Monday 9 January 2012

Budak Technician

Budak Technician


Tips Petua Menjadikan Rambut Cantik, Sihat dan Menawan

Posted: 07 Jan 2012 09:26 PM PST


Jika kita seorang wanita adakah kita sanggup membiarkan rambut rosak dan tidak terurus? Pasti kita akan beras amat kecewa jika ia benar-benar terjadi bukan? Rambut amat penting bagi seseorang wanita kerana ia mampu mempengaruhi penampilan seseorang.

Menurut Olivia Lee, Pengurus Produk kecantikan L'oreal Paris, setiap individu mempunyai rambut yang berlainan jenis. Antaranya, rambut kering, berminyak, kusut dan mengerbang. Setiap wanita haruslah mengenali jenis rambut yang mereka miliki.
 
Secara asasnya, untuk mendapatkan rambut sihat seperti yang kebanyakan wanita idamkan, pengambilan makanan tambahan adalah amat disarankan oleh kebanyakkan pakar. Dengan kata lain, rambut juga memerlukan makanan untuk tumbuh dengan sihat. Untuk mendapatkan rambut sihat ia memerlukan:

1. Air

1/4 berat setiap helaian rambut mengandungi air. Minum air secukupnya untuk menjaga kelembapan rambut anda. Selain dapat mengelak dari berlaku 'dehidration', meminum air secukupnya akan membuatkan rambut anda menjadi lembut dan berkilau.

2. Vitamin dan Mineral

Sumber vitamin dan mineral seperti vitamin A, B, C, dan zat besi amat baik untuk rambut. Vitamin A akan menjaga kulit rambut. Vitamin B dan C berfungsi untuk melancarkan peredaran darah dan pertumbuhan rambut. Zat besi pula akan membawa oksigen yang secukupnya untuk rambut.

3. Protein

Protein akan membuatkan rambut tumbuh dengan lebih cepat dan lebat. Selain itu, ia akan menjadikan rambut lebih kuat. Protein boleh didapati dari pelbagai sumber. Tetapi protein yang baik adalah dari sumber kacang soya yang organik. Pengambilan protein yang cukup dapat mengelakkan hujung rambut dari bercabang.(melayukini.net)

3 Rahsia dan Khasiat Susu Kambing

Posted: 07 Jan 2012 08:21 PM PST



Berdasarkan kajian pakar kesihatan, susu kambing dikategorikan sebagai susu kedua yang terbaik, selepas susu ibu. Ini kerana terdapat pelbagai khasiat yang dapat diambil dari Susu Kambing. Antaranya adalah:
  •     Meneutralkan kandungan asid dalam badan
  •     Baik untuk masalah penghadaman.
  •     Dapat merawat ulcer & gastric.


Bagaimana Susu Kambing dapat membantu menyelesaikan ketiga-tiga masalah kesihatan di atas?

Meneutralkan Kandungan Asid Dalam badan
Susu kambing tidak menghasilkan asid dalam darah. Ini kerana susu kambing mempunyai kandungan pH beralkali. Alkali ini akan membantu untuk meneutralkan kandungan asid dalam badan manusia.

Baik Untuk Masalah Penghadaman
Menurut kajian, Susu Kambing mempunyai protein & lemak yang sangat halus dan lembut. Ini dapat membantu proses penghadaman menjadi lebih mudah, dan lancar. Susu kambing juga turut diakui lebih mudah hadam, berbanding susu lembu.

Dapat merawat ulcer & gastric
Susu kambing juga turut diakui mampu merawat penyakit perut seperti ulcer dan gastric. Ini kerana sifat susu kambing yang beralkali dan nyah asid, serta zarahnya yang halus. Yang paling menariknya ialah susu kambing merupakan minuman Nabi SAW. Minum susu kambing dengan niat mengikuti sunnah insyaAllah dapat pahala dan menambahkan kasih sayang kita kepada Nabi SAW. Wallahualam. (melayukini.net)

Kelebihan Dan Khasiat Buah Oren

Posted: 07 Jan 2012 08:14 PM PST

Adakah kita tergolong dalam golongan individu yang mudah dijangkiti penyakit? Mudah demam, mudah selsema dan pelbagai lagi? Jika benar, maka kita tergolong dalam golongan individu yang mempunyai kadar antibodi yang rendah dalam badan.

Antibodi diibaratkan sistem pertahanan dalam badan. Ini kerana sel-sel antibodi dapat membantu kita mengurangkan kadar untuk menerima sebarang jangkitan atau penyakit. Justeru itu, kita perlu tahu bagaimana untuk meningkatkan antibodi dalam tubuh badan kita.

Makan Buah Oren Setiap Hari

Menurut Dr. Bill Sears, pakar psikologi dan profesor di University of California, beliau menyatakan pengambilan buah oren setiap hari, dapat membantu meningkatkan kadar antibodi dalam badan.
Ini kerana buah oren mempunyai vitamin C. Vitamin C dapat membantu mempercepatkan produksi antibodi dalam badan. Selain itu, ia juga dapat memberhentikan virus-virus penyakit dan jangkitan, daripada memasuki tubuh badan kita.

Tambah Dr. Bill, buah oren juga merupakan makanan yang berkhasiat, dan antara makanan yang terbaik untuk mempercepatkan produksi antibodi selain daripada daging turki, dan salmon. (melayukini.net)

Safee Sali Bakal Menyarung Jersi RCS Vise Belgium

Posted: 07 Jan 2012 07:41 PM PST

Nasib Liga Super Indonesia (ISL) masih belum pasti namun penyerang sensasi negara, Mohd Safee Sali menetapkan pendirian untuk terus memikul tanggung jawab selaku kapten kelab Pelita Jaya FC.

Malah di sebalik kebimbangan kemungkinan liga itu akan diharamkan selepas tidak mendapat pengiktirafan Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Safee Sali, 27, turut menyuarakan minatnya untuk menyambung kontrak baru bersama kelab itu apabila kontraknya tamat 31 Januari tahun depan.

"Saya kena pikul tanggung jawab sebagai kapten Pelita Jaya dan memastikan Pelita Jaya mampu bersaing merebut kejuaraan Liga Super. Mengenai kemelut dalaman PSSI, saya serahkan kepada pihak pengurusan. Sebagai pemain profesional, saya cuma mahu bermain bola sepak dan terus menyarung jersi kebangsaan. Tapi kalau masalah ini memberi kesan kepada pemain, memang saya risau juga," katanya yang mengadakan sidang media khas bersama pengurus Safee Sali, Zakaria Rahim di ibu negara semalam.

Menurutnya, sejak Julai lalu, Safee Sali mendapat banyak tawaran daripada kelab Jerman, Belgium, Thailand, India, Vietnam dan Kazakhstan namun setakat ini hanya mengadakan perbincangan serius bersama Pelita Jaya. Malah antara kandungan kontrak baru dengan Pelita Jaya FC yang dibincangkan itu adalah untuk MENYERAPKAN SAFEE SALI KE KELAB LIGA AUSTRALIA, BRISBANE ROAR ATAU KELAB LIGA DIVISYEN DUA BELGIUM, RCS VISE YANG DIMILIKI PEMILIK PELITA JAYA, KUMPULAN BAKRIE, jika ISL diharamkan.

"Saya masih berminat terus bermain di sana (Pelita Jaya), mengenai tawaran lain masih belum ada yang berbincang secara serius. Namun setakat ini saya masih membuka sebarang perbincangan dengan mana-mana kelab cuma saya hanya berminat untuk menyertai kelab yang betul-betul profesional saja," jelas Safee Sali yang pulang ke Jakarta semalam untuk menyertai semula latihan pasukannya hari ini.

Isu kedudukan Safee Sali, wira negara ketika menjulang trofi Piala Suzuki AFF Disember lalu timbul apabila ISL yang disertai Pelita Jaya akan diharamkan oleh Fifa selepas PSSI hanya mengiktiraf Liga Primer Indonesia (IPL) sebagai liga utama. (melayukini.net)

Tonton NTV7 Online

Posted: 07 Jan 2012 06:38 PM PST

vecasts|Watching ntv7 Online Malaysia



MAKLUMAT PENTING : Ada ketikanya sesetengah saluran tidak akan berfungsi disebabkan masalah offline mahupun serverdown.

14 Tips Mencari Isteri Cantik

Posted: 07 Jan 2012 05:46 PM PST


Dalam video ceramah Ustaz Azhar ni pun ada bagitahu tips cari jodoh. Walaupun 'mata yang belum berisi pengalaman' itu tertarik pada rupa yang cantik, sebenarnya jodoh bagi hati adalah hati juga, bukannya rupa. Maksudnya pada akhirnya gadis yang hatinya paling suci sesuci hatinyalah yang dipilih oleh teruna untuk dikahwini.




Berikut adalah petua-petua sekiranya anda ingin memilih gadis jelita menjadi isteri anda:

1. Elakkan Dari Berkawan Dengannya

Dengan merapati dan berkawan dengan si gadis, kecantikan hati ini sebenarnya sukar untuk dinilai oleh lelaki. Selalunya yang dilihat semuanya 'baik, sopan dan elok' apatah lagi pada masa itu sang teruna sedang mahu, dia hanya nampak yang elok. Si gadis pula mungkin hanya berpura-pura jadi baik dan sopan untuk memikat teruna. Itulah sebabnya ada yang membidalkan bahawa:
'Yang bercahaya tidak semestinya emas' dan 'Yang cantik tidaklah semestinya permata'. Maka elakkan dari berkawan dengannya untuk mengelakkan anda dari terpesona dan terpedaya. Di atas kejelitaan yang tiada tara bergantunganlah kehancuran yang tiada tara. (Bidalan ltali).

2. Lakukan Risikan Secara Rahsia

Kecantikan hati biasanya boleh dinilai oleh pengamatan rahsia si teruna bersama keluarga teruna terhadap si gadis. Risikan rahsia ini adalah untuk mengetahui bagaimanakah tingkahlaku si gadis itu bila dia berada bersama keluarganya sendiri. Adakah si gadis dari jenis yang suka berjalan, bergaul bebas, atau suka menolong ibunya memasak, rajin berkemas dan taat dalam beribadat akan dapat ditentukan dengan lebih jelas.
Pihak teruna juga boleh mengetahui perihal moral si gadis dengan menyelidiki ke manakah si gadis itu suka pergi di hujung minggu atau di masa lapangnya. Jika dia gemar pergi ke tempat yang kurang baik, besar kemungkinan dia mempunyai sifat-sifat yang kurang baik pula.
Kejelitaan dan kegembiraan tidak akan bersatu lama. -Goethe
Walaupun pada asasnya cara menyelidik begitu, atau dipanggil 'merisik' ini tidak begitu disukai oleh si gadis sendiri, ia adalah jalan yang dianggap lebih baik dari cara berkawan dengan si gadis, membawanya ke mana suka, dan 'menyelidik' dengan bertanya pada gadis itu atau hasil memperhatikan tingkah lakunya di depan mata.

3. Cari Yang Duduk Bersama lbu bapa

Sebenarnya alam gadis terdedah kepada pelbagai gejala yang tidak begitu menyenangkan. Terdapat lebih banyak unsur negatif dari yang positif di luar rumah, malah, bagi sesetengah keluarga ianya berlaku dalam rumah sendiri. Si gadis, yang masih dalam peringkat belajar hidup mudah terpengaruh kepada unsur-unsur negatif yang boleh merosakkan kesuciannya serta kebaikan perangainya. Ini kerana unsur-unsur negatif biasanya memberikan keseronokan dan nikmat tetapi kenikmatan ini berakhir sebentar saja disusuli pula oleh sesalan dan kemuraman mungkin seumur hidup.
Wanita jelita tidak bernasib baik dan teruna yang bijak tidak cantik. – Bidalan Cina

4. Cari Yang Pandai Mengurus Rumahtangga

Pada zaman sekarang, masa remaja si gadis bererti masa sebagai pelajar sekolah menengah, pra-universiti dan pusat pengajian tinggi. Bagi gadis-gadis ini, masa untuk mereka belajar menjadi 'wanita' dari ibu adalah amat terhad, jika ada, praktikannya hanya dalam jangkamasa pendek. Kesempatan untuk berada di dapur amatlah terhad pada hujung minggu serta semasa cuti. Akibatnya, semakin ramai gadis yang berorientasikan kerja makan gaji dan tidak berorientasikan mengurus rumahtangga.

5. Cari Yang Hormat Kepada Orang Tua

Selidiklah apakah dia gadis yang tahu menghormati orang tua. Ini penting kerana dia nanti akan bersua, bertandang ataupun duduk bersama ibu bapa anda. Walau betapa cantik pun dia, jika dia tidak menghormati ibu dan bapa mertuanya, dia akan menyebabkan anda menjadi serba-salah dalam menangani kehidupan anda.
Kejelitaan wanita, gema hutan dan pelangi, akan wujud sebentar saja. – Bidalan Jerman

6. Cari Yang Pandai Menjaga Kehormatan

Hal ini juga dapat diperhatikan di kalangan gadis-gadis yang tidak begitu berjaya dalam pelajaran. Lebih ramai yang suka bekerja makan gaji dari membantu lbu di rumah atas alasan meringankan beban keluarga. Bagi gadis yang mudah 'lupa' masa inilah mereka akan jadi rosak. Mereka akan keluar dengan lelaki tanpa segan silu, mula memakai pakaian yang ketat dan menjolok mata serta belajar berbagai cara dari rakan sebaya untuk memikat lelaki. lbubapa yang tidak mengawasi gerak-geri anak gadisnya mungkin akan menyebabkan gadis itu menjadi gadis murahan.

7. Cari Yang Tidak Bebas Dengan Lelaki

Pada zaman dahulu, ada ibu bapa yang sengaja tidak menghantar anak perempuannya ke sekolah. Takut nanti jadi perempuan jahat akibat dapat bergaul dengan lelaki secara bebas. Bila zaman semakin moden, pemikiran cara ini dianggap sudah usang.
Ramai pula menganggap adalah lebih baik bagi wanita bersekolah asalkan saja di sekolah dia dilengkapi dengan input tatasusila dan adat apatah lagi agama.
Wahai si jelita jangan banggakan wajahmu, ianya hanya tamu yang akan berundang beberapa hari saja.- Bidalan Hindustan

8. Cari Yang Didikan Agamanya Cukup

Beredarnya zaman perlu mengambil kira faktor sekeliling si gadis. Jelas pada kita bahawa cara hidup gadis sekarang sudah jauh berbeza berbanding gadis satu atau dua dekad silam. Namun, dari sudut nalurinya adalah sama saja. Zaman gadis adalah zaman mencari identiti dan cuba mengekalkan identiti itu. Jika terdedah dia kepada yang buruk maka buruklah jadinya. Walaupun begitu, gadis yang mendapat didikan yang baik besar kemungkinan akan menjadi wanita yang berguna kepada negara dan agama malah boleh menjadi contoh teladan sama ada kepada wanita mahupun lelaki.
Kadangkala lebih baik wanita buta dari wanita yang terlalu jelita. – Bidalan Serbia

9. Cari Yang Berpegang Teguh Pada Suruhan Agama

Ada empat sebab utama mengapa teruna memilih seseorang gadis, kerana kecantikannya, kerana hartanya, kerana keserasian taraf dan kerana agama. Yang akan membahagiakan ialah memilih gadis yang beragama.
Dimanakah letaknya nilai gadis yang cantik? Letaknya ialah pada keimanan gadis itu. Jika dia cantik dan dia pula beriman, berharta dan setaraf pula, maka dialah yang masuk ke dalam kategori gadis yang 'tak boleh tahan'. Tapi sedarlah, dia akan memilih lelaki yang baik-baik pula!

10. Bertunang Jangan Lama

Bila anda sudah melamarnya, jangan tunggu lama-lama. Nikahlah dengan segera kerana gadis jelita, ramai yang ingin menggodanya. Elakkan dari membawanya ke sana-sini kerana ini akan menerbitkan cemburu di hati lelaki yang jahat serta membahayakan keselamatan si gadis.
Petua orang tua-tua, kalau boleh, semasa bertunang perlulah berahsia, semasa bernikah perlulah dihebahkan agar semua orang tahu.
Katakan kepada wanita bahawa dia jelita, dan syaitan akan mengulangi kata itu kepadanya sepuluh kali. – Bidalan Itali

11. Kahwini Dia Ketika Usianya Masih Muda

Hal lni mungkin dianggap satu kontroversi oleh ramai orang tapi ia merupakan kebenaran yang sukar untuk dinafikan. Mengahwini gadis jelita ketika umumya masih muda remaja dapat membantunya agar selamat dari godaan dan gangguan lelaki yang tidak bertanggungjawab. Ramai gadis jelita yang telah rosak kerana merosakkan diri atau dirosakkan. Ibu bapa seharusnya melepaskan anaknya untuk dikahwini lebih awal dan jangan membuat alasan bahawa anaknya masih belajar atau baru bekerja.
Seorang gadis, sama ada dahulu ataupun sekarang, layak berkahwin blia dia sudah berumur kira-kira 13 tahun. Ramai orang mungkin berflkir anda gila mengahwini gadis semuda itu, tapi siapakah sebenarnya yang gila jika gadis jelita seperti ltu besar kemungkinannya akan ternoda? Cuma, ibu bapa patutlah mempastikan bahawa anak gadis mereka mendapat suami yang baik serta bertanggungjawab.
Wanita jelita yang kurang bernasib baik akan berjumpa lebib ramai pencinta berbanding suami.- Bidalan Jerman

12. Elakkan Dari Terlalu Cemburu

Memang sudah menjadi adat dunia, gadis yang cantik jelita memang menjadi idaman teruna, suami orang mahupun duda. Elakkan dari menaruh perasaan cemburu. Yang penting ialah sejauh manakah anda telah bertindak untuk memilikinya. Bila si gadis telah menjadi isteri anda, didiklah dia agar dia menjaga kehormatannya serta taat pada agama.

13. Layan Dia Dengan Baik

Walau betapa jelita pun dia, seorang gadis tidak memandang pada paras rupa anda. Yang penting bila anda berkahwin dengannya ialah cinta anda kepadanya. Cinta bukan bermakna anda mahu ambil bulan bawa ke ribanya atau selalu melakukan seks dengannya. Cinta pada wanita ialah memahami jiwa mereka dan melayani mereka dengan baik. Bila dia sudah cinta pada anda seluruh jiwa raganya, dia tidak akan mudah tergoda dengan lelaki lain. Dia akan hanya anggap anda sebagai pengarang jantung dan buah hatinya.
Kejelitaan wanita yang tidak berguna itu ibarat racun dalam cembul emas.- Bidalan Tamil

14. Bertanggungjawab

Walau betapa jelita pun dia, seorang gadis mahukan lelaki yang mampu menjaganya dengan baik, menguruskan kebajikannya serta memimpinnya menjadi wanita yang baik serta taat pada agama. Lelaki yang mereka mahukan ialah yang bertanggungjawab terhadap anak-anak serta menghormati pula ibubapa si gadis.


sumber : melayukini.net

Unik! Eskalator Penduduk Setinggan Pertama Di Dunia

Posted: 07 Jan 2012 05:38 PM PST

Eskalator Penduduk Setinggan Pertama Di Dunia | Bila kerajaan prihatin akan nasib rakyat, kesusahan dan permasalahan rakyat, mereka akan melakukan apa yang terdaya untuk memberikan keselesaan kepada pengundi mereka. Begitulah nikmat yang didapati oleh penduduk setinggan Comuna 13 Medellin, Colombia.

Sebelum ini, mereka memperoleh kereta kabel sebagai alternatif pengangkutan di kawasan berpendudukan tinggi di situ, kini mereka menerima eskalator sebagai salah satu kemudahan terbaru.


Eskalator ini akan terbahagi kepada enam bahagian sebagai ganti kepada lebih dari 350 anak tangga konkrit di kawasan Comuna 13 Medellin. Ia bakal memberikan manfaat kepada lebih dari 12 ribu penduduk setempat.(melayukini.net)

Yusry Teman Lisa Surihani Hadiri Kursus Kahwin

Posted: 07 Jan 2012 05:34 PM PST


Lisa dan Yusry.

CYBERJAYA: Pelakon Lisa Surihani memberitahu terharu dengan bakal suaminya, pengarah filem, Yusry Abdul Halim kerana bertegas untuk menemaninya menghadiri kursus pra-perkahwinan pada 9 Januari nanti.

Lisa berkata, walaupun Yusry tidak perlu menghadiri kursus tersebut dia ingin menemaninya sebagai tanda sokongan kepadanya.

"Saya cakap dengan abang (Yusry) tak payah pergi tapi dia bertegas jugak untuk menemani saya pada kursus itu nanti sebagai tanda sokongan kepada saya," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Ular di KRU Studios di sini, Sabtu.

Tambahnya lagi, mereka berdua juga telah pun menjalani ujian saringan HIV pada 6 Januari lalu di Klinik Kesihatan Putrajaya.

Dalam pada itu, Lisa berkata, lokasi pernikahannya nanti akan bertukar ke Hotel Marriot Putrajaya selepas solat Maghrib selepas memikirkan faktor-faktor tertentu.

Lisa berkata, pertukaran lokasi itu adalah bagi memudahkan semua tetamu yang ingin datang dan mengelakkan kesesakan di masjid jika dibuat selepas solat Asar.

"Waktu antara Asar dan Mahgrib adalah singkat dan mungkin akan menyebabkan kesesakan di masjid dan kami tidak mahu ada apa-apa kekecohan di sana nanti kerana perlu menghormati masjid tambahan pula mungkin menyusahkan tetamu untuk datang kerana masih waktu bekerja.

"Atas dasar itu juga kita memilih untuk buat selepas Maghrib di Hotel Marriot bagi memudahkan mereka datang selepas bekerja," ujarnya.

Terdahulu, Lisa dan Yusry mengumumkan bakal bernikah pada 23 Februari 2012 dan manakala resepsi perkahwinan dijadualkan pada 26 Februari di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Sementara itu, bercakap mengenai persiapan perkahwinannya, Lisa berkata, dia bertuah kerana ahli keluarga kedua-dua belah pihak dan rakan-rakannya banyak membantu dalam menyiapkan proses itu.

Katanya, walaupun mereka masing-masing sibuk dengan pelbagai aktiviti masing-masing namun bersyukur semua yang dirancang berjalan dengan lancar.

"Ramai yang menolong dalam memudahkan persiapan kami dan paling penting baju nikah dan untuk bersanding telah pun ditempah.

"Mengenai konsep dan persiapan lain semuanya masih dalam perbincangan dan kami sedang usahakannya bersama-sama," ujarnya. -mstar-

Johnny Depp Dan Vanessa Paradis Berpisah

Posted: 07 Jan 2012 05:31 PM PST

Johnny Depp dan kekasihnya, Vanessa Paradis.

BINTANG kacak, Johnny Deep dan kekasihnya, pelakon Vanessa Paradis dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk mengakhiri ikatan cinta mereka.

Radar Online melaporkan, sumber terdekat pasangan itu memberitahu walaupun berat untuk berbuat demikian tetapi mereka terpaksa memilih jalan itu kerana tidak lagi mempunyai persefahaman.

"Keadaan Johnny ketika ini tidak baik dan orang-orang disekelilingnya risau akan keadaan dirinya. Hubungan mereka dilihat tidak lagi mempunyai jalan penyelesaian," ujar sumber itu.

Walaupun tidak berkahwin, pasangan itu telah dikurniakan dengan dua cahaya mata iaitu Lily-Rose dan Jack.

Sumber tersebut turut memberitahu, pasangan itu juga telah menemui pakar kaunseling untuk menyelesaikan masalah mereka.

"Johnny memang sangat berbakat dalam dunia lakonan tetapi kali ini dia tidak dapat menyembunyikan perasaannya dan kesedihan itu kelihatan jelas," ujarnya.

Disaat kekecohan hubungan mereka berantakan, pada sambutan tahun baru lalu Johnny dan Vanessa kelihatan menghabiskan masa bersama-sama di Los Angeles bersama anak-anak mereka.-mstar-

Negeri Sembilan Juara Piala Sumbangsih 2012

Posted: 07 Jan 2012 05:29 PM PST



KUALA LUMPUR: Negeri Sembilan membuka tirai bola sepak Liga Malaysia dengan bergaya apabila menjulang Piala Sultan Ahmad Shah buat kali pertama selepas menewaskan juara bertahan Kelantan 2-1 pada perlawanan Sumbangsih di Stadium Nasional Bukit Jalil malam Sabtu.

Kelantan, yang juga juara Liga Super, menewaskan Selangor 2-0 di Stadium Shah Alam musim lepas untuk merangkul piala itu buat kali pertama.

Pasukan 'The Red Warriors' membuka tirai percubaan sejurus empat minit babak pertama bermula menerusi penyerang import barunya musim ini dari Lubnan, Mohd Ghaddar.

Penyerang import pasukan lawan, Jean Emmanuel Effa Owona, hampir meletakkan Negeri Sembilan di depan pada minit kesembilan menerusi tandukan, namun pemain pertahanan Kelantan Azizi Matt Rose menyelamatkan keadaan dengan menanduk keluar bola yang berpunca dari sepakan sudut.

Serangan bertali arus skuad Kelantan bimbingan jurulatih Peter James Butler akhirnya membuahkan hasil apabila membuka tirai jaringan pada minit ke-20.

Gol itu berpunca daripada Muhamad Ghaddar yang bijak mencari peluang melorongkan bola kepada Norshahrul Idlan Talaha sebelum memperdaya dua pemain lawan dan melepaskan rembatan di depan gawang menewaskan Farizal Marlias.

Bagaimanapun, kegembiraan Kelantan tidak kekal lama apabila skuad Hoben Jang Hoben menyamakan kedudukan selang 10 minit kemudian hasil sepakan mengelirukan oleh Jean Emmanuel yang mengenai pemain pertahanan Kelantan Mohd Farisham Ismail sebelum masuk ke dalam gawang lawan.

Perlawanan kembali seimbang apabila kedua-dua pasukan saling mengatur serangan demi serangan untuk menambah gol, namun kekentalan barisan pertahanan masing-masing mengagalkan usaha tersebut.

Aksi tambah menarik pada babak seterusnya apabila kedua-dua pasukan saling membalas asakan untuk mencari gol kemenangan.

Jean Emmanuel kemudian menambah derita Kelantan pada minit ke-63 apabila melonjak tinggi melepasi pertahanan pasukan itu sebelum melakukan tandukan mengelirukan untuk menewaskan Khairul Fahmi selepas menerima hantaran Tengku Qayyum Ubaidillah.

Kelantan cuba bangkit mencari gol penyamaan namun benteng pertahanan skuad Rusa kental bertahan hingga tiupan wisel penamat oleh pengadil perlawanan Shokri Nor.

Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Faiz Petra berkenan menyampaikan Piala Sultan Ahmad Shah kepada Negeri Sembilan.

Turut hadir Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa dan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan. BERNAMA

Ribut Matahari Bukan Kiamat

Posted: 07 Jan 2012 05:06 PM PST



BANYAK ramalan menyebut 2012 merupakan tahun berlakunya kiamat. Teori kemusnahan alam semesta kaum Maya telah dipopularkan menerusi filem 2012 hinggakan filem tahun 2009 itu meraih kutipan global sebanyak AS$769 juta (RM2.3 bilion).

Nostradamus, si peramal tersohor Perancis turut menamakan 2012 sebagai tahun kemusnahan planet-planet, manakala para ahli astrologi China dari Dinasti Chang mengatakan akan berlaku bencana besar tahun ini.

Oleh kerana itu, apabila saintis menjangkakan fenomena ribut matahari terjadi pada pertengahan 2012 hingga 2013, mitos kiamat yang dicanangkan sebelum ini terasa bagaikan semakin hampir.

Dalam ilmu astrologi, matahari merupakan bintang yang terletak paling dekat dengan bumi iaitu sejauh 149 juta kilometer. Ia mempunyai suhu teras 15 juta darjah Celcius dan telah terbentuk lebih 5,000 juta tahun yang lalu.

"Ribut matahari berlaku akibat peningkatan suhu matahari daripada kadar normal. Suhu panas itu menyebabkan ia mengeluarkan gas yang sebahagiannya akan masuk semula ke dalam matahari.


ANDAIAN bumi akan musnah pada 2012 mitos semata-mata.


"Bagaimanapun, sebahagian gas itu berlegar di ruang angkasa dan memasuki atmofera bumi. Fenomena itulah yang digelar ribut matahari," kata seorang pakar astronomi tempatan, Shahrin Ahmad.

Namun, beliau berpendapat ribut matahari tidak akan memusnahkan bumi. Malah, kejadian ribut matahari sampai ke bumi jarang berlaku kerana ia dihalang oleh lapisan atmosfera dan medan magnet bumi.
Kesan

"Ribut itu akan termusnah sendiri sebelum sampai ke daratan. Tetapi jika ia menembusi lapisan atmosfera dan medan magnet bumi dengan saiz dua atau tiga kali ganda melebihi saiz bumi, kerosakan besar boleh berlaku.

"Apa pun, ia terhad kepada kerosakan peralatan elektrik dan sistem telekomunikasi seperti satelit, sistem penerbangan dan Internet," kata Shahrin.


RIBUT matahari berlaku disebabkan bintang itu menjadi lebih panas berbanding suhu biasa iaitu 15 juta darjah Celcius.


Beliau memberitahu, kesan ribut matahari pernah dirasai di bumi pada tahun 1859. Akibatnya, sistem telegraf di Amerika Syarikat dan negara Eropah lumpuh sama sekali.

"Peristiwa itu dinamakan Carrington Event. Begitupun, kejadian itu kini boleh dielakkan dengan dua satelit peninjau matahari bernama Stereo yang dilancarkan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) Amerika Syarikat.

"Kedua-dua satelit itu berperanan mengumpul data untuk memahami dan meramalkan ribut matahari sebagai persediaan awal jika ia berlaku," ujarnya.

Shahrin menambah, memang wujud kebimbangan bahawa ribut matahari kemungkinan menjejaskan struktur asid deoksiribonukleik (DNA) manusia namun beliau berpendapat perubahan DNA itu lebih disebabkan oleh kesan rumah hijau dan pelepasan gas beracun radioaktif.

"Makanan, radioaktif dan bahan kimia yang meresapi tubuh boleh mengganggu sistem tubuh tetapi ia tiada kaitan secara langsung dengan fenomena ribut matahari," tegasnya.

NASA sebelum ini meramalkan ribut matahari akan kerap berlaku sepanjang tahun 2012 dan 2013.

Ini mengakibatkan saintis Amerika Syarikat (AS) mengandaikan impak kerosakan akibat ribut matahari pada tahun 2012 lebih dahsyat berbanding Taufan Katrina yang melanda AS pada tahun 2005 dan mengorbankan 1,800 orang.

"Puncak kerisauan sebenar ialah gangguan ke atas kehidupan sosial yang bergantung pada teknologi seperti GPS dan komunikasi satelit," kata ahli fizik NASA, Lika Guhathakurta.

Seorang lagi pegawai NASA, Michael Kaiser menambah, matahari mencetuskan ribut solar sejak berbilion tahun dahulu tetapi hanya pada akhir-akhir ini ramai yang mengambil berat isu tersebut.


TANAH tandus adalah akibat fenomena pemanasan global dan bukan kerana ribut matahari.


"Ribut elektromagnet matahari boleh menjejaskan sistem tenaga elektrik selain membahayakan angkasawan.

"Pertambahan tenaga magnetik dalam atmosfera dijangka mengeluarkan radiasi yang mampu menyebabkan kuasa janakuasa elektrik meningkat mendadak," katanya.

Ujarnya lagi, kali terakhir pancaran matahari meletus adalah pada tahun 1859 hingga menyebabkan dua pertiga daripada ruang angkasa bumi bertukar menjadi warna merah.

Dijangkakan, peristiwa itu dapat dilihat sekali lagi dengan beberapa bandar utama seperti London, Paris dan New York mengalami ribut awan pada 2012 atau 2013.

Pakar astronomi dari Indonesia, Hakim L Malasan pula berpendapat, fenomena ribut matahari tidak berhubung kait dengan kiamat. Seorang lagi pakar, Thomas Djamaluddin, mengatakan kiamat mungkin berlaku lima juta tahun lagi.

"Matahari akan menjadi bintang raksasa merah dan menelan planet terdekat, Utarid, Zuhrah dan mungkin bumi," jelasnya.

Hidrogen
Timbalan Ketua Pengarah Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Vienna, Profesor Datuk Dr. Mazlan Othman berpendapat, bidang astrofizik tidak dapat menentukan hari kiamat selagi tiada perubahan pada matahari.

"Ahli fizik memang percaya bahawa alam semesta akan berakhir tetapi sama ada pada 2012 atau 10 juta tahun dari sekarang mahupun 10 bilion tahun lagi, ia terpulang kepada teori yang kita ada.

"Dari segi fizik, jika matahari sudah kehabisan hidrogen, ia akan berkembang menjadi bintang lain. Ketika itu kehidupan di bumi akan mengalami perubahan dan kejadian tersebut boleh dikatakan sebagai tanda kiamat.


RIBUT matahari tidak akan memusnahkan bumi sebaliknya merosakkan sistem radar dan satelit.


"Ini kerana apabila matahari tiada lagi tenaga, manusia tidak boleh hidup dan akan berlaku banyak kejadian alam yang boleh mencetuskan pengakhiran dunia," katanya.

Menurut Pegawai Sains, Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Mohd. Zamri Shah Mastor, bumi juga boleh hancur menerusi hentaman objek yang terapung di angkasa lepas seperti komet atau asteroid.

"Tetapi kita bernasib baik disebabkan bumi memiliki lapisan atmosfera. Lapisan itu menyebabkan komet dan asteroid yang cuba menerjah atmosfera bumi akan termusnah terlebih dahulu.

"Sebenarnya terdapat 1,077 asteroid yang dikenal pasti berpotensi menghentam bumi," katanya. -kosmo-

Chong Wei Vs Lin Dan - Super Series Korea Open 2012

Posted: 07 Jan 2012 04:59 PM PST



CHONG WEI menepati ramalan melangkah ke final Terbuka Korea.

KEHEBATAN Datuk Lee Chong Wei bagi musim 2012 akan mula teruji apabila jaguh negara itu berdepan dengan pemain dari China, Lin Dan pada perlawanan akhir acara perseorangan lelaki Kejohanan Siri Super Terbuka Korea hari ini.

Corak permainannya yang sebelum ini dikhabarkan sudah boleh dibaca oleh pemain-pemain China mungkin akan terjawab hari ini.

Pemain No. 1 dunia itu sekali lagi mengulangi skrip tahun lalu apabila menewaskan bintang muda China, Du Pengyu dalam permainan dua set 21-8, 21-13 pada aksi peringkat separuh akhir semalam.

Pengyu yang sebelum ini membuat kejutan setelah menewaskan pemain pilihan kelapan, Simon Santoso dari Indonesia, bagaimanapun gagal menggugat kecemerlangan pemain kelahiran Pulau Pinang itu.

Lin Dan pula meneruskan kemaraan setelah menumbangkan pemain pilihan keenam dari Jepun, Sho Sasaki 21-16, 21-14 pada satu lagi aksi pusingan separuh akhir semalam.

Pada edisi tahun lalu, Lin Dan berjaya menewaskan Chong Wei pada perlawanan akhir Terbuka Korea Selatan dengan keputusan 21-19, 14-21, 21-16.

Namun, hari ini kehebatan dua jaguh badminton dunia itu akan teruji sama ada Chong Wei akan merampas kejuaraan Terbuka Korea daripada Lin Dan atau ia kekal menjadi milik pemain dari China tersebut.

Dalam pada itu, bagi kategori perseorangan wanita pula, pemain pilihan keenam dunia, Jiang Yanjioa membuat kejutan menumpaskan pemain No. 1 dunia yang juga rakan senegara dari China, Wang Yihan dengan keputusan 21-13, 21-19.

Dia akan membuat perhitungan dengan rakan senegaranya, Wang Shi xiang pada peringkat akhir pada hari ini.

Shixiang mara selepas menumbangkan pemain utama Korea Selatan, Youn Joo bae 21-15, 21-16 semalam.

Bagi kategori beregu lelaki pula, pemain dari China, Cai Yun Fu Haifeng akan menentang beregu tuan rumah, Jae Sung Jung Yong Dae Lee.

Pada pusingan separuh akhir semalam, beregu China itu menewaskan pilihan keempat dari Korea, Sung Hyun Ko Yeon Seong Yoo 21-13, 21-14.

Sung Jung Dae Lee pula mara setelah menunjukkan jalan keluar kepada rakan senegara mereka, Ki Jung Kim Sa Rang Kim dengan kemenangan 21-15, 27-25.

Dalam kategori beregu wanita, Tian Qing-Zhao Yunlei dari China akan berhadapan dengan pemain Korea Selatan, Jung Eun Ha Min Jung Kim.

Bagi beregu campuran pula bakal menyaksikan pertembungan antara beregu Korea Selatan, Yong Dae Lee Jung Eun Ha dengan pilihan kedua dari China, Chen Xu Jin Ma pada perlawanan akhir.

MasterChef Malaysia - Senduk pekebun, sudip doktor gigi

Posted: 07 Jan 2012 04:53 PM PST

WAHIDAN pernah menyediakan hidangan pencuci mulut terbaik daripada buah labu dalam cabaran peti saji misteri pada episod ke-45.

PADA malam ini program realiti televisyen MasterChef Malaysia, bakal menyaksikan persaingan sengit antara dua peserta yang berjaya mara ke peringkat akhir dalam merebut gelaran MasterChef Malaysia.

Program realiti yang berasaskan dunia masakan itu akan mempamerkan kehebatan graduan perubatan pergigian, Ezani Farhana Md. Monoto, 26, dan pekebun Wahidan Ag. Supain, 42, dengan mengangkat senduk dan sudip pada malam ini.

Bakal bersiaran pada pukul 9 malam di saluran Astro Ria (saluran 104), Santapan Penamat MasterChef Malaysia membariskan juri-juri profesional yang terdiri daripada Chef Moh Johari Edrus, Chef Zubir Mat Zin dan Chef Mohd. Nadzri Redzuawan.

Juara MasterChef Malaysia akan meraih hadiah wang tunai sebanyak RM100,000 selepas berhempas-pulas melunaskan beberapa cabaran sepanjang 60 episod yang disiarkan sebelum ini.

Sejauh manakah penyertaan anda dalam MasterChef Malaysia memberi impak kepada hidup anda?

DEBARAN setiap peserta pada setiap minggu dirasai apabila 18 orang telah disingkirkan sepanjang 60 episod rancangan itu

EZANI (E): Pastinya besar dan banyak pendedahan yang saya peroleh dalam bidang kulinari. Ilmu yang diperoleh terus daripada ramai chef pakar ini pastinya memberi kelebihan kepada saya untuk menggali seberapa banyak mungkin kemahiran. Sekurang-kurangnya saya sudah mengisi sebuah portfolio besar untuk mengembangkan kerjaya dalam bidang ini.

WAHIDAN (W): Biarpun kalah, semua yang bertanding dalam rancangan ini membawa pulang banyak ilmu yang berharga. Tempoh enam bulan saya berada di sini memberi peluang yang banyak untuk saya mencedok pelbagai ilmu terutamanya fokus saya dalam menyediakan masakan barat.

Apa yang penonton tidak tahu?

E: Seperti yang ditonton di kaca televisyen kami mempelajari banyak perkara termasuklah tip-tip penyediaan makanan. Tetapi apabila di luar kaca televisyen, saya menganggap mereka sebagai abang dan ayah kerana mereka banyak juga memberi kata-kata nasihat untuk diambil iktibar. Saya berpeluang bertanya apa yang tidak faham.

W: Sebenarnya apa yang dipelajari di sini hanyalah sedikit daripada ilmu dalam bidang kulinari dan masih banyak yang perlu diterokai. Namun begitu, saya perlu mencari peluang untuk berdampingan dengan chef-chef hebat.

CABARAN peti saji misteri menguji tahap pengetahuan dan kreativiti peserta pada setiap minggu.

Apakah pandangan anda kepada setiap orang juri?

E: Chef Riz seorang yang muda tetapi mempunyai pengalaman yang luas. Dia juga menonjolkan idea terkini dan lebih segar. Chef Zubir nampak garang tetapi dia lembut hati manakala Papa Joe seorang yang berpengalaman luas tetapi berpegang kepada kaedah yang bercirikan tradisional.

W: Papa Joe (Moh Johari Edrus) dan Chef Zubir ialah seorang yang berpengalaman luas. Mereka banyak menitikberatkan rasa dan teknik masakan. Biarpun Chef Riz masih muda, dia mempunyai kepakaran tinggi dan amat peka terhadap cara persembahan hidangan.

Hidangan paling baik yang pernah anda hasilkan ketika di MasterChef Malaysia?

E: Menerusi Cabaran Citarasa Chef Selebriti saya telah menghasilkan hidangan pemanis mulut daripada buah durian. Saya namakannya sebagai Baklava Durian yang dihasilkan menggunakan isi durian yang dibalut dengan pastri filo bersama kus-kus dan dihidangkan dengan kastad. Cabaran itu adalah ketika minggu keempat.
SELAIN Kuliah Master, pesarta turut diberi pendedahan mengenai cara penyediaan masakan secara praktikal di dapur.

W: Dalam episod ke-45 iaitu melalui Cabaran Saji Misteri saya telah mendapat tempat pertama di kalangan peserta kerana menyediakan sejenis pencuci mulut daripada buah labu. Saya namakan hidangan itu sebagai Manisan Si Labu Labi. Biarpun kali pertama memasak hidangan itu, tetapi ilmu yang saya perolehi melalui kuliah Master saya praktikkan di situ.

Jika perlu memilih salah satu antara rasa dan persembahan hidangan, apakah yang menjadi pilihan anda?

E: Saya pilih rasa. Walaupun kita memulakan hidangan dengan pandangan dahulu, tetapi apa yang lebih meninggalkan impak adalah rasa yang sedap. Makanan lebih dihayati melalui rasanya yang sedap.

W: Bagi saya rasa lebih penting kerana ia dinamakan sebagai makanan. Namun begitu persembahan yang menarik juga perlu seiring kerana selera akan bangkit dahulu daripada persembahan. Kalau persembahan cantik tetapi tidak sedap, ia tetap tidak boleh dimakan.

Apakah perancangan kalian di luar nanti apabila program ini tamat malam nanti?

E: Jika diizinkan Tuhan pastinya saya ingin lakukan kedua-duanya. Saya ingin menjadi seorang doktor gigi dan mempunyai sebuah restoran atau perniagaan katering kerana kedua-dua itu merupakan minat saya.

W: Memang berdebar menunggu keputusan juri kerana setiap peserta mempunyai impian masing-masing. Sejak dari dahulu lagi saya menyimpan azam untuk membuka sebuah restoran sendiri. Saya merancang untuk membuka restoran berasaskan gabungan hidangan Barat dan tempatan di negeri kelahiran saya, Sabah. Bidang perkebunan tidak akan pernah saya lupakan. Cuma impian saya kini selangkah ke hadapan. -kosmo-

Zain tiada niat nikahi Rozita

Posted: 07 Jan 2012 04:46 PM PST

BAGI Zain Saidin, khalayak sentiasa ingin tahu akan kisah Rozita Che Wan. Menurutnya, pihak media juga sentiasa mahu menulis cerita tentang mereka.

JIKA mahu diukur kebolehan Zain Saidin sebagai pelakon sudah pasti ramai yang mencemuh lakonannya yang didakwa masih hambar. Namun, kekurangan itu diisi dengan cerita cinta dan gosip.

Pelakon yang sedang sibuk dengan penggambaran drama 13 episod, Bermulanya Di Sini itu didakwa sedang hangat bercinta dengan aktres cantik, Rozita Che Wan. Timbul seketika dan kemudian tenggelam, cerita itu tidak pernah ada penyudahnya.

Terbaru, aktor yang drama Gemersik Kalbu ini dikatakan bercuti bersama Rozita di Genting Highlands. Bukan hanya mereka berdua tetapi misi memupuk cinta itu turut disertai anak-anak Rozita, Ammar Effendy, 15, dan Aniq Ezzra, 12.

Pasangan itu semakin mesra sejak sama-sama terlibat dalam drama Kiah Pekasam. Bagi merungkai gosip tersebut, Sensasi Bintang meminta Zain berterus-terang dalam isu ini.

Penat tak asyik dilayangkan berita yang sama?

Penat juga tetapi asyik cerita yang sama sahaja yang keluar, nak buat macam mana? Saya cuma takut pembaca yang penat diberikan cerita yang sama. Bagi saya, pembaca mahu tahu cerita Rozita. Semuanya lebih kepada dia dan bukan saya.

Sebenarnya hubungan itu bagaimana?

Kawan, memang itu yang saya katakan daripada dahulu sampai sekarang. Jawapan saya sama sahaja. Terpulanglah kepada pembaca untuk mentafsir.

Anda melihat ini sebagai sebuah gosip biasa atau promosi diri?

Bagi saya, ini gosip biasa sahaja. Saya tak anggap lebih daripada itu. Memang gosip biasa. Malah saya tidak anggap sebagai sebuah promosi diri pun. Biasa sahajalah.

Tidak rasa digunakan atau menggunakan?

Biasa lah, kerja orang media. Mereka mahu tulis cerita. Saya tidak rasa apa-apa. Malah saya rasa biasa. Tidak rasa digunakan atau menggunakan.

Siapa diri anda sebenarnya dalam dunia hiburan?

Saya hanyalah seorang pelakon.

Sejauh mana keseriusan berlakon itu kerana yang muncul kebanyakannya gosip semata-mata?

Saya serius tapi saya tidak tahulah orang nak anggap apa. Gosip itu normal. Tidak ada artis yang tidak kena gosip. Bagi saya, itu normal.

Sejauh mana anda jujur untuk memperisterikan Rozita?

Tidak pernah terfikir benda itu (mengahwini Rozita). Saya anggap Rozita sebagai kawan. Saya pernah berjumpa dengan anak-anaknya. Anak-anak Rozita peramah macam mak dia juga.

Apa sasaran dalam industri hiburan sebenarnya?

Saya tidak ada target sebenarnya. Cuma berlakon dan lihat apa yang akan berlaku. Kalau ada pencapaian, adalah hasilnya. Inikan kerja, jadi apa yang diberi, saya terima. Itu sahaja.

Dengarnya sedang sibuk menghasilkan single rap?

Tidak siap lagi. Saya akan keluar dengan tiga buah single iaitu Transformasi, Cinta Jelita dan Niat Khalifah. Lagunya dibuat oleh rakan saya, seorang deejay dan saya menulis lirik untuk ketiga-tiga single saya.

Cinta Jelita ditulis untuk siapa?

Bukan untuk siapa-siapa, cuma sebuah lagu sahaja.

Zul Huzaimy bermentorkan Eman

Posted: 07 Jan 2012 04:45 PM PST



SINONIM dengan watak antagonis, aktor kelahiran Grik, Perak ini sudah lama bertapak dalam hati peminat filem Melayu. Berikan apa sahaja karakter, hampir tiada cacat dizahirkannya. Tidak keterlaluan meletakkan dia sebagai antara aktor hebat yang sedang segar menghijau.

Cuma, sensasi Zul Huzaimy Marzuki gara-gara kisah perceraiannya bersama bekas isteri sedikit masa dahulu membuatkan dia berdiam diri. Membawa kisah peribadi jauh daripada publisiti tidak bermakna pelakon berusia 33 tahun itu sepi berkarya.

Dalam diam, dia melebarkan sayap seninya. Bermula sebagai pelakon kecil dari pentas-pentas teater kepada pelakon drama dan terjulang mengungguli anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia menerusi filem Wayang, bapa anak satu ini, mengukuhkan nama sebagai pengarah pula.

Kata Zul, dia berehat dan memilih untuk berkarya dalam naskhah sendiri kerana karakter yang diberikan pengarah tidak mengujakan selera seninya.

"Minat untuk pengarahan memang telah lama ada, kecintaan saya ada di situ. Seronoknya bila berkarya sendiri, kadang-kadang ada watak ciptaan sendiri tidak mampu saya lakonkan. Jadi, bila mengarah drama, watak berat harus diberi kepada pelakon lain," katanya terpetik nama pelakon handalan, Eman Manan sebagai pelakon kegemarannya.

Dalam banyak drama tulisan sendiri mahupun karya penulis skrip lain, nama Eman Manan kerap menjadi taruhannya, terbaru mereka bekerjasama dalam Kenapa Aku Mencuri yang disiarkan di saluran Astro.

"Eman ada kefahaman dan mampu menyampaikan tulisan saya dalam pengucapan dan gaya bahasa terbaik. Drama pertama arahan saya berjudul Rambung (2009). Eman jadi pelakon utama dan individu yang banyak bagi kepercayaan kepada saya ketika itu ialah Baharin Abu Bakar. Selepas itu, banyak juga drama yang sudah saya arahkan," terletus tajuk-tajuk seperti Dia Bukan Ibuku dan Di Langit Ada Cinta sebagai drama yang pernah menerima sentuhannya.

Sudah banyak drama tercipta dan semuanya adalah telemovie, tahun ini bakal menyaksikan percubaan pertama Zul bertindak sebagai pengarah drama bersiri.

Tidak lupa asal kariernya sebagai pelakon, Zul yang selesai penggambaran drama arahannya Aku Belum Mati itu menantikan kemunculan terbaharunya dalam drama Ampunkan Dosaku, mengisi Slot Azalea di TV3. Dia masih laku sebagai pembawa watak anak derhaka, suka bersosial dan mengenepikan nilai hormat dan kasih sayang dalam hidup berkeluarga. -kosmo-

Yusry-Lisa ubah lokasi nikah

Posted: 07 Jan 2012 04:39 PM PST


CYBERJAYA - Pasangan selebriti, Lisa Surihani dan Yusry Abdul Halim telah mengubah lokasi majlis pernikahan mereka pada 23 Februari ini daripada cadangan awal di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya ke Hotel Marriot Putrajaya.

Lisa menjelaskan, perubahan lokasi itu yang dibuat selepas berbincang dengan keluarga Yusry bagi mengelakkan majlis tersebut mengganggu jemaah di masjid berkenaan.

"Kami mengadakan majlis pernikahan selepas Asar. Jadi, kami bimbang mengganggu orang yang datang solat Asar di masjid itu. Majlis pernikahan yang berlangsung juga kemungkinan akan berlanjutan ke waktu Maghrib.

"Saya juga fikir bagi pihak keluarga Yusry, keluarga saya dan rakan-rakan perempuan yang mungkin tidak dapat memasuki masjid atas faktor uzur," kata Lisa ketika ditemui selepas sidang media memperkenalkan pelakon-pelakon filem Ular terbitan KRU Studios di pejabat KRU Studios di sini semalam.

Menurutnya, majlis resepsi perkahwinan tetap diadakan di Pusat Konvokesyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 26 Februari.

Menyentuh persiapan perkahwinan, Lisa berkata, setakat ini semuanya berjalan lancar.

"Malah, kami juga sudah menjalankan ujian HIV baru-baru ini selain mengikuti kursus kahwin pada 9 dan 10 Januari ini.

"Untuk temankan Lisa, Yusry sanggup menghadiri kursus kahwin sekali lagi, "katanya.-kosmo-

Gelagat pengantin naik bas, LRT

Posted: 07 Jan 2012 04:24 PM PST

NOR YUSNITA dan Mohd. Shah memberi pose istimewa ketika menaiki tren LRT sehingga menarik perhatian penumpang lain ketika dalam perjalanan menuju ke Taman Wilayah, Kuala Lumpur semalam.

PENUMPANG ISTIMEWA. Jika kebanyakan mempelai dibawa dengan kereta pada hari persandingan mereka, pasangan Mohd. Shah Helmi, 24, dan Nor Yusnita Ramli, 26, ada pilihan sendiri.

Mereka meraikan hari bahagia dengan menaiki tren LRT dan bas RapidKL bersama-sama penumpang lain untuk ke rumah pengantin lelaki semalam.

Pasangan itu menaiki tren LRT bermula dari Stesen LRT Ampang menuju ke Stesen LRT Gombak kemudian menaiki bas khas RapidKL untuk dibawa ke rumah pengantin lelaki di Taman Wilayah.

Idea menggunakan perkhidmatan awam itu mungkin terbit daripada kerjaya Nor Yusnita sendiri sebagai staf perkhidmatan pelanggan di Stesen LRT Bukit Jalil, manakala Mohd. Shah pula kakitangan Pos Malaysia.-kosmo-

Maut kereta dihempap dahan pokok

Posted: 07 Jan 2012 04:20 PM PST

KAWASAN lokasi kejadian kereta yang dinaiki Sintayana dihempap dahan pokok tembusu di persimpangan Jalan Gertak Merah - Dato' Menteri, Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU - Seorang pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Pontian maut manakala teman lelakinya parah apabila kereta yang dinaiki dihempap dahan pokok tembusu di persimpangan Jalan Gertak Merah - Dato' Menteri berhampiran Sekolah Kanak-Kanak Istimewa Johor Bahru di sini semalam.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, Sintayana Abas , 25, yang mengikuti kursus jahitan di IKBN berkenaan maut dipercayai akibat kecederaan di kepala manakala teman lelakinya yang parah dikenali sebagai Farhan, 25.

Difahamkan ketika kejadian, hari hujan dan mangsa dalam perjalanan dari arah Zoo Johor ke pusat bandar raya dan apabila tiba di lokasi berkenaan tiba-tiba sebatang dahan menghempap kereta jenis Proton Saga yang dipandu Farhan. -kosmo-

No comments: