari tingkat empat," katanya ketika ditemui di HSB di sini semalam.

Katanya, bukan dia sahaja yang terkejut malah lebih 20 penduduk kampung datang ke rumahnya di Kampung Jelai di sini kerana menyangka Azhari sudah meninggal dunia.-kosmo-

Ghairah Sungguh Presiden Venezuela Mencium Ratu Cantik Dunia

Posted: 05 Jan 2012 05:45 PM PST

 

CARACAS - Presiden Venezuela, Hugo Chavez mencium tangan Ratu Cantik Dunia 2011, Ivian Sarcos (gambar kecil) di Istana Miraflores di sini kelmarin.

Chavez mencium tangan Sarcos yang juga dari Venezuela semasa mereka bertemu di istana tersebut untuk mengadakan perbincangan dan saling bertukar idea dalam tempoh yang singkat.


Sarcos yang berusia 22 tahun memenangi mahkota Ratu Cantik Dunia 2011 yang diadakan di London pada 6 November lalu di London.

Pada pertemuan tersebut, Chavez turut menunjukkan kalendar yang mengandungi tandatangan dan gambar Sarcos.

Selepas pertemuan itu, Chavez berkata, walaupun Sarcos seorang yang muda, dia mempunyai suara hati kemanusiaan.


HUGO CHAVEZ mencium tangan Ivian Sarcos di Istana Miraflores, Caracas kelmarin.


Menurutnya, dia merupakan seorang wanita muda yang prihatin untuk membantu golongan yang memerlukan.

"Justeru, kami berharap anda mencapai kejayaan yang tidak akan dilupakan," katanya semasa hujan turun di istana tersebut menyebabkan seorang kakitangan memegang payung untuk melindunginya daripada terkena hujan.

Sarcos turut mengucapkan terima kasih ekoran sokongan semua pihak terhadap kejayaannya.

"Saya berasa gembira untuk berada di sini, selepas datang dari London," katanya.

Sarcos yang setinggi 1.80 meter merupakan pelajar di Universiti Central de Venezuela dan menjadi yatim piatu selepas ibu bapanya meninggal dunia semasa berumur lapan tahun menyebabkan dia dibesarkan oleh biarawati. - Agensi

Ikan tuna gergasi dilelong RM2.3 juta

Posted: 05 Jan 2012 05:36 PM PST

KIYOSHI KIMURA (kanan) bergambar di sebelah ikan tuna gergasi di pasar ikan Tsukiji, Tokyo semalam.

TOKYO - Seekor ikan tuna gergasi sirip biru seberat 269 kilogram (kg) yang ditangkap di luar perairan wilayah Aomori, utara Jepun mencipta rekod apabila dilelong dengan harga 56.49 iuta yen (RM2.3 juta) pada lelongan pertama hidupan laut itu dalam tahun ini.

Menurut agensi berita AFP, ikan itu dibeli oleh presiden sebuah syarikat yang mengendalikan rangkaian restoran popular Zushi-Zanmai, Kiyoshi Kimura.

"Saya mahu memenangi ikan tuna yang terbaik supaya pelanggan Jepun dan bukan pelanggan dari luar negara yang akan menikmatinya," kata Kimura.

Dia merujuk kepada seorang pemilik restoran sushi di Hong Kong yang membeli seekor ikan tuna sirip biru yang dilelong pada harga 32.49 juta yen (RM1.32 juta) di Tsukiji, Jepun.

Penduduk Jepun makan tiga suku daripada ikan tuna yang ditangkap di seluruh dunia. - AFP

Cicak gerakkan ekor supaya lancar mendarat

Posted: 05 Jan 2012 05:34 PM PST


 
SEEKOR cicak agama menggunakan ekornya untuk menstabilkan kedudukannya semasa ia melompat ke permukaan menegak.


PARIS, Perancis - Cicak mengubah posisi ekor ketika ia berada di udara supaya haiwan itu dapat mendarat dengan lancar manakala aksi serupa turut dilakukan beberapa spesies dinosaur seperti velociraptor.

Pendedahan tersebut dibuat oleh sepasukan penyelidik Universiti California yang mengkaji pergerakan cicak agama di dalam makmal.

Saintis-saintis berkenaan merakam reptilia Afrika itu semasa ia melompat dari platform landai dan mendarat di sebuah dinding.

Rakaman gerak perlahan menunjukkan cicak agama membengkokkan ekor semasa berada di udara bagi memastikan ia dapat mendarat dengan sempurna. - AFP

No comments: