Wednesday, 7 December 2011

Ombak rindu raih RM 4 juta dalam masa 4 hari tayangan


SELEPAS beberapa filem arahannya sebelum ini gagal mencatat kutipan membanggakan walaupun mendapat pujian ramai, akhirnya pengarah Osman Ali mampu tersenyum lebar apabila filem barunya, Ombak Rindu mencatat kutipan membanggakan. 
Ombak Rindu yang mula ditayangkan di pawagam sejak 1 Disember lalu, mengumpul RM4 juta untuk tempoh empat hari tayangan. Malah hari pertama tayangan mencecah RM750,000 dan dikatakan mengatasi kutipan filem blockbuster Hollywood, The Twilight Saga: Breaking Dawn Part 1 yang ditayangkan 18 November lalu. 
Pengarah yang menang Cerita Asal Terbaik di Festival Filem Malaysia 21 (FFM21) menerusi filem Anak Halal, menyifatkan sambutan yang diterima itu adalah hadiah daripada kerja keras dan kesungguhannya selama ini.


Katanya, ini pertama kali filem arahannya diterima baik peminat filem tempatan selepas Puaka Tebing Biru, Anak Halal dan Cun. Malah Anak Halal yang menerima banyak pencalonan di FFM21 hanya mecatat kutipan keseluruhan RM2 juta, 
Puaka Tebing Biru hanya RM1.1 juta dan Cun! RM1.2 juta. 
 “Saya tidak pernah berkecil hati atau kecewa kerana apa yang penting dalam pembikinan sesebuah filem adalah ikhlas dan terus jujur berkarya. 
 “Soal keuntungan dan sambutan daripada penonton adalah bonus dan jika ada rezeki, Alhamdulillah. “Justeru apabila saya diberitahu Ombak Rindu sudah mencapai kutipan RM4 juta dalam masa empat hari tayangan, itu satu suntikan semangat buat saya kerana saya langsung tidak menjangkakannya. 
 “Namun itulah rezeki buat saya dan kesungguhan barisan pelakon yang saya sifatkan luar biasa dalam memberikan jalur lakonan terbaik,” katanya. 
 Mengenai kekuatan atau formula digunakannya menerusi Ombak Rindu hingga mendapat sambutan penonton, Osman berkata, formulanya hanya menekankan sebaik mungkin pada mainan emosi serta garapan pada aspek babak air mata agar penonton mampu mengikuti plot cerita syahdu yang ingin disampaikan. “Saya akui ada perasaan gusar pada awalnya kerana ada teman yang berbisik kalau-kalau filem ini mengulangi sambutan beberapa filem saya sebelum ini. 
 “Maklumlah masyarakat kini lebih tertarik untuk menyaksikan filem komedi dan seram. 
 “Saya percaya populariti novel asalnya turut memainkan peranan penting hingga mampu menarik minat kaki wayang membanjiri panggung. Sebelum mengarahkannya lagi, kami pernah membuat kajian menerusi laman sesawang mengenai langkah membawa novel Ombak Rindu ke filem. 
 “Ternyata ramai yang berminat dan saya yakin kebanyakan yang datang menonton adalah mereka yang pernah membaca novel karya Fauziah Ashari,” katanya. 
 Kata Osman, dia turut turun padang ke panggung untuk meninjau sambutan penonton di beberapa lokasi. Katanya, ada pasangan suami isteri berusia 60-an datang bersama begitu juga pasangan kekasih serta remaja yang menitiskan air mata menonton Ombak Rindu. 
 “Malah ada peminat sanggup terbang ke bandar utama di Sabah bagi menonton sendiri filem ini selepas membaca ulasan filem dan komen-komen mereka yang sudah menyaksikannya,” katanya.

p/s : Macam ada harapan nak atasi rekod KL gangster.

No comments: