Thursday 19 July 2012

Budak Technician

Budak Technician


Persembahan Secara Terbuka Siti Nurhaliza, Penganjur Diberi Amaran

Posted: 18 Jul 2012 02:11 AM PDT

 
Datuk Siti Nurhaliza

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau penganjur yang melanggar Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998 yang dikuatkuasakan di negeri itu.

Menurut laporan akhbar Sinar Harian, kenyataan tegas itu disuarakan berikutan kehadiran penyanyi terkemuka negara, Datuk Siti Nurhaliza ketika mengadakan persembahan terbuka di Jamuan Perdana Perayaan Hari Guru 2012 peringkat Kota Bharu, Sabtu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan pihak yang gagal mengikut undang-undang di bawah yang ditetapkan Kerajaan Negeri.

"Bagi kes tersebut kita memberi amaran, namun selepas ini kita tidak akan berkompromi lagi," katanya.

Takiyuddin ditemui selepas merasmikan Hari Majlis Daerah Ketereh-Perbandaran Islam Sempena Tahun Melawat Kelantan 2012 di sini, Selasa.

Takiyuddin mengingatkan penganjur atau individu termasuk ahli politik yang ingin membawa penyanyi-penyanyi atau selebriti di Kelantan perlulah mematuhi peraturan yang ditetapkan.

"Sebelum ini kita terima maklumat daripada penganjur program itu mengatakan majlis itu merupakan program motivasi, namun di sebalik majlis itu mereka membawa penyanyi wanita tersohor menghiburkan penonton dengan persembahan nyanyian secara terbuka.

"Ini memang satu tindakan yang menyalahi undang-undang di negeri ini, namun kita harap perkara seumpama ini tidak berulang lagi," katanya.

Beliau berkata, pihak yang melanggar peraturan itu akan dikenakan tindakan undang-undang dan boleh dikenakan denda tidak kurang dari RM1,000 di bawah Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998.

Baru-baru ini majlis sambutan hari guru yang diadakan di kompleks sekolah-sekolah Jalan Wakaf Mek Zainab mendapat sambutan lebih 10,000 masyarakat sekitar dan guru-guru sekitar Kota Bharu. -mstar-

Farid Kamil Cedera, Tempurung Lutut Retak

Posted: 17 Jul 2012 09:18 PM PDT

 
Farid Kamil

Pelakon Farid Kamil terpaksa berjalan menggunakan tongkat akibat tempurung lutut kirinya retak kerana terjatuh ketika menjalani penggambaran filem Dampak pada Isnin lalu.

Farid atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari, 31, berkata kecederaan itu dialaminya sewaktu penggambaran di kelab hiburan Rootz, Lot 10 Bukit Bintang dekat sini yang turut mengakibatkan lutut kirinya itu bengkak dan lebam.

"Saya terjatuh berguling di tangga kelab itu kerana hilang imbangan badan ketika melakukan adegan babak kejar-mengejar.

"Lutut kiri saya menjadi bengkak kerana berlaku pendarahan dalaman yang serius akibat hentakan.

"Selepas mendapatkan rawatan di Hospital Ampang Puteri, doktor mengenal pasti tempurung lutut saya retak akibat hentakan itu.

"Saya terpaksa menggunakan tongkat kerana kaki saya tidak boleh memijak lantai," katanya kepada mStar Online di sini, Selasa.

 
Gambar yang dikirimkan Farid menunjukkan proses merawat lututnya dilakukan oleh pihak hospital.

Aktor filem Lagenda Budak Setan itu memberitahu, ekoran kejadian itu dia dinasihatkan doktor agar berehat panjang daripada sebarang aktiviti lasak.

"Saya dinasihatkan berehat selama enam minggu daripada melakukan aktiviti-aktiviti fizikal termasuklah berlakon. Kalau berlakon pun saya hanya boleh berdiri tegak saja.

"Akibat insiden ini, produksi filem Dampak terpaksa menggunakan pelakon pengganti untuk baki babak-babak aksi yang melibatkan saya," katanya. Selain Farid, filem genre aksi terbitan Ops Production itu turut dibarisi Aaron Aziz dan Juliana Evans -mstar-

Rabbani Anggap Sami Yusuf Tidak Profesional

Posted: 17 Jul 2012 09:11 PM PDT

 
Rabbani.

Kumpulan Rabbani menyifatkan tindakan penyanyi antarabangsa Sami Yusuf membatalkan Konsert Salaam Sami Yusuf yang sepatutnya berlangsung pada 14 Julai lalu di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor adalah tindakan yang tidak profesional.

Menurut wakil daripada kumpulan itu, Azadan Abd Aziz, dia bersama Rabbani Productions Sdn Bhd yang turut bekerjasama dengan penganjurnya, Offshore Entertainment Production (OEP) begitu kecewa dengan cara penyanyi tersebut melaksanakan peranannya.

"Kami yang mengendalikan bahagian pengurusan karnival berasa sangat simpati terhadap golongan peniaga yang sudah pun membuat persiapan berniaga bersempena dengan konsert tersebut.

"Lebih kasihan lagi apabila pihak penganjur menanggung kerugian yang besar. Pada pendapat saya Sami tidak profesional dengan pembatalan konsert itu," katanya yang ditemui pada sidang akhbar perjanjian kerjasama bersama Hotel Singgahsana di sini, Selasa.

Rabbani akan membuat persembahan di hotel tersebut sepanjang bulan Ramadan ini.

 
Sami Yusuf

Pada 12 Julai lalu, pihak penganjur telah memaklumkan pada saat-saat akhir mengenai konsert berkenaan dan meminta orang ramai menebus semula tiket yang sudah dibeli.

Sami menerusi laman Twitter miliknya pula memberitahu pembatalan konsert yang turut menampilkan penyanyi Datuk Siti Nurhaliza dan Rabbani itu disebabkan oleh masalah permit.

Tambah Azadan, kejadian tersebut telah menjejaskan reputasi mereka sebagai artis dan syarikat di mana ia mampu menjejaskan hubungan sesama rakan perniagaan lain.

"Biasanya orang akan menilai sesebuah syarikat berkenaan berdasarkan rekod reputasi yang sedia ada dan pembatalan konsert ini sedikit menjejaskan kredibiliti pihak kami.

"Kami agak segan dengan pihak luar, tetapi nak buat macam mana? Ia satu pengajaran yang besar buat kami dan pihak yang terlibat bagi konsert ini," tuturnya dengan nada kesal.

Bagaimanapun, walaupun Rabbani kurang gemar dengan cara kerja Sami yang tidak profesional, ia tidak bermakna mereka ingin bermusuh dengan penyanyi itu.

Beritahu Azadan, pihaknya cuma lebih berhati-hati apabila melibatkan kerjasama dengan Sami pada masa akan datang dan masih lagi berkawan sebagai rakan artis.

Sementara itu, mengenai persembahan Rabbani di Hotel Singgahsana, ia merupakan kerjasama yang ke-21 bagi menghiburkan para pengunjung yang datang untuk berbuka puasa.

"Kali ini, Rabbani akan memberi sedikit kelainan daripada segi persembahan di mana kami akan membuat konsep akustik melibatkan peralatan muzik seperti 'cajun' dan gitar, selain peralatan muzik lain yang sering digunakan," katanya.

Selain menampilkan konsep muzik akustik, Rabbani turut menampilkan rakan-rakan artis mereka seperti kumpulan Hijjaz, Raihan, In-Team dan Saujana untuk membuat persembahan pada hari-hari yang tertentu. -mstar-

Populariti Soo Wincci Meningkat Gara-Gara MasterChef

Posted: 17 Jul 2012 09:08 PM PDT



KUALA LUMPUR: Penyanyi dan bekas peserta MasterChef Selebriti Malaysia iaitu Soo Wincci (gambar) mengakui populariti program masakan itu telah melonjakkan namanya di kalangan peminat bukan berbangsa Cina.

Soo Wincci, 26, berkata, sepanjang empat tahun bergelar penyanyi dia tidak pernah mendapat perhatian yang begitu hebat daripada para peminat dan keadaan itu berubah selepas dia menyertai program berkenaan.

"MasterChef Selebriti memang telah mengubah hidup saya sebagai seorang artis dan saya amat bersyukur kerana peminat saya kini bukan sahaja dikalangan kaum Cina tetapi juga Melayu dan India," ujarnya ketika ditemui pada majlis pra-dengar album berbahasa Malaysia pertamanya di sini pada Selasa.

Tambah Soo Wincci, populariti tersebut akan digunakan sebaik-baiknya untuk mengembangkan kerjaya secara lebih menyeluruh pada masa hadapan.




Dalam pada itu, Soo Wincci berkata, dia telah lama berhasrat untuk menghasilkan sebuah album berbahasa Malaysia selain amat teruja dapat bekerjasama dengan komposer terkenal iaitu Ajai.

Katanya, Ajai seorang yang sangat teliti dan pada masa sama memahami kehendaknya sebagai seorang penyanyi dan mereka serasi bekerjasama.

"Ajai adalah seorang yang cukup sabar dengan apa yang dilakukan dan sebab itu juga album ini mengambil masa setahun untuk disiapkan.

"Bagaimanapun saya sangat berpuas hati dengan hasilnya dan tidak sabar untuk peminat mendengarnya," katanya.

Bagaimanapun dia tidak menafikan popularitinya kini adalah masa yang tepat untuk dia melancarkan album tersebut.

"Pada dasarnya saya sudah merakamkan album ini setahun lalu tetapi terpaksa menangguhkannya kerana terlibat dengan pelbagai komitmen.

"Bukan mengambil kesempatan tetapi saya rasa ini adalah hikmah untuk saya dan populariti yang ada ini harus digunakan dengan sebaik mungkin," katanya.

Sementara itu, Soo Wincci memberitahu single pertamanya sudah pun dilancarkan berjudul Terus Teranglah yang menampilkan penyanyi rap terkenal Joe Flizzow.

Bagi album itu nanti ia akan mempunyai empat buah lagu sebagai permulaan dan akan berada di pasaran pada bulan September depan.

Empat lagu tersebut adalah Nombor 1, Terus Teranglah, Jangan Risau dan Musim Asmara. -mstar-

Sylvester Stallone Ratapi Kematian Anak Sepanjang Hayat

Posted: 17 Jul 2012 09:05 PM PDT

 
Sylvester Stallone

LOS ANGELES: Aktor veteran Sylvester Stallone berkata kehilangan anaknya Sage akan terus dirasai sepanjang hayatnya dan bekas isteri Sasha Czack kerana anak itu sudah diibaratkan seperti nyawa mereka sendiri.

Sage, 36, ditemui mati di kediamannya di sini pada 13 Julai lalu.

"Kehilangan besar ini akan terus kami rasai untuk sepanjang hayat. Sage adalah anak pertama kami dan dia bagaikan permata dan nyawa kami.

"Saya memohon agar semua peminat di luar sana mendoakan kesejahteraan rohnya," katanya seperti dipetik laman tmz.com.

Sylvester turut meminta semua pihak menunjukkan perasaan hormat dan belas kasihan kerana kehilangan Sage.

"Tiada apa yang lebih memeritkan selain pengalaman ibu bapa yang kehilangan anak mereka.

"Justeru itu, saya merayu orang ramai agar melahirkan perasaan hormat kepada Sage dan belas kasihan kepada ibunya Sasha," katanya. -mstar-

Seal Sudah Jumpa Pengganti Heidi Klum

Posted: 17 Jul 2012 09:02 PM PDT

 
Seal dan Heidi bercerai pada Januari lalu.

KENYATAAN popular Seal mengenai cinta agungnya terhadap bekas isteri, Heidi Klum, yang telah bercerai pada Januari lalu nampaknya hanya cakap-cakap kosong sahaja.

Menurut laporan Dailymail, pemilik lagu The Kiss From A Rose itu telah menemui pengganti Heidi iaitu seorang wanita tinggi lampai dan kurus seperti "supermodel" tersebut.

Mereka ditemui di sebuah lokasi percutian sebuah kapal mewah Porto Cervo, Sardinia bersama seorang wanita berbikini putih dan masing-masing saling berpelukan dan begitu mesra.

 
Wanita misteri ini mungkin akan menjadi teman hidup Seal 
menggantikan Heidi? Foto DAILYMAIL

Dalam pada itu, Seal sempat juga melakukan rutin senamannya manakala wanita itu melakukan aktiviti yoga, sambil berjemur di bawah matahari yang terik. Kehadiran wanita berkenaan membuktikan bahawa Heidi sudah tiada lagi dalam hati Seal

Syamsul rela diarah adik sendiri

Posted: 17 Jul 2012 08:53 PM PDT


SYAMSUL mengakui sejak terbabit dengan drama rantaian Ameera, dia banyak mendapat tawaran berlakon.


FILEM-FILEM arahan pengarah muda Syamsul Yusuf sememangnya tidak pernah mengecewakan dan mendapat sambutan hangat penonton. Filem KL Gangster sebagai contohnya, sehingga kini masih lagi mencatat kutipan tertinggi dalam sejarah perfileman Malaysia.

Biarpun berhasil meletakkan namanya sebagai antara pengarah hebat tanah air, anak kepada Datuk Yusuf Haslam itu mengakui tidak keberatan untuk berlakon di bawah pengarah lain dan tetap menerima tawaran daripada syarikat produksi luar.

Ketika ditemui pada majlis bacaan doa selamat dan pelancaran filem Gangster Celop di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) baru-baru ini, Syamsul menyatakan dia ada sebab tersendiri berbuat demikian dan turut mendapat sokongan daripada bapanya.

KOSMO!: Sebagai seorang pengarah yang telah mencipta sejarah tersendiri dalam dunia perfileman tempatan, kenapa Syamsul masih lagi terima berlakon dengan produksi luar?

SYAMSUL: Tujuan saya berbuat demikian kerana mahu mencari pengalaman yang lebih luas dan inilah peluang saya untuk belajar dan menimba ilmu dengan pengarah yang lebih berpengalaman.

Misalnya, pembabitan saya dalam drama bersiri Ameera yang kini sedang ditayangkan di TV3, banyak perkara yang saya pelajari daripada pengarah Murali Abdullah.

Adakah anda akan lebih banyak berlakon dengan syarikat produksi luar selepas ini?

Buat masa ini Skop Production masih lagi menjadi keutamaan, namun ayah tetap memberi galakan kepada saya untuk bekerja dengan syarikat lain. Tidak dinafikan sejak muncul dalam drama Ameera, banyak tawaran berlakon yang saya terima.

Ramai yang sudah tahu anda merupakan antara pengarah yang hebat dan pernah merangkul anugerah sebelum ini. Adakah sukar buat anda untuk berlakon di bawah arahan pengarah lain?

Sebenarnya saya tiada masalah langsung untuk berlakon dengan mana-mana pengarah. Sebagai pelakon, saya akan menurut apa sahaja arahan daripada pengarah serta melaksanakan tanggungjawab yang diberikan dengan sebaik-sebaiknya. Malah, saya juga tidak keberatan untuk berlakon di bawah arahan adik saya sendiri iaitu Syafiq menerusi drama bersiri KL Drift yang akan ditayangkan di saluran RTM.

Antara berlakon dan mengarah, apakah yang menjadi keutamaan anda sekarang ini?

Kalau mengikut perancangan saya akan kurangkan mengarah filem dan mahu memberi lebih fokus kepada bidang lakonan. Lagipun, saya ada adik yang sudah mula berjinak-jinak dalam bidang pengarahan. Jadi, inilah masanya untuk saya menerima lebih banyak tawaran berlakon dan sedia mempertimbangkan sekiranya menerima sebarang tawaran yang menarik dan sesuai.

Apakah projek terbaharu anda pada masa akan datang?

Selepas berlakon dalam filem Gangster Celop yang diarahkan oleh Ahmad Idham, saya sudah merancang untuk menghasilkan sebuah filem seram setelah kali terakhir melakukannya menerusi filem Khurafat yang ditayangkan pada tahun lalu.

Selain itu, saya juga turut mendapat tawaran berlakon filem yang diarahkan oleh seorang pengarah yang sangat saya kagumi. Namun, saya tidak boleh beritahu nama pengarah tersebut kerana tawaran ini masih dalam peringkat perbincangan. -kosmo-

Lisa Surihani enggan dibayangi Katy Perry

Posted: 17 Jul 2012 08:51 PM PDT



SEMPENA Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang, saluran hiburan, HBO Asia bersama pihak Astro memberi hadiah istimewa buat peminat animasi apabila mereka menampilkan filem The Smurfs dalam versi bahasa Melayu menggunakan suara artis popular tempatan.

Aktres popular tanah air, Lisa Surihani antara artis yang dipilih untuk menjayakan filem The Smurfs versi bahasa Melayu. Lisa yang diberi tanggungjawab meminjamkan suaranya untuk satu-satunya watak Smurf wanita iaitu Smurfette enggan dirinya dibayangi oleh penyanyi terkenal Katy Perry yang turut memegang watak Smurfette untuk filem asal The Smurfs.

"Memang saya minat dengan filem dan kartun The Smurfs tetapi saya tidak mahu merujuk filem asal The Smurfs kerana bimbang terikut-ikut dengan gaya lontaran suara pelakon-pelakon asal. Watak asal Smurfette menggunakan suara Katy Pery dan apabila saya dipilih untuk versi bahasa Melayu, saya mengambil tawaran yang diberikan tanpa berfikir panjang.

"Jika boleh, saya enggan dibayangi oleh Katy Perry kerana versi bahasa Melayu agak berbeza daripada bahasa Inggeris. Katy mempunyai gaya dan lontaran suaranya yang tersendiri dan saya mempunyai gaya yang berbeza, tambahan saya menyelitkan elemen kemelayuan untuk versi bahasa Melayu supaya penonton rasa dekat dengan jiwa mereka apabila menontonnya pada hari raya nanti," ujarnya.

Lisa yang ditemui pada majlis sidang akhbar The Smurfs di Hotel Hilton, Kuala Lumpur baru-baru ini memberitahu dia jatuh cinta dengan watak Smurfette yang disifatkan sebagai seorang yang berani dan comel.

"Saya akui memang suka sangat dengan watak Smurfette. Sebenarnya sudah lama saya menyimpan impian untuk terlibat dalam bidang alih bahasa seperti ini, tetapi tidak ada peluang. Ini pengalaman saya yang pertama dan saya cukup seronok kerana dapat terlibat dalam The Smurfs versi bahasa Melayu.

"Walaupun hanya meminjamkan suara tetapi ia turut mempunyai cabaran yang tersendiri. Sama seperti berlakon, saya harus menjiwai watak Smurfette sepenuhnya supaya intonasi suara benar-benar sesuai meskipun hanya filem animasi. Setiap kali melontarkan dialog, segala mimik muka sama seperti saya berlakon di set penggambaran.

"Jika berlakon, penonton boleh melihat mimik muka saya, tetapi apabila alih suara, segala emosi dan mutu lakonan saya terletak hanya pada suara. Jika penonton boleh rasai watak Smurfette itu bermakna saya telah melakukannya dengan baik tetapi terpulang kepada penonton untuk membuat penilaian," kata Lisa yang bakal muncul dengan filem Saya Amat Mencintaimu (S.A.M) tidak lama lagi.

Tambah Lisa, andai diberi peluang yang sama, dia tidak akan menolak kerana padanya, menyumbangkan suara untuk sebuah filem animasi amat besar tanggungjawab dan keseronokannya kerana penontonnya terdiri daripada kanak-kanak.

"Orang dewasa juga menonton filem animasi, tetapi penonton terbesarnya adalah kanak-kanak. Saya pernah jadi kanak-kanak, saya tahu bagaimana perasaannya apabila menonton kartun atau filem animasi yang diminati. Saya seronok apabila melihat penonton terutamanya kanak-kanak terhibur dengan suara saya dalam The Smurfs.



"Satu kepuasan yang tidak boleh saya gambarkan. Jika diberi peluang sekali lagi dan saya mempunyai masa, saya tidak akan menolak untuk mengalih bahasa mana-mana filem animasi sebab saya seronok melakukannya. Saya akui masih wujud jiwa kanak-kanak walaupun telah berkahwin," luah Lisa sambil disambut dengan hilai tawa.

Yusry tidak kekok

Pengarah, pelakon dan penyanyi popular yang juga suami kepada aktres Lisa Surihani, Yusry Abdul Halim turut meminjamkan suaranya untuk filem The Smurfs versi bahasa Melayu sebagai Brainy Smurf. Sudah terbiasa memberi arahan kepada pelakon, Yusry tidak kekok apabila menerima arahan pihak produksi HBO ketika proses alih suara filem tersebut.

"Saya tidak ada sebarang masalah untuk mendengar dan menerima arahan daripada orang lain walaupun saya seorang pengarah. Apabila saya diberi tanggungjawab dan kepercayaan untuk mengalih suara watak Brainy Smurf, saya harus bersikap profesional dan melaksanakan tugas yang diberi sebaik mungkin.

"Pada mulanya saya menghadapi kesukaran untuk memastikan dialog yang saya lontarkan sesuai dengan gerak bibir di skrin kerana dialog bahasa Inggeris dengan bahasa Melayu sangat berbeza. Apabila pihak produksi tidak puas hati dengan hasil kerja saya, saya bersikap terbuka untuk memperbaiki diri," balasnya.

Jelas Yusry lagi, meskipun dia sudah biasa berlakon dan memberi arahan kepada orang lain tetapi, untuk mengalih suara watak Brainy Smurf, Yusry menghadapi cabaran yang berbeza daripada hasil kerjanya sebelum ini.

"Dalam filem animasi ini, saya tidak boleh melontarkan suara saya seperti biasa kerana watak animasi berbeza dengan dunia realiti. Saya harus menyuntik elemen berbeza untuk penonton dapat merasai sepenuhnya watak tersebut, jadi hasilnya saya harus bercakap dengan cara kepit suara untuk membuatkan suara saya kedengaran halus dan nyaring.

"Disebabkan proses alih suara memakan masa beberapa hari, kadangkala saya terlupa intonasi suara yang harus saya lakukan. Seksa juga berdialog sambil kepit suara sepanjang masa, tetapi ini pengalaman baharu yang cukup seronok bukan bagi saya seorang tetapi semua yang terlibat dalam proses alih suara filem The Smurfs," tutur Yusry.

Aznil raja alih suara

Aznil Nawawi, pengacara, pelakon dan penyampai radio popular sering kali menjadi pilihan produksi tempatan apabila terdapat filem animasi yang memerlukan alih suara bahasa Melayu. Sebelum ini, Aznil pernah terlibat dengan filem animasi Bola Kampung, Robots dan Teenage Mutant Ninja Turtle.

Sering kali dipilih memegang watak antagonis dalam filem animasi, dalam filem The Smurfs, Aznil juga memegang watak antagonis sebagai ahli sihir yang jahat bernama Gargamel.

Katanya, mungkin kerana jiwanya begitu dekat kanak-kanak serta kesesuaian watak menyebabkan dia terpilih.

"Ini bukan pengalaman pertama saya, tetapi saya pelik setiap kali dapat tawaran alih suara saya tidak pernah dapat watak baik, semuanya watak jahat seperti Doktor Klon dalam filem Cicak Man (ketawa).


BARISAN karyawan yang terbabit menyumbang suara untuk pelbagai karakter dalam filem The Smurf versi bahasa Melayu.


"Sebenarnya bawa watak jahat lebih mencabar. Hanya menggunakan suara saya harus membuat penonton benar-benar percaya yang watak Gargamel itu jahat tetapi dalam masa yang saya harus kedengaran comel kerana penontonnya adalah kanak-kanak.

"Bagi membezakan watak Gargamel dengan watak-watak jahat yang pernah saya pegang sebelum ini, watak Gargamel itu saya beri warna, maknanya terdapat keaslian dalam watak itu. Saya tidak boleh meniru butlat-bulat gaya suara pelakon asal kerana bahasa Melayu dan Inggeris sangat berbeza cara pertuturannya," ujar Aznil.

Kata Aznil, sepanjang tiga kali sesi proses alih suara dilakukan, dia terpaksa meneran suara untuk memberi elemen yang berbeza. Selain itu, dia juga harus benar-benar menghayati watak itu untuk memberikan lontaran suara yang sesuai,

"Saya harus cakap meneran untuk tonjolkan elemen berbeza dan kelihatan jahat. Kadangkala terlupa, saya bertukar menjadi Doktor Klon pula. Saya juga harus samakan gerak bibir animasi dengan gerak bibir saya, jadi saya harus pandai-pandai tukar skrip sebab gerak bibir bahasa Inggeris langsung tidak sama dengan bahasa Melayu.

"Cara saya hayati watak Gargamel sebagai contoh, babak yang memerlukan suara saya kelihatan penat, saya akan berlari beberapa pusingan di dalam studio sehingga suara saya kedengaran penat dan semput. Sebaik sahaja dapat kepenatan itu, saya terus rakam suara, bayangkan penat berlari kemudian terus hayati watak, jika saya tidak buat begitu, suara saya kedengaran terlalu berpura-pura," cerita Aznil lagi. -kosmo-

Manchester United (MU) Kekal Sebagai Kelab Sukan Terkaya di Dunia

Posted: 17 Jul 2012 08:35 PM PDT

Money matters: The Glazer family own Manchester United
Money matters: The Glazer family own Manchester United



HUTANG yang ditanggung United juga tinggi
yang mana pemiliknya sedang cuba mengatasi
masalah tersebut dengan menjual saham
AMERIKA SYARIKAT - Kelab gergasi England, Manchester United telah disenaraikan sebagai pasukan paling bernilai di dunia, menurut undian yang dilakukan majalah Forbes.

Juara Sepanyol, Real Madrid menduduki tempat kedua, manakala Arsenal jatuh tiga anak tangga dengan menghuni tangga ke-10 di dalam carta 50 pasukan sukan paling bernilai yang turut menyenaraikan pasukan bola sepak Amerika Syarikat (NFL).

Juara 19 kali Liga Perdana England, United dianggarkan memiliki wang berjumlah £1.42 bilion (RM7 bilion) pada tahun lalu, kini meningkat menjadi £1.86 bilion (RM9 bilion), sekali gus melebihi 19 peratus mengatasi Real yang memiliki £1.2 bilion (RM5 bilion).


THE FORBES TOP 10

1. Manchester United - £1.43billion

2. Real Madrid - £1.20bn
3. NY Yankees - £1.18bn
3. Dallas Cowboys - £1.18bn
5. Washington Redskins - £1bn
6. LA Dodgers - £895m
7. NE Patriots - £895m
8. Barcelona - £838m
9. New York Giants - £831m
10. Arsenal - £825m

Dalam carta yang mana keseluruhan pendapatan industri sukan berjumlah £33 bilion (RM162 bilion) itu, ia termasuk tujuh pasukan bola sepak paling bernilai dengan Barcelona naik 18 anak tangga untuk menduduki tangga kelapan.

United yang dimiliki oleh keluarga Glazer yang juga merupakan pemiliki NFL Tampa Bay Buccaneers, harus berterima kasih kepada penaja-penaja yang membiayai The Red Devils, sekali gus meletakkan pasukan bimbingan Alex Ferguson muncul sebagai kelab paling bernilai.

Penaja United, syarikat insurans, Aon telah membayar kepada United sebanyak £19.8 juta (RM97 juta) sebagai syarat meletakkan nama syarikat pada jersi United sehingga 2014.

Selain itu, DHL Express yang juga bertindak sebagai penaja United dengan menandatangani kontrak empat tahun dilaporkan bernilai £40 juta (RM197 juta) apabila menaja jersi sesi latihan United.

Penajaan DHL itu menjadikan sebagai penaja pertama yang membiayai jersi sesi latihan pasukan di dalam sejarah England.

Sementara itu, pengeluar barangan sukan, Nike seperti biasa telah mencapai persetujuan bersama United yang mana kontraknya dianggarkan bernilai £25 juta (RM123 juta) setiap tahun. - Agensi

Inilah Bot Untuk Bawa Pelancong Olimpik di London

Posted: 17 Jul 2012 08:20 PM PDT



BENTUK bot yang membawa pelancong Sukan Olimpik menyeberangi Sungai Thames berlabuh di sebuah pelabuhan di Pula, Croatia semalam.- REUTERS



LONDON - Sebuah bot yang berukuran 37 meter panjang dan lebar 17.5 meter akan membawa pelancong-pelancong Sukan Olimpik menyeberang Sungai Thames di London.

Bot itu boleh membawa 600 penumpang.

Ketika ini bot tersebut berada di sebuah pelabuhan di Pula, Croatia.

Sukan Olimpik London akan diadakan pada 27 Julai hingga 12 Ogos depan. - REUTERS

Amerika Syarikat (US) Alami Kemarau terburuk

Posted: 17 Jul 2012 08:12 PM PDT

SEEKOR lembu meragut rumput di kawasan yang kering di Hays, Kansas pada 6 Julai lalu.- Agensi


WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) mengalami kemarau terburuk dalam tempoh 56 tahun, menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Pentadbiran Kelautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) kelmarin.

Menurut agensi itu, kira-kira 55 peratus wilayah di AS mengalami kemarau pada bulan lalu.

Pada tahun 1956, kemarau melanda 58 peratus daripada wilayah AS.

Cuaca panas dan kering akan berterusan dalam tempoh dua minggu lagi.

Ia akan menyebabkan tanaman jagung dan kacang soya di tengah AS terjejas.

Seorang ahli meteorologi untuk agensi cuaca MDA EarthSat, Don Keeney berkata, cuaca kering akan berterusan di Illinois, Iowa, Kansas, Nebraska, Minnesota, Dakota dan selatan Wisconsin. - Agensi

Gudang Mercun di Danok Meletup

Posted: 17 Jul 2012 08:04 PM PDT



ORANG ramai melihat keadaan kedai menjual pakaian yang musnah dalam kejadian kebakaran di Danok, selatan Thailand semalam.



BUKIT KAYU HITAM – Para pelancong di pekan Danok, selatan Thailand dekat sini yang kebanyakan rakyat Malaysia panik apabila mendengar bunyi letupan kuat selepas sebuah gudang menyimpan mercun terbakar malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam (waktu Malaysia) itu, rata-rata pelancong sedang berada di dalam pusat hiburan yang terletak berdekatan Lorong Thai Changlon 2.

Kebakaran tersebut bermula daripada sebuah premis menjual pakaian sebelum merebak ke enam lagi premis berhampiran termasuk gudang menyimpan stok mercun.

Difahamkan, stok mercun disimpan di dalam gudang itu sebelum ia diseludup masuk ke Malaysia menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.  -kosmo-

Kejadian itu turut menyebabkan berlaku beberapa letupan kuat sehingga menggegarkan seluruh kawasan dalam jarak satu kilometer termasuk pos kawalan keselamatan Malaysia.

Makan ubat layan 10 pelanggan

Posted: 17 Jul 2012 07:57 PM PDT


Sebahagian pelacur warga asing yang ditahan dalam Ops Noda di bandar Puchong, Selangor malam kelmarin.


PETALING JAYA – Bandar Puchong dekat sini yang mendapat jolokan Hatyai Selangor digempur habis-habisan oleh anggota polis malam kelmarin dalam usaha untuk membanteras kegiatan urut dan pelacuran yang berleluasa membabitkan kira-kira 40 premis yang dikenal pasti.

Dalam serbuan yang dinamakan Ops Noda selama dua jam setengah itu, seramai 20 orang pelacur warga asing, dua penjaga premis dan 12 pelanggan warga tempatan telah ditahan, kesemua mereka berusia 20-an hingga 30-an.

Ketika ditahan, mereka sedang memberikan perkhidmatan seks di sebuah pusat urut yang terletak di sebuah bangunan kedai tiga tingkat.

Pelacur-pelacur terbabit yang masing-masing terdiri daripada 10 warga Vietnam, enam dari Thailand dan empat lagi dari China memasuki negara ini dengan menyalahgunakan pas lawatan sosial. -kosmo-

No comments: