Friday 23 December 2011

Budak Technician

Budak Technician


Fakta Menarik Tentang Wang Kertas Baru Malaysia

Posted: 22 Dec 2011 10:45 AM PST

Seperti yang sedia maklum, Bank Negara Malaysia baru sahaja melancarkan duit syiling dan duit kertas baru Malaysia pada hari ini. Duit syiling akan mula digunakan pada awal tahun hadapan manakala duit kertas akan mula digunakan dalam bulan Julai 2012. Wang kertas terbaru ini bertemakan "Keunikan Malaysia" yang memaparkan ekspresi tradisional berilhamkan seni dan kraf tangan, keajaiban alam semula jadi, flora dan fauna, ekonomi dan tradisi. Ia terdiri daripada wang kertas RM1, RM5, RM10, RM20, RM50 dan RM100. Berikut adalah beberapa gambar dan fakta menarik tentang duit kertas baru Malaysia yang itu.

Wang kertas baru MalaysiaSpesifikasi Teknikal Wang Kertas Baru Malaysia



Denominasi Substrat Dimensi Warna
RM100 Kertas 150mm X 69mm Unggu
RM50 Kertas 145mm X 69mm Hijau – biru
RM20 Kertas 145mm X 65mm Jingga
RM10 Kertas 140mm X 65mm Merah
RM5 Polimer 135mm X 65mm Hijau
RM1 Polimer 120mm X 65mm Biru



Ciri-ciri Am Duit Kertas Baru Malaysia

''Pada bahagian hadapan semua denominasi wang kertas, telah dikekalkan potret Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang pertama, Tuanku Abdul Rahman ibni Tuanku Muhammad, bunga kebangsaan iaitu bunga raya Rosa-sinensis (dikenali sebagai Bunga Raya dalam kalangan penduduk tempatan) dan corak songket kain tenunan tradisional.
Bahagian belakang setiap denominasi wang kertas memaparkan ciri-ciri alam semula jadi, tradisi, budaya, flora, fauna dan ekonomi yang khusus bagi Malaysia''.

Untuk duit kertas baru Malaysia kali ini, denominasi RM20 mula digunakan semula setelah diberhentikan beberapa tahun dahulu. Mungkin berita gembira buatr kanak-kanak kerana mereka mungkin akan dapat duit raya RM20 pada tahun hadapan. Berikut adalah sedikit penerangan tentang duit kertas yang baru dilancarkan oleh Perdana Menteri sebentar tadi.

Wang Kertas RM100 – Keajaiban Alam Semula Jadi



Dua keajaiban alam semula jadi terkemuka negara yang diisytiharkan sebagai 'Tapak Warisan Dunia' oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dipaparkan pada wang kertas RM100. Keajaiban alam semula jadi yang dipaparkan pada duit kertas RM100 ini ialah Taman Kinabalu di Sabah, dengan Gunung Kinabalu yang hebat dan agung (iaitu gunung tertinggi di Asia Tenggara) dan pembentukan batu mercu batu kapur yang menakjubkan di lembah Gunung Api, yang ditemui di Taman Negara Mulu di Sarawak. Kedua-duanya adlaah alam semula jadi yang sangat mengagumkan dan membanggakan Malaysia.

Wang Kertas RM50 – Pertanian dan Teknologi



Pada wang kertas RM50, gambar kelapa sawit dan bioteknologi dipaparkan sebagai satu ikon ekonomi yang sedang berkembang pesat dan boleh dibanggakan. Kelapa sawit telah menjadi tanaman pertanian negara yang paling utama dari segi ekonomi kerana Malaysia merupakan salah satu pengeluar dan pengeksport terbesar kelapa sawit di dunia. Bioteknologi terus meningkatkan kedudukan komoditi ini dalam rantaian nilai, menyokong transformasi ekonomi negara ke arah aktiviti nilai tambah yang lebih tinggi dalam sektor pertanian, perkilangan dan perkhidmatan.

Wang Kertas RM20 – Hidupan Laut



Setelah sekian lama duit RM20 diperkenalkan semula dengan meletakkan gambar keindahan dan hidupan laut di Malaysia. Duit kertas baru RM20 ini memaparkan gambar dua spesies penyu terkenal dan hanya dijumpai di perairan Malaysia iaitu Penyu Karah (Eretmochelys imbricata) dan Penyu Belimbing (Dermochelys coriacea). Penyu Karah mudah dikenali melalui muncungnya yang melengkung dan kulitnya yang bersisik manakala Penyu Belimbing pula mempunyai kulit yang keras dan tujuh jaluran pada cangkerangnya.

Wang Kertas RM10 – Flora



Wang kertas baru RM10 berwarna merah dan memaparkan Hutan Tropika Malaysia yang tumbuh subur. Spesies Rafflesia Azlanii yang dipaparkan pada wang kertas RM10 baharu ini merupakan spesies asli Semenanjung Malaysia dan mula-mula sekali ditemui di Hutan Simpan Royal Belum di negeri Perak pada tahun 2003. Bunga ini dinamakan sempena nama Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yusuff Izzuddin Shah Ghafarullahu-Lah.

Wang Kertas RM5 – Hidupan Liar



Wang kertas baru RM5 bertemakan hidupan liar dan memaparkan gambar burung enggang. Burung Enggang Badak (Buceros rhinoceros), iaitu salah satu spesies burung enggang terbesar dan paling mengagumkan di dunia. Burung yang menarik, bersayap lebar dan berekor panjang yang boleh ditemui dalam kelompok kecil di hutan hujan di seluruh negara ini memainkan peranan penting dalam budaya dan upacara tradisional negeri Sarawak yang turut dikenali sebagai 'Bumi Kenyalang'.

Wang Kertas RM1 – Sukan Tradisional



Wang kertas RM1 masih mengekalkan gambar permainan tradisional, Wau di belakang wang tersebut tetapi dengan rekaan dan bentuk baru. Permainan wau merupakan sukan tradisional yang popular di Malaysia terutamanya di Kelantan dan Terengganu. Permainan wau juga secara tradisinya merupakan suatu acara untuk meraikan hasil tuaian yang baik yang merapatkan masyarakat tempatan negeri-negeri tersebut.

Sempena pengeluaran wang kertas baru Malayia ini, Bank Negara Malaysia akan mengeluarkan duit kertas peringatan yang dijual bermula pada 22 Disember 2011 di tempat-tempat yang terpilih. 

sumber

Cuepacs: PM Setuju Tangguh Perlaksanaan SBPA

Posted: 22 Dec 2011 10:34 AM PST

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu pelaksanaan skim sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) ditangguhkan untuk dirunding semula dengan penjawat awam.

Utusan Online melaporkan beliau berkata demikian kepada sekumpulan ahli kongres itu di perkarangan bangunan Perdana Putra selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri di Putrajaya hari.

Omar dijadualkan mengadakan satu sidang akhbar di Universiti Putra Malaysia tengah hari ini berhubung isu itu.

Manakala Bernama pula memetik Omar sebagai berkata perdana menteri meminta satu rundingan diadakan antara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Cuepacs esok bagi menentukan sama ada menangguhkan pelaksanaan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) atau melanjutkan tarikh mengembalikan borang opsyen.

Beliau memberitahu demikian mengenai hasil pertemuannya dengan Datuk Seri Najib semalam.


sumber : Cuepacs

Video Perlawanan Persahabatan Harimau Muda di Australia

Posted: 22 Dec 2011 10:12 AM PST




Keputusan Penuh Perlawanan Persahabatan Harimau Muda di Australia

13/12/2011 : Harimau Muda A 3-1 Sydney FC

14/12/2011 : Harimau Muda A 0-1 Central Coast Mariners FC
19/12/2011 : Harimau Muda A 4-1 Central Coast Mariners FC

Video Perlawanan ada dibawah :





13/12/2011 : Harimau Muda A 3-1 Sydney FC




14/12/2011 : Harimau Muda A 0-1 Central Coast Mariners FC




19/12/2011 : Harimau Muda A 4-1 Central Coast Mariners FC





Kredit to Sokernet / kuejournal

Gambar Raptai Majlis Penganugerahan Gelaran Datuk Kepada AC Mizal & Eizlan Yusof

Posted: 22 Dec 2011 09:53 AM PST

Segala gossip mengenai AC Mizal dapat gelaran Datuk sudah terjawab di mana AC Mizal betul-betul dah terima anugerah Dato seperti didakwa selama ini. Sumber dari blog suarapeople telah melaporkan gambar raptai penuh majlis istiadat penganugerahan pingat dan darjah kebesaran ini berlangsung di Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang. Berikut adalah beberapa keping gambar dari laman majlis raptai istiadat gelaran Dato tersebut.


 



sumber : suarapeople

FIFA - Ranking Malaysia Meningkat Untuk Tahun 2011

Posted: 22 Dec 2011 09:40 AM PST

~UPDATE~
Ini adalah kedudukan ranking Malaysia yang terbaru untuk Disember 2011
Dunia : 148
Asia : 24
Asia Tenggara : 5  


Kedudukan terkini pada 21 Disember 2011
Kedudukan seterusnya adalah pada 18 Januari 2012
Fakta Menarik Kedudukan Ranking FIFA Negara Asia Tenggara


Fakta Malaysia :
Malaysia naik tujuh anak tangga dari kedudukan 148 ke kedudukan 155 pada bulan Disember 2011
Kedudukan terbaik adalah pada Ogos 1993 iaitu berada pada kedudukan ke 75
Kedudukan terburuk adalah pada April 2008 iaitu pada tangga ke 170


Fakta Thailand :
Disember 2011 pada tangga ke 122, meningkat sepuluh anak tangga
Kedudukan terbaik adalah pada tangga 43 iaitu pada September 1998
Kedudukan terburuk adalah pada Disember 2006 iaitu pada tangga ke 137

Fakta Vietnam :
Disember 2011 pada tangga ke 99, meningkat tiga puluh lima anak tangga
Kedudukan terbaik pada tangga 84 iaitu pada September 1998
Kedudukan terburuk adalah pada Disember 2006 iaitu pada tangga 172.

 Fakta Indonesia :
Kedudukan 142 pada bulan Disember 2011, meningkat dua anak tangga
Kedudukan terbaik ialah pada September 1998 iaitu pada tangga 76
Kedudukan terburuk adalah pada Disember 2006 iaitu pada tangga ke 153
Fakta Singapore :
Kedudukan 145 pada bulan Disember 2011, meningkat tujuh anak tangga
Kedudukan terbaik ialah pada Ogos 1993 iaitu pada tangga 73
Kedudukan terburuk adalah pada November 2011 iaitu pada tangga ke 152
 
 
sumber : kuejournal

Keadaan Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Nik Aziz Semakin Tenat!

Posted: 22 Dec 2011 09:26 AM PST


Sumber dari Edisikini.com telah berkongsi sedikit berita mengenai Datuk Nik Aziz Nik Mat yang lebih dikenali dengan nama Tok Guru.Berita yang menggemparkan buat pencinta dan pengikut arena politik tanah air apabila Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi, ICU Hospital Pakar Perdana, Kota Bharu, pagi tadi akibat diserang sakit jantung.

Menurut Timbalan Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yaakob, Datuk Nik Aziz dikejarkan dengan ambulans ke hospital jam 6.30 pagi khamis.

Antara yang melawat Datuk Nik Aziz, Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid .

Turut menziarahi, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mustapa Mohamed yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan.

Walau apa pun, tidak kira penyokong atau pengikut parti politik kerajaan mahupun pembangkang sama-samalah kita sedekahkan doa agarkan beliau sembuh seperti sediakala.-Penulissenja

Hero Filem Ong Bak, Tony Jaa Berlakon Dalam Filem KL Gangster 2 ?

Posted: 22 Dec 2011 11:25 AM PST

PEMINAT filem KL Gangster yang muncul filem Melayu paling berjaya di pawagam sehingga kini tentunya bersorak riang apabila baru-baru ini produser Datuk Yusof Haslam daripada Skop Production mengumumkan KL Gangster 2 pula akan dikeluarkan tidak lama lagi.

Menurut Berita Harian, ia bukanlah filem susulan, sebaliknya kisah yang berlaku sebelum cerita yang disaksikan penonton dalam filem pertama.

Maknanya, filem prekuellah tu. Dan, ia juga lebih hebat apabila kos penerbitannya pun mencecah RM3 juta.

Ramai pelakon asal yang muncul dalam KL Gangster akan kembali menghangatkan filem kedua ini. Antaranya ialah Aaron Aziz, Adi Putra, Shoffi Jikan, Sheera Iskandar dan Zizan.

Lepas tu ada terdengar khabar angin mengatakan, pelakon aksi terkemuka Thailand, Tony Jaa pun akan diundang sama memeriahkan filem itu!

Kalau benarlah, maka nilai komersial filem kedua ini tentulah bertambah lagi.

Kita semua bukannya tak kenal siapa Tony Jaa.

Dia kan bintang lasak cukup hebat yang menggegarkan pawagam setiap kali muncul dengan siri filem Ong Bak.


Hai…berduyunlah orang ke pawagam nanti…

sumber asal : mynewshub.com

Sudah Tiba Masanya Shahrizat Letak Jawatan

Posted: 21 Dec 2011 09:58 PM PST



KUALA LUMPUR – Apakah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil telah menghantar surat perletakan jawatannya hari ini?

Isu itu tersebar meluas dan soalan mengenainya telah diajukan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak pada satu majlis yang dihadiri beliau di sini hari ini.

Perdana Menteri menafikan tindakan itu.

Najib bagaimanapun berkata, beliau akan membuat satu pengumuman penting melibatkan Shahrizat tidak lama lagi.

Isi penting pengumuman itu tidak sedikit pun disebut oleh beliau.

Namun, sumber memberitahu, Shahrizat berkemungkinan tidak akan dicalonkan pada pilihan raya umum akan datang.

Ini kerana beliau hampir pasti akan tewas di mana sahaja kerusi yang beliau tandingi dan itu bukan satu pilihan yang baik buat Barisan Nasional (BN).

Desas-desus perletakan jawatan Shahrizat tersebar selepas beliau dilaporkan berkata;

"Tidak ada siapa yang perlu memberitahu saya apa yang perlu saya buat.
"Sebagai pemimpin yang bertanggungjawab dan sudah matang dalam politik dan sayang kepada Barisan Nasional (BN), saya tahu apa yang patut saya buat dan saya akan bincangkannya dengan Datuk Seri Najib," kata kepada wartawan hari ini.

Karier politik Shahrizat kini dibelenggu dengan isu National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) yang dipengerusikan suaminya, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail.

Sudah Tiba Masanya Shahrizat Letak Jawatan

NFC menjadi perhatian umum apabila sebahagian dananya dikatakan telah digunakan untuk membeli kondominium mewah di Bangsar dan terbaru di Singapura.

Perbadanan itu dikatakan telah menerima dana berjumlah RM256 juta (RM250 juta dalam bentuk pinjaman dan RM6 juta dalam bentuk geran).

NFC asalnya ditegur pihak Ketua Audit Negara kerana diuruskan dengan cara yang kucar-kacir serta gagal memenuhi sasaran yang ditetapkan.

Perkara itu (teguran Ketua Audit) telah dinafikan oleh pihak NFC tetapi isu berkaitan pembelian kondominium mewah itu masih tergantung jawapannya.

Isu NFC menjadi semakin parah apabila Dr Mohamad Salleh dilihat mengambil pendirian berdiam diri dan mengelak dari menjawab.

Sikap beliau itu mendapat kritikan pedas Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi yang berkata, sikap berdiam diri Mohamed Salleh menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung beban dituduh bersubahat sedangkan semua dakwaan melibatkan urusan syarikat.

"Saya gesa Datuk Seri Dr Mohamad Salleh tampil ke depan dengan segera menjawab segala tuduhan baru yang tersebar di dalam blog, yang dibuat pembangkang supaya rakyat tidak terkeliru dan kerajaan tidak menjadi mangsa tuduhan.

"Bila berdiam diri, tak jawab (segala dakwaan) seolah-olah dia tidak bertanggjungjawab, seolah-olah dia sengaja nak susahkan UMNO dan kerajaan," katanya awal bulan ini.

Selain pembangkang, wujud desakan yang agak kuat dalam UMNO juga yang mahu Shahrizat meletak jawatan dan berundur segera bagi mengelakkan dirinya terus menjadi liabiliti kepada parti terutama menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 yang diramal banyak pihak berlangsung awal tahun hadapan.

Antara yang membuat gesaan berkenaan adalah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan beberapa Ahli Parlimen BN.

Di peringkat ini, Najib pun mesti dalam dilema kerana hendak ambil tindakan terlalu tegas secara mendadak bukan mudah kerana Shahrizat bukan kecil-kecil anak, beliau adalah Ketua Wanita BN dan UMNO.

Harus berpijak di bumi yang nyata kerana Najib selaku Presiden UMNO pastinya mahukan jentera yang terkuat untuk menghadapi PRU-13.

Kalau Shahrizat ditolak begitu sahaja, ada kemungkinan sayap Wanita akan patah dan selaku sayap terpenting, ia akan menjejaskan UMNO dengan begitu teruk sekali.

Itu satu percaturan politik yang amat tinggi risikonya.

Dalam isu NFC, Shahrizat dilihat telah menemui jalan buntu dalam memperjelaskan isu berkenaan sehingga sekadar mampu berkata;

"Saya hanya isteri kepada Pengerusi NFC. Semua wanita ada keluarga dan suami,".

Kalau sudah mula beri jawapan-jawapan seperti ini, yang nyata menagih simpati semata-mata dan tidak ada isi yang kuat, maka lebih baik Shahrizat berundur sahajalah.

Kalau benar sayang UMNO dan BN, itu adalah antara penyelesaian terbaik.
Kalau benar tidak dicalonkan untuk PRU-13 pun mungkin satu permulaan yang baik ke arah Shahrizat berundur diri secara perlahan-lahan.
Dan sebenarnya apa yang terbaik boleh dilakukan ialah Shahrizat berundur atas kesedaran sendiri.

Keputusan PRU tahun 2008 mengajar bahawa BN dan UMNO perlu berjuang dengan sebaik mungkin dalam PRU-13 untuk terus kekal releven memerintah negara ini.

Jika Shahrizat dan suaminya gagal memberikan penjelasan yang munasabah dan boleh diterima umum, maka beliau harus berundur dari jawatan dalam Kabinet dan parti atas kerelaan sendiri.- mynewshub

Gambar Kejadian Al-Quran Tidak Terbakar Dalam Satu Kebakaran

Posted: 21 Dec 2011 08:48 PM PST

Subahanallah!!! Satu kejadian yang sangat menyentuh hati kita sebagai umat Islam, di mana Allah telah tunjukkan kepada kita betapa tingginya kebesaranNya. Dia berhak dan berkehendak ke atas sesuatu perkara. Kita hambaNya seharusnya mengambil iktibar dari kejadian ini.



sumber : gilabest.com

Bayi Berkepala 2 Di Brazil

Posted: 21 Dec 2011 08:19 PM PST

Brazil – Bayi berkepala dua yang berkongsi jantung, paru-paru dan hati yang dilahirkan di Brazil, kini dilaporkan sihat.

Bayi berkenaan diberi nama Emanoel dan Jesus oleh ibunya, Maria de Nazare.

Mereka yang mempunyai dua otak itu dilahirkan melalui pembedahan.

Menurut pengarah hospital Santa Casa, Neila Dahas, pihaknya mencadangkan kaedah pembedahan selepas imbasan yang dilakukan mengesan kandungan itu adalah kembar namun mempunyai dua kepala.
Ia juga bagi menyelamatkan nyawa ibu dan bayi berkenaan.

"Di sebalik masalah yang kita hadapi terutama kelengkapan yang kurang di hospital ini, kita berjaya menyelamatkan ibu dan bayi tersebut.

"Bagi kami, ia merupakan satu kejutan besar apabila mendapati bayi berkenaan dilahirkan sihat," katanya.

Kelahiran bayi kembas siam sering berlaku namun kelahiran melibatkan bayi yang mempunyai dua kepala amat jarang berlaku di dunia.

Ia merupakan kelahiran kedua seumpama ini di Brazil, namun dalam kes pertama, bayi tersebut meninggal dunia selepas satu kepala mengalami kekurangan oksigen apabila satu lagi kepala meninggal dunia.

Dalam sesetengah kes, apabila bayi mempunyai kepala, otak di salah satu kepala akan mengalami proses perkembangan yang perlahan bagi menyelamatkan nyawa bayi berkenaan.

Namun dalam kes ini, Emanoel dan Jesus mempunyai dua otak, sekali gus menyukarkan doktor untuk membuat keputusan sama ada akan membuang kepala itu atau tidak.

"Jika kedua-dua kepala bayi itu mempunyai otak, bagaimana kita hendak memilih kepala mana yang akan dibuang.

"Kita tidak mempertimbangkan untuk melakukan pembedahan dan pada masa ini kita hanya akan melihat perkembangan serta pertumbuhan bayi itu " kata Neila.

Sekurang-kurangnya 14 kes yang sama berlaku dalam kelahiran bagi tempoh 200 tahun. (mynewshub)

Edry KRU Hadiahkan Iqa Mentor Galaxy Tab

Posted: 21 Dec 2011 07:56 PM PST


KUALA LUMPUR – Peserta program Mentor 5, Nursyafiqah Nasratullah Mohd. Nor atau Iqa bertuah kerana sewaktu menyertai pertandingan terbitan TV3 itu, mentornya Edry KRU telah menghadiahkannya sebuah komputer tablet Samsung Galaxy Tab yang menjadi idamannya.

Menurut penyanyi baru berusia 25 tahun itu, dia berasa beruntung bukan sahaja mendapat hadiah itu yang menjadi kegunaannya seharian kini, malah kenangan bekerjasama dengan anggota kumpulan KRU terbabit yang banyak memberikannya tunjuk ajak dalam Mentor 5.

"Jangan salah faham kerana Galaxy Tab yang Edry hadiahkan kepada saya itu adalah pemberian daripada seorang mentor kepada protegenya. Edry hadiahkan kepada saya Galaxy Tab itu selepas saya berjaya memperolehi lebih 65 markah sewaktu bertanding dalam pertandingan itu.

"Tetapi saya tidak menyangka pula akan mendapat 69 markah pada pusingan separuh akhir kedua sekali gus menjuarai konsert pada minggu tersebut. Edry berbuat demikian bagi memberi motivasi kepada saya supaya menyanyi lebih bersungguh-sungguh," katanya sambil tersenyum manja.

Justeru, ekoran pemberian hadiah Galaxy Tab itu, Iqa berharap agar para peminatnya tidak berasa cemburu, apatah lagi mahu menggosipkannya dengan Edry yang sudah berkeluarga demi menjaga hubungan dan nama baik kedua-dua belah pihak pada masa depan hanya kerana pemberian tersebut.

Malah, apabila diajukan soal cinta dan pasangan hidup, Iqa yang baru muncul dengan album single pertamanya berjudul Di Penghujungnya berkata, dia tidak mahu memikirkan perkara itu buat masa ini, sebaliknya mahu memikirkan soal kerjaya sebagai penyanyi yang baru diceburinya itu.

"Saya memang masih solo dan terbuka untuk menerima lelaki dalam hidup saya tetapi bukan untuk waktu ini. Ini kerana, saya mahu menumpukan perhatian pada bidang nyanyian. Apatah lagi, saya baru sahaja putus cinta pada tahun lalu. Jadi, biarlah saya bersendirian buat seketika," ujarnya lagi. – mynewshub.my

AC Mizal Sudah Boleh Dipanggil Datuk

Posted: 21 Dec 2011 07:33 PM PST


KUALA LUMPUR: Pengacara dan usahawan AC Mizal, 41, mengesahkan penerimaan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk bersempena sambutan hari keputeraan Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah ke-81 pada Khamis.

Pengesahan AC itu sekaligus menepis pelbagai spekulasi yang mempertikaikan pengurniaan tersebut sebelum ini.

Menjawab tentang isu gelaran Datuk itu, AC Mizal atau nama sebenarnya Mizal Zaini, berkata surat pengurniaan berkenaan sebenarnya sudah diterimanya sejak sambutan ulang tahun keputeraan baginda yang ke-79 lagi.

Bagaimanapun, upacara pengurniaan kepadanya itu tertangguh kerana dia perlu mengikut giliran senarai penerima darjah kebesaran itu sebelum ini sehingga mencetuskan pertikaian di kalangan orang ramai.
"Pada hari ini (Rabu) saya baru sahaja terlibat dengan sesi latihan untuk upacara penganugerahan Datuk bersempena ulang tahun keputeraan baginda Sultan Pahang yang ke-81.

"Saya berharap dengan pengurniaan Datuk pada esok (Khamis) akan menjawab segala kekeliruan yang tercetus sebelum ini," katanya.

AC Mizal ditemui pada sidang media majlis pelancaran laman sosial pertama Malaysia, mface di Hotel Doubletree by Hilton, di sini, malam Rabu. -mstar-

Chef Wan Enggan Bersemuka Dengan Adlin

Posted: 21 Dec 2011 07:31 PM PST

 Chef Wan

PETALING JAYA: Tukang masak selebriti, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan enggan bersemuka dengan Adlin Aman Ramli ekoran rasa kurang senang pelakon itu terhadapnya selepas dikritik hebat sepanjang program Maharaja Lawak Mega (MLM) berlangsung.

Chef Wan berkata, tidak ada keperluan untuk menjernihkan keadaan selepas Adlin yang tersingkir daripada MLM pada minggu lepas, melancarkan 'perang status' di laman sosial Facebook.

"Saya tak akan merendahkan martabat diri saya sepertinya (Adlin) iaitu orang yang tidak matang. Lagipun, siapa dia untuk saya pergi berjumpa?," soalnya yang dihubungi mStar Online, di sini, Rabu.

'Perang Facebook' yang dilancarkan Adlin pada Ahad lalu bermula apabila dia bengang dengan komen negatif dalam entri Facebook Chef Wan selain sering menerima kritikan pedas sewaktu melakukan persembahan di MLM.

Dalam entri tersebut, Chef Wan menyifatkan Adlin sebagai kurang sopan kerana pernah mempersendakan arwah bapanya sendiri iaitu pelakon A.R Tompel dalam persembahan yang dibawakan.

Adlin pula menolak dakwaan tersebut dan menganggap Chef Wan tidak faham dengan lawak yang dipersembahkan.

Bagaimanapun kata Chef Wan, sepatutnya Adlin yang mempunyai pengalaman sebagai juri program Akademi Fantasia (AF) tidak perlu melatah tentang komen yang diberikannya memandangkan dia juga seorang juri yang 'bermulut pedas'.

"Dia kritik orang boleh, tetapi tidak boleh pula terima kritikan orang. Karakternya sudah cukup menunjukkan dirinya yang sebenar.

"Sebagai seorang selebriti yang mempunyai pengikut yang ramai, dia perlu menunjukkan persembahan lawak yang positif dan secara amnya tidak membabitkan isu-isu keluarga, agama atau persendakan orang.

"Perlukah kita yang mempunyai adat dan budaya sopan yang tinggi mengikuti pelawak-pelawak Barat yang juga mampu membogelkan diri mereka untuk dijadikan bahan lawak? Pada pendapat saya, mana yang baik, kita ambil, yang buruk pula kita abaikan," tegas bapa kepada dua orang anak ini.

Terima anugerah
Sementara itu, Chef Wan telah menerima Anugerah Khas Menteri Pelancongan pada Malam Gala Anugerah Pelancongan Malaysia yang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre, Selasa.

Katanya, ia merupakan penghormatan yang amat bermakna setelah 25 tahun memberi komitmen sepenuhnya dalam memperkenalkan masakan Malaysia kepada dunia.

"Terasa segala usaha, komitmen dan pengorbanan yang diberi dalam kerjaya ini berbaloi. Pengiktirafan yang diberikan memberikan semangat lebih untuk memperkenalkan masakan Malaysia kepada dunia," kata Chef Wan yang akan sibuk pada tahun depan mengendalikan beberapa program masakan di beberapa saluran televisyen.

Selain Chef Wan, pereka kasut terkenal Datuk Jimmy Choo turut menerima anugerah khas tersebut. -mstar-

Cif Besar, Cif Kecik Satu Pembaharuan Raja Lawak Keenam

Posted: 21 Dec 2011 07:26 PM PST


KUALA LUMPUR: Program realiti popular Raja Lawak musim keenam dengan format baru memperkenalkan penerbit dan pelakon popular, Ahmad Idham Nadzri sebagai Cif Besar.

Manakala tiga bekas peserta Raja Lawak iaitu Yus, Angah dan Taukeh sebagai Cif Kecik. Kesemua mereka diberi peranan untuk membantu peserta menghasilkan lawak yang berkualiti setiap minggu.

Menurut Pengurus Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani, pembaharuan yang dibuat untuk musim terbaru ini adalah bagi memantapkan persembahan para peserta ketika di gelanggang Raja Lawak.

"Kita telah memilih Ahmad Idham sebagai untuk memainkan peranannya sebagai Cif Besar, manakala Cif Kecik terdiri daripada Angah, Yus dan Taukeh bagi membantu persembahan peserta.

"Mereka akan membantu dalam memberi idea kepada peserta supaya menjadi lebih baik dan berkongsi pengalaman yang ada," katanya pada sidang media, majlis pelancaran Raja Lawak musim keenam, di sini, Rabu.

Dalam pada itu, 12 peserta yang bakal memberi saingan di pentas Raja Lawak 6 ini turut diperkenalkan iaitu Kumpulan Zero, Skema, Cuit, 2yol, Gman, Albob, Shiro, Riki, Selak, Ketupat, King dan seorang peserta solo, Kudan.

Tambahnya, kesemua peserta akan ditempatkan di tiga buah lokasi dan menerima latihan serta bimbingan profesional daripada pengkritik jemputan pada setiap minggu sebagai persediaan sebelum membuat persembahan mingguan secara langsung.

Sementara itu, tiga orang pengkritik tetap akan bertanggungjawab menilai persembahan para peserta.

"Tiga orang juri tetap akan diumumkan pada minggu pertama. Mereka terdiri dari orang dalam industri komedi juga dan mereka akan menilai berdasarkan kelucuan dan elemen jenaka setiap persembahan, " katanya.

Bagaimanapun nasib peserta akan ditentukan sepenuhnya berdasarkan sistem pemarkahan 100 peratus undian penonton melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

Raja Lawak musim ini turut dikendalikan dua pengacara popular iaitu Johan dan Zizan
Ia akan disiarkan secara langsung setiap Jumaat, pukul 10 malam bermula 13 Januari di saluran Astro Warna. -mstar-

Top 10 Anak Selebriti Yang Paling Berpengaruh Di Hollywood

Posted: 21 Dec 2011 07:17 PM PST

ANAK kepada pasangan Tom Cruise dan Katie Holmes iaitu Suri Cruise diumumkan sebagai anak selebriti paling berpengaruh di Hollywodd dalam satu kaji selidik yang dilakukan oleh Daily Beast.

Pengaruh Suri diekori rapat oleh anak perempuan David dan Victoria Beckham iaitu Harper Seven Beckham yang berada di tempat kedua senarai itu.

Antara penyebab mereka tersenarai adalah berdasarkan populariti menghiasi majalah-majalah dan selain ibu bapa mereka menjadi tumpuan ramai.

Nama lain yang tersenarai adalah seperti Shiloh, Max Anthony, Mason Disick dan Jayden Federline.

Berikut adalah senarai 10 anak selebriti yang paling berpengaruh di Hollywood.

1. Suri Cruise (anak kepada Tom Cruise - Katie Holmes)

2. Harper Seven Beckham (David - Victoria Beckham)
 
3. Shiloh Jolie-Pitt (Brad Pitt - Angelina Jolie)

4. Max Anthony (Marc Anthony - Jennifer Lopez)

5. Mason Disick (Scott Disick - Kourtney Kardashian)

6. Honor Marie Warren (Cash Warren - Jessica Alba)

7. Cruz David Beckham (David - Victoria Beckham)

8. Vivienne Jolie-Pitt (Brad Pitt - Angelina Jolie)

9. Violet Anne Affleck (Ben Affleck - Jennifer Garner)

10. Jayden Federline (Kevin Federline - Britney Spears)


sumber : mstar

Elfira Loy Bercinta Dengan Randy Pangalila?

Posted: 21 Dec 2011 06:05 PM PST



PELAKON Pembantu Wanita Terbaik Drama Anugerah Skrin 2011, Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, semakin berkilau kerdipan bintangnya.

Mungkin terang yang menyuluh langit seni bercahaya dek bakatnya menerusi drama, telefilem mahupun pentas teater yang diceburinya.

Baru sahaja menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), rezaeki Elfira, 17, makin lebat. Dihujani pelbagai tawaran berlakon, salah satu daripadanya dapat bergandingan dengan aktor tanah seberang, Randy Pangalila.

Mengandaikan Randy sekadar sahabat yang selesa untuk berbicara atau mengandam jenaka, menurut Elfira dia seorang yang peramah dan sering merendah diri.

"Pertama kali dipertemukan dengan Randy, saya gugup, maklum saja dia sudah terkenal di Indonesia dan saya masih menapak lagi dalam dunia lakonan.

"Tapi dia mudah mesra dengan orang dan hubungan kami sama seperti kawan-kawan lelaki saya yang lain," sekeras-keras Elfira menafikan dakwaan bahawa kedua-duanya kini berpacaran.

Tambah Elfira, Randy merupakan seorang yang gemar bercerita serta selalu melontarkan pandangan yang bernas mengenai sesuatu isu.

Ditanya juga apa tujuan Elfira sering berhubung dengan Randy melalui Black Berry Messenger (BBM) walaupun jarak yang memisahkan kedua-dua anak muda itu makin jauh? Adakah ia suatu hubungan jarak jauh?

Jawab Elfira: "Kami selalu BBM tapi hanya borak-borak kosong. Tambahan kami merupakan penyokong kuat pasukan bola sepak masing-masing, dia Arsenal dan saya Manchester United."

Itulah butir bicara yang disusun Elfira. Bagaimanapun, ketika Kosmo! dipertemukan dengan barisan pelakon Biar Mimpi Sampai Ke Bintang di Alexis, The Garden Mid Valley, Kuala Lumpur baru-baru ini, Randy tidak dapat menghadirkan diri berikutan jadual lakonannya yang terbatas di Indonesia.

Kurang ilmu
Sementara itu, Elfira yang membintangi drama Qalesya turut diminta mengulas mengenai kata-kata nakal orang sekeliling yang menyifatkan dia kurang berilmu sewaktu mengacarakan sebuah rancangan TV berbentuk pelancongan baru-baru ini.

Sedikit terkejut dan terkilan dengan dakwaan itu, katanya, dia hanya mengikut perancangan awal menerusi perbincangan bersama tenaga produksi rancangan itu.

"Rancangan itu tiada skrip dan semua yang dirakam berlaku secara spontan, setiap yang keluar dari mulut saya mengikut setiap perbincangan dengan pihak produksi yang sememangnya mahu saya 'berlakon' dalam rancangan itu," tuturnya menjawab dakwaan yang dilemparkan itu.

Tambah Elfira, dia bukan seorang selebriti yang langsung tidak tahu menahu mengenai tempat-tempat bersejarah di sesuatu kawasan biarpun baru menghabiskan zaman persekolahan.

"Saya tidak kisah dengan apa yang orang ingin cakap, kalau orang yang selalu mengacarakan pelbagai rancangan mereka akan faham kenapa saya berbuat begitu," kata anak kedua daripada empat beradik itu lagi.

Bagi Elfira, ilmu itu luas untuk diterokai. Prinsipnya belajar selagi terdaya kerana sampai ke mati pun ilmu itu tidak akan habis.

ELFIRA bakal ke Paris bersama Randy (kiri) menjelang awal Mac tahun depan.


Bercerita mengenai watak yang digalasnya dalam telefilem arahan Michael Ang, Biar Mimpi Sampai Ke Bintang iaitu Alya, tawaran watak yang lebih matang selari dengan usianya itu merupakan kali pertama diberikan kepadanya.

"Saya tidak terlalu memikirkan mengenai watak yang dibawa dan memang saya akui watak yang diberikan kali ini lebih berat daripada karakter yang sering saya mainkan," katanya yang juga selesa berlakon di bawah arahan Michael.

Anak penjual ayam
Biar Mimpi Sampai Ke Bintang mengisahkan Alya, seorang gadis yang menghabiskan masanya membantu ibunya, Peah (lakonan Sharifah Shahora) menjual ayam di pasar borong.

Sementara itu, Andy (Randy) pula adalah seorang remaja yang berasal dari Indonesia, anak
jutawan Hardiyanto Sasputra. Kehidupan Andy dirasakan terlalu bosan dengan kehadiran ibu tirinya bernama Jenny, dan dikelilingi rakan-rakan yang hanya berkawan dengannya kerana dia anak jutawan.

Andy sering menghilangkan kebosanannya dengan melawat Mak Yam (Didie Alias), bekas orang gajinya yang telah berhenti kerja.

Kehidupan Alya dan Andy mula berwarna apabila masing-masing menyorok identiti mereka dalam laman sosial Facebook di mana Alya menyamar sebagai orang kaya, manakala Andy menyamar sebagai orang miskin.

Pertemuan kali pertama mereka benar-benar menjadikan pertemuan itu sebagai jatuh cinta pandangan pertama. Bermula saat itu, berbagai-bagai perkara suka duka berlaku dalam hidup mereka. Mereka semakin rapat dan akhirnya tidak mampu menafikan yang masing-masing benar-benar serasi antara satu sama lain.

Turut menjayakan Mimpi Sampai Ke Bintang ialah adik lelaki Elfira iaitu Ezzrin Loy.

Diskaun Tol Hingga 37 Peratus

Posted: 21 Dec 2011 05:59 PM PST


PLUS akan memberi diskaun tol 10 peratus untuk pengguna lebuh raya pada 25 Disember ini.



KUALA LUMPUR - Para pengguna lebuh raya akan menikmati diskaun dan rebat tol antara lima hingga 37.5 peratus sempena perayaan Krismas yang akan disambut pada Ahad ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Mohd. Saleh Santhiman berkata, pemberian diskaun dan rebat tol itu melibatkan 20 syarikat konsesi yang mengendalikan 24 buah lebuh raya.

Beliau dalam kenyataannya di sini semalam menjelaskan, antara lebuh raya tersebut ialah Lebuh Raya Pintas Selat Klang Utara Baru (NNKSB) yang menawarkan diskaun 10 peratus bagi semua kelas kenderaan mulai 11 malam pada 24 Disember hingga 8 pagi, 25 Disember.

Selain itu, pengguna Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS), Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuh Raya Seremban-Port Dickson (SLDH), Lebuh Raya Kulim-Butterworth (KLBK), Lebuh Raya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA) pula akan menikmati kadar rebat sepanjang masa sebanyak 10 peratus bagi pengguna kenderaan kelas 1 pada 25 dan 27 Disember. -kosmo-

Pengguna NGV Disarankan Pasang Alat Pengesan Kebocoran

Posted: 21 Dec 2011 05:10 PM PST


CONTOH alat pengesan kebocoran NGV yang dijual mengikut jenis kenderaan.



KUALA LUMPUR – Mulai Januari depan, kira-kira 46,000 kenderaan gas asli (NGV) di negara ini wajib dipasang dengan Alat Pengesan Kebocoran Gas yang telah diluluskan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM).

Alat itu diwajibkan dipasang pada semua kenderaan NGV berikutan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 mengenai penggunaan NGV telah diluluskan oleh Parlimen dan akan diwartakan tahun depan.

Menurut Pengarah Bahagian Kejuruteraan Automotif JPJ, Ir. Mohamad Dalib, alat keluaran tempatan berharga RM150 itu terbukti dapat mengesan kebocoran NGV dalam kenderaan.

"Ia boleh dipasang di 170 bengkel kenderaan berdaftar di seluruh negara dengan harga RM150 itu termasuk caj pemasangan," katanya pada sidang akhbar di sini semalam. -kosmo-

Visa Pelajar Asing Diperketatkan

Posted: 21 Dec 2011 05:04 PM PST




 
MAHMOOD


PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) selepas ini hanya akan mengeluarkan visa kepada pelajar asing apabila mereka ditawarkan tempat pengajian di kolej atau universiti.

Ketua Setiausaha KDN, Tan Sri Mahmood Adam berkata, menerusi kaedah itu, visa dikeluarkan selepas pelajar terbabit menerima tawaran kolej atau universiti di negara ini.

"Sebelum ini mereka menggunakan visa lawatan sosial dan baru cari universiti atau kolej untuk belajar.

"Tetapi selepas ini, kita akan perkenalkan one tier visa. Dia mesti dapat universiti dulu, baru visa ini keluar sebelum dia datang ke sini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Halatuju Kawalan dan Penapisan Filem di Malaysia di sini semalam.

Menurutnya, polisi itu bertujuan mengawal kemasukan warga asing yang mahu menyambung pelajaran di negara ini.

Katanya, isu berkaitan pelajar warga asing sentiasa diberi perhatian dan usaha menanganinya turut dilaksanakan melalui penubuhan unit khas pas pelajar dengan kerjasama kementerian itu dan Kementerian Pengajian Tinggi. -kosmo-

Logo kebal RM6,000 sekeping

Posted: 21 Dec 2011 04:38 PM PST


SHUKRI menunjukkan logo yang kononnya kebal daripada tindakan undang-undang pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Perak semalam.



IPOH – Angkara terperdaya dengan lambang ala logo polis yang kononnya kebal undang-undang, dua lelaki menjadi mangsa penipuan seorang penganggur yang menyamar sebagai pegawai polis berpangkat Asisten Komisioner Polis (ACP).

Lebih meyakinkan mangsa apabila ACP berusia 49 tahun itu mendakwa dalam tempoh terdekat ini dia yang kini bertugas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bakal menyandang jawatan Ketua Polis Perak.

Dengan bermodalkan kata-kata itu, penganggur terbabit menawarkan logo mempunyai lambang keris bersilang yang tertera tulisan 'Sejati VIP Members' pada harga RM6,000 bagi setiap satu.

Logo yang kononnya boleh membuatkan orang yang memilikinya kebal daripada sebarang tindakan didakwa dikeluarkan oleh Persatuan Bekas Polis.

Mereka yang melekatkan logo 'Sejati VIP Members' pada kenderaan masing-masing didakwa bebas keluar dan masuk balai-balai polis.

Malah setiap kenderaan yang ada logo tersebut juga dijanjikan bebas daripada dikenakan tindakan saman had laju polis.

Salah seorang mangsa yang merupakan ahli perniagaan memberitahu, ACP palsu itu mendakwa dia bakal berpindah ke negeri ini dan menjawat jawatan Ketua Polis Perak berkuat kuasa Disember 2011.

Percaya dengan kata-kata temberang ACP palsu itu, ahli perniagaan terbabit melunaskan bayaran pendahuluan sebanyak RM3,000. -kosmo-

Teknologi Terbaru Rawat Injap Jantung Bocor

Posted: 21 Dec 2011 04:35 PM PST


 
DR. ROBAAYAH menunjukkan klip Mitral yang digunakan untuk rawatan kebocoran injap jantung di IJN, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Institut Jantung Negara (IJN) memperkenalkan kaedah rawatan baru yang selamat dan cepat sembuh untuk pesakit yang mengalami kebocoran injap jantung menerusi penggunaan sejenis alat dipanggil 'Mitral Clip'.

Kaedah rawatan itu yang membabitkan kos RM150,000 menggunakan sejenis klip khas setebal 2 milimiter (mm) yang dimasukkan ke dalam jantung melalui saluran darah di celah kelangkang pesakit.

Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Tan Sri Dr. Rabaayah Zambahari berkata, teknik rawatan tersebut akan dikendalikan oleh sekurang-kurangnya tiga doktor pakar yang menggunakan sistem kawalan dari luar tubuh pesakit.

Katanya, kabel dengan pencangkuk klip itu berfungsi menutup kelopak injap mitral yang bocor.

"Sebaik saja kedudukannya dipastikan, klip itu dilepaskan dari kabel untuk mencangkuk bukaan pada injap jantung yang bocor.

"Teknik itu akan mengecilkan saiz bukaan injap mitral dan menyekat kebocoran," katanya pada sidang akhbar di sini semalam. -kosmo-

Aplikasi Telefon Pintar Mesej Kecemasan Untuk Wanita Dilancar

Posted: 21 Dec 2011 04:31 PM PST

SEORANG wanita memegang sebuah telefon bimbit yang mengandungi aplikasi pintar untuk memerangi peningkatan kes serangan seksual di New Delhi kelmarin.



NEW DELHI, India - Satu aplikasi telefon pintar bagi memerangi peningkatan kes serangan seksual dilancarkan di ibu kota India di sini semalam.

Aplikasi itu membolehkan kaum wanita segera memaklumkan keluarga atau rakan-rakan apabila mereka berasa terancam.

Dinamakan Fight Back, aplikasi ciptaan sebuah pertubuhan bukan bermotifkan keuntungan, Whypoll itu akan menghantar mesej kecemasan SOS menerusi teks pesanan ringkas (SMS), e-mel dan Facebook.

Pengguna cuma perlu menekan satu butang pada telefon bimbit mereka untuk mengaktifkan aplikasi itu.

Sebaik sahaja isyarat SOS diaktifkan, penerima akan dapat mengesan lokasi penghantar menerusi sistem pengesanan global (GPS) untuk datang bagi memberikan bantuan.

"Saya membesar di sini dan ia sebuah bandar raya yang tidak selamat.

"Keadaan di sini menjadi semakin teruk. Sebagai wanita, anda berasa tidak selamat apabila berada di jalanan," kata pengasas bersama Whypoll, Shweta Punj.

Kota metropolitan ini mengungguli senarai bandar raya paling tidak selamat untuk wanita di India dengan mencatatkan 489 aduan kes rogol pada tahun lalu, meningkat daripada 459 kes pada 2009. - AFP

Lokasi tempat ramalan kiamat jadi tumpuan

Posted: 21 Dec 2011 04:28 PM PST


Reuters GAMBAR fail menunjukkan lokasi peninggalan tamadun Mayan di Chiapas, Mexico.



BANDAR RAYA MEXICO - Agensi Pelancongan Mexico menjangkakan dapat menarik kehadiran 52 juta pelawat menjelang tahun 2012 ke rantau yang dikaitkan dengan tamadun Mayan seperti Chiapas, Yucatan dan Tabasco.

Sebelum ini, Mexico dapat menarik kehadiran sekitar 22 juta pelancong luar pada setiap tahun.

Peningkatan mendadak dalam jumlah pelancong kali ini dikaitkan dengan ramalan penduduk Mayan bahawa kiamat bakal berlaku pada tahun depan.

Kiamat itu diramalkan berlaku pada 21 Disember 2012.

Pekan dan bandar raya di kawasan tamadun Mayan memulakan kiraan tamatnya kalendar Mayan tersebut semalam.

Namun, ramai ahli arkeologi berpendapat rujukan kepada tarikh tersebut yang diukir pada batu bersurat berusia 1,300 tahun cuma menandakan tamatnya satu kitaran dalam kalendar Mayan.

"Dunia belum kiamat. Ia hanya satu era," kata seorang jurucakap pelancongan negeri Quintana Roo yang menempatkan kota bersejarah Cancun, Yeanet Zaldo.

Kebijaksanaan tamadun Mayan menyebabkan sebahagian penduduk mengambil berat tentang ramalan kiamat tersebut.

Tamadun Mayan yang mencapai peringkat kegemilangan dari tahun 300 Tahun Masihi hingga 900 Tahun Masihi memiliki kemahiran luar biasa dalam bidang astronomi.

Kalendar kaum berkenaan bermula pada tahun 3,114 Sebelum Masehi (S.M.) dan mengambil masa selama 394 tahun untuk membentuk satu kitaran dikenali sebagai Baktun.

Baktun ke-13 berakhir pada 21 Disember 2012.

Teori bahawa kiamat berlaku pada tarikh tersebut berpunca daripada sebuah batu bersurat yang ditemui pada tahun 1960-an di tapak arkeologi Tortuguero di negeri Tabasco, dekat Teluk Mexico.

Batu bersurat berkenaan menceritakan tentang kembalinya Dewa Mayan pada penghujung Baktun ke-13.
Mereka yang percaya mengenai teori kiamat itu menyebarkan ramalan tersebut di ratusan ribu laman web dan blog di Internet. - Agensi

Tanduk badak sumbu dipotong diganti dengan kayu

Posted: 21 Dec 2011 04:25 PM PST


AFP RUPA kepala seekor badak sumbu yang diawet selepas tanduk haiwan itu dipotong di Muzium Sejarah Alam Semula Jadi di Bern, Switzerland.



GENEVA - Pihak pengurusan Muzium Sejarah Alam Semula Jadi di Bern, Switzerland mengambil langkah drastik apabila bertindak menggantikan tanduk enam ekor badak sumbu yang diawet dengan kayu bagi mengelak ia dicuri.

Langkah itu dibuat selepas beberapa kurator muzium itu mendengar tanduk badak sumbu dicuri di beberapa muzium di seluruh Eropah termasuk di Britain, Perancis dan Jerman.

Tanduk badak sumbu amat berharga di Asia kerana kebanyakan penduduk menganggap ia boleh digunakan untuk melawan penyakit dan menguatkan tenaga batin.

Menurut pihak muzium itu, sejak beberapa bulan lalu, tanduk itu berharga di antara 20,000 franc (RM68,177) dan 250,000 franc (RM852,261).

"Di pasaran gelap, tanduk badak sumbu lebih bernilai daripada emas," kata muzium tersebut dalam satu kenyataan. - AFP

Chong Wei Harapkan sentuhan Misbun

Posted: 21 Dec 2011 04:21 PM PST



TANPA berselindung, jaguh perseorangan badminton negara, Datuk Lee Chong Wei masih mengharapkan sentuhan bekas 'sifunya', Datuk Misbun Sidek dalam mempersiapkan diri menghadapi temasya Sukan Olimpik 2012 di London.

Bagaimanapun, pemain No. 1 dunia itu menjelaskan bahawa sebarang keputusan hanya boleh dibuat oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

"Jika saya mahukan Misbun kembali membimbing saya semula sekalipun, saya masih tidak boleh berbuat apa-apa kerana sebarang keputusan hanya boleh dibuat oleh BAM.

"Saya terikat dengan BAM. BAM ada pengurus yang buat keputusan dan saya hanya ikut saja," katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelantikannya sebagai duta jenama Cafe 99 Ipoh White Coffee di Shah Alam semalam.

Misbun yang telah berkhidmat dengan BAM selama lapan tahun telah meletakkan jawatan sebagai jurulatih perseorangan pada 31 Disember tahun lalu selepas dilaporkan berselisihan faham dengan badan induk sukan badminton negara itu.

Ketiadaan Misbun sekali gus menyaksikan Chong Wei kini berada di bawah kendalian Tey Seu Bock dan Rashid Sidek.

Misbun merupakan individu yang bertanggungjawab meletakkan Chong Wei selaku pemain No. 1 dunia sejak 2008.

Tambah Chong Wei, tatkala hanya tinggal lapan bulan sahaja lagi sebelum Sukan Olimpik membuka tirainya, dia menganggap tempoh tersebut adalah sangat penting buat dirinya untuk melakukan persiapan.

Malah, pemain berusia 29 tahun itu turut mengalu-alukan sebarang bantuan dari sesiapa saja dalam memastikan sandaran yang diletakkan di atas bahu untuk membawa pulang pingat emas Sukan Olimpik berjaya direalisasikan.

"Namun, saya tahu, yang penting adalah diri saya sendiri. Saya sendiri kena fokus dan melakukan persiapan," tambah Chong Wei yang mengakui sedikit tertekan dengan harapan tinggi semua pihak.

Jelasnya, berbanding seteru utamanya, Lin Dan dari China yang mempunyai sokongan daripada pemain-pemain muda seperti Chen Long dan Chen Jin, beliau terpaksa menanggung beban meraih pingat emas Sukan Olimpik seorang diri.

"Begitupun, itu semua tidak apa. Sukan Olimpik kali ini merupakan penampilan terakhir saya.

"Saya sudah tidak kisah dengan tekanan. Saya anggap ini satu cabaran dan saya harap media dan semua yang lain memberi sokongan," jelas Chong Wei. -kosmo-

No comments: