Monday 6 February 2012

Budak Technician

Budak Technician


Tasha Shilla Jawab Tuduhan Jalin Hubungan Dengan VIP & Isu Arak

Posted: 05 Feb 2012 06:14 AM PST

Tasha Shilla

Belum pun reda isu pelakon Tasha Shilla dituduh berkelakuan liar dan menari ghairah di kelab malam sebelum ini, aktres muda ini sekali lagi dipalit kontroversi yang mendakwa kononnya dia kini menjalin hubungan dengan seseorang berstatus VIP pula.

Tasha atau nama sebenarnya Natashasheila Abdul Razak, 25, berkata jika benar dia menjalin hubungan dengan individu berstatus VIP, justeru dia tidak perlu menceburi bidang lakonan dan bekerja keras untuk menaikkan taraf kehidupannya.

"Saya nafikan dakwaan itu. Kalaulah benar saya menjalin hubungan atau dibela golongan VIP, buat apa saya bekerja-keras siang dan malam untuk mengukuhkan nama dalam bidang lakonan ini.

"Lagi pun, saya tinggal dan berada di bawah jagaan keluarga. Ibu bapa saya sentiasa mengetahui dan memantau gerak-geri saya, jadi tidak logik kalau ada yang kata saya dibela oleh VIP," katanya yang dihubungi mStar Online, Ahad.

Menjawab dakwaan yang mengatakan kereta BMW miliknya turut dibelikan oleh individu berkenaan, Tasha menegaskan kenderaan tersebut dibeli dengan wang hasil titik peluhnya sendiri.

"Ini satu lagi dakwaan melampau. Kalau hendak tahu, kereta tersebut sudah lama saya beli sebelum bergelar artis lagi. Ia adalah hasil titik peluh saya ketika bekerja sebelum ini. Ia dibeli atas nama makcik saya sendiri.

"Mengapa harus timbul kesangsian? Saya membuat keputusan untuk membeli kereta itu kerana saya mampu. Kereta itu pun bukan kereta baru. Tidak adil untuk menuduh saya begitu hanya kerana saya memiliki kereta tersebut," ulasnya.

Menjawab dakwaan kononnya dia turut keluar dengan seorang VIP dan terdapat hidangan minum keras di atas meja pada malam Khamis lalu, Tasha Shilla memberitahu dia tidak berdua sebaliknya ditemani rakan-rakan lain.

Malah, minuman keras yang dihidangkan di restoran itu adalah dipesan oleh temannya yang bukan beragama Islam.

"Hakikatnya saya datang secara berkumpulan bersama rakan-rakan lain termasuk beberapa orang produksi dari Hollywood untuk berbincang tentang tawaran kerja.

"Memang benar ada minuman beralkohol di atas meja kami tetapi bukan saya yang minum. Ada beberapa rakan saya yang bukan beragama Islam di situ," jelasnya.

Ketika ditanya mengenai reaksinya apabila terus dikaitkan dengan kontroversi, Tasha berkata dia segera menghubungi ibunya bagi mendapatkan pandangan menghadapi tuduhan terbaru ini.

"Saya tidak mahu mudah melatah kerana saya sudah bersedia untuk menghadapi gosip dan kontroversi apabila menceburi bidang ini.

"Orang luar boleh bercakap apa sahaja tanpa mereka mengenali saya secara peribadi. Apa yang lebih penting adalah kepercayaan dan sokongan ahli keluarga dan teman-teman rapat," katanya.

Sebelum ini, mStar Online melaporkan aktres ini menepis dakwaan kononnya dia berkelakuan liar dan menari ghairah ketika meraikan majlis hari lahirnya yang ke-25 di sebuah kelab malam di ibu negara pada 25 Januari lalu.

Najwa Latif Tidak Patah Semangat Dipersendakan Segelintir Pihak

Posted: 05 Feb 2012 06:13 AM PST

Najwa Latif

PETALING JAYA: Penyanyi muda Najwa Latif berkata dia enggan melatah atau patah semangat dengan sikap segelintir pihak yang iri hati dengan perkembangan karier nyanyiannya.

Penyanyi berusia 17 tahun itu berkata dia sentiasa berpegang teguh pada pesanan ibunya agar bersikap tenang dan matang dalam menghadapi pertikaian pihak yang kurang senang dengan apa yang dikecapinya kini.

"Saya sentiasa ingat pesanan ibu dalam kehidupan ini pasti akan ada orang yang suka dan tidak suka dengan apa yang kita lakukan atau kecapi. Saya tidak akan melatah dan selesa untuk berdiam diri.

"Lebih baik saya fokus pada pelajaran dan perjuangan muzik daripada merunsingkan fikiran dengan kata-kata atau sikap negatif orang lain," katanya kepada mStar Online, Ahad.

Ketika ditanya mengenai pertikaian segelintir pihak terhadap kualiti lagu popularnya Cinta Muka Buku yang bukan hanya mencetuskan fenomena, malah turut mara ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-26 (AJL26) pada 29 Januari lalu, Najwa berkata ia adalah peluang dan rezeki yang ditentukan oleh Tuhan.

"Saya terima dengan hati terbuka apa juga pandangan negatif orang yang meragui lagu saya sehingga dikenali ramai dan mara ke pertandingan berprestij seperti AJL26, baru-baru ini.

"Mungkin kerana saya baru 17 tahun dan setakat itu sahaja kemampuan saya berkarya buat masa ini. Maka, ada yang anggap lagu saya tidak berkualiti.

"Apa pun, saya akan terus belajar untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran bermain muzik untuk menghasilkan lagu-lagu yang lebih baik pada masa depan," katanya.

Menjawab dakwaan terbaru kononnya dia dipersendakan oleh beberapa penyanyi senior di belakang pentas dengan tujuan untuk melemahkan semangatnya sebelum bertanding pada AJL26, Najwa berkata dia tidak pasti jika perkara itu benar-benar terjadi.

"Saya orang baru dalam bidang ini dan saya menghormati semua artis yang lebih senior. Saya tidak pasti jika dakwaan tersebut benar-benar berlaku.

"Mungkin kalau pun ia berlaku, saya tidak patah semangat atau ambil pusing kerana saya hanya memperjuangkan muzik saya sahaja," katanya.

Najwa yang bakal muncul dengan album pertamanya pada Mac depan baru sahaja berkongsi pentas dengan penyanyi Datuk Siti Nurhaliza dan Amy Search dalam acara persembahan bersempena sambutan Maulidur Rasul di Terengganu, malam Sabtu lalu.

Pada hari ini (Isnin), penyanyi dari Batu Pahat, Johor ini terlibat dalam persembahan kerohanian bersama pendakwah bebas Sham Kamikaze di kawasan Ampang, Selangor, juga bersempena sambutan hari keputeraan Nabi Muhammad SAW.

Fouziah Gous Tolak Tuduhan Semakin Seksi

Posted: 05 Feb 2012 06:12 AM PST

Fouziah Gous tampil mendedahkan bahu dan lengan sebelah kanannya ketika menghadiri Anugerah Juara Lagu ke-26 pada 29 Januari lalu.

PETALING JAYA: Pelakon Fouziah Gous menolak dakwaan terbaru kononnya dia berpenampilan semakin seksi ketika menghadiri beberapa acara hiburan, kebelakangan ini.

Fouziah, 29, berkata sebagai selebriti yang menjadi tatapan umum, dia sentiasa peka dalam menjaga penampilannya.

"Saya masih menjaga penampilan saya khususnya ketika berada di khalayak umum dan majlis-majlis hiburan.

"Saya tidak pernah tampil melampau, mendedahkan tubuh secara keterlaluan atau sengaja berimej seksi seperti yang didakwa," katanya kepada mStar Online.

Ketika ditanya mengenai pendiriannya berhubung perkara itu memandangkan dia dikenali sebagai artis yang menitikberatkan imej sopan sebelum ini, Fouziah berkata dia tidak pernah bersikap hipokrit dan masih menjunjung prinsip itu sehingga kini.

"Bukan mudah untuk menjaga hati banyak pihak. Saya bukan jenis yang seksi dan tidak selesa untuk mendedahkan tubuh saya kepada khalayak dengan sewenangnya.

"Namun, penampilan saya juga perlu disesuaikan atas kehendak kerja ketika muncul di majlis-majlis tertentu dan ia bukan pilihan saya sepenuhnya.

"Saya perlu menghormati pakaian yang diberikan oleh pereka fesyen tetapi saya tetap akan berbincang dengan mereka agar pakaian itu tidak keterlaluan apabila diperagakan," katanya.

Fouziah berkata isu berpenampilan seksi adalah sesuatu yang subjektif dan berbeza pada persepsi setiap individu.

"Apabila saya memperagakan pakaian rekaan pereka fesyen, saya sering meletakkan diri sebagai seorang peragawati dan perlu menghormati rekaan mereka.

"Mungkin atas kealpaan diri, adakalanya saya terlupa status selebriti yang digalas ini sentiasa menjadi perhatian masyarakat.

"Jika ada yang melihat saya semakin seksi, itu adalah sesuatu yang bukan disengajakan," katanya.

Ketika ditanya mengenai reaksinya berhubung dakwaan berkenaan, Fouziah berkata dia tidak berasa tertekan kerana ia membuktikan keprihatinan masyarakat terhadap dirinya sebagai figura umum.

"Saya bersyukur dan suka apabila ditegur begini kerana ia menunjukkan orang ramai peka pada imej atau kelakuan saya yang mungkin kurang disenangi.

"Ia adalah peringatan yang baik agar saya sentiasa beringat dan berpada-pada dalam segenap aspek," katanya.

Berkongsi perkembangan terbaru, Fouziah yang baru sahaja terlibat dengan penggambaran filem Kerat 14 arahan Baldev Singh, berkata dia kini sedang membuat persiapan untuk kembali ke lokasi penggambaran drama Trilogi Cinta bagi musim kedua.

"Saya kini sedang sibuk membaca skrip dan melakukan persiapan akhir untuk penggambaran drama Trilogi Cinta 2.

"Untuk musim baru ini, saya perlu buat persiapan lebih pada aspek penghayatan dan lakonan.

"Ia mendapat respons yang baik pada musim lalu, sudah tentu jangkaan penonton akan lebih tinggi pada musim baru ini," katanya yang dijadual memulakan penggambaran drama itu dalam masa terdekat.

Selain Fouziah, drama arahan Amie Maziah itu turut mengekalkan pelakon-pelakon seperti Rosyam Nor dan Amyza Aznan.

Drama sebanyak 40 episod nukilan Sharifah Abu Salem itu akan bersiaran di saluran RTM tidak lama lagi.

Rashid Sibir Pendam Hasrat Terbitkan Filem 'Tanah Kubur'

Posted: 05 Feb 2012 06:11 AM PST


 
KUALA LUMPUR: Pengarah drama Rashid Sibir berkata dia merancang untuk menerbitkan sebuah filem yang diadaptasi daripada drama Tanah Kubur di Astro Oasis (saluran 106) jika keadaan mengizinkan kelak.

Menurut Rashid, sambutan yang memberangsangkan daripada penonton drama keagamaan itu menyuntik keyakinannya untuk menterjemahkan drama tersebut ke layar perak.

"Angan-angan untuk memfilemkan drama Tanah Kubur memang ada tetapi beberapa perkara perlu dipertimbangkan terlebih dahulu.

"Sekiranya ia mendapat 'lampu hijau' daripada Astro sebagai stesen penyiar drama itu, ada dana yang mencukupi dan plot yang bersesuaian, mengapa tidak saya terbitkan versi filem pula.

"Drama itu mendapat respons yang baik daripada penonton sehingga mencecah rating 4.5 juta pada dua musim pertamanya. Ini menunjukkan ia ada pengikut tersendiri," katanya.

Rashid berkata jika dia ingin merealisasikan perancangan itu, plot yang bersesuaian dan memberikan impak harus dipilih agar ia menjadi sebuah filem yang berkualiti.

"Ada beberapa kisah dan plot yang telah saya senaraikan. Untuk diangkat ke layar perak, plot dan mesej yang hendak disampaikan harus memberikan impak dan berskala besar.

'Jika perancangan ini menjadi kenyataan, saya harus berbincang secara terperinci dengan beberapa pihak termasuk Astro bagi memilih plot terbaik untuk filem itu nanti," katanya.

Rashid berkata memandangkan drama yang sarat dengan mesej itu diterima baik oleh masyarakat, dia bertanggungjawab untuk menghasilkan filem yang memaparkan keutuhan prinsip dan perjuangan Islam di mata umum.

"Drama ini berteraskan dakwah dan perjuangan Islam. Versi filem itu harus diterbitkan dengan perspektif dan penyampaian yang tepat," katanya yang bersedia menerbitkan filem itu secara bersendirian atau usahasama dengan stesen penyiara berkenaan.

Kali terakhir Rashid menghasilkan filem adalah pada 2004 menerusi Cinta Luar Biasa.

Filem terbarunya, Awan Dania The Movie yang menampilkan aktres Scha Al Yahya dijangka menjengah pawagam pada September depan.

Katy Perry Dapat Dorongan Bekas Kekasih Hadapi Perceraian

Posted: 05 Feb 2012 06:03 AM PST


Katy Perry

LONDON: Penyanyi Katy Perry dilaporkan mendapat sokongan daripada bekas kekasih yang juga penyanyi kumpulan Gym Class Heroes iaitu Travie McCoy untuk menghadapi perceraiannya.

Penyanyi lagu Firework itu bercerai dengan pelawak British Russell Brand pada Disember tahun lalu selepas 14 bulan berkahwin.

McCoy berkata sebagai bekas kekasih dia cuba untuk membantu penyanyi itu untuk mengatasi kedukaannya susulan perceraian tersebut.

"Kami sentiasa berhubung antara satu sama lain, saya sentiasa berada di sisinya. Apabila anda menjalin hubungan seperti kami, anda akan sentiasa berada di sisi apabila diperlukan.

"Katy sentiasa ada di sisi ketika saya melalui kesukaran sebelum ini," katanya yang dipetik sebagai berkata kepada mirror.co.uk.

Mccoy menambah: "Kehidupan harus diteruskan, saya pernah menyesali bagaimana hubungan kami boleh berakhir tetapi kini tiada dendam lagi. Saya akan sentiasa berada di sisinya, dia mengetahui perkara itu.

"Adakah saya pernah terfikir dia membuat keputusan tergesa-gesa untuk mengahwini Russell? Ternyata, ia satu perasaan yang tidak boleh disangkal."

McCoy dan Perry pernah menjalin hubungan pada 2008. - IANS

Adam Lambert Kecam Kenyataannya Berhubung Queen Disalah Erti

Posted: 05 Feb 2012 06:01 AM PST


Adam Lambert

NEW YORK: Naib juara program American Idol musim kelapan (AI8), Adam Lambert berkata kenyataan bahawa dia bakal menyertai kumpulan Queen sebagai vokalis legenda rock itu pada sesi jelajah musim panas depan telah disalah ertikan oleh wartawan akhbar Daily Star U.K.

Lambert yang mengadakan persembahan dengan kumpulan itu pada Anugerah Muzik MTV Eropah (EMA) pada November tahun lalu, berkata kepada akhbar tabloid itu dia langsung tidak berniat untuk menggantikan bekas vokalis kumpulan tersebut, Freddie Mercury.

"Niat dan tujuan saya adalah menunjukkan tanda penghargaan kepada Freddie dan kumpulan Queen dengan menyanyikan lagu-lagu hebat mereka.

"Ia adalah untuk mengekalkan muzik mereka di hati peminat dan memberikan tenaga yang boleh membuatkan Freddie berbangga," katanya dalam kenyataan kepada akhbar tersebut.

Lambert menambah: "Selepas EMA, saya mendengar kecaman dan kritikan orang ramai, 'Anda tidak boleh menggantikan Freddie Mercury. Saya sudah sedia maklum.

"Tiada niat untuk menggantikan dia (Mercury). Ianya adalah mustahil. Saya untuk melihat keputusan (menyertai jelajah Queen) sebagai tanda penghargaan dan saya tidak mungkin akan mengelak daripada tanggungjawab itu."

Selepas kenyataan temuramah Lambert diterbitkan di laman web akhbar itu pada Jumaat, penyanyi itu membuat penjelasan pada akaun Twitternya.

"Mereka, 'wartawan yang bijak' telah menyalah ertikan kenyataan saya... Saya belum pun mengesahkan sebarang kemunculan bersama kumpulan itu (pada siri jelajah). Saya bercakap mengenai persembahan kami di anugerah EMA yang lalu.

"Melihatkan laporan berkenaan, saya berasa tersentuh dengan kesimpulan mudah (bakal menjadi vokalis Queen) itu," katanya.

Dalam pada itu, pemain dram Queen iaitu Roger Taylor mengesahkan kepada Billboard pada hujung tahun lalu, dia dan gitaris Brian May sedang mengadakan rundingan untuk mengundang Lambert menyertai mereka dalam siri jelajah kumpulan itu.

Selepas mengumumkan bahawa Queen bakal bersara daripada siri jelajah selepas ini, Taylor berkata: "(Lambert) telah berkembang menjadi penghibur yang hebat dengan mutu vokal yang memukau.

"Kami ingin bekerjasama dengannya lagi. Buat masa ini, tiada sebarang perjanjian dimeterai tetapi kami sedang berbincang mengenai tarikh untuk siri jelajah itu. Ia akan menjadi gandingan yang mengujakan."

Kali terakhir Queen muncul dengan album studio bersama vokalis Freddie Mercury adalah pada 1991 menerusi Innuendo.

Mercury meninggal dunia pada 24 November 1991 akibat komplikasi AIDS pada usia 45 tahun.-mstar-

Bekas Tunang Leuniey Bersihkan Nama Khairul Fahmi (Apex)

Posted: 05 Feb 2012 05:58 AM PST



Belum sampai 36 jam, nama penjaga gawang gol Skuad Harimau Malaya, Apex atau nama sebenarnya Khairul Fahmi Che Mat, sudah dibersihkan dari fitnah yang mengatakan kononnya beliau adalah penyebab putus tunang seorang gadis bernama Leuniey.

Bekas tunang Leuniey mengesahkan bahawa Apex bukanlah penyebab tali pertunangan mereka putus sekaligus menafikan dakwaan pemilik laman Twitter yang dikenali dengan nama akaun @MahSiH2 yang disiarkan semalam.

Dengan pengakuan tersebut, bekas tunangan Leuniey yang enggan disiarkan namanya itu merayu agar isu tersebut dihentikan dan tidak diperbesar-besarkan lagi.

"Saya hanya mengetahui kisah saya di Internet selepas diberitahu rakan dan harap ia tidak diperbesarkan," katanya yang dipetik dari Harian Metro, hari ini.

Selain itu, bekas tunang Leuniey itu juga menafikan dirinya mempunyai sebarang kaitan dengan pemilik akaun Twitter, @MahSiH2, yang dikatakan bertanggungjawab sepenuhnya menyebarkan berita fitnah tersebut.

"Mengapa saya mahu mengaibkan nama keluarga sendiri dengan menyamar sebagai orang lain di Twitter dan menyebarkan perkara itu. Saya juga terkejut apabila ada beberapa gambar dalam akaun itu sedangkan saya tidak menyimpannya sebaik putus tunang," katanya lagi.

Pemilik akaun Twitter @MahSiH2 semalam menghuru-harakan dunia internet negara apabila mendakwa Apex menjadi punca putus tunang Leuniey dan ikon bola sepak negara yang diminati ramai itu telah putus hubungan 'istimewa'nya dengan Dahlia Teck.

Selain itu, @MahSiH2 juga mendakwa Apex kini berpacaran dengan Leuniey, seorang gadis yang dikatakan lebih jelita dan sopan berbanding Dahlia.

Sehingga kini, Mynewshub.my yang cuba menghubungi penjaga gol skuad kebangsaan itu sejak semalam masih belum dapat menembusi talian telefon bimbit Apex, dipercayai ditutup dan enggan diganggu dengan kontroversi tentang hal peribadinya itu.

Oleh: ZAMZUKHAIRI NOORDIN

Senarai 18 pemain yang terlibat rasuah bolasepak

Posted: 05 Feb 2012 05:18 AM PST

TENGKU ABDULLAH (tengah) bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat Exco FAM, di Kuala Lumpur semalam.

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah mengenalpasti 18 pemain dan seorang jurulatih yang didapati terbabit dalam skandal rasuah pada saingan Liga Malaysia musim lepas.

Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menjelaskan bahawa pemain dan jurulatih berkenaan akan dikenakan hukuman penggantungan antara dua hingga lima tahun.

"Hukuman tersebut dibuat selepas mengambil kira pandangan serta nasihat Jawatankuasa Disiplin FAM.

"Pemain dan jurulatih berkenaan akan diambil tindakan dan senarai nama mereka akan diumumkan dalam masa terdekat," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur semalam.

"Ini membuktikan keseriusan FAM untuk memerangi gejala rasuah dalam bola sepak. Saya berharap ia akan memberi pengajaran kepada pemain dan pegawai yang terlibat dalam semua kejohanan kelolaan FAM," titah baginda.

Pemain-pemain terbabit terdiri daripada enam pemain dari pasukan Negeri Sembilan dan seorang jurulatih, pasukan T-Team (enam) dan pasukan MP Muar (enam).

Terdahulu, Tengku Abdullah telah menyampaikan sumbangan kepada dua badan kebajikan NCWO Negeri Sembilan dan Yayasan Kemiskinan Kelantan dan mereka masing-masing menerima cek bernilai RM50,000 hasil kutipan tiket daripada Piala Sumbangsih 2012.

Pada awal bulan lalu, saingan bola sepak tempatan turut dikejutkan dengan aktiviti mengatur perlawanan membabitkan perlawanan antara Perlis dengan Majlis Perbandaran Muar (MP Muar) dalam aksi pembukaan Liga Premier musim 2012.

Pada perlawanan tersebut, pemain Perlis yang dibelasah sehingga tujuh gol oleh MP Muar mengakui terdapat penglibatan bookie dalam mengatur keputusan perlawanan tersebut.

Tidak mahu gejala tersebut berlarutan, Presiden Persatuan Bola Sepak (PFA) Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim mengambil tindakan segera mengadakan perjumpaan dengan semua pemain selepas perlawanan tersebut yang membawa kepada pengakuan bahawa terdapat segelintir pemain dipancing oleh seorang bookie.

Ekoran pengakuan tersebut, beberapa pemain Perlis telah dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tunjuan penyiasatan.

Setakat ini, kes membabitkan pemain Perlis masih dalam proses penyiasatan. -kosmo-

Seks Adalah Perkara Biasa Bagi Pelajar Sekolah

Posted: 05 Feb 2012 05:12 AM PST



KUALA LUMPUR – Isu pelajar sekolah mengadakan hubungan seks atau mengandung anak di luar nikah bukanlah merupakan sesuatu yang baru untuk diperkatakan pada hari ini.

Menurut borak-borak penulis bersama beberapa guru di sekolah-sekolah menengah sama ada swasta mahupun bantuan penuh kerajaan, boleh dikatakan hampir setiap tiga bulan mereka diberitahu mengenai kes-kes baru membabitkan hubungan terlarang di kalangan anak-anak murid mereka itu.


Sampai ke satu tahap, cuping telinga guru-guru seolah-olah tepu dan bosan dengan masalah sosial yang kian membarah di kalangan pelajar.

"Apa yang kami mampu, kami dah buat..panggil, nasihat, berleter, kaunseling..nak pukul tak dibenarkan pulak.


"Kami ada beritahu ibubapa pelajar-pelajar ni, mak bapak diorang datang..tapi bukan nak menegur atau berbincang masalah anak..diorang siap marah kami lagi..kononnya kami ada-adakan cerita..dia kata anaknya baik je kat rumah.

"Dalam meeting PIBG pun ada suarakan..tapi cikgu-cikgu jugak yang dipersalahkan..memang kami pendidik..kami beri ilmu..tapi kalau anak-anak mereka tak gunakan ilmu tu dan buat suka hati macamana pulak? Takkan salah kami jugak?," keluh guru-guru tersebut.


budak sekolah melampau



Penulis bawa pula masalah ini di kalangan ibu bapa dan mendapati memang benar apa yang dinyatakan guru-guru tersebut, memang mereka menyalahkan para pendidik di sekolah pun.

"Aku hantar anak aku pergi sekolah..aku nak cikgu 'sekolahkan' dia..jadi dia kena buat sampai anak aku pandai la..pandai fikir..pandai beza mana baik mana yang buruk..bukan setakat pelajaran je yang perlu pandai.
budak sekolah melampau

"Alaaa..cikgu-cikgu sekarang ni teruk..suka lari dari tanggungjawab, anak aku tu lebih banyak masa dihabiskan di sekolah..bila ada di sekolah maka dia bawah tanggungjawab guru la," kata ibu bapa pula.

Namun tak semua ibu bapa yang menyalahkan guru, sebaliknya menyalahkan pula kerajaan.

"Aku rasa, kerajaan la yang salah..dasar pendidikan sekarang ni agak terbuka..dah ada internet kat sekolah..tu yang masuk website lucah tu..habis rosak budak-budak.

budak sekolah melampau

"Dulu di zaman aku, guru-guru boleh rotan..boleh pukul budak-budak..tapi tak la pukul sampai mati, tapi zaman sekarang ni dasar apa ntah yang kerajaan buat sampai tak kasi jentik budak..tu yang jadi terbalik tu..sekarang ni budak-budak pulak pukul cikgu!," kata rakan saya yang mempunyai anak di tingkatan 4.

Tergaru-garu kepala penulis mendengar rintihan guru-guru dan para ibu bapa mengenai masalah anak-anak mereka itu.

Persoalannya, bukannya mahu mencari salah sesiapa dan penulis lebih berminat mencari mekanisma yang wajar serta tepat untuk menghapuskan suatu amalan yang tidak patut dijadikan budaya itu.

Apa pula pandangan pembaca? Ada idea?



sumber Mynewshub

Matinya seorang petinju

Posted: 05 Feb 2012 04:49 AM PST


MAQUINTO rebah ketika mengharungi perlawanan pusingan keempat.



MANILA - Petinju muda Filipina, Karlo Maquinto disahkan meninggal dunia di Hospital Universiti Far Eastern, kelmarin.

Petinju yang beraksi dalam kategori flyweight yang sedang mencipta nama di pentas antarabangsa itu berada dalam keadaan koma akibat kecederaan di kepala selepas beraksi menentang Mark Joseph Costa pada satu kejohanan di utara Manila, Sabtu lalu.

Maquinto yang memiliki rekod kemenangan 8-0-1 dengan enam daripadanya diraih menerusi knock-out rebah selepas pusingan keempat ketika pertarungan menentang rakan senegaranya itu.

Pakar bedah dari hospital berkenaan, Dr. Chester Tan memberitahu bintang tinju berusia 21 tahun itu meninggal dunia pada pukul 10 pagi kelmarin.

Maquinto yang membuat penampilan kesembilan sepanjang kariernya sejak bergelar petinju profesional telah dikejarkan ke hospital apabila didapati tidak sedarkan diri selepas insiden tersebut.

Salah seorang pakar hospital berkenaan, Rhoby Orata memberitahu hasil imbasan terhadap kecederaannya, terdapat pendarahan di kepalanya yang dikesan pada sebelah kanan otak Maquinto.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Sukan dan Hiburan Filipina, Amado Bagatsing mahu satu siasatan dilakukan ke atas kes Maquinto.

Menurutnya, Maquinto dianggap sebagai salah satu petninju muda terbaik pernah dilahirkan oleh Filipina.

Tinju merupakan salah satu sukan yang terkenal di negara itu dan Filipina memiliki dua petinju terbaik dunia iaitu juara bertahan kategori welterweight dan bantamweight, Manny Pacquiao dan Nonito Donaire.

- AFP

Wanita Pelik Makan Ayam Hidup-hidup Setiap Hari

Posted: 05 Feb 2012 04:45 AM PST



Daging ayam sudah diletakkan sebagai salah satu makanan ruji dalam piramid makanan kesihatan kepada manusia.

Setiap hari, kita pasti akan menggunakan ayam sebagai menu utama dalam masakan kita tidak kira apa jenis lauk pauk yang dihidangkan.

Pun begitu, sukar untuk penulis bayangkan apabila seorang wanita pelik sanggup makan ayam hidup-hidup sebagai makanan hariannya tanpa disembelih dan dicabut bulunya terlebih dahulu!

Seorang wanita yang pelik bernama Miskaulah, 38, berasal dari Dusun Janganasem, Sidoarjo, Indonesia menghidap penyakit misteri dan aneh iaitu ketagih untuk makan ayam hidup-hidup tanpa disembelih.



Malah, Miskaulah juga didakwa mampu memakan ayam hidup sebanyak lima ekor setiap hari!

Dia dikatakan perlu untuk memakan ayam hidup sebagai memenuhi nafsu gila dan peliknya itu.

Ini sememangnya benar-benar pelik memandangkan kita sebagai orang Islam, perlu menyembelih ayam terlebih dahulu dan membersihkan segala kekotoran yang ada sebelum dimasak.

Jangan pula kita mengamalkan 'nafsu' seperti ini.

Oleh: NAIMAH SHAARI

Kisah Cinta Tiz Zaqyah

Posted: 05 Feb 2012 04:42 AM PST


BERPEGANG kepada prinsip, Tiz memilih untuk tidak menjadikan kisah cintanya bersama Remy Ishak sebagai sajian cerita untuk disajikan kepada umum. Cukuplah peminat mengetahui bahawa mereka kini pasangan kekasih.



HAMPIR sahaja kisah cintanya dibiarkan tergumam di kerongkong. Barangkali, semahu-mahunya persoalan itu dielak, selagi boleh.

Menarik nafas seraya ukiran senyuman di bibirnya seperti ditahan-tahan, anak matanya membulat membayangkan kerisauan. Dia Tiz Zaqyah, si jelita yang dikenali ramai sebagai aktres yang semakin cemerlang kerja lakonannya, namun saat kasih cinta minta dikongsikan, dia menikus mencari ruang menyorot wajah.

Itu resam yang diladeni banyak nama popular. Di sebalik kemilau yang mempesona, bukan cerita karier sahaja yang didambakan. Seperti juga Tiz, 24, selain dihambat tuntutan seni yang diceburi, dia tidak lepas daripada diseret kontroversi cinta. Jatuh kasih sesama artis, menyulam asmara dari lokasi bersama Remy Ishak yang banyak cerita kontroversi, itu cukup untuk memberi rencah sensasi kepada Tiz sendiri.

Semuanya sudah terang lagi bersuluh. Pengakuan Remy di hujung 2011 menjelaskan teka-teki umum. Dihitung congak, sebenarnya sudah hampir dua tahun mereka menganyam ikatan. Ditunggu-tunggu pula perkongsian daripada Tiz sendiri, baru kali ini, heroin Nur Kasih The Movie pula membuka mulut.

Cinta kura-kura

"Kami masih seperti yang telah diketahui. Macam dulu juga, setakat itu sahaja," getusnya manja saat progres hubungannya bersama Remy diminta perkhabaran.

Tambah Tiz, hubungan mereka berdua belum ada apa-apa perkembangan yang boleh diceritakan.

"Masing-masing sibuk dengan jadual penggambaran. Kami sebenarnya mahu rileks-rileks dulu, kami biasa sahaja dan semuanya berjalan normal," katanya.

Sambil mengakui masing-masing sudah kenal keluarga kedua-dua pihak, pelakon berusia 24 tahun itu berbicara penuh hati-hati. Dia ditanya tentang pendiriannya yang disifatkan begitu payah berkongsi kisah hati.

"Memang sejak dari dulu, saya bukan jenis yang gemar serta terbuka bercerita soal peribadi," ujarnya berbasa-basi sambil ketawa besar.

Enggan berlebih, bercerita sehingga banyak yang mahu disimpan terlerai menjadi tatapan umum, kami beralih topik kepada fokus fotografi yang dirancang. Berlokasikan redup pepohonan di Hotel Palm Garden, Putrajaya, kemanisan sari filem terbaru lakonan Tiz, Cinta Kura-Kura turut menjadi topik perbualan.

Terbitan KRU Studios, filem arahan Nizam Zakaria itu menjadi filem kedua buat Tiz dan pertama kali menggandingkan dirinya bersama hero filem lain selain Remy Ishak iaitu Aeril Zafrel. Selain itu, nama-nama seperti Zizan Raja Lawak, Bob AF juga menjadi angkatan baharu Tiz dalam filem bergenre romantik komedi itu.

Gila-gila

"Saya dapat tahu bahawa kami akan digandingkan dalam filem berkenaan dua minggu sebelum penggambaran dijalankan. Sebelum ini kami tidak pernah berlakon drama atau filem bersama-sama.

"Selama dua minggu itulah kami cuba mendapatkan sebaik-baiknya keserasian, menghafal skrip dan menghayati watak masing-masing sebelum turun beradu watak di lokasi penggambaran.

"Kebetulan, Cinta Kura-Kura menjadi filem kedua antara saya dan Aeril, saya hanya sempat berlakon sebuah filem sebelum ini, Nur Kaseh The Movie manakala, Aeril dengan Aku Bukan Bodoh," katanya yang seronok melakonkan watak Nani yang santai dan berkarakter gila-gila.

Jauh berbeza dengan watak wanita bertudung, kuat pegangan agama serta berkahwin dalam filem pertamanya, kali ini Tiz lebih cergas, sesuai dengan genre filemnya yang santai dan tidak memaksa tangisan emosi daripada penonton.

"Watak saya agak ringkas, mungkin ini watak paling ringan yang pernah saya jayakan. Saya menjadi remaja yang sayangkan haiwan peliharaan eksotik iaitu seekor kura-kura daripada spesies terancam. Mujur saya juga gemar membela haiwan peliharaan, jadi taklah pelik sangat.

"Saya ada membela seekor kucing dan seekor sugar glider di rumah. Banyak juga masa senggang dihabiskan untuk melayan kerenah haiwan comel itu. Jadi, secara tidak langsung ia juga memberi inspirasi dan penghayatan kerana dalam filem berkenaan menuntut watak saya (Nani) seolah-olah bercakap dengan seekor kura-kura yang diberi nama Nico," sambung Tiz teruja menantikan tayangan Cinta Kura-Kura yang akan bermula 1 Mac nanti.

Menyingkap pengalaman menjayakan filem berkenaan, biarpun naratifnya ringan, ada dugaan besar telah dijalani dengan sempurna.

"Kami kena banyak berimaginasi, watak kura-kura itu sebenarnya CGI (imej janaan komputer) dan tidak ada di lokasi, ia hanya muncul semasa proses suntingan sahaja.

"Mula-mula terasa janggal juga, maklumlah sebagai pelakon saya tidak tahu bagaimana rupa atau reaksi kura-kura yang akan dihasilkan secara CGI.

Dapat hero baru

"Cuma yang ada ketika itu adalah kura-kura sebenar yang boleh dikatakan agresif dan tidak boleh duduk diam. Saya kena bayangkan kura-kura itu sebagai Nico, bila ingat balik detik itu memang sangat kelakar.

"Paling saya suka apabila penggambaran dilakukan di sebuah menjual haiwan peliharaan. Di situ ada bermacam haiwan comel, ada kucing, arnab dan iguana. Kebetulan saya memang suka haiwan peliharaan," katanya yang langsung tidak kekok bergandingan dengan Aeril yang menjadi hero terbaharunya dalam filem berkenaan.

Berbanding Tiz yang sudah merasai peluang berganding dengan ramai pelakon lelaki popular, Aeril Zafrel yang diberi kepercayaan menggalas watak utama dalam filem berkenaan ketara berbeza profil.

Pertama kali kelibat Aeril mendekatinya, bagaimanapun Tiz tidak pantas membuat penilaian. Katanya, biarpun Aeril bukan nama besar tapi rasa hormatnya timbul melihat kesungguhan pemuda itu menghayati watak.

"Antara saya dan Aeril, kami tiada masalah untuk mencari keserasian. Aeril membawa watak Adam, pemuda yang sukar untuk melafazkan perasaan cinta. Dia jenis yang sekepala dengan kami banyak berbincang untuk hidupkan peranan masing-masing.

"Semua artis yang terlibat dalam filem ini kelakar dan gila-gila. Saya harap itu semua akan menyumbangkan aura positif untuk filem berkenaan," ujar Tiz yang lebih kerap berlakon drama berbanding filem.

Malam ini, pemilik nama sebenar Siti Zaqyah Abdul Razak itu akan muncul dengan telefilem istimewa berjudul Runtuhnya Sebuah Dosa., dengan kekasihnya, Remy.

Siapa Sebenarnya Buddhi Hekayat, Awan Nano

Posted: 05 Feb 2012 04:35 AM PST

 
CERITA Buddhi, Awan Nano itu ditulis dalam jangka masa sebulan di rumah lamanya di Petaling Jaya. Bersilih ganti kata sehingga setebal kotak rokok, lagu cantik nukilan Datuk M. Nasir itu akhirnya bergelar juara di pentas AJL26.

AWAL kisahnya, Buddhi Hekayat, 36, lebih suka bermain dengan berus serta kanvas. Melakar garis, warna dan bentuk untuk membentuk lukisan. Dia ialah graduan jurusan seni halus di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam. Minat lukisnya menjurus kepada realism.

Kehendak hati dan pesan seorang guru yang mengesan satelit minatnya, lakaran warna-warni itu bertukar menjadi perkataan. Disusun kata-kata mengikut melodi. Dia nekad mengikut kekuatan dalam diri yang menjurus kepada penulisan.

Nah, tarikh bersejarah 29 Januari lalu mengiktiraf Buddhi Hekayat sebagai seorang penulis lirik melalui lagu Awan Nano sempena Anugerah Juara Lagu Ke-26 (AJL26) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

"Buddhi itu gabungan budi dan budaya manakala hekayat itu ialah kisah orang baik-baik," jelas Buddhi yang lebih gemar dikenali dengan nama penanya.

Lalu Awan Nano, ialah karya kedua selepas Ajaib nyanyian Spider yang memberi satu impak dan langkah yang besar buat Buddhi. Buat khalayak, pertama kali melintasi judul ini, masing-masing punya tafsiran sendiri. Lalu ditanyakan kepada empunya diri akan perjalanan lirik buat lagu sifu muzik, Datuk M. Nasir dan dinyanyi merdu oleh Hafiz.

"Awan Nano ini slanga rakyat. Saya teringat momen emak saya melipat kain lalu melihat awan, emak kata 'tengok awan tu, nano," ujar Buddhi yang mendapat idea melalui momen ibunya yang dicampur dengan hasil menonton drama Awan Dania dan teringat juga kisah-kisah para nabi.

"Daripada sudut makna, ada dua. Daripada sudut kerohanian, memang ada kena mengena dengan kisah Nabi Muhammad SAW yang mana sewaktu di zaman kanak-kanak, perjalanan baginda dilindungi awan. Melihat pula sudut kemanusian, Awan Nano berkisarkan kasih sayang dan sifat pelindung," cerita Buddhi ringkas tapi padat.

Lalu dihikayatkan bahawa di sebuah rumah di Petaling Jaya, tiga tahun lalu, dia menulis lirik untuk lagu yang diberikan oleh M. Nasir ini. Sebulan durasi yang diambil dan luah Buddhi, rangka lirik ini ditulis hampir tebal sekotak rokok. Ini semua untuk perhatian dan luahan fokus kepada sebuah lagu yang dipertanggungjawabkan. Awan Nano siap dan diberikan semula dan dinyanyikan Hafiz, tiga nama yang bersatu menjadi juara.

"Saya ingat pesan arwah Loloq, puisi dan lirik itu berlainan," katanya yang mengaku Loloq, sahabat baiknya itu tiada galang gantinya.

"Waktu Loloq masih hidup, saya tidak menulis lirik. Saya hormati dia, tidak mahu bersaing dan arwah tahu," ujar Buddhi menjelaskan kalau-kalau ada yang sudah melihat kolaborasi baharu M. Nasir sebagai pengganti Loloq.

"Saya cuma menyambung perjuangan Loloq, M. Nasir, Sani Sudin dan ramai lagu yang menulis lirik dengan perjuangan bahasa. Saya ini generasi baharu," katanya yang mula serius menulis tiga tahun lalu dan pernah menulis skrip tiga buah teater terdahulu.

"Saya melihat penulisan dalam 10 tahun kebelakangan ini sudah hilang tradisi. Tiba-tiba penulisan menjurus kepada bahasa Indonesia. Begitu juga dengan bahasa Inggeris dan Arab yang dimelayukan. Tiba-tiba jadi berlebihan dan tidak membawa konsep baharu dalam perbendaharaan kata. Bukan menutup kepada kepelbagaian bahasa tetapi kita ada bahasa sendiri. Lihat sahaja perjuangan Munsyi Abdullah mengangkat bahasa Melayu di Nusantara," ujarnya lagi.

Penulis bertanyakan malam AJL dan impak selepas itu, mengangkat piala atas kerahan idea. Mengaku gugup, kemudian Buddhi dibawa semangat untuk terus berkarya, bukan hanya lirik tapi juga mahu menjurus kepada novel, skrip atau apa sahaja bentuk penulisan.

Impak lain yang mengena kepada diri penulis lirik ini sejurus selepas AJL juga bersangkut paut dengan politik. Ucapan tahniah seorang tokoh parti pembangkang buatnya di laman Twitter menjadi buah mulut dan cerita umum.

"Saya cuma nak bahagiakan semua orang. Sebenarnya penglibatan saya dalam politik sudah banyak berkurangan sejak kebelakangan ini. Tidak ada bezanya penglibatan saya dengan membuat lirik kerana niat saya adalah membahagikan orang. Itu sahaja. Ramai selebriti terlibat dengan politik dan itu perkara biasa. Dunia saya sekarang adalah dunia seni," penutup cerita seorang penulis lirik yang akan muncul dengan lirik Angin Syurga nyanyian Misha dan Siapa Dapat Lisa, alunan Sepahtu.

Asmidar terpaksa solek lebih

Posted: 05 Feb 2012 04:31 AM PST

MEMECAH kepompong dan masuk ke arus popular daripada pertandingan nyanyian Vokal Bukan Sekadar Rupa yang menyasarkan untuk peserta kurang wajah komersial, Asmidar sedikitpun tidak berasa ralat.

Jauh sekali rendah diri, malah dia mengakui bahawa kurang cantik sebenarnya satu rahmat.

"Itulah platform sebenar untuk orang-orang macam saya. Sudah banyak pertandingan nyanyian saya sertai, tapi semuanya tak ke mana.

"Memanglah wajah cantik itu aset penting, tapi saya seorang biasa-biasa sahaja dari segi wajah dan penampilan. Tapi, saya jenis yang tidak mudah patah semangat dan percaya kemampuan diri, kalau dibantu oleh solekan, dandanan serta pakaian yang menarik, saya juga boleh tampil berkeyakinan. Rasanya cantik itu subjektif," juara Vokal Bukan Sekadar Rupa itu tenang melenturkan bicara.

Setelah menang, ada juga yang menyifatkan Asmidar tidak layak menyertai pertandingan berkenaan kerana memiliki penampilan yang menarik berbanding saingan yang lain, berbeza dengan syarat utama dan konsep pertandingan berkenaan.

"Wajah saya biasa-biasa sahaja, sebab itulah kena bersolek lebih sikit jika hendak nampak menarik. Tapi masa uji bakat, memang saya datang tanpa sebarang solekan," katanya.

Ambil pendekatan positif, fokus pemilik nama sebenar, Norhasmida Ahmad, 26, itu semakin jelas. Single yang menjadi salah sebuah lagu pertaruhan konsert akhir pertandingan yang dijuarai, Biar Sampai Ke Bintang semakin hangat berputar di radio. Melodi indah gubahan Ajai serta lirik oleh Transformer Malaya itu pantas meletakkan juara Bintang Asli Remaja Wanita Kebangsaan tahun 2006 serta Naib Juara Bintang RTM 2001, Asmidar di landasan yang tepat.

"Sebelum masuk Vokal Bukan Sekadar Rupa, memang kerja saya masuk pertandingan menyanyi, menang tapi macam di angin lalu sahaja. Kali ini, saya ada single, tapi memang kalau tak menjadi juga, ada perancangan untuk menyanyi dengan band saya, The Moustache. Bila single itu ada sambutan, saya memang sangat bersyukur," katanya yang melebar senyuman apabila single lantunannya mula mencari tapak di radio.

Dipuji para juri serta terbukti hebat dari segi vokal, pemilik Diploma Muzik Universiti Teknologi Mara itu juga bertekad mahu mencuri perhatian umum. Dia memilih ciri elegan, moden serta sedikit sentuhan klasik sebagai perincian imejnya untuk dipertontonkan kepada khalayak.

"Rasanya imej begitu sesuai dengan jenis lagu yang saya bawakan ketika ini, kalau ada produk baharu yang berlainan rentak, mungkin penampilan pun perlu diubah," jelas Asmidar yang beruntung berbapa saudarakan Tiar Zainal, seorang jurusolek profesional yang banyak membantunya dari segi penampilan diri.-kosmo-

Dua negeri Australia tenggelam

Posted: 05 Feb 2012 04:27 AM PST


GAMBAR disiarkan oleh pihak berkuasa New South Wales menunjukkan bahagian utara negeri berkenaan ditenggelami air bah kelmarin.


SYDNEY - Ribuan penduduk terputus hubungan semalam selepas hujan lebat menyebabkan air beberapa tebing sungai pedalaman timur Australia melimpah dengan sebahagian keluarga diancam ular berbisa ketika berlindung di bumbung rumah, kata pasukan penyelamat.

Di Queensland sahaja lebih 11,000 orang terputus hubungan, setahun selepas sekitar 35 orang maut dalam banjir kilat yang turut menenggelamkan 30,000 kediaman di negeri berkenaan dan New South Wales (NSW).

Beberapa pekerja penyelamat berkata, paras air sungai di beberapa bahagian meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh setengah abad dengan air bah menenggelami sebahagian besar tanaman termasuk kapas, tebu, kacang soya dan jagung.

Bacaan banjir di beberapa batang sungai di negeri NSW dan Queensland mencatat paras melebihi 13 meter.

Biro Meteorologi Australia pula meramalkan banjir akan berterusan selama beberapa hari malah, di beberapa kawasan, ia dijangka berlanjutan hingga beberapa minggu.

Beberapa pekerja penyelamat berkata, bandar Moree yang terketak di kawasan paling teruk terjejas banjir di utara NSW kini terputus hubungan dengan dunia luar.

Pihak berkuasa menggunakan beberapa buah helikopter dan pesawat untuk menyelamatkan mangsa dan menggugurkan bantuan dengan ramai penduduk diancam ular-ular berbisa yang mendiami bumbung rumah mereka bagi mengelak air banjir.

"Kawasan paling teruk terjejas bagi kami adalah di sekitar bMoree dengan 10,000 orang terputus hubungan," kata seorang jurucakap Perkhidmatan Kecemasan Negara, Phil Campbell

Menurutnya, setakat ini, lebih 2,000 orang sudah dipindahkan dengan lebih 16,000 orang terputus hubungan di NSW. - Reuters

Arnab jadi anjing penggembala

Posted: 05 Feb 2012 04:25 AM PST



GAMBAR klip video YouTube menunjukkan
Champis menggembala biri-biri tuannya
di perkampungan Kal, Sweden.

STOCKHOLM, Sweden - Seekor arnab bernama Champis bukan sahaja pandai melompat tetapi ia juga mahir menggembala biri-biri peliharaan tuannya.

Champis dipercayai memiliki kebolehan tersebut selepas ia menyaksikan dan meniru perbuatan beberapa anjing penggembala terlatih di ladang ternakan tuannya di perkampungan kecil Kal, utara Sweden.

Arnab jantan berusia 5 tahun itu mencetuskan sensasi di internet pada minggu lalu selepas klip video memaparkan kebolehan ia menggembala biri-biri ditonton lebih 700,000 kali di laman perkongsian video YouTube.

Klip video yang dimuat naik pada Jun lalu itu menunjukkan Champis berkejar ke sana dan ke mari untuk mengawal ternakan biri-biri milik Nils-Erik dan isterinya, Greta Vigren di ladang mereka.

"Arnab ini mula berperangai pelik seperti seekor anjing penggembala sejak musim bunga tahun lalu tetapi ia tidak mengganggu ternakan ayam tuannya," kata seorang rakan pasangan itu, Dan Westman yang merakam dan memuat naik aksi Champis di YouTube. - AP

Hidupan Aneh Misteri Laut Dalam

Posted: 05 Feb 2012 04:11 AM PST



HIDUPAN laut dalam adalah sangat pelik dan sukar dibayangkan. Ini termasuk timun laut lut cahaya yang mempunyai sesungut, cacing tiub pemakan sisa minyak dan sotong primitif yang mengepakkan sirip berbentuk telinga.

Minggu ini pula, sekumpulan saintis telah berjaya menemui haiwan krustasia seperti udang gergasi pada kedalaman tujuh kilometer (km) di perairan New Zealand dengan saiznya dianggarkan 10 kali ganda berbanding spesies berkaitan yang bersaiz normal.

Haiwan laut dalam yang tergolong dalam kumpulan kategori amphipod itu ditemui dalam satu ekspedisi menuju ke Kermadec Trench yang terletak di utara New Zealand oleh saintis dari Universiti Aberdeen dan Institut Penyelidikan Marin NIWA, Wellington.

Haiwan amphipod biasanya membesar sehingga tiga sentimeter (sm).

"Penemuan ini membuktikan bahawa kita hanya tahu sedikit mengenai hidupan laut dalam di New Zealand," jelas ketua saintis NIWA, Ashley Rowden.

Lautan merupakan misteri alam yang belum diterokai sepenuhnya. Ia meliputi 70 peratus permukaan bumi dengan kapasiti 1.3 bilion kilometer padu air.

PENYELIDIK New Zealand, Alan Jamieson menunjukkan spesies udang gergasi yang ditemui pada kedalaman 7,000 meter

Jurang

Bahagian laut yang paling dalam di dunia kebanyakannya terletak di Lingkaran Api Pasifik iaitu kawasan yang aktif dengan aktiviti gunung berapi dan gempa bumi.

Di situ, aktiviti seismik telah membentuk jurang-jurang besar dengan kedalaman di antara 5,000 meter (m) hingga 10,000m. Kawasan itu sangat gelap dan mempunyai tekanan seperti meletakkan berdozen-dozen pesawat gergasi ke atas tubuh seorang manusia, kata saintis.

Laut paling dalam di dunia dikenali sebagai Challenger Deep, terletak di Mariana Trench di Lautan Pasifik. Sesetengah orang menganggap femonena itu sebagai keajaiban bahkan tanda kebesaran Tuhan.

Ini kerana sementara gunung tertinggi di dunia, Gunung Everest menjulang sehingga 8,848 meter ke udara, Challenger Deep terbenam 10,916m ke dasar laut.

Pensyarah Oseanografi Fizik, Fakulti Pengajian Maritim dan Sains Marin, Universiti Malaysia Terengganu, Dr. Mohd. Fadzil Mohd. Akhir berpendapat kedalaman yang luar biasa, tekanan dan suhu tinggi serta air yang bertoksik menyebabkan organisma di kawasan itu kelihatan pelik.

"Hidupan laut biasanya hidup dalam lingkungan 200 meter dari permukaan laut kerana kawasan itu boleh ditembusi cahaya matahari yang menjadi sumber tenaga.

"Ia tidak mampu menanggung tekanan, suhu dan kadar toksik yang tinggi," ujarnya.

Fadzil berkata, sistem biologi organisma ini yang berbeza daripada kebiasaan telah mencetuskan semangat saintis untuk menerokai kawasan itu.

Bagaimanapun, beliau menambah, belum ada saintis Malaysia yang terlibat dalam penerokaan jurang laut itu.

Menurut beliau, jurang laut terjadi disebabkan pertembungan pelantar tektonik dan ia banyak ditemui di kawasan Lingkaran Api Pasifik.

"Laut China Selatan sendiri hanya mempunyai kedalaman maksimum 70 meter. Cuma perairan di utara Sabah, kedalaman itu mencecah sehingga 2,000 meter," katanya.

Fadzil pernah terlibat dengan kajian di dasar laut Australia yang sedalam 3,000m.

"Tetapi ia hanya melibatkan aktiviti pengambilan data dan amat berbeza dengan kajian jurang laut yang dalamnya melebihi 6,000 meter," katanya.

Sejak beberapa dekad lalu, laut dalam telah mencetuskan perlumbaan dalam kalangan negara-negara maju untuk menerokanya, sama seperti perlumbaan meneroka angkasa lepas.

Sebagai contoh, China kini mahu memberi perhatian kepada lautan pula.

Sebagai sebahagian daripada program eksplorasi laut dalamnya, sebuah kapal selam yang dinamakan Jiaolong telah sampai ke titik terendah, 5,057m di bawah Lautan Pasifik pada Julai tahun lalu.

LUBANG pada kedalaman 5,000 meter di Laut Caribbean mempunyai suhu 450 darjah Celcius.

Rekod

Misi itu dilakukan 50 tahun selepas sebuah kapal selam yang dinamakan Trieste dilepaskan kira-kira 10,000m ke dasar Challenger Deep di Mariana Trench.

Impian China tersebut turut membawa bersama seorang pengarah filem, James Cameron.

Cameron ke sana bagi merakamkan panorama daripada kedalaman 7,000m di bawah laut untuk dimuatkan dalam sekuel filem blockbusternya, Avatar. Laut dalam itu dikatakan sangat sesuai untuk menggambarkan kehidupan makhluk asing di planet Pandora.

Tiga orang kru Jiaolong, Tang Jialing, Fu Wentao dan Ye Cong berharap agar pada tahun ini mereka dapat membawa kapal selam sepanjang lapan meter yang diperbuat daripada titanium itu pergi jauh sehingga 7,000m ke bawah.

Sekiranya selaman itu berjaya, ini bermakna Jiaolong yang dinamakan bersempena sejenis naga laut itu bakal mengatasi kapal selam Jepun, Shinkai untuk menjadi kapal selam terdalam di dunia.



Misi itu dikatakan lebih baik berbanding program eksplorasi angkasa. Pada tahun 2003 China merupakan negara ketiga yang menjalankan penerokaan laut menggunakan kapal selam yang dipandu manusia.

Satu-satunya ekspedisi yang telah sampai lebih dalam daripada misi kali ini adalah selaman Trieste pada tahun 1960. Trieste adalah sebuah sfera dengan panjang 2.1 meter. Dinding kelulinya setebal 12.7 sentimeter dan ia menyerupai sebuah belon udara panas. Trieste dilepaskan ke Challenger Deep.

Bagaimanapun, kapal selam itu tidak dapat dikawal untuk pergi sepanjang bawah lantai laut itu kerana salah satu tingkapnya retak.

Ia membawa Jacques Piccard iaitu anak lelaki penciptanya, Profesor Auguste dan seorang pegawai laut Amerika Syarikat, Don Walsh sehingga ke kedalaman 10,916m di bawah laut.

Mereka dilaporkan telah melihat sejenis ikan sole yang banyak dan udang yang berenang melaluinya. -kosmo-

Perut habis dimakan ulat

Posted: 05 Feb 2012 04:08 AM PST

"BUKAN sekali dua kami menguruskan jenazah uzur. Sudah banyak kes. Biasanya mayat telah busuk, ada juga yang reput.

"Pernah juga kami uruskan mayat yang tinggal kulit dan tulang sahaja. Itu resam kerja pengurus jenazah seperti kami," ujar Mohd. Yusni Ismail.

Selaku Ketua Pegawai Eksekutif Darul Jenazah, sebuah syarikat penyedia khidmat pengurusan lengkap jenazah, Yusni mengakui tidak banyak pihak yang sanggup menguruskan jenazah yang uzur.

"Jenazah uzur ialah jenazah yang tidak meninggal dunia dalam keadaan normal. Contohnya, mangsa mati akibat kemalangan jalan raya, lemas, terbakar, terlibat dalam kes jenayah seperti bunuh atau bunuh diri.

"Individu yang meninggal dunia dengan cara normal tetapi sudah busuk, berulat dan mereput juga tergolong dalam kategori yang sama.

"Mungkin keadaan mayat yang lama, tidak sempurna atau berada dalam keadaan mengerikan, jadi tidak ramai yang sanggup untuk menguruskan jenazah uzur," ujar Yusni.

Menurutnya lagi, pengurusan jenazah uzur sama seperti jenazah biasa tetapi perlu lebih berhati-hati.

Daging tertanggal

"Cara memandikan mayat yang lama dengan mayat yang baru meninggal dunia sama sahaja, cuma perlu lebih teliti. Ini kerana jenazah perlu dipastikan benar-benar bersih dan suci daripada sebarang najis dan kekotoran sebelum boleh dikafan dan dikebumikan.

"Keadaan jenazah juga diambil kira kerana dalam kes jenazah uzur, kebanyakan daging mula mereput.

"Kami tidak boleh terus menjirus air ke atas jenazah, dikhuatiri tekanan air menyebabkan daging tertanggal. Jadi air itu hanya dilalukan di atas tapak tangan tukang mandi.

"Air yang keluar dari celah jari sajalah yang akan membersihkan jenazah dan syarat utama memandikan jenazah ialah meratakan air," katanya.

Yusni dan rakannya, Nasharuddin Hassan selaku Pengurus Besar Operasi di Darul Jenazah sering dipanggil dan dirujuk oleh pihak hospital, jabatan agama Islam mahupun waris untuk menguruskan jenazah uzur.

Walaupun Darul Jenazah secara rasminya baru beroperasi tiga tahun lalu, dua sahabat ini sudah berbelas tahun mengutip pengalaman dalam bidang ini.

"Dalam kes kematian di luar hospital sebegini yang mana si mati meninggal dunia tanpa ada saksi, kes akan dirujuk terlebih dahulu kepada pihak polis.

"Mayat kemudian dibawa ke hospital untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian. Adakah si mati meninggal dunia disebabkan penyakit atau menjadi mangsa jenayah.

BAGI kes kematian di luar hospital khususnya yang melibatkan kemalangan atau meninggal dunia tanpa saksi, prosedur bedah siasat akan dijalankan bagi mengetahui punca kematian.

Plastik

"Dalam kes sebegini, kami tidak boleh mendahului walaupun ada tuntutan daripada pihak waris untuk menyegerakan pengkebumian.

"Ini kerana kami akan dianggap bersubahat dengan penjenayah dan cuba melupuskan bahan bukti seperti cap jari dengan cara memandikan mayat tersebut," jelas Yusni.

Tambah Nasharuddin pula, apabila ada kes mayat yang telah lama meninggal tetapi baru ditemui, pihaknya akan menguruskan jenazah di hospital.

"Sebaik sahaja pihak hospital selesai menjalankan prosedur pemeriksaan ke atas mayat, baru jenazah diserahkan kepada kami.

"Boleh dikatakan hampir semua kes jenazah uzur disempurnakan di hospital. Belum pernah lagi saya jumpa ada waris yang hendak uruskan sendiri di rumah.

"Lagipun, selain bau mayat yang kuat, mayat yang baru dibedah siasat akan mempunyai bekas jahitan yang masih berdarah.

"Disebabkan itu, lebih baik ia disempurnakan di hospital. Selain tidak membebankan waris, ia juga dapat menutup aib si mati," kata Nasharuddin.

Tatkala diminta berkongsi pengalaman menguruskan jenazah uzur, kedua-dua pengurus jenazah profesional ini tidak keberatan untuk bercerita.

"Jangan salah sangka, cerita ini bukan untuk mengaibkan si mati, ia cuma perkongsian ilmu.

"Tidak lama dahulu, saya dan beberapa orang rakan dipanggil untuk menguruskan mayat seorang kerabat diraja.

"Menurut laporan bedah siasat daripada pakar forensik, jenazah telah meninggal dunia lebih kurang 12 hari akibat serangan jantung.

"Keadaan jenazah yang uzur cukup menyayat hati. Sudahlah ketika rohnya ditarik dia sendirian, sampaikan mayatnya busuk dan mereput pun tiada siapa yang tahu.

"Ketika diserahkan kepada kami, batang tubuhnya masih dihurung ulat berengga. Perutnya sudah tiada. Pastinya telah pecah dan habis dimakan oleh tikus dan ulat.

"Begitu juga dengan biji matanya. Kedua-duanya sudah tiada lagi.

"Apabila ingin memulakan urusan jenazah, saya lihat tiada apa lagi yang tinggal padanya kecuali kulit dan sedikit cebisan daging pada tulang," cerita Yusni.

Tambahnya lagi, dalam keadaan mayat sebegini, baunya memang kuat malah boleh dihidu dari jarak di antara 300 hingga 500 meter.

"Seperti yang diterangkan pada awal tadi, untuk kes jenazah uzur, kami akan memandikan jenazah sama seperti jenazah yang normal tetapi perlu lebih teliti.

"Penggunaan serbuk cendana, air mawar, kapur barus, sabun, minyak atar, celak dan kain kapan juga sama seperti jenazah biasa.

"Cuma untuk jenazah uzur, mayat akan dibalut dengan plastik lut sinar terlebih dahulu sebelum dikafankan bagi mengelakkan cairan seperti darah daripada terkena kain kafan," jelas Yusni lagi.

Berbikini Tapi Berpurdah, Kempen Hina Islam

Posted: 05 Feb 2012 04:01 AM PST



Ketika umat Islam sedang mengadakan persiapan menjelang sambutan hari kelahiran Rasulullah SAW esok, dunia dikejutkan laporan bahawa sebuah parti politik Belgium melancarkan kempen anti-Islam dan menghina agama Allah itu.

Lebih memburukkan lagi, ketua parti Vlaams Belang yang berhaluan kanan negara itu, Filip Dewinter, telah mempergunakan gambar anaknya, An-Sofie Dewinter, yang berbikini dan memakai purdah di bahagian kepalanya.

Pada poster itu juga ditampal slogan "Kebebasan atau Islam?" di bahagian buah dada gadis itu manakala dibahagian seluar dalamnya pula terdapat gesaan yang membawa maksud, "Kamu pilih!".

Menurut laman berita antarabangsa, Dailymail.co.uk, poster kempen anti-Islam anjuran Filip itu bertujuan untuk menggesa golongan wanita supaya menolak Islam dan mereka berhak memilih 'kebebasan' berbanding agama tersebut.

"Kami mahu mereka (wanita) faham bahawa mereka sebenarnya mempunyai pilihan (untuk tidak memilih Islam," kata Filip berhubung kempennya itu.

Selain itu, An-Sofie yang sebenarnya dipergunakan bapanya itu menafikan dirinya dipergunakan untuk tujuan kempen tersebut dan menegaskan bahawa dia bangga dengan poster gambarnya itu.

"Saya sendiri yang mencadangkan (poster tersebut)…kempen (melalui poster itu) ini memberikan gambaran jelas mengenai seluruh perasaan untuk isu ini..sebagai wanita, kita mesti memilih sama ada kebebasan atau Islam," katanya tanpa rasa malu.

Parti Vlaams Belang turut berkempen bagi menghadkan kemasukan imigran beragama Islam ke Belgium dan bimbang dengan pengaruh Islam yang kian mendapat sambutan di negara tersebut.

Difahamkan juga bahawa Filip Dewinter merasakan dirinya sebagai patriot sejati Belgium dan bertanggungjawab bagi memastikan Belgium bebas dari pengaruh Islam.



Oleh: ZAMZUKHAIRI NOORDIN

Video Pengakuan Seorang Wanita Melakukan Seks Dengan Lebih 1,000 Lelaki

Posted: 05 Feb 2012 03:56 AM PST


United Kingdom – Crystal Warren, 42, mengejutkan ramai pihak apabila mendedahkan kepada media bahawa dia pernah mengadakan hubungan seks dengan lebih 1,000 orang lelaki akibat ketagihan seks yang tidak dapat dibendung.

Bagaimanapun, dia mempunyai kejutan lebih besar apabila memberitahu bahawa dia juga pada asalnya adalah seorang lelaki!

Crystal yang dilahirkan sebagai Christopher Snowden berjantina lelaki sebelum mengambil keputusan untuk melakukan pembedahan transgender (menukar jantina) untuk menjadi seorang wanita "sejati", sekaligus bertukar menggunakan nama baru yang lebih feminin.

Begitupun, dia agak risau dengan pendedahan tersebut kerana bimbang akan menimbulkan kemarahan di kalangan lebih 1,000 lelaki yang pernah menidurinya sebelum ini.
"Saya takut sekiranya ramai lelaki yang akan marah bila membaca kenyataan ini, tapi saya perlu beritahu tentang perkara sebenar.

"Ramai yang fikir bahawa saya berbohong kepada mereka-mereka yang pernah mengadakan hubungan seks dengan saya, tapi saya tak fikir begitu kerana kini saya adalah seorang wanita dan tidak berkaitan dengan sejarah saya.

"Saya tak mahu mana-mana lelaki yang pernah bersama saya menafikan kemampuan seks mereka kerana pendedahan ini, mereka tak tahu pun mereka sebenarnya tidur dengan orang macam saya," katanya yang dipetik dari The Sun.

Menurut Crystal, dia mula mengadakan hubungan seks dengan lelaki sejak berumur 18 tahun, namun ia tidak mendatangkan kepuasan seksual padanya ekoran perasaannya yang seolah-olah 'terperangkap di dalam tubuh seorang lelaki'.

Justeru itu, dia telah mula mengambil hormon dan menjalani pembedahan lazer pada tahun 2002 untuk membuang bulu badan dan membesarkan buah dada ke saiz 38.

Kemudian, dia telah menjalani beberapa sesi kaunseling sebelum melakukan pembedahan menukar jantina pada tahun 2005 dan diberikan Sijil Pengiktiran Gender yang memberikan kuasa padanya untuk menukar maklumat surat beranak berkaitan nama baru serta jantina.

Walaupun mengaku ketagihan seks, Crystal menolak cadangan untuk menjadikan aktiviti seksnya sebagai sebuah perniagaan pelacuran dan lebih selesa untuk bebas memilih pasangannya untuk melakukan hubungan seks.

Penulis terfikir, apakah seorang lagi "Crystal Warren" akan muncul sekiranya kerajaan negara ini membiar dan mengiktiraf golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) yang baru-baru ini menimbulkan kontroversi menuntut 'hak' mereka di mahkamah.

Wajarkah lagikah LGBT dibenarkan dan diberikan hak di negara ini seperti "Christopher Snowden" ini? – Mynewshub.my

Video Pengakuan Wanita Tersebut


7 Tips Kempiskan Perut Buncit

Posted: 05 Feb 2012 03:49 AM PST

Ramai yang mungkin sedar perubahan fizikal badan mempengaruhi cara pembawakan diri seseorang apabila berdepan dengan orang ramai.

Perubahan fizikal seperti 'perut buncit' kadang-kadang membuatkan seseorang itu berasa malu atau tidak mempunyai keyakinan diri apabila ingin menonjolkan diri di khalayak ramai.

Malah, apabila tidak mempunyai fizikal yang menarik seperti artis atau pembina badan, mungkin akan membuatkan individu itu berasa lebih tersisih dan berfikir negatif setiap masa.

Pun begitu, terdapat cara yang sesuai untuk lelaki mahu pun wanita untuk mengatasi masalah mempunyai perut buncit. Tidak salah untuk mencubakan? Antara cara-cara untuk mengempiskan perut adalah:

1. Minum air masak yang banyak.

Apabila tubuh badan kita menerima sumber air yang banyak, keadaan itu akan mencairkan kuantiti sodium dalam tubuh badan sehingga membolehkan kuantiti air yang keluar dari tubuh badan juga meningkat. Mendapatkan jumlah air yang banyak juga akan menjaminkan fungsi hempedu yang lebih efektif sewaktu proses pembuangan air berjalan dengan lancar.

2. Makan perlahan-lahan.

Ketika menjamah makanan, kita tidak digalakkan makan dengan cepat kerana udara akan terkepung di dalam usus dan seterusnya membentuk gas yang menggalakkan perut menjadi buncit. Makanan yang tidak dikunyah sehingga kecil juga tidak dapat dicerna dengan sempurna yang seterusnya menyebabkan proses kembung perut berlaku.

3. Kurangkan garam dalam makanan.

Terlalu banyak garam dalam proses diet akan menambah ekstrak sodium terhadap cairan dalam tubuh dan melambatkan mekanisme proses pengeluaran air dari sel badan. Akibatnya, perut akan menjadi kembung dengan gas-gas yang terbentuk.

4. Makan makanan yang penuh serat.

Serat adalah elemen yang penting dalam piramid makanan. Untuk mengimbangi kuantiti air dalam tubuh badan, amalan memakan sayur-sayuran hijau dan buah-buahan seperti epal dan pear dapat membantu dalam proses penjagaan ini.

5. Kesan pengambilan ubat.

Terdapat juga kajian yang dilakukan mengatakan, pengambilan pelbagai jenis ubat-ubatan menjadi salah satu punca perut menjadi buncit. Sebagai contoh, ubat Aspirin yang terlalu kerap di ambil akan menyebabkan timbulnya penyakit lain seperti sembelit.

6. Hindari sembelit.

Sembelit berlaku apabila seseorang itu mengalami masalah dalam pembuangan dan hanya membuang tidak lebih dari tiga kali seminggu. Sebagai akibat dari penyakit ini, perut akan mengumpul gas-gas yang berlebihan dan merangsang isi perut mengumpul lemak-lemak yang boleh menyebabkan kekembungan dan buncit. Oleh itu, pengambilan serat adalah digalakkan.

7. Lakukan senaman atau bersukan.

Bersukan sebanyak tiga kali seminggu dapat membantu meningkatkan kadar metabolisme dalam tubuh badan yang bagus untuk pembakaran dan pemecahan lemak. Bersukan akan membantu menggerakkan cairan berlebihan dalam perut dan dikeluarkan dari tubuh badan sebagai peluh. Ini seterusnya akan mengekalkan bentuk badan seseorang yang sesuai dengan ketinggian dan berat badan.

Selamat mencuba!

Oleh: NAIMAH SHAARI/my news hub

Contohi Peribadi Nabi Muhammad S.A.W, Titah Yang di-Pertuan Agong

Posted: 05 Feb 2012 03:42 AM PST

PUTRAJAYA – Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mua'dzam Shah menyeru umat Islam supaya mencontohi keunggulan peribadi Nabi Muhammad S.A.W. ke arah melahirkan sebuah masyarakat Islam yang hebat dan menjadi contoh teladan kepada dunia.

Seri Paduka bertitah untuk mencapai kegemilangan itu, umat Islam perlu memperbetulkan tasawur Islam dalam kehidupan diri, keluarga dan masyarakat.

"Konsep hidup sebagai hamba dan khalifah Allah serta bekerja atau berniaga sebagai ibadah merupakan perkara asas yang perlu dihayati supaya impak terhadap keunggulan agama Islam dapat dirasai secara global," titah baginda semasa merasmikan majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan tahun 1433 Hijrah di Masjid Putra di sini hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah. Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Tuanku Abdul Halim bertitah perjuangan Rasulullah S.A.W. selama 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah telah berjaya mendidik, memimpin serta membawa umat Jahiliah berhijrah daripada kekufuran dan kejahilan kepada umat Islam yang memiliki keimanan yang kental dan ketinggian ilmu yang membanggakan.

"Kegigihan Nabi Muhammad S.A.W. dilihat berjaya membina kekuatan iman, minda dan fizikal umat Islam pada zaman itu mahupun di zaman Khulafa' ar-Rasyidin serta zaman sesudahnya sehingga mampu mencipta satu tamadun gemilang, di mana kita mendengar Islam berjaya memimpin hampir tiga perempat dunia," titah baginda.

Baginda berharap umat Islam di negara ini memahami dan menzahirkan wawasan yang telah diamanahkan oleh Allah S.W.T. melalui al-Quran dan wawasan itu perlu dijadikan tonggak memupuk semangat persefahaman dan persaudaraan dan perpaduan semasa Islam dan bukan Islam, supaya rangkaian sosial yang mantap dapat diwujudkan ke arah peningkatan daya saing dan daya tahan umat Islam.

Titah baginda umat Islam juga perlu mempertingkatkan penghayatan terhadap al-Quran dan sunnah Rasulullah S.A.W. sehingga menjadi ummah yang bersatu padu serta sentiasa mapan mendepani cabaran semasa.

"Laksanakanlah tanggungjawab itu dengan penuh keikhlasan. Sesungguhnya untuk mencapai perpaduan, ia memerlukan pengorbanan dan kegigihan yang jitu," titah baginda.

Pada sambutan bertemakan 'Persefahaman Asas Perpaduan Ummah' kali ini, seramai sembilan individu menerima anugerah sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan dengan penerima Anugerah Perdana ialah Mufti Negeri Pulau Pinang yang juga Ahli Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Sahibus Samahah Datuk Seri Hassan Ahmad.

Penerima lain ialah Ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan yang juga Ahli Jawatankuasa Induk Majlis Tilawah Al-Quran peringkat kebangsaan dan antarabangsa Toh Puan Wan Asiah Ahmad, mantan Ketua Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pelajaran Kelantan Abdul Razak Mat Saat dan Timbalan Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia Ir Dr Muhammad Fuad Yeoh.

Selain itu Duta Dakwah Saba Islamic Media Sdn Bhd Shah Kirit Kakulal Govindji; bekas Johan Qariah peringkat kebangsaan dan antarabangsa Datuk Rogayah Sulong; mantan Pengarah Jabatan Ukur dan Pemetaan Pahang Abdul Majid Abdul Hamid; Ketua Masyarakat Orang Asli Kampung Bukit Kala, Gombak Hussein Ngahyin serta pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Tiang, Kedah yang mendapat 9A dalam PMR 2011 iaitu Muhammad Hadi Darus.

Terdahulu pada majlis itu sebanyak 121 kontinjen yang disertai lebih 12,000 peserta terdiri daripada penjawat awam, badan berkanun, pertubuhan swasta, pelajar dan badan bukan kerajaan berarak sejauh 2.4 kilometer bermula dari perkarangan Istana Kehakiman Putrajaya hingga ke Masjid Putra di sini sambil berselawat ke atas Rasululullah S.A.W. – BERNAMA

No comments: