Sunday, 18 March 2012

kisah aku dan teksi

kisah aku dan teksi


Pengangkutan awam terus menjadi rungutan

Posted: 17 Mar 2012 08:53 AM PDT



Tatkala kerajaan Barisan Nasional menjanjikan perkhidmatan pengangkutan awam yang murah, cekap, efisien dan mudah akses di Lembah Klang, kelewatan keretapi untuk sampai ke stesen pada waktu yang dijadualkan, terus menghantui penggunanya.

Satu tinjauan oleh wartawan MerdekaReview di stesen KTM Kepong Sentral pada kira-kira jam 8 pagi ini, mendapati kira-kira 200 orang penumpang yang menunggu di sebelah platform untuk perjalanan ke utara. Kebanyakan mereka telah menunggu lebih daripada 30 minit.



Menurut pegawai yang berkhidmat di situ, operasi KTM tergendala kerana masalah teknikal (Power failure technical problem). Malah, wartawan mendapati satu notis ditampal pada mesin menjual tiket, dengan tulisan "Perhatian: Akibat Bekalan Kuasa Tren Komuter Tiada buat masa ini."

Shanti yang berpengalaman enam tahun menaiki komuter KTM, berkata kepada MerdekaReview, penjual tiket biasanya tidak memaklumkan kepada pengguna sama ada perkhidmatan keretapi tergendala atau tidak. Shanti menambah, seandainya ditanya, mereka akan berkata diri mereka tidak mengetahui apa-apa, namun mereka terus menjual tiket.

Waktu pejabat Shanti bermula pada jam 10 pagi, dan beliau perlu sampai ke stesen KTM Kepong Sentral pada 7.45 pagi, untuk tiba di KL Sentral dan kemudian bertukar ke Kelana Jaya Line. Selepas menunggu untuk lebih sejam, Shanti terpaksa menuju ke stesen bas untuk menaiki teksi ke Petaling Jaya bersama kawannya. "Sekarang dah jam 9, mestilah lewat!"

Beberapa orang lagi penumpang yang ditemuramah meluahkan ketidakpuasan terhadap perkhidmatan keretapi, yang lewat hampir setiap hari.

Wartawan MerdekaReview sempat menghubungi bahagian Komunikasi Korporat KTM Berhad, jurucakapnya mengesahkan bahawa perjalanan ke selatan terganggu kerana masalah bekalan elektrik. Bagaimanapun perkhidmatannya pulih pada jam 9.30 pagi.

Ketika ditanya mengapa KTM tidak mengumumkan gangguan perkhidmatan ini di laman rasmi KTM, beliau menjawab pihaknya memaklumkan penumpang di laman twitternya. Namun wartawan mendapati admin twitternya tidak mengambil inisiatif untuk membuat pengumuman, sebaliknya hanya menyatakan masalah itu apabila membalas pertanyaan penumpang.

Jurucakap KTM bahagian Komunikasi Korporatnya menjelaskan, mereka tidak mengumumkan secara terus maklumat tersebut kerana bukan semua stesen mengalami masalah itu Mereka hanya akan berbuat sedemikian sekiranya semua stesen sepanjang landasan tergendala perkhidmatannya.

Seandainya dirujuk kepada laman rasmi syarikat pengangkutan awam di Singapura, SMRT, maklumat perkhidmatan MRT, keretapi mahupun bas yang tergendala akan diumumkan pada laman tersebut. Menurut laporan Channel News Asia, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat SMRT, Saw Phaik Hwa meletak jawatan selepas dua kali perkhidmatan MRT tergendala pada Disember 2011.

sumber:merdekareview

p/s Tiada kesempatan menulis,joyiman

No comments: